Jumaat, 31 Julai 2009

SATU CADANGAN

1 Ogos 2009 khabarnya akan diadakan perhimpunan besar-besaran mansuhkan ISA manakala di satu pihak lagi yang diketuai oleh MP Ibrahim Ali akan adakan perhimpunan menyokong ISA.
Saya sokong usaha Ibrhaim Ali itu kerana adalah terlalu sukar untuk menghimpunkan orang secara sukarela dan penuh bersemangat untuk menyokong pengekalan akta lama warisan penjajah tersebut. Saya kira kalau ajak Dr. Mashitah pun beliau tidak mahu kerana perhimpunan sebegitu tidak perlu katanya. Begitu juga MP BN yang lainnya pasti akan mendahulukan rakyat dengan aktiviti yang lain daripada berdemonstrasi bersama Ibrahim Ali. Tak percaya lihatlah nanti, hanya beberapa orang dari NGO dan budak-budak upahan serta 'pelagak demo' sahaja yang turut serta. Atau mungkin akan dibatalkan pada saat akhir atas nasihat Ketua Polis demi menjaga ketenteraman awam.ada.
Bagi peneliti politik pula, Ibrahim Ali sebenarnya tidak sepenuh ghairah pun menyokong pengekalan ISA tetapi mahu hanya bertembung dengan penentang ISA bagi meraikan demokrasi dan selepas itu barangkali beliau akan mendapat sedikit kredit -kalau dalam bahasa budak-budak muda "mahu enter-frame cari glamour le tu". Beliau mungkin akan dijadikan ikon pejuang Melayu yang mempertahankan kedaulatan undang-undang. Pelbagai kemungkinan ada di sana. Tiada siapa pun yang waras mengatakan tindakan menyokong ISA itu sebagai satu kebijaksanaan melainkan jika disuruh berkata demikian kerana takut dan mahu pertahankan kedudukan.
Namun apa yang boleh dijangkakan ialah jika benar-benar Ibrahim Ali turun padang maka beliau akan beroleh demokrasi dengan 'kerjasama banyak pihak' manakala puak yang satu lagi akan lebih mengerti maksud sebenar demokrasi juga dengan 'kerjasama banyak pihak' khususnya dari pihak kerajaan.
Selepas ini Ibrahim Ali akan berkata demokrasi di Malaysia adalah yang terbaik kerana kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat adalah terjamin. Bagi pihak yang satu lagi pasti akan merasai sebaliknya kerana itulah yang sering terjadi selama ini.
Sekiranya betul-betul Ibrahim Ali dan gerombolannya membuat unjuk rasa, hanya satu sahaja cadangan iaitu esok 1 Ogos 2009 PDRM silalah tangkap Ibrahim Ali atas alasan 'menambahkan kegawatan awam' dan letakkan di bawah ISA beberapa tahun. Bukankah Ibrahim Ali mahu buat perhimpunan setelah ada pihak lain yang telah merancang dan memutuskan tarikh tersebut sebelum ini -malah sejak akhir 2008 lagi. Maksudnya Ibrahim Ali hanya menambahkan kegawatan dan kegelisahan awam kerana akan berlaku pertembungan. Maka Ibrahim Ali patut ditahan atas sebab itu jika mahu mengikut pertimbangan yang betul dan rasional. Ini hanya cadangan sahaja dan bukan mahu mendesak pun!
Selepas diletakkan Ibrahim Ali di bawah ISA selama beberapa tahun tanpa bicara maka kita lihatlah apa pula pendirian beliau. Itu sahaja caranya jika mahu menguji sesuatu kebenaran jika gagal dibaca secara berhemah dan penuh hikmah. Kalau ada orang tidak percaya api itu boleh membakar maka humbankan sahaja beliau ke dalam api itu untuk merasai sendiri bagaimana diri dimamah api!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan