Selasa, 17 November 2009

SEJAUH MANAKAH BIJAKSANANYA BIDAK ?

Bidak biasanya dirujuk sebagai buah catur yang paling rendah nilai dan peranannya - biar pun keseluruhan buah catur dikenali sebagai bidak namun yang lainnya ada peranan khusus seperti knight, queen dan sebagainya. Bidak hanya dibolehkan bergerak selangkah ke hadapan dan makan secara menyerong- itu pun jika sempat!. Bidak dalam bahasa Indonesia ialah 'pion' yang barangkali diterjemah langsung dari perkataan 'pawn'. Peon pula dalam strata atau hierarki organisasi duduknya paling bawah sekali dan akalnya kurang dipakai.
Namun dalam realiti sosio politik ada ketikanya bidak atau peon itu terpancar kebijaksanaannya biar pun tarafnya hanyalah bidak atau sida-sida(dalam konteks sastera istana). Adakah kita (sebagai rakyat bertaraf 'pion' ini)sedari atau ketahui bahawa konspirator dan broker kuasa peringkat tertinggi yang mahu atau hampir kecapi darjat 'King' atau 'Queen' akan mempergunakan segala yang ada termasuklah sejumlah bidak untuk capai matlamat mereka?
Dalam permainan catur yang sebenarnya 'pawn' hanya pembuka medan perang untuk memberi laluan kepada yang 'lebih berkuasa'. Knight, bishop, rook adalah barisan kedua, manakala Queen adalah harapan terkahir bagi King. Memang sukar dipergunakan secara maksimum pawn tanpa bantuan kesatria. Di mana jua pawn akan diperguna hinggakan sanggup diserahkan untuk 'dimakan begitu sahaja' oleh Queen atau King.
Dalam situasi masyarakat moden sudah ada bidak kecil yang kebijaksannan akalnya melebihi kemampuan akal pihak yang memegang kuasa. Maka dalam situasi inilah Sang Bidak kecil itu akan dipergunakan atau dikenakan oleh broker atau konspirator kuasa. Melalui paparan media ditunjukkan darjat dan kebijaksanaan 'perajurit kecil' itu. Di belakang tabir pihak-pihak yang bertelagah akan mempertahan atau mempergunakannya secara yang amat licik.
Sebagai contoh seorang perwira kecil -tanpa cita-cita besar, yang ikhlas dalam ilmunya, yang 'innocent' akal siasahnya, yang hanya mahu bersetia dengan kelompok marhaen- yang dilihat kebijaksanaanya bakal menggugah kebebalan dan idealisme mampu menampung ketirisan akan 'dipergunakan' secara jujur mahu pun kotor. Andai khidmat baiknya mahu digunakan di medan kotor maka dipancinglah dengan pelbagai helah dan kilah. Andai mahu dijadikan rakan pelaung idealisme maka akan diajaklah bersama-sama merasai 'bahang perjuangan' sang penguasa, broker atau dalang kuasa.
Masalah akan timbul seandainya 'kejurusan' sang wira kecil itu berterusan. Di mana-mana jua prinsipnya tidak berubah. Dalam realitinya ada keadaan dan ketikanya prinsip dan maruah perlu diketepikan jika mahu capai matlamat. Pada ketika itulah bidak yang lurus ini tidak diperlukan lagi dan perlu dinyahkan. Apa caranya terpulang pada keadaan. Itulah hakikat siasah yang perlu diterima oleh bidak kecil dalam apa jua percaturan
Hakikatnya sang bidak biar kearifannya melampaui alam semesta sekali pun jika ketekadan siasah dan kekuatan mentalnya lemah maka ia akan jadi barang buangan akhirnya. Rakyat terbanyak apa yang mereka buat? Jawabnya mereka akan lihat sahaja kerana mereka dan bidak yang bijaksana itu sama sahaja kelurusan dan keluhuran batin mereka. Mereka akan ikut sahaja apa tindakan 'Queen' dan 'King'. Jika ingkar mereka akan kena makan!\
Pengajarannya -jangan hanya jadi bidak atau sida-sida sahaja jika mahu terlibat dalam sesuatu percaturan. Ayuh berfikirlah ke tahap sang konspirator itu jika mahu ikut sama memeriahkan pentas siasah ini -namun prinsip masih tetap boleh dibawa jika akal masih waras!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan