Rabu, 15 April 2009

Kenapa saya tidak baca chedetblog?

Soalan :
Kenapa anda tidak baca chedetblog?
Jawapan
Blog chedet barangkali antara blog popular yang kerap dilawati dan dengar-dengarnya punyai idea yang baik dan sering dipetik media massa. Walau apa pun saya tidak berhasrat untuk ikuti blog tersebut.
Paling utama dan jelas saya tidak baca blog Dr. Mahathir kerana saya tidak hormat pemikirannya tentang bahasa Melayu. Sebagai pemimpin Melayu ternyata sumbangan pemikirannya bagi kelangsungan umat dan bahasa Melayu amat mengecewakan bahkan tersasar jauh dari hakikat dan tanggungjawab bagi menjaga maruah bangsa dan bahasa melayu itu sendiri. Teorinya ialah “apabila sesebuah negara maju maka bahasanya juga akan turut maju”. Apa yang beliau lupa ialah bahasa adalah lambang kekuatan jatidiri bangsa. Jika bahasa Melayu diabaikan maka jiwa Melayu akan jadi lemah dan pengaruh bahasa asing akan mengambil alih dan terus menguasai bangsa.
Orang Inggeris maju kerana mereka memperkembangkan bahasa Inggeris dalam bidang ilmu(sains) dan maklumat. Negara Jepun bangun dari kekalahan perang dan muncul sebagai negara maju tetapi bahasa Jepun tetap diutamakan. China yang muncul sebagai gergasi ekonomi dunia terkini para pemimpinnya tetap ‘bercakap cina’ di mana-mana pun sudut dunia jika mereka diwawancara.
Kalaulah 100 tahun dahulu ilmu diterjemahkan secara intensif ke dalam bahasa Melayu pasti sekali hari ini bahasa Melayu merupakan bahasa utama dunia dalam aspek ilmu dan maklumat. Malangnya pemimpin Melayu 100 tahun dahulu tidak ada wawasan seperti Mahathir. Hari ini bahasa Melayu terus dirundung malang kerana wawasan pemimpin Melayu tidak mengambilkira bahasa sebagai wahana kemajuan bangsa.
Sebagai pencinta bahasa Melayu saya amat terkilan kerana pemimpin Melayu –atas nama perpaduan nasional – kelihatannya amat segan silu untuk menegaskan bahawa “bahasa kebangsaan Malaysia bernama bahasa Melayu” sebaliknya tanpa sekelumit pun rasa malu dan terkilan menamakannya sebagai bahasa Malaysia. Kata mereka bahasa kebangsaan bukan hak orang Melayu tetapi hak rakyat Malaysia, maka nama paling tepat ialah bahasa Malaysia. Persoalan ini nampak kecil tetapi inilah yang menentukan kebesaran jiwa umat dan pemimpinnya. Apa yang pasti tidak ada seorang pun pakar bahasa dan linguistik yang menyokongnya. Kalaulah ada penyokongnya pasti sekali isi serombong akalnya sama seperti kandungan batang-batang kangkung!
Satu fenomena yang amat jelik dan jelas berlaku dalam konteks bahasa dalam tanahiar Melayu Boleh ini ialah wujudnya bangsa Melayu dan orang Malaysia yang terasa amat rendah diri jika gagal bercakap bahasa Inggeris dan tidak merasakan apa-apa pun jika gagal menggunakan bahasa kebangsaan dalam komunikasi mereka.
Perkara ini tidak diambil tahu dan difikirkan secara serius oleh Mahathir melainkan ‘akal fuedalnya’ itu masih tetap mahu matematik dan sains diajarkan dalam bahasa Inggeris. Amat mengecewakan. Namun bagi Melayu yang glokal (namun rendah diri dan berjiwa kecil) mereka tetap akan berkata “bukankah bahasa Inggeris lebih tepat, lebih global dan bukankah orang Cina maju kerana mereka tidak malu guna bahasa Inggeris!” Kalau itu yang ada dalam akal Melayu sahlah mereka kini berada dalam mazhab Melayu terkini : Mahathirisme. Sebab itulah saya tidak baca chedetblog. Saya inswan yang lemah dan saya takut bahaya Mahathirisme!

1 ulasan:

  1. "pa yang beliau lupa ialah bahasa adalah lambang kekuatan jatidiri bangsa."

    dia bukan melayu sejati.jatidiri dia bukan pada bangsa melayu.dia mamak!

    BalasPadam