Rabu, 8 April 2009

Harganya RM200!

Pagi tadi saya dikunjungi seorang penjual kitab (buku) agama. Anak muda itu tampil kemas, sabar menunggu giliran, tenang dan penuh yakin. Dengan penampilannya yang begitu saya yakin dia boleh pergi jauh dalam bidang ini.
Memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah gedung penerbitan terkenal, lantas mempamerkan produknya. Tanpa sempat disoal terus diterangkan tentang kelebihan produknya. Penerbitan Malaysia, cetakan luar negeri. Ada pelbagai ciri istimewa, lain dari yang lain. Sesuai untuk semua sama ada guru, pengamal perubatan, ahli falak, saintis kimia, biologi dan sebagainya. Diperakui pakar dan diberikan pengesahan untuk edaran di Malaysia.
Saya hanya dapat mengangguk dan mengiyakan sahaja. Tiada ruang untuk bertanya. Apa yang ada dalam kepala saya dan ingin ditanyakan ketika itu ialah “berapa harganya?” . Seolah-olah dia boleh membaca akal saya dan terus memberitahu, “Beginilah encik, kitab ini memang banyak istimewanya. Di perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini harganya RMxxx.00 (saya tak ambik pot sangat tentang itu kerana itu saya kira sudah masuk bab ‘mengalih minda bawah sedar saya’- mungkin RM400! Maaf kalau tersilap. Saya tak begitu pasti dan takut menyebutnya dengan yakin). Hari ini saya tidak ikut harga pasaran sebab ramai staf di sini yang telah membelinya. Encik boleh ambil dulu dan bayar semasa gaji nanti”.
Harga belum disebutkan lagi. Dia menyambung penerangannya. Katanya tidak ada yang secantik dan selengkap ini di pasaran. Kalau mahu beli indek (mu’jamnya) sahaja secara berasingan harganya mencecah RM90. Saya sudah dapat tangkap! Harganya pasti melebihi RM100 bagi keseluruhan naskhah ini. Saya terus bertanya harganya.
“Beginilah encik (sudah 2 kali ayat hampir sama dilontar!). Ramai kawan encik sudah beli dan buat pesanan. Hujung bulan nanti saya sampai. Harganya kalau dibandingkan dengan isi memang kelihatan sahaja mahal tetapi tidak mahal sebenarnya. Ini harga tawaran encik”. Saya cuba bersabar dan sememangnya itu sahaja yang mahu saya lakukan dalam situasi tersebut.
“Harganya RM200 encik. Boleh bayar 2 kali” Itulah penjelasan yang saya nantikan. Selepas itu dia terus memurnikan perihal naskhah tersebut agar selaras dengan harga. Akhirnya saya buat keputusan untuk tidak membelinya kerana harga sebegitu sudah dikira barang mewah.
Bukankah itu ilmu dan bukankah kita patut hargai karyawannya? Benar kenyataan itu, tetapi kitab tersebut yang sepaptutnya dimiliki dengan mudah dan murah oleh seluruh umat Islam kini sudah menjadi barang mewah. Bagi saya kitab tersebut terlalu mahal berbanding keperluan memilikinya. Penerbitan mewah memang tidak wajar bagi naskhah tersebut. Sudah masuk bab ‘lagha’ dan kelihatannya tujuan keduniaan melebihi keperluan dakwah. Saya pernah membeli kitab tersebut dalam versi bahasa Inggeris dengan harga RM1 (satu ringgit sahaja!) Apa yang lebihnya kitab tersebut ialah ‘colourful’, ada indeks khusus untuk pelbagai disiplin ilmu, terjemahan Bahasa Melayu baku (bukan Indonesia), cetakan luar negeri dan berkulit keras. Saya tegaskan kitab tersebut memang wajib dimiliki, sangat bermanfaat dan mendapat pahala bila membacanya tetapi kitab di hadapan saya ini sudah menjadi barang mewah dan seolah-olahnya dihasilkan oleh akal manusia genius.
Kita itu wajib dimiliki dengan harga murah atau percuma sahaja kerana ia adalah naskhah suci ‘‘Al-Quran” . Apa yang lebihnya adalah ia adalah naskhah bergantung makna(terjemahan). Tidak bolehkah usaha menyebar luaskan terjemahan al-Quran itu (tidak kira cantik dan padat atau ringkas) dijadikan amal jariah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan