Rabu, 5 Ogos 2009

OII JEFF OOI

Kehebatan manusia terletak pada akal. Kejelikan manusia juga terletak pada akal. Seorang YB yang bernama Jeff Ooi barangkali mahu tunjukkan kehebatan akalnya -yang kritis-analitik, pragmatis dan reaktif. Barangkali juga beliau mahu buktikan bahawa demokrasi memang begitu. Bersuara dan tegur pada yang tidak disetujui. Mungkin juga sikap dan tindakan YB Jeff Oii itu membuktikan beliau seorang demokrat yang menjunjung prinsip kesaksamaan. YB Jelutong itu juga barangkali mewarisi sifat 'terlalu berani' penyandang sebelumnya. Itu yang dibaca dan dinilai oleh khalayak.
Ada pandangan sebaliknya mengatakan YB Jeff Ooi akalnya masih di peringkat eksperimen. Masih akal budak yang belum masak. Perlulah beliau muhasabah (membuat refleksi) dan lalui proses artikulasi lebih mendalam. Perlu lebih lama masa untuk memahami dan ssesuaikan dengan konsep moral, budaya dan agama. Maka bagi yang melihat dari neraca akademik sebegitu pandangan Jeff Oii hanya pandangan budak-budak yang sering marah-marah atau mahu tunjuk akal mudanya.
Apa pun Jeff Ooi realitinya adalah seorang Yang Berhormat yang mewakili rakyat dan yang patut dihormati. Namun seandainya akal gagal mencerminkan hasrat rakyat maka setakat ini sahajalah khidmat tuan YB. Hanya rakyat yang tidak gemar guna akal sahaja akan memilihnya semula. Bagi yang teguh prinsip, yang faham budaya dan tuntutan agama, yang taqqarub dan bersifat ihsan dengan penciptanya tidak mustahil akan memilih lawan tuan YB yang jika ditimbang-timbang kurang mudaratnya berbanding yang sedia ada. Agama adalah pegangan dalam jiwa kukuh dan melabelkan pendakwah yang amanah ertinya mempertikai anutan yang sedia kukuh itu. Harap dapat seseorang yang terjemah dan tafsirkan konsep ini kepada YB dalam bahasa yang difahaminya kerana diyakini beliau kurang memahami konteks ini dalam bahasa ini.
Pemerhati politik tidak fikir yang Jeff Ooi terlalu naif berpolitik peringkat tinggi dan tidak terfikir pula itu mainan politik yang selaras dengan prinsip Ketuanan Rakyat dan Politik Baru yang sering didendangkan.
Menuduh atau melabelkan orang lain pelampau memang sikap yang melampau. Orang Islam dan bukan Islam yang jendela akalnya teliti pasti tidak setuju jika dikatakan JIM itu sebuah organisasi ekstrimis setara al-Qaeda atau Jamaah Islamiyah. Orang melihat JIM itu satu kelompok orang yang baik, yang suka menolong semua orang dan bencikan keganasan dan tidak pernah melihat JIM melakukan keganasan.
Tidak sama pula keadaannya pandangan rakyat marhaen terhadap Pak Lah yang peribadinya sangat baik itu tetapi gerombolan yang megelilinginya sangat tidak baik. JIM dan Pak Lah adalah sama-sama baik namun perlakuan dan kawan-kawan mereka masing-masing tidak sama sifat baiknya. Mengatakan JIM jahat dan berkawan dengan orang jahat adalah pandangan serong atau satu permainan politik yang licik tetapi teramat kotor.
Wahai (oii) YB Jeff Ooi fahamlah budaya, moral dan sentimen umat atau masyrakat yang melatari tuan. Fahamlah kandang apa yang tuan masuki dan pa perlu tuan lakukan. Melabel dan menuduh memang sedap dan dibolehkan tetapi tengoklah dahulu siapa dan apa yang mahu dilabelkan. Memberikan label Mahafiraun kepada seseorang memang sedap dan sering pula dikatakan tepat, maka bolehlah diterima. Melabelkan JIM sebuah jamaah dakwah Islam sebagai 'extrimist' sangat tidak sedap bunyinya dan sangat tidak tepat pada hakikatnya. Jadi tunggu apa lagi YB Jeff Ooi oii? Minta maaf sahajalah. Jika tidak peribahasa Melayu akan labelkan tuan sebagai 'bodoh sombong'. Itu sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan