Jumaat, 5 Jun 2009

SELAMAT HARI ALAM SEKITAR

Hari ini 5 Jun 2009 merupakan Hari Alam Sekitar. Hakikat ramainya umat manusia yang tidak menyedarinya tidak dapat dinafikan. Apalah sangat Hari Alam Sekitar berbanding Hari Valentine, Hari Tahun Baru atau Hari Ibu. Alam sekitar seakan subjek asing bagi majoriti umat manusia. Melestarikan alam sekitar lagilah pelik dan satu kerja yang tidak kelihatan apa untungnya. Ini bukan generalisasi umum tetapi itulah faktanya. Kalau tidak percaya buatlah ‘survey’ tentang berapa orangkah di sekitar anda yang tahu tarikh Hari Alam Sekitar. Tanyalah mereka apakah kesan rumah hijau atau kenapakah banjir sering berlaku di kawasan mereka. Perhatikan di taman permainan apakah tong sampah digunakan secara efektif.

Saya kira anda akan mendapat jawapannya bila ‘melawat’ longkang di lorong-lorong belakang, sungai-sungai di tengah bandaraya atau kilang memproses makanan umpamanya. Anda akan dapati sampah memenuhi sungai dan longkang, bau busuk dan hanyir menusuk dengan tumbuhan yang warnanya bukan lagi hijau. Jika anda di tengah bandaraya perhatikan dalam tempoh satu minit berapa buah kenderaankah yang lalu di hadapan anda. Apakah kenderaan tersebut tidak mengeluarkan asap? Apa maknanya asap kenderaan itu kepada alam sekitar? Lihatlah aliran sungai, pokok-pokok, bukit dan gunung dan isi alam seluruhnya. Apa khabar mereka semuanya? Masih sihatkah semua unsur alam tersebut?

Semua tanda-tanda tersebut membuktikan betapa sebahagian penduduk dunia gagal memelihara alam sekitar, apatah lagi melestarikannya. Kenapakah manusia terlepas pandang aspek ini? Jawapannya ialah tuntutan ekonomi. Manusia tiada masa memikirkan tentang hakisan, banjir, suhu atau malar hijau alam kerana manusia hanya memikirkan makan dan wang. Manusia memilih menebang pokok yang lebih besar pemeluknya dengan maksud bagi mendapatkan lebih banyak wang. Manusia membuang bangkai, sampah dan racun ke dalam sungai dengan maksud untuk menjimatkan wang dan memaksimumkan untung. Manusia menarah bukit, mengorek pasir, menebang hutan atau membina bangunan untuk mendapatkan untung demi memastikan roda ekonomi terus berputar.
Alam sekitar dimangsakan kerana alam sekitar tidak mampu bersuara. Makhluk lain yang bergantung kepada alam sekitar (termasuklah kaum asli primitif pengamal pagan itu!) juga tidak mampu ‘bersuara’ dalam bahasa manusia. Maka manusialah yang paling berkuasa kerana mereka punyai suara untuk memberikan makna atau justifikasi terhadap apa jua tindakan mereka. Namun dari semua tindakan manusia terhadap alam sekitar kesimpulannya manusia hanya memperkuda atau memperkosa alam sekitar untuk memuaskan nafsu sesama mereka sahaja. Pelbagai istilah dicipta bagi mengesahkan segala tindakan rakus manusia terhadap alam sekitar seperti pembangunan, kemajuan bangsa, masyarakat madani hatta seni dan keindahan.

Kegagalan melestarikan alam sekitar bermaksud memusnahkan alam sekitar secara berterusan dan hasilnya nanti ialah kehodohan alam, kepanasan melampau, kecelaruan cuaca dan kegelisahan sosial. Impak tersebut tidak boleh dilihat hari ini kerana alam sekitar tidak mengingatkan manusia dengan berkata-kata. Tanda-tanda keresahan alam sekitar itulah yang perlu difahami.
Marilah kita dengari rintih resah alam seperti yang diungkapakan oleh Sasterwan Negara;

Beringin tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka
di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi

…Namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.

SN Usman Awang
1979

Tiada ulasan:

Catat Ulasan