Jumaat, 31 Disember 2010

BOLA SEPAK & SAINS SUKAN

Menyusul kejayaan Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki dan keghairahan umum membicarakannya maka gedung akal ini tergerak sama untuk berwacana. Pencapaian semasa pasukan kebangsaan lelaki bola sepak Malaysia adalah di bawah tahap sederhana manakala skuad wanitanya tersangat malap. Ranking terkini FIFA Malaysia menduduki  tangga 144 daripada 201 manakala di peringkat Asia pada kedudukan 24/46. Kedudukan dalam ASEAN ialah ke-5 selepas Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura. Ranking  FIFA bagi skuad wanita adalah 90/121 dan 19/33 Asia. Itu realitinya.
Kenapa Malaysia berupaya menjuarai Piala Suzuki. Apakah Tahiland dan Singapura sudah beransur lemah dan setaraf Malaysia nantinya? Apakah kerana Indonesia bukan pasukan yang setanding Malaysia buat masa ini? Ataukah Malaysia sudah meningkat prestasinya?
Secara simplistiknya memang prestasi pasukan Malaysia meningkat namun adakah peningkatn tersebut benar-benar berkualiti dan akal kekal umtuk tempoh masa yang agak panjang. Bagi menjawabnya mari kita lihat senario bola sepak Malaysia secara menyeluruh merangkumi aspek pemain, pemimpin, penyokong dan sains sukan yang melatarinya.
Kepimpinan sukan yang terbaik ialah strategi pengurusan, tanggngjawab dan iltizam kepimpinan. Dalam senario bola sepak Malaysia rata-ratanya ahli politik dan golongan istana yang memimpinnya. Sebahagian dari mereka ini diyakini memimpin untuk mendapatkan 'mileage' politik, mahu cari publisiti dan gila glamour. Ini dakwaan namun instint atau apa yang dirasakan peminat dan khalayak umum biar bertahap persepsi lazimnya benar berdasarkan pengalaman sedia ada. Biar pun pasukannya kalah berkali-kali namun sifat bertanggungjawab kelihatan tidak ada dalam jiwa sesetengah pemimpin bola sepak. Ini yang membuat orang meluat dan tidak menaruh kepercayaan kepada pemimpin sedia ada. Memang mereka bijak mencari duit tetapi mereka 'hampas' dalam pengurusan lebih-lebih lagi pengurusan sains sukan. 
Bertolak dari situlah jugalah sains sukan diyakini amat tipis amalannya dalam bola sepak tempatan. Sekiranya pemain tercungap-cungap setelah setengah jam bermain maka itu jelas salah aspek sains sukan. Sekiranya pemain hanya bertahan atau bermain untuk 30 minit terakhir setelah 'leading' satu atau dua jaringan itu ertinya sains sukan gagal diterapkan oleh pengurusan pasukan.
Memang kita punyai fisoterapis, pegawai perubatan, pakar diet, pegawai psikologi dan sebagainya namun apa yang ditunjukkan di padang menunjukkan ada aspek sains sukan yang kurang diberi penekanan. Kita perlu melihat dengan teliti aspek STAMINA, SPIRIT, SKILL dan STRATEGI sebagai asas kurikulum dan amalan sains sukan dalam pasukan bola sepak kita. Pemain yang berstamina adalah yang faham aspek kesihatan dan diet merangkumi makan, tidur, buang air dan senaman. Aspek spirit melibatkan disiplin pengurusan masa, komunikasi, pembinaan pasukan dan patriotisme. Skill dan strategi lazimnya menjadi tugas utama Ketua Jurulatih. Kedua-duanya memerlukan pemain yang bijak, bersemangat dan sihat. 
Pemain kita biasanya lemah dari aspek spirit kerana mereka sudah jadi 'star' sebelum tiba masanya. Strategi dan stamina mereka juga lemah kerana rata-ratanya lepasan sekolah yang ada antara mereka SPM pun tak lulus. Memang ada kaitan antara kebijaksanaan akademik dan pencapaian kemahirn yang lain. Pihak pengurusan perlu mengkji hal ini. Perlu adanya pemian bola sepak yang bijak dan sihat mental fizikal jika mahu kekalkan pencapaian kita. 
Namun budak U tak akan berminat menywertai kerjaya bola sepak kerana bidang ini yang lebihnya glamour bukannya jaminan peningkatan kerjaya khususnya di Malaysia. Membawa masuk budak bijak bermain bola sepak dalam pasukan kebangsaan pasti akan menjadi prestasi dan pencapaian kita berterusan cemerlang. Pihak pengurusan harus ambil perhatian serius hal ini kerana apa yang pasti sekarang budak-budak lepasan SPM lazimnya akan jadi 'star' sebelum tiba masanya. Tatkala duit banyak maka spirit mereka akan hilang dan ini membawa maksud pencapaian kita akan gagal dipertahankan.
Rumusannya pasukan bola sepak kita memerlukan pemain yang cerdik dan pemimpin yang bijak. Penonton akan turut menjadi cerdik jika pemain dan pengurusan juga cerdik. Dengan realiti yang ada rasanya bola sepak kita hari ini kurang ditonton dan disokong oleh orang yang cerdik. Itu sebabnya kita menang ketika kita bernasib baik!










 

Ahad, 5 Disember 2010

MASUK MELAYU & KETUANAN MELAYU

Perbincangan ini bertolak dari isu orang bukan Melayu tidak layak jadi Perdana Menteri atau wakilnya (baca TPM), maka jika sekiranya bukan Melayu itu masuk Melayu bolehkah jadi PM atau mana-mana pemimpin tertinggi negeri atau negara ini ? Masuk Melayu dalam konteks ini ertinya menjadi seperti Melayu yang agamanya Islam. Dalam kefahaman Melayu, Islam atau Melayu itu adalah sama. Undang-undang Lord Reid pun mengesahkan begitu. Orang Melayu mestilah Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Perkataan lain yang merujuk kepada Melayu ialah Jawi hatta Tanah Melayu atau Malaya -dalam bahasa PPSMInya- dahulu kala dikenali sebagai Tanah Jawi. Pedagang Arab, Sind atau Hadralmaut zaman sebelum Tun Sri Lanang , mereka datang berdagang di Tanah Jawi yang merujuk kepada Tanah Melayu -bukannya Jawa. 
Dalam tradisi Melayu anak-anak kecil yang dikhatankan kadang-kadang disebut 'masuk jawi' yang implikasinya sahlah mereka sebagai Islam yang mukallaf. Mana-mana orang cina mata sepet atau keling hitam legam di Tanah Melayu ini masuk Islam ertinya mereka masuk Melayu. Yang asalnya Cina kapir dipanggil cina muallaf manakala yang India atau Keling sering dipanggil Mamak. Mereka itu orang asing yang masuk jadi Melayu sama jugalah seperti hamba habsyi atau badwi zaman Jahiliyah masuk bercampur dengan Tok Arab Quraish. Jika Tok Arab di Tanah Arab adalah tuan kepada habsyi atau  badwi tersebut maka apa yang peliknya Melayu di Tanah Melayu jadi tuan kepada yang selain Melayunya?
Itulah kefahaman Ibrahim Ali dan sekalian Melayu yang lainnya. Maka mencadangkan Lim Kit Siang sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri samalah ertinya seumpama mencadangkan Bilal Habsyi menjadi Gabenor Kota Mekah -dalam konteks Zaman Jahiliyah. Namun perbandingan ini tidaklah membawa maksud 'menjahiliyahkan' Malaysia yang sedia Madani dan Hadhari seperti hari ini. Namun harus diingat fahaman manusia dalam masyarakat sivil kadang-kadang sama tarafnya dengan faham manusia zaman 'Perak Man' andai ilmu tidak dijadikan rujukan. Manusia jahiliyah, penghuni gua dan rimba hidup tidak berpaksi ilmu. Maka yang kuat jasadnya akan berkuasa dan akan jadi tuan. Kita bimbang Melayu yang beria-ia mahu jadi tuan itu akan sama tarafnya dengan Abu Jahal dan raja rimba andai persoalan sebegini menjadi wacana utama.
Sepatutnya jadi Melayu atau 'masuk Melayu' itu akan jadikan manusia lebih bertakwa kepada Allah Taala. Sepatutnya Melayu akan agungkan Allah Taala bukannya marga sendiri. Arab Quraish yang hebat dahulunya sudah tidak jadi tuan kepada arab atau Habsyi lainnya bahkan jadi kuli Israel dan suku-sakat Obama.   Apakah Melayu yang jadi tuan hari ini lebih hebat dari bukan Melayu dalam ilmu, teknologi dan keperibadian mereka?
Semua persoalan ini dapat dijawab andai Melayu itu benar-benar jadi Islam bukanya mewarisi baka Islam atau masuk Islam melalui Melayu. Tanggungjawab besar Melayu hari ini ialah mendakwahkan Lim Kit Siang dan anaknya,  menerangkan Islam yang benar kepada Namewee dan mempamerkan keperibadian Melayu yang Islam kepada seluruh manusia yang bakal masuk Melayu. Berlagak jadi tuan tetapi makan rasuah dan  hidup dengan tipu muslihat dan auta yang jelik pada hakikatnya sama sahaja dengan Cina kapir itu tidak membawa kepada kebesaran jiwa Melayu bahkan akan diperlekeh dan dihina tanpa disedari. 
Maka Melayu tidak akan hina jika tidak jadi tuan di Tanah Melayu. Melayu akan hebat andai Lim Kit dan anak pinaknya sama-sama 'masuk Melayu'. Melayu tidak akan marah lagi dan tidak akan terasa jadi kuli andainya Lim Kit siang sudah masuk Melayu. Lantas tugas Melayu, Ibrahim Ali dan Azmin Ali, PAS dan Nik Aziz adalah mendakwahkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng agar masuk Melayu!
Orang-orang PAS duk tunggu apa lagi? Orang UMNO mungkin kurang kemahiran dakwah kerana mereka pun tahu mereka kurang ilmu agama. Maka menjadi tanggungjawab PAS pergi berdakwah kepada cina kapir agar masuk Islam dan jadi Melayu. Jangan biarkan Melayu UMNO tuduh PAS gunakan ayat al-Quran untuk berpolitik tetapi gunakannya untuk kerja dakwah.

Selasa, 16 November 2010

AIDILADHA -SELAMAT BERKORBAN

Korban atau dalam istilah PPSMI sacrifice adalah satu bentuk perlakuan yang amat besar kesan maknanya. Korban boleh membawa kepada kematian. Korban sering dikaitkan dengan perasaan dan sering bersifat ritual. Sepanjang perjalanan hidup kita akan temui orang berkorban, dikorbankan atau terkorban. Ibubapa memang sah berkorban untuk kebahagiaan anak-anak. Kekasih berkorban untuk pasangannya apa sahaja yang boleh dikorbankan.
Yang terkorban dan dikorbankan kelihatan malang dalam situasi korban ini. Anak-anak muda yang merempit tidak ketahuan kalu  biasanya akan terkorban di atas jalanraya. Politikus yang jurus dan bendul akan dkorbankan rakan separti demi kepentingan rakyat dan negara. Ada puak yang terpalsa dikorbankan demi kepentingan puak lain. Manusia mengorbankan manusia nampak jelek sekali tetapi itu hakikat apa yang terjadi.
Umat Islam mengorbankan binatang ternak sebagai manifestasi kesyukuran terhadap Allah Taala. Penganut agama dan isme selain Islam pun ada konsep korban masing-masing. Pengorbanan yang luhur dan ikhlas sukar didapat kerana biasanya hari ini oarang kaya yang berduit berlumba-lumba untuk berkorban binatang ternak. Yang malang sekali ibadat korban ini pun dijadikan umpan oleh orang politik untuk mempamerkan altruisme dan amal ibadat mereka. Bukan orang kaya dan orang politik tidak boleh berkorban tetapi situasi yang wujud sekian lama membentuk pandangan umum betapa pengorbanan orang politik adalah tidak ikhlas. Pengorbanan saudagar hanyalah sebagai iklan. Kerja korban seniman adalah untuk raih populariti. Masyarakat sudah hilang kepercayaan terhadap ibadat korban. Maka dengan demikian status keluhuran dan hikmah korban akan hilang. Ini masalahnya bila akal tidak digunakan untuk memahami hikmah perintah Allah Taala. Bila perasaan lebih mendahului akhirnya ibadat akan jadi lagha. Ini masalah masyarakat jahiliyah gaya moden! 

Sabtu, 30 Oktober 2010

MENOLEH SEJARAH MENILAI BANGSA

Sejarah adalah catatan pengalaman lepas. Menoleh sejarah beerti menelusuri kembali laluan hidup yang telah ditinggalkan dan pasti dipenuhi pelbagai corak dan warna. Bagi sesebuah bangsa, menoleh dan meneliti sejarah beerti mencari kekuatan lama yang tersembunyi. Orang Inggeris lima kurun yang lampau menjadi bangsa penakluk yang hebat ke seluruh dunia mengekalkan sejarah bangsa mereka untuk tatapan generasi terkini. Orang Jepun berbangga dengan sejarah bangsa mereka yang berupaya mengangkat orang Jepun pendek menjadi bangsa yang berjiwa besar dan berakal panjang biar pun ketinggian batang tubuh orang jepun tidak ketara peningkatannya.
Bagi bangsa Malaysia atau Melayu yang mengakui sebagai terasnya sejarah perlu dipelajari, diteliti, difahami agar bangsa ini benar-benar berupaya menjadi sejarah sebagai teladan. Orang Melayu mereka adalah pelayar dan pengembara hebat seawal kurun kesebelas lagi. Orang Melayu adalah pelayar yang dikatakan mampu merentas kepualauandan benua untuk membuka tanah baharu. Namun bagi sejarah orang Melayu hanya berlegar di sekitar Kepulauan Melayu atau Nusantara. Maka sejarah sedemikianlah yang perlu dijadikan iktibar bagi menyemarakkan misi besar bangsa untuk tujuh kurun akan datang. Apa dihairan tantangan orang keturunan Cina atau India yang jelas sejarah mereka jauh lebih besar isinya. Orang India  tidak perlu melenting andainya dilabel sebagai bangsa pendatang oleh ultra Melayu atau ahli sejarah. Sepatutnya mereka bangga dengan sejarah besar marga asal mereka yang mewariskan kamasutra umpamanya. Begitu juga keturunan cina yang sepatutnya bangga kerana peperiksaan  PTK di Malaysia sebenarnya dimulai oleh kerajaan kuno Cina. Sila baca sejarah dan janganlah gaduh dan melenting bila subjek sejarah mahu dijadikan subjek wajib lulus SPM.
Namun sejarah itu mestilah betul dan dikitiraf oleh pakarnya, bukannya sejarah yang hanya menguntungkan UMNO atas sifatnya sebagai parti politik semata-mata umpamanya. Biarlah sejarah bangsa itu memberikan semangat kepada seluruh rakyat dan tidak hanya kepada orang-orang UMNO sahaja yang akan merasa kehebatan sejarahnya. Tentu sekali perkembangan bangsa Melayu lampau tidak hanya dipelopori oleh orang-orang UMNO atau Perkembar atau PAS semata-mata. Tentu sekali ada nelayan, petani  dan kuli atau peon Melayu yang memberikan sumbangan bermakna kepada sejarah bangsa. Semua itu perlu dilihat dan diberikan kredit yang sepatutnya.
Golongan kiri dan komunis memang jahat dan ganas khususnya kepada polis dan askar Melayu, Namun dalam kajian sejarah komunis jahat dan golongan kiri itu tetap berperanan kepada perkembangan sejarah bangsa. sama seperti di Iraq, yang menentang Amerika adalah kelompok jahat dan terrorist dalam konteks massa hari ini tetapi mereka berjuang untuk negara melawan penceroboh. Biarlah sejarah difahami secara nuetral dan diambil pengajaran setelah penilitian analitikal-kritis. Biarlah sejarah dikaji berdasarkan tertib wacana ilmu bukan semata-mata untuk kepuasan kelompok tertentu sahaja. 
Menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus SPM adalah baik jika pengajarannya benar-benar memberik an ilmu kepada penuntutnya. Jika sekadar belajar untuk lulus maka ia akan jadi kerja sia-sia untuk selama-lamanya. Budak Islam belajar agama Islam dan dapat A+ dalam SPM pun masih gagal jadi muslim yang baik kerana beliau hanya belajar untuk lulus cemerlang peperiksaan. Begitulah juga hal bagi subjek Sejarah SPM ini. Belajar Sejarah adalah untuk menilai bangsa sendiri bukan untuk cemerlang atas nama diri sendiri. Agaknya ini yang kurang difahami oleh kebanyakan bangsa 1Malaysia dan jadi polemik!    

Jumaat, 24 September 2010

MELAYU HILANG KUASA

Tun Dr. Mahathir mantan Perdana Menteri Malaysia, telahdipetik sebagai berkata  "Melayu akan hilang kuasa jika negara ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat(PR)". Ertinya jika negara ini tidak diperintah oleh PR maka kuasa akan kekal di tangan Melayu. Sama ada itu teori atau andaian pasti sekali ada Melayu yang mempercayainya. Melayu merasakan jika kini mereka punyai kuasa maka jika kerajaan Melayu ini bertukar pemiliknya maka kuasa Melayu itu akan lenyap. Walau pun pemimpin itu adalah Melayu  kuasaMelayu tetap akan hilang sekiranya kerajaan Barisan Nasional(BN) yang ada sekarang tidak dikekalkan.
Itu Tun Mahathir punya teori dan andaian, maka orang Melayu berhak mempercayainya dan boleh pula untuk tidak percaya. Ada Melayu yang berhujah bahawa sekarang ini pun kuasa Melayu sudah hilang. Bihun Cap Masjid pun bukan Melayu yang kilangkan. Pasaran kain pelikat dan kopiah untuk solat pun Melayu tidak mampu kuasai. Surat khabar Melayu yang paling Melayu sekali pun dicetak oleh tauke cina kapir laknat! Jadi di mana kuasa Melayu itu. 
Kalau apek cina, hindu atau mamak bercakap-cakap sesama mereka, maka mereka tidak kisah pun nak bercakap Melayu -mereka bedal bahasa David Beckham saja- biar pun penuh cacamarba. Dalam tv Melayu pun orang Cina dan India tatkala berbual-bual atau berbahas jika mahu kelihatan hebat akan gunakan bahasa Inggeris, termasuklah pengantara Melayu itu sendiri.
Lebih 50 tahun merdeka Melayu memang berkuasa tetapi yang kaya raya dan sentiasa menang adalah kapir laknat yang tidak berkhatan itu juga. Melayu memang sering diberi pinjaman dan subsidi tetapi lebih banyak Melayu jadi kuli dan drebar tauke cina atau kepada tauke Melayu yang kaya melalui jalan komisyen.
Kalau setakat jadi kuli dan drebar atau pengarah yang makan elaun dan gaji buta atau Melayu besar yang hanya tunggu duit kopi apa ertinya kuasa Melayu itu? Ini persoalan yang sering dipertanyakan tetapi akan masuk bab menghasut dan fitnah nantinya. Maka persoalan yang bersifat kritikal sebegitu perlu dijauhkan. Apa yang penting Melayu sekarang memang sangat berkuasa. Itu sahaja yang perlu dijaja dan dipertahankan. Melayu bukan hamba tetapi bangsa yang hebat. Maka janganlah fitnah Melayu jika mahu hidup selamat!  

*kapir laknat - orang bukan islam dan derhaka kepada Allah dari perspetif Melayu-Islam.
*duit kopi  -sedikit duit yang diberikan kepada seseorang untuk minum kopi atau belanja minum kopi.

Jumaat, 10 September 2010

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR MUBARAK

Berlalu sudah Ramdhan, syawal menjelma. Itu tandanya kejayaan berpuasa selama sebulan akan diraikan. Bagi benar-benar berpuasa akan merasai nikmatnya. Permergian Ramadhan dan menjelmanya cahaya fitrah - menjadi insan yang baharu.

Ramadhan selama sebulan adalah madrasah atau sekolah yang mendidik insan agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. Jika masih pada takah lama atau tidak menjadi lebih baik maka madrasah ramadhan gagal bagi individu tersebut. Bukan 'school' itu yang gagal tetapi yang masuk sekolah itu yang gagal belajar. Orang lain tidak akan tahu sama ada tahap ketakwaan dan ikhlas seseorang yang memasuki madrasah Ramadhan bertambah atau merosot melainkan individu itu sendiri. Apa yang dipamerkan melalui sikap atau sahsiah belum beerti iman dan takwa bertambah. Orang yang munafik boleh sahaja menipu menjadi insan yang terbaik dengan lagaknya. Namun tidak bolehlah pula kita katakan iman dan ikhlas itu hanya terletak pada niat dan hubungan dengan tuhan semata-mata. Iman dan takwa mesti muncul sebagai syiar. Hanya yang jujur dan takwa sahaja yang dapat menentukan niatnya itu kerana Allah atau kerana kehendak dunia.
Seorang seleberiti umpamanya yang mencari rezeki halal tetapi mendedahkan aurat yang boleh menjejaskan tumpuan dan tawaduk orang lain boleh sahaja berkata iman dan niat tidak terletak kepada penampilan individu tetapi dalam hati. Namun jika sekolah Ramadhan ditelaah dengan bersungguh -sunnggh maka dengan mudah sahaja dapat difahami bahawa seleberiti yang berkata sedemikian hanya melontarkan kata-kata yang tidak bermakna atau kata-katanya itu tidak jujur  dan jelas kefahaman itu sesat antara dunia dan akhirat. 

Madrasah seumpama Ramadhan ini dapat menjelaskan erti takwa dan kejujuran. Sukar mencari orang yang tidak berpuasa yang sanggup mengaku berpuasa kerana mereka amanah, namun jika masih mahu menipu dalam bulan Ramadhan ini jelaslah kejujuran itu tidak ada padanya dan itulah kemunafikan yang nyata. Berbanding solat yang orang lain boleh tahu seseorang itu tidak solat  tetapi ibadah puasa boleh sahaja orang tidak berpuasa mengaku  berpuasa di hadapan orang lain biar pun hakikat sebaliknya. Itu istimewanya madrasah Ramadhan yang mengajar erti jujur, takwa dan iman -secara sedar atau tidak. Tahniah kepada yang berjaya berpuasa sebulan penuh dan kembali menjadi fitrah.

Sabtu, 21 Ogos 2010

IMAM MESTI LEBIH CERDIK

Sempena bulan Ramadhan yang penuh berkat ini marilah kita bicarakan sedikit tentang imam. Dalam konteks umum imam adalah pemimpin atau ketua yang mendahului yang lain iaitu pengikutnya. Imam mesti diperakaui tahap dan wibawanya. Dari sudut ibadat imam adalah ketua ibadat khususnya solat. Imam solat sama seperti ketua-ketua dalam bidang lain yang semestinya lebih cerdik dari makmum atau pengikut. Pemimpin tentera memang dipilih dari kalangan orang yang akalnya strategik dan fizikalnya kuat. Imam bank, imam pusat muamalat dan industri besar mahu pun IKS pasti sekali dipilih dari kalangan orang mahir tentang selok belok wang. Imam solat tentu sekali dipilih dari kalangan orang yang mahir al-Quran dan yang berkaitan dengannya. 
Bagaimana pun perihal kecerdikan imam ibadat ini sering dan boleh jadi pertikaian. Ini kerana banyak imam solat yang ada hari ini hanya mahir dalam bacaan al-Quran dan tidak ramai yang mahir kandungan al-Quran. Dalam pandangan ilmu pendidikan mereka hanya mahir pedagogi asas tetapi pedagogical content knowledge(pck) mereka sangat lemah.  Mereka tahu dan fasih al-Quran tetapi mereka 'buta al-Quran' pada hakikatnya!

Apa tanda-tandanya atau buktikan kenyataan tersebut? 
Cubalah tuan-tuan pergi ke masjid-masjid orang Melayu dan temui watak-watak imam mereka. Telitilah adakah imam di sana menghisap rokok -tidak kira cigaret mahu pun rokok daun?  Adakah imam mereka gemar minum dan berbual di kopitiam?  Lebih jauh sedikt lihatlah(jangan intai atau skodeng) perilaku anak-anak dara imam tersebut?
Itu pemerhatian dari segi penampilan diri atau sahsiah. Namun akhlak sudah boleh mencerminkan tahap kecerdikan seseorang biar pun tidak sepenuhnya tepat. Dari segi 'outcome' dan kualiti pula sila kaji yang ini. Adakah anak-anak muda kariah sang imam itu memenuhkan masjid setiap waktu? Adakah imam mengajar takwa seperti yang diseru dalam khutbah jumaatnya? Adakah masjid mereka dipenuhi anak kariah berjamaah solat subuh -sekurang-kurang setengah dari yang datang solat jumaat setiap minggu? 

Menjawab persoalan di atas kita akan dapat mengetahui di mana letaknya tahap kecerdikan imam ibadah di masjid dan surau orang Melayu. Ada imam yang apabila fasahah dan hafalan ayat-ayat lazimnya baik maka terlantiklah beliau sebagai imam kariah. Ini kesilapan yang sering berlaku dan implikasinya ialah masjid menjadi tempat yang jumud. Masjid menjadi tempat upacara ritual semat-mata dan penuh skima! Orang akan pergi ke masjid hanya untuk solat atau menikahkan anak sahaja dan ada pada ketika yang lain masjid jadi tempat terlarang dan kosong!

Masjid yang tidak bersemarak dengan syiar Islam membawa maksud imam dan pembantu-pembantunya tidak cerdik dan kreatif sebenarnya sebab tidak ada apa yang mereka lakukan untuk menghidupkan masjid. Masjid adalah tempat Islam mencernakan misi sebenar 'addin' jika ditadbir oleh imam yang kurang cerdik akan jadi medan politik sama ada kepada pembangkang mahu penyokong. Di Pulau Pinang pembangkang kata masjid dipergunakan untuk politik dan di Perlis pembangkang juga kata masjid dipolitikkan -bukan sebab dicat dengan warna biru penyokong- tetapi sebab imam gagal berfungsi. Maka dengan yang demikian imam perlu difikrahkan semula! 

Isnin, 12 Julai 2010

KENAPA MELAYU SERING TERTIPU

Melayu memang sifat akalnya amat ringkas. 'Simplistic' menurut Istilah PPSMI atau 'sempoi' menurut istilah Din Beramboi. Melayu panjang angan-angannya manakala akalnya agak  'simple'. Mat Jenin umpamanya berjela-jela impiannya hanya bermula dengan idea yang simple. Buah kelapa boleh menjadikan Mat Jenin kaya raya dan dapat berkahwin dengan tuan Puteri. Namun Mat Jenin tidak realistik dan gagal memanjangkan angan-angannya kepada matlamat yang jelas, berstruktur dan mendatangkan hasil.
Hakikatnya orang Melayu yang mengaji tinggi niat mereka ialah mahu bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Tidak ramai Melayu yang sanggup bekerja sendiri atau jadi usahawan setelah tamat belajar pengajian tinggi. Alasan klasiknya tiadak ada modal dan tidak ada pengalaman. Apabila Melayu sudah memasuki alam kerjaya maka mereka dikira selamat. Langkah seterusnya mengekalkan kesenangan yang sedia ada dan tidak merancang kekayaan. Ini bukan salah Melayu tetapi pemikiran bawah sedar Melayu dan asosiasinya dengan fahaman Islam menjadikan Melayu lebih selesa hidup sederhana. Melayu melihat Islam itu sederhana dan kekayaan adalah sifat melampau. Itu salah satu jenis pemikiran mudah Melayu. Jarang Melayu berfikir andainya mereka kaya raya maka mereka boleh membina sekolah-sekolah besar untuk Melayu demi survival dan kegemilngan bangsa mereka.  Melayu fikir seandainya mereka kaya maka mereka akan lupa diri. Mereka mungkin akan jadi jutawan yang bongkak dan lebih mudah melakukan maksiat dan sebagainya. Jadi kekalkan kesenangan sedia ada adalah lebih baik daripada berusaha menjadi kaya-raya.
Maka dengan yang demikian Melayu yang hidupnya senang lenang tidak fikirkan tentang apa-apa jenis perjuangan dan kerja dakwah. Tugas dakwah khusus untuk pendakwah dan apa perlu lagi perjuangan yang bukan-bukan kerana diri sendiri, jiran tetangga dan seluruh rakyat cukup makan dan pakai. Apa susah-susah berjuang yang belum tentu berjaya. Maka sekali lagi Melayu berfikir secara mudah. Jangan berjuang apa-apa kerana menjadi wira beerti membuang kesenangan. Dengan sebab itulah Melayu sering ditipu dengan pelbagai cara. ....bersambung

Rabu, 7 Julai 2010

MARI KELUAR DARI KOTAK

Kotak adalah ruang khusus. Ada sekatan jarak dan penghalang untuk melihat apa ada di sebaliknya. Walau pun ada kotak telus cahaya yang dibuat dari cermin umpamaya namun hakikatnya kotak tetap punyai ruang yang terhad dan menghalang pergerakan keluar. Melihat dari dalam kotak bukan ertinya keluar dari kotak tersebut.
Kotak ada variasi dan bentuknya sendiri. Sekiranya tuan berada dalam atau mendiami kotak berbentuk empat persegi maka alam kotak itu berkisar pada empat sisi sahaja. Tidak mungkin kotak empat persegi mempunyai lapan sisi. Mungkin boleh ditambah sisi langit dan bumi iaitu atas dan bawah -namun itu sisi yang bagi apa variasi pun tetap ada, umpama tayar pada semua jenis motokar - yang mesti ada!
Ulang kembali  "tidak mungkin kotak empat persegi mempunyai lapan sisi" - satu kenyataan logik namun imaginasi dan kreativiti memungkinkan logik itu salah dan berubah. Dari dalam kotak penghuninya hanya tahu dan alami empat sisi namun jika mereka melompat keluar melalui 'langit' kotak atau meneroka melalui 'bumi' kotak mungkin mereka akan temui empat sisi yang lain.

Maka dengan itu mari kita keluar dari kotak untuk melihat dari sisi yang lain. Itu analoginya dan citra yang perlu difahami agar kita tidak ditipu berterusan. Baca satu premis "Melayu akan lemah dan hilang kuasa jika tidak bersatu". Persoalan itu jika selamanya dijawab dari dalam kotak maka jawapannya " memang benar sekali -Melayu akan lemah dan hilang kuasa jika tidak bersatu!'
Jika melompat keluar dari kotak pasti akan didapati jawapannya ialah "selama ini Melayu memang lemah dan hilang kuasa pun -sama ada bersatu atau tidak!" Jawapan itu sukar difahami jika tanda-tanda di luar kotak gagal difahami dan diterjemah dengan akal dan ruh ilmu. Kapitalis dan neo-fuedal akan pastikan agar tanda-tanda itu sentiasa gagal difahami dan akan mendorong penghuni kotak masuk kembali ke dalam kotak sedia ada.
Melayu sememangnya tidak akan keluar dari kotak atau pun akan melompat kembali ke dalam kotak jika menemui premis-premis seumpama di atas. Ertinya Melayu masih tekal dengan kotak lama  biar pun kotak tersebut diwariskan sejak zaman teko hijau lagi! Melayu tidak diajarkan tentang 'paradigm shift' atau 'teknik penukaran kotak' secara yang betul. Misalnya Melayu diajarkan cara solat tetapi tidak dimaknakan solat dengan betul maka bagi Melayu solat itu hanyalah rukun 13 belas yang diulang-ulang sebanyak 5 kali sehari. Melayu gagal pergi lebih jauh -khususnya menjengah di luar kotak.  Dalam Islam ada konsep islah yang barangkali hampir selaras dengan konsep anjakan paradigma (istilah terjemahan PPSMI) itu namun Melayu sukar memahaminya.
Melayu akan marah jika dilabelkan jahil biar pun hakikatnya Melayu memang bebal! Jahil bagi Melayu hanya sesuai untuk Abu Lahab dan Kapir laknat yang lain. Itu alam kotak Melayu tentang jahil. Budak KL selalu menyakat rakan mereka yang naif dan bendul dengan istilah poyo bagi meraikan alam kemudaan mereka. Mereka jujur dalam hal ini berbanding seluruhnya Melayu lainnya.  Poyo, bebal, naif, jahil itu semuanya 'bull shit' namun Melayu gagal terimanya dan masih rasakan 'ketuanan' mereka!.
Marilah sama-sama kita fikir bagaimana mahu keluar dari kotak. Kah..kah..kah...wa salute 1Malaysia.. Wa bukan poyo...wa Melayu 1Malaysia! 

Sabtu, 3 Julai 2010

ILMU MEMBAWA BAHAGIA

Melihat dan memahami realiti sekeliling sebenarnya adalah himpunan hikmah untuk lebih mendewasakan. Subjek yang hidup atau yang kaku sama ada manusia, haiwan, tumbuhan atau kejadian alam adalah tanda yang boleh menghasilkan makna. Jalan raya yang sesak kenderaan dan kimia buangan yang menyesakkan dada seharusnya menjadi ilmu dan sejarah yang patut sering ditoleh kembali.
Kesukaran dihimpitt tekanan dan derasnya detik masa bergerak bagi penghuni kotaraya atau ketenangan yang menjadikan warga desa begitu ’simplistik’ dan lambat serba serbinya adalah teladan bagi memilih jalan kehidupan yang diinginkan dan pengakhiran yang sepatutnya – bahagia!.
Kehidupan anak kota raya umpamanya seorang polis trafik yang dicatatkan secara santai namun amat bermakna oleh penyair Zahari Hasib (1992)dalam pusinya “Ayahku Seorang Polis Trafik” adalah teladan baik tentang sukar dan jerihnya seorang pesuruh kecil di tengah lautan kenderaan dalam sebuah kota besar. Menurut Zahari;
                     “ Alangkah sukarnya menjadi ayahku / seorang polis trafik / yang serba salah”

Namun kesukaran itu biar pun tidak dibalas ucapan terima kasih biar pun sepatah tetap berbaloi kerana seorang polis trafik bagi anak-anaknya adalah seorang pahlawan.
                       “abah orang paling kuat dalam dunia / sebab boleh menahan seribu kereta /
                         dengan hanya sebelah tangan”

Kehidupan di mana-mana pun boleh ditemui bahagia jika jelas matlamatnya. Sebaliknya akan jadi rumit bahkan membawa derita andai tidak tahu arah tujunya. Sama ada sukar dan pantas atau lambat dan mudah gerak hidup seseorang insan, yang paling utama adalah memahami kehidupan itu sendiri. Tidak perlu sekolah tinggi untuk memahami kehidupan. Pengalaman dan alam adalah guru yang mendewasakan. Menurut SN Shanon Ahmad terdapat tiga unsur penting yang mematangkan daya cipta iaitu ilmu, pengalaman dan imaginasi. Begitu jugalah dalam proses pendewasaan setiap insan perlu punyai ilmu ditambah rentetan pengalaman dan diadun dengan daya rasa yang tinggi iaitu kreativiti –maka jalan kehidupan yang lebih baik dan ’menarik’ akan ditemui.
Belajarlah memahami kehidupan. Hadapi atau sedia ambil risiko jika mahu lebih dewasa dan matang. Sikap sambil lewa dan ikut sahaja tidak akan membantu insan menjadi matang dan berani. Jika mahu memimpin masa depan maka mulai hari ini harus berani dan mampu mencongak masa depan dan sedia ambil risiko. Keperihan dan halangan adalah tanda untuk lebih kreatif dalam proses penyelesaian masalah. Tanpa kesukaran hidup hambar namun sengaja mencari kesukaran adalah tanda dangkalnya akal.

Carilah ilmu dan rangkumkan dengan pengalaman serta berimaginasilah tidak kira di mana pun duduknya seseorang itu –jika mahu keluar dari kotak sekarang. Kata pakar dari negeri atas angin keluar dari kotak sedia ada ialah ’paradigm shift”! Jika bukan itu atau tidak mahu begitu ertinya ’bull-shit’!

Khamis, 24 Jun 2010

MANA SATU PENGGANAS?

Soalan :
Sila teliti gambar-gambar berikut dan kenalpasti yang mana satukah atau kesemuakah antara mereka terlibat dengan aktiviti keganasan? Tandakan /
*pembayang :  Bukan pengganas adalah yang masih ada dalam PerKeMBer sekarang dan yang akan sertai PKMB sedikit masa lagi. Kalau selain itu sahlah mereka pengganas!
 
 A             B         C            D



Sebelum memberikan jawapam kaji yang ini dulu untuk 'hint' tambahan

Mungkinkah yang pamer lambang ini juga pengganas?



dan yang ini tentu 'peace' kan?....kah..kah..kah



Ahad, 20 Jun 2010

2010 : THE YEAR OF THE FROG



Di peringkat sejagat Year of the Frog disiytiharkan pada tahun 2008. Pada tahun tersebut aktivis katak sedunia masing-masing ghairah memperkatakan tentang katak.   Di tanahair 1Malaysia Year of  the frog nampaknya terlewat dua tahun diisytiharkan dan hanya surat khabar atas talian Malaysiakini sahaja yang isytiharkannya. Kita tunggu pengiktirafan Buku Rekod Malaysia jati diri Frog atau katak dikenal dengan dua tanda iaitu suaranya dan lompatannya. 
Nyanyian dengan suara yang teruk diibaratkan 'katak memanggil hujan'. Ertinya sesiapa yang suaranya tidak sedap didengar adalah jenis suara dari kerongkong katak. Suara kata biasanya akan berkumandang ketika hujan, maka itu dikaitkan suara katak dan hujan. Sifat lain katak ialah aktiviti lompatannya. Memang fitrah katak adalah melompat. Sesiapa yang gemar melompat maka sesuailah dipadankan dengan katak. Adakah anak-anak yang aktif sesuai di'katak'kan?. Jarang pula didengar melainkan katak itu ditujukan kepada orang tua yang gemar melompat.

Dalam kerja politik sesiapa yang gemar keluar masuk atau pindah parti maka ia digelar sebagai katak. Politikus yang sangat popular dalam aktiviti 'pindah atau tukar parti' di dalam tanahair 1Malaysia tentu sekali Ibrahim Ali. Maka gelaran 'Raja Katak' diberikan kepada beliau. Walau pun gelaran tersebut hanya analogi dan main-main namun ia kelihatan seperti benar. Maka sesiapa sahaja ahli politik yang bertukar parti mereka adalah 'katak'. Disebabkan wujud fenomena 'katak' berbanding tahun-tahun lepas maka tahun 2010 sesuailah dilabel sebagi 'Tahun Katak" dalam konteks politik. Harus diingat mereka itu bukanlah bertaraf katak tetapi itulah caranya Melayu membuat sindiran dengan menggunakan sepenuhnya unsur alam bagi menghubungi pelbagai fenomena -juga untuk menambahkan rencah warna hidup. Lantas siapa kata sastera dan unsur alam Melayu tidak berguna dalam negara maju dan membangun seumpama 1Malaysia ini? Janganlah kerana ghairahkan PPSMI maka bahasa dan sastera Melayu dipinggirkan. Ambillah iktibar fenomena katak sempena "2010: Year of Frog ini!" kah...kah...kah...



Ini bukan katak- sekadar hiasan.


Khamis, 17 Jun 2010

MAHU BOIKOT AJAKLAH CINA SEKALI!

Boycott -Menurut Free Dictionary.Com boycott ialah To abstain from or act together in abstaining from using, buying, or dealing with as an expression of protest or disfavor or as a means of coercion. Di Malaysia boikot (bukan istilah PPSMI ialah pemulauan) adalah satu bentuk tindakan perusahaan yang dramatik sifatnya. Ada rencah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial -hampir lengkap. Ada ilmu boleh dikongsi. Dr. Mahathir hampir 30 tahun dahulu (tepatnya Oktober 1981)dengan slogan 'Buy British Last' mengajak rakyat Malaysia memboikot barangan Britsh. Akhirnya muncul Dasar Pandang Ke Timur dan memberikan impak kepada slogan 'Belilah Barangan Buatan Malaysia'. Barangkali juga kesan baik boikot tersebut adalah penguasaan pasaran oleh kereta Proton -kebanggan Malaysia!
Setelah itu muncul pula tekad untuk memboikot produk Yahudi dan sekutunya.  Iklan dan seruan dibuat di media dan serata ceruk tanahair agar produk Israel atau yang ada kaitan dengannya diboikot. Namun ada masalahnya iaitu produk tempatan dan muslim tidak berupaya menyaingi beberapa 'killer product' Yahudi umpamanya "Kentucky Fried Chicken' dan 'Coca-Cola' -termasuk juga Facebook dan twitter dalam konteks siber. 1Malaysia memang ada produk keluaran Aminah Hassan, mamat itu dan ini, Pakya dan Pakdin, Felda atau edaran FAMA namun produk Yahudi lebih 'mantop' dan melekat di hati!
Ada juga mamat Melayu dengan penuh iltizam mewujudkan rangkaian restoran makanan segera  bagi menyaingi produk Yahudi yang gah itu. Biar pun baharu bermula kita harapkan usaha tersebut akan menjadi petanda untuk kejayaan usaha pemboikotan ini dalam jangka masa panjang.
Dalam perkembangan lain Persekutuan Peniaga Barang Runcit Malaysia -dengan persetujuan 20,000 peruncit keturunan Cina -menurut Pengerusinya Lean Hing Chuan, mahu memboikot penjualan tiga jenis barangan kawalan iaitu gula, tepung dan  minyak masak ekoran keputusan kerajaan mahu mewajibkan lesen jualan runcit. Peruncit Melayu, felda dan fama pula tidak mahu ikut serta dan setuju sahaja dengan inisiatif lesen oleh kerajaan. Nampak gayanya boikot oleh peruncit keturunan Cina menampakkan hasil. Mulanya Kerajaan bertegas peruncit perlu ambil lesen dengan bayaran RM10 tetapi akhirnya percuma. Akhir sekali tidak perlu lesen khas dan akan disatukan dengan lesen lain. Boikot tidak jadi tetapi kerajaan nampak semacam mengalah. Tindakan atau ugutan mahu memboikot pun boleh membawa kesan jika pemboikot itu tegas dan 'dihormati'.

Dalam tanahair 1Malaysia ini sebarang tindakan perusahaan oleh Melayu dan yang makan gaji dengan kerajaan jangan mimpilah mahu jadi kenyataan pada akhirnya - termasuklah oleh Perkida, Bangkit, Gertak atau Perkasa! Cakap mahu bikin boikot tapi keputusan akhirnya macam jantan tidak ada telur - alasan yang biasanya diberikan ialah "demi kepentingan umum", " atas nasihat PM", "setelah mencapai persetujuan.....". Selalunya semua orang akan gelak sahaja bila pemimpin Melayu bercadang mahu boikot!

Dalam kes boikot produk Israel dan sekutunya eloklah pemboikot Melayu minta pertolongan pemboikot Cina jika mahu melihat kesannya. Hanya boikot Cina sahaja yang berkesan! Tidak mustahil kesan boikot tersebut akan memberi tekanan kepada Zionis Israel hinggakan Obama terpaksa campur tangan berunding dengan pemimpin Great China! Memang boleh sampai ke tahap itu pun - tetapi Melayu jarang yang berfikir hingga ke situ? Ini memang sindir dan perlekeh Melayu pun -sebab Melayu malas membaca!

Rabu, 16 Jun 2010

FISRT LADY, BOYCOTT & YEAR OF FROG

First Lady - merupakan istilah dalam bahasa PPSMI yang bermaksud 'wanita pertama'. Mengikut wikipedia first lady atau first gentleman  merupakan gelaran tidak rasmi kepada isteri atau suami seorang pemimpin utama negera yang dipilih. Negara yang biasanya mempunyai first lady ialah Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Filipina dan banyak lagi. Jarang kita didengar pemakaian first lady bagi isteri Ketua Negara di England, Arab Saudi, Iran dan kebanyakan negara Islam atau Komanwel. Di Malaysia apabila isteri Perdana Menteri sekarang cuba diangkat menjadi first lady ia menjadi pertikaian hatta terpaksa diperjelaskan di Parlimen oleh Perdana Menteri sendiri. Benar baginda Permaisuri Agong bukan first lady kerana kedudukannya secara rasmi adalah yang kedua selepas Yang diPertuan Agong di Malaysia ini. Gelar first lady merupakan status 'unofficial' -ertinya bukan darjat sekadar panggilan 'glamor' atau popular. Namun demikan gelaran tersebut menjadikan pertikaian dalam konteks Malaysia barangkali kerana dikaitkan dengan penghormatan bukannya tahap popular semata-mata. Ada rakyat yang mahu penghormatan itu diberikan kepada baginda Permaisuri Agong walau pun gelar tersebut tidak rasmi. PM menjelaskan bukan menjadikan kebiasan atau amalan gelaran first lady di Malaysia namun pasti ada yang masih terkilan jika first lady itu nantinya akan sering dirujuk sebagai isteri Perdana Menteri.
Amat malang dan sedih anadainya citra  first lady itu diangkat sebagai maksud untuk 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Perancis. Ertinya kita lebih ghairah untuk bertakliq tanpa mahu tonjolkan jati diri sendiri. 

Boycott -Menurut  Free dictionary.com  ialah To abstain from or act together in abstaining from using, buying, or dealing with as an expression of protest or disfavor or as a means of coercion. Di Malaysia boikot adalah drama politik sebenarnya....nantikan kupasan lanjut!

Year of frog -Tahun 2010 diisytiharkan(barangakali) oleh Malaysiakini sebagai The Year of the Frog. Jati diri Frog atau katak dikenal dengan dua tanda iaitu suaranya dan lompatannya. Tunggu ulasan lanjut!

Selasa, 8 Jun 2010

MARI LAWAN ZIONIS ISRAEL!

Turki mendahului jutaan umat manusia lainnya membuat unjuk rasa anti Israel ekoran tragedi serangan komando Israel ke atas kapal misi bantuan Mavi Marmara. Turki perlu segera bertindak kerana rakyatnya dibunuh Zionis, kapal miliknya dirampas di perairan antarabangsa dan misi Gaza Flotilla Freedom yang disertainya telah gagal. Recep Tayyib Erdogan dalam hubungan diplomatiknya dengan Israel -yang juga berkait dengan Gaza- telah tercalar imejnya hatta menjadi hitam di mata Zionis serta pengikutnya. Maka adalah betul dan wajar Turki 'menentang' atau berdendam dengan Israel secara konsisten. Sememangnya Turki tidak salah untuk muncul wira dalam situasi ini!
Kita (baca rakyat Malaysia -Melayu, Islam, bukan Melayu dan Bukan Islam semuanya) melalui pemimpin utamanya di Parlimen berjaya meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap misi bantuan ke Gaza. Terdapat 15 kutukan (ketetapan) dibentangkan dan mendapat sokongan sebulat suara ahli parlimen Malaysia. Ertinya kita juga mahu lawan Israel. Sejak tahun 1948 semua umat manusia mahu lawan Israel. Mesir adalah pemilik asal Genting Gaza yang dirampas Israel dalam Perang Enam Hari 1967. Bukit Golan juga turut diambil dari Raja Jordan melalui Perang tersebut. Natijah dari itu Mesir dan Jordan berdepan Zionis ibarat 'jantan tidak bertelur' sampai kini. Bahkan semua Arab menikus sejak itu dan tidak berani lagi melawan Israel -takut akan ada tanah yang dirampas regim- dan mereka hanya berani mengutuk serta mencerca sahaja.
Orang Melayu pada ketika Perang Arab-Israel 1948 masih bertuankan British. Parti politik orang Melayu iaitu PerKeMBar baharu dua tahun ditubuhkan dan masih mentah dalam percaturan siasah antarabangsa. Arab moden sudah bertelagah dengan Zionis Yahudi sejak Melayu belum kenal kapal selam dan misi bantuan kemanusiaan. Sampai hari ini sudah enam dekad umat Arab mengutuk, membakar bendera dan 'membaling kasut' ke muka Zionis Israel. Sementara itu anak-anak Palestin hampir setiap hari dibom, dikelar, ditetak, dicincang dan dibunuh tentera Israel. Orang Arab bahkan masyarakat dunia melabelkan Israel sebagai satu bangsa yang sombong dan hina. Zionis Israel terima sahaja kutukan dan hinaan tersebut demi survival mereka di sekeliling puak Arab. Mereka mungkin dilihat tidak kisah atau hanya buat 'donno' dan pekak badak di mata dunia. Dari perspektif kita memang pun Zionis itu bebal, bodoh, sombong, terkutuk, terhina dan melampau. Namun hakikatnya Zionis atau Yahudi itu ada dalam diri kita -setiap dari kita tidak kira muslim, kristian, komunis, pagan, moden atau liberal mahu pun konservatif. Ibarat virus H1N1, HIV atau apa sahaja yang masuk dan menguasai salur darah umat manusia begitulah juga Yahudi dalam diri kita. Dalam diri penunjuk rasa ada darah dan jiwa Israel, dalam diri Ketua Pembangkang, Ketua Usul, tok lebai dan tok haji, tok sami dan tok pekong, cikgu atau kerani dan semua dari kita yang bukan Israel ada isme Yahudi.
Apa ertinya rumusan sebegitu? Sengaja diperbesarkan untuk cari publisiti murahan atau mahu tonjolkan sikap terlampau anti Yahudi? Hakikatnya diakui  Yahudi memang lebih bijak dari kita sekalian. Yahudi telah melemahkan jiwa merdeka kita sejak dari hari pertama kita lahir ke dunia. Yahudi tahu seperti mana masyarakat Arab dan dunia lainnya pun tahu jika satu titik hitam kejahatan disemai dalam dada insan maka sikap kemanusiaan hakiki akan bertukar menjadi buas seperti binatang atau kejam seperti syaitan. Maka jalannya ialah dengan cara menyesatkan akal fikiran, meruntun emosi agar cintakan dunia dan jauhi altruisme dan tuhan, berikan anak-anak bangsa bukan Yahudi makanan yang tidak halal dan merosakkan akal budi dan ruh mereka.
Perkara seperti ini memang tidak disedari dan tidak mahu diakui oleh bangsa yang berjiwa kecil dan tidak merdeka. Mereka sentiasa defensif dan menyalahkan pihak lain tanpa mahu berfikir waras dengan akal sendiri. Maha benarlah bahawa kita semua ini adalah domba manakala Yahudi itu serigala. Mereka berpandangan begitu dan mererka mendorong kita semua -Arab dan bukan Arab, Muslim, Kristian, pagan, komunis dan segalanya selain Yahudi agar menurut perintah Yahudi. Semua bangsa yang merasa berdaulat tidak akan akui itu dan jika ada yang beriya-iya mengangkat isu dan pemikiran sebegitu maka akan dicap sebagai konservartif, berfikiran tertutup, tidak dinamis dan tidak cerdik -bahkan terroris. Apa yang tidak disedari ialah kita semua ini dilaga-laga bagaikan anak domba untuk nanti dimakan dengan mudah oleh serigala. Akal kita berpencak sesama kita dan keputusannya kita sama-sama berasa takut terhadap Zionis Yahudi. Kita boleh hina dan cerca, kutuk dan buat resolusi tetapi kita tidak akan berani melukakan jasad Yahudi itu. Kenapa sampai sedemikian rupa jadinya? Jawabnya Yahudi ada dalam setiap rumah kita sendiri! Yahudi ada bersama anak isteri dan sahabat kita. Yahudi amat dekat duduknya di segenap saraf hidup kita dan kita tidak sedar pun. Maka kutuk dan lawanlah Yahudi dan natijahnya sampai kiamat pun Yahudi tetap akan sembelih Palestin dan Arab lainnya. Sampai ketikanya bangkit Imam Mahdi atau Pemuda Bani Tamim sekali pun Yahudi akan tetap tipu Melayu dan semua bangsa lain. Percaya atau tidak terserahlah -tapi kalau ditanya kepada Yahudi tentu Yahudi katakan itu palsu -bohong dan fitnah terhadap Yahudi semata-mata!

Selasa, 1 Jun 2010

BELIA DAN ROKOK

Saya terbaca data-data menarik ini mengenai hubungan antara remaja dan rokok antaranya :-
1. Setiap hari 40-50 orang remaja Malaysia di bawah umur 18 mula merokok.
2. 30% remaja lelaki di Malaysia berumur 12-18 tahun menghisap rokok.
3. Kajian pada tahun 2004 menunjukkan hampir seorang dari lima remaja adalah perokok dan
statistik sentiasa bertambah setiap tahun.
4. Secara kasar setiap hari antara 60 -100 ribu remaja dunia mula merokok dan separuh
daripadanya adalah dari Asia.

31 Mei merupakan Hari Bebas Tembakau dan 2 minggu sebelum itu iaitu pada 15 Mei adalah Hari Belia Negara, manakala pada 16 Mei merupakan Hari Guru. Rokok, belia dan guru sememangnya ada pertautan dan ada hubungan yang jelas. Memang patut pun sambutan hari-hari tersebut berlaku dalam bulan Mei. Kita tidak perlu melihat jalinan hubungan yang luas -cukup sekadar dalam konteks sekolah pun makna hubungan tersebut dapat dihuraikan.
Komunikasi antara belia dan guru pasti berlaku dalam persekitaran sekolah dan rokok juga sering mencelah bagi merancakkan makna hubungan tersebut. Rokok dilarang sepenuhnya dihisap atau dijual dalam kawasan sekolah, tetapi remaja yang bebal dan angkuh akan membawa dan menghisap rokok ke dalam kawasan sekolah. Guru yang bebal dan alpa akan merokok di dalam kawasan sekolah. Namun makna bagi tindakan tersebut bagi guru dan pelajar terbabit barangkali antaranya adalah kepuasan - hati dan akal sendiri.
Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya ada pelajar yang merokok bersama gurunya di luar persekitaran sekolah -bahkan saling melayani sesama mereka. Merokok di kalangan belia bukan satu gejala tetapi penyakit sebenarnya. Pesakit perlu dirawat sama ada psikologi mahu pun fisiologinya. Memerangi tembakau adalah satu usaha dari sudut psikologi. Membanteras sumber rokok iaitu tembakau pula merupakan satu usaha lain. Masalahnya tembakau sampai hari ini masih ditanam dan bahkan lembaga khas diwujudkan untuk memayungi usaha penanaman tembakau di negara ini.
Belia dan tembakau sejak dahulu tidak dapat dipisahkan. Belia dikatakan akan lebih mengenali alam dewasa dan dunianya melalui asap yang dikeluarkan oleh sebatang rokok. Apa pun kempen dan teknik yang cuba menakut-nakutkan belia agar menjauhi rokok tidak pernah berkesan. Katakan 'Tak Nak', lakarkan keburukan dan segala jenis penyakit pada kotak rokok atau naikkan cukai rokok agar harga rokok melambung tinggi -semuanya kempen-kempen yang tidak berkesan kepada remaja. Lelaki yang dewasa dan ada rasa bertanggungjawab mungkin cuba berhenti atau cari alternatif lain rentetan kenaikan harga rokok yang melambung. Namun remaja akan bersikap tidak apa dan akan begitu sahaja tindakannya kerana mereka tidak merasai tanggungjawab dan terbeban sebagai perokok. Mereka pilih seronok berbanding berfikir untuk hidup lebih sejahtera dan bermakna.
Persoalannya mana lebih utama dan perlu dibaiki sebenarnya. Penguatkuasaan larangan rokok serta kempen bahaya rokok atau membuat modifikasi tingkah laku dan pemikiran remaja itu sendiri? Tentu kedua-duanya sama-sama penting dan guru adalah antara penggerak ke arah kejayaan hasrat tersebut. Belia, Rokok dan Guru yang diraikan pada bulan Mei sepatutnya menjadi sebesar-besar ibrah dan hikmah untuk seluruh rakyat 1Malaysia bukan sekadar diraikan semata-mata - seperti mana yang telah berlaku dan berlalu selama ini. Kekusutan ini sukar dicari penyelesaiannya jika hanya berfikir dari sudut fikir belia atau atas kehendak orang tua pada perspektif yang lain. Ertinya perlu ada sinergi untuk capai kejayaan yang sebenarnya!

Ahad, 23 Mei 2010

AL-ARQAM -MANIFESTASI UMAT YANG KELIRU

Pemimpin utama al-Arqam (Encik Asaari Muhammad -panggilan yang disengajakan oleh bekas Jeneral yang pegang Pusat Islam suatu ketika dahulu) telah meninggal dunia. Namun bagi sesetengah pengikutnya ada yang mengatakan beliau hanya ghaib untuk sementara dan akan muncul kembali. Islam Melayu secara umum menafikannya -jika menurut lidah pemimpin mereka. Namun demikian Islam Melayu - sama seperti faham Syiah Parsi- tetap menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa. Islam Melayu dan Syiah Parsi percaya yang ada pemimpin umat ini pernah hidup suatu ketika dahulu dan ghaib. Imam atau nabi tersebut akan kembali muncul memimpin manusia melawan dajjal. Syiah menunggu Imam kedua belas mereka yang ghaib semasa kecil. Islam Melayu dan Islam bukan Syiah lainnya menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa. Semua ynag ditunggu itu akan muncul semula pada saat-saat akhir dunia sebelum berlakunya kiamat.
Dalam fahaman al-Arqam pula Pemuda Bani Tamim yang hilang akan muncul semula untuk menyelamatkan umat Islam dari kesesatan. Menurut analisis yang telah dibuat Pemuda Bani Tamim itu akan lahir di Timur dan paling tepatnya Tanah Melayu dan yang paling hampir kepada maksudnya pastilah pemimpin tertinggi Melayu pertubuhan al-Arqam. Maka diwujudkan citra bahawa arwah 'En. Asaari' itu hilang ghaib sahaja dan akan muncul kembali. Kemunculan Imam Mahdi dalam kelompok Wahabi juga berlaku iaitu pada musim haji tahun 1400 Hijrah dan hampir berjaya menawan Masjidil Haram. Namun Imam Mahdi tersebut telah ditembak mati oleh polis Arab Saudi. Imam Syiah yang bakal muncul telah dibuat modifikasi kefahaman dengan memunculkan Ayatollah ruhullah sebelum tibanya Imam Yang Ditunggu' yang sebenar.
Pemuda Bani Tamin dan Imam Ke-12 Syiah dihukumkan sebagai fahaman sesat oleh pemimpin dan ulama Melayu. Namun pemimpin dan ulama Melayu percaya akan turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa yang ghaib dan diangkat ke langit oleh Allah. Pemimpin, ulama dan umat Melayu langsung tidak melihat konflik dalam konteks ini kerana mereka hanya meyakini kebenaran yang mereka pegang semata-mata. Melayu Islam percaya kepada faham Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari galur al-Asya'irah dan mazhab fiqh as-Shafie. Melayu Islam menolak segala jalur fahaman yang lain sama ada Wahabi, Syiah dan lebih-lebih lagilah faham yang menerbitkan citra Pemuda Bani Tamim itu.
Tidak percaya kelahiran semula pemimpin Islam yang lain tetapi tetap percaya adanya kemunculan tersebut dari pihak sendiri. Inilah bentuk konflik pemikiran yang tidak dapat diputuskan dengan wajar oleh Melayu Islam. Memang Melayu Islam tidak percaya sama sekali 'inkarnisasi' seperti mana faham Hindu atau Buddha tetapi Melayu menunggu kelahiran semula seorang insan istimewa pada penghujung hayat dunia ini. Bukan mempertikaikannya tetapi apabila pemimpin Melayu Islam memandang rendah idea kelahiran Pemuda Bani Tamim tanpa justifikasi bersifat ilmu maka hal tersebut perlu disoal lanjut. Apakah penafian tersebut disebabkan mahu menghapuskan sama sekali citra Pemuda Bani Tamim itu yang bersifat pentadbiran dan siasah? Kenapa tiada alasan ilmiah yang boleh menambahkan kefahaman umat Melayu yang lain. Kenapa yang itu salah dan yang ini benar sedangkan ideanya sama?
Sesunguhnyalah tubuh al-Arqam itu seperti kelab poligaminya yang diremehkan, dihentam dan ditertawakan namun pada hakikatnya amat digemari pemimpin, ulama dan umat Melayu (termasuk pembuat undang-undang Melayu) manakala dalam bab yang lain juga berupaya mewujudkan konflik dan kekeliruan yang berterusan.

Khamis, 6 Mei 2010

PERIHAL MELAYU vs ISLAM

Melayu dan Islam berbeza dan berseterukah? Bukankah para sarjana bersepakat yang Melayu adalah sinonim dengan Islam. Bukankah alam Melayu itu terlalu akrab dengan Islam. Dalam Perlembagaan 1Malaysia (perkara 160(2) pun ditegaskan yang orang Melayu ialah seorang yang berketurunan Melayu dan beragama Islam serta mengamalkan adat istiadat Melayu. Ertinya jika tidak Islam maka tidak boleh jadi Melayu. Seseorang yang masuk Islam dalam pengertian masyarakat Melayu mereka adalah 'masuk Melayu'. Seseorang lelaki yang berkhitan bagi menyempurnakan keIslamannya disebut 'masuk jawi' yang juga beerti masuk Melayu.

Maka di mana pertentangan antara Melayu dan Islam itu? Melayu dan Islam barangkali tidak sedar yang mereka berseteru -dengan dahsyatnya! Perancang dan perunding APCO serta pembesar Zionis di Tel Aviv barangkalilah pihak yang paling tahu hal ini. Mereka tentu tidak akan beritahu Melayu atau Islam yang kedua-duanya sedang berkonflik itu. Kalau diberitahu habislah modal mereka, susahlah mahu dapat projek. Melayu dan Islam memang tidak sedar yang kebebalan mereka adalah sumber duit kepada orang lain yang nampak dan yang lebih cerdik. Ertinya perpecahan dan perseteruan adalah ibarat lubuk emas kepada 'musuh' tetapi musuh itu tidak disedari oleh pihak yang berseteru.

Mari kita buka wacana ringkas berkaitan perseteruan tersebut secara perbandingan. Mari kita wakilkan Melayu itu kepada songkok hitam dan Islam pula kita wakilkan kepada kopiah putih. Mana-mana Melayu yang gemarkan songkok maka mereka Melayu tulen, manakala yang gemarkan kopiah maka mereka Islam. Songkok dan kopiah akan sentiasa berseteru sebab warnanya yang sangat kontras. Namun songkok memang sedar yang mereka itu hitam dan lambang kejahatan bahkan mereka akui mereka jahat. Apabila kopiah yang putih itu membuat kerja yang sama seperti mereka maka songkok hitam akan kata kepada kopiah
" hah..kamu sudah jadi seperti kami! Kamu sudah jahat tetapi masih pakai kopiah!"
"Kamu tidak boleh buat ini terutama dalam masjid kalau demi kepentingan kopiah kamu. Tengoklah kami tidak pernah pun perjuangankan songkokisme kami dalam masjid walau pun kami Islam sama seperti kamu . Kamu mempergunakan masjid untuk idealisme kopiah kamu! Kamu salah dan kami betul sekarang!"

Analogi atau cerita tersebut mungkin sukar difahami mat salleh zaman Birch atau Henry Gurney. Itu analogi yang menggunakan unsur, lambang serta pemikiran Melayu dan Islam. Namun demikian semuanya itu difahami dengan jelas oleh APCO dan Zionis zaman kini manakala Melayu dan Islam di sini yang tidak faham-faham. Begitulah hakikatnya Melayu dan Islam di tanahair 1Malaysia ini. Mereka tidak faham hak dan jati diri sendiri. Memamglah mereka itu Melayu dan Islam serentak tetapi mereka keliru yang amat sangat kenapa terjadi begitu. Sebab itulah Melayu dan Islam berseteru. Sebab itulah mereka dilihat sebagi bebal dan hampir dungu. Sebab itulah Melayu misalannya terpaksa upah orang luar sejumlah RM77 juta untuk naikkan imej Melayu dan mungkin akan rendahkan imej Islam. Sebab itulah Islam sanggup bayar RM4 juta untuk rendahkan imej Melayu dan naikkkan imej Islam. Mereka tidak sedar yang mereka itu satu dan kekuatan mereka ada dalam kesatuan itu. Mereka juga tidak begitu sedar yang kesatuan itu tidak perlu pun didaftarkan sebagai perkasa, pertiwi, perwira dan sebagainya. Mereka hanya perlu tahu yang Melayu dan Islam itu punyai bahasa, cara hidup dan jati diri yang mampu menggugat dunia. Melayu patut tahu yang taraf mereka bukan kuli kepada mana-mana cukong atau tauke yang bukan selain mereka sebagai mana hakikat yang ada kini.

Ayuh Melayu dan Islam jadilah diri sendiri. Tidak perlu pun kesatuan atau majlis tetapi jangan jadi bebal dan dungu. Jangan biarkan diri jadi bidak tetapi jadilah pencatur - sekurang-kurangnya untuk agama dan bangsa sendiri. Itu sahaja!

Jumaat, 30 April 2010

SUDUT PANDANG AKAL MELAYU

Senarai tajuk berita
KTMB cadang gerabak lelaki dan wanita -BH 1 April 2010
KTM Komuter introduces pink coach for ladies -NST April 27, 2010
Gerabak komuter wanita dapat reaksi positif -Utusan 29 April 2010
Gerabak Khas untuk wanita -Metro 30 April 2010
Gerabak wanita: PAS ucap tahniah kepada KTMB -Harakahdaily 29 April 2010
Gerabak khas wanita sebagai pilihan -Umno Online, 01 April 2010
Senarai catatan blogger mengenai Gerabak khas wanita

Silalah telusuri berita dan catatan berkaitan gerabak khas untuk wanita yang dilaksanakan oleh KTMB bermula 28 April 2010. Apakah kandungan akal Melayu di dalamnya?

1. Adakah tindakan positif tersebut disambut atas keperluan tuntutan syariat?
2. Adakah itu sesuai dengan budaya Melayu yang menjadi teras kepada Kebudayaan Nasional?
3. Adakah itu beerti membawa kepada pengasingan atau perbezaan gender? Apa pandangan
feminis Melayu?

Kebanyakan respon yang diberikan hanyalah dari sudut dapat elakkan gangguan seksual dan untuk keselesaan wanita. Kenapa tidak ada yang berani secara jelas tekankan bahawa itu satu tuntutan syarak? Kenapakah KTMB tidak berani beri alasan sedemikian. tiada dalam kepala bisnes mereka atau ini tindakan berhikmah? Jangan mimpilah ada Melayu (selain pelampau PAS barangkali) yang melihat tindakan tersebut dari sudut kepentingan syiar dan syariat Islam.
KTMB sendiri jelas mengatakan tindakan tersebut adalah meniru Jepun dan negara Eropah. Nasib baik Jepun dan Eropah sudah laksanakannya terlebih dahulu. Jika tidak akan jadi isu berpanjanngan. Sama seperti isu sebat Kartika Sukharno hinggakan Sultan terpaksa campur tangan -bukan untuk sebat tetapi menanganinya dengan penuh 'hikmah' dan berani. Lantas untuk tidak tambahkan kekusutan jangan jadikan perkara ini satu yang isu yang memaksa Sultan masuk campur. Jika dikaitkan dengan Islam maka akan bertambahlah 'duty' sultan-sultan Melayu.
Pemikiran Melayu terbukti 'simplistik'. Gerabak khas itu pun ada pilihan sama ada golongan wanita mahu gunakan atau tidak. Tidak mahu masuklah gerabak bercampur. Mahu jadikannya ibadah jangan sekali-kali. Itu sudah melampau. Maka terpulanglah untuk pilih dan gunakannya. Macam sistem perbankan juga. Satu bank boleh buat dua sistem iaitu Islam dan yang tidak Islam. Melayu tidak pernah pun berfikir secara mendalam hal-hal sebegini kerana Melayu lebih gemar terima dan ikut sahaja. Melayu tidak berjiwa islah dan takutkan reformasi.
Itulah sikap dan pemikiran Melayu yang akhir-akhir ini sering dipertontonkan oleh Perkasa dan saudaranya Perkida. Amat menarik untuk dikaji ialah tentang selipar Melayu. Jika Arab tradisi menghina orang lain dengan cara membaling kasut ke muka yang terhina, maka tradisi Melayu Perkasa ialah membaling selipar ke muka orang sedemikian. Apa yang pasti Arab punyai 'khuf' atau kasut sejak zaman mereka menunggang unta lagi. Melayu hanya kenal selipar selepas Jepun datang ke Tanah Melayu membawa 'kasut jepun' bagi melawan bisnes kasut getah pemodal Eropah! Ertinya upacara (tradisi??) membaling kasut itu hanya dimulakan oleh Perkasa sebagai meniru Pak Arab. tidak bolehkah tiru Islam? Itu sahaja akal yang dipunyai Melayu. Ukurlah sendiri panjang atau pendeknya!

Ahad, 25 April 2010

BERFIKIR TENTANG RASUAH

Sempena meraikan PRK Hulu Selangor hari ini mari kita fikirkan tentang rasuah. Hal ini kerana kata pemerhati "rasuah politik" memang berlaku di Hulu Selangor -malah berleluasa. Rasuah satu perkara yang tidak nampak tetapi diyakini memang ada -umpama angin yang dapat dikesan melalui pokok yang bergoyang atau angin kentut yang dikesan melalui baunya. Rasuah melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima sama ada secara langusng atau 'indirectly'. Belanja makan untuk "mempermudahkan urusan" yang telah menjadi sukar adalah rasuah tidak langsung bahkan kadangkala tidak disedari pun oleh penerimanya. Bagi penerima yang lurus bendul akan terima sahaja belanja makan 'kawannya' itu dan ucapkan terima kasih. Bagi yang sama-sama bijak akan katakan itu adalah 'smart partnership' manakala pemberi yang 'mangkuk hayun' akan ikut sahaja apa yang si penerima minta.
Dalam aspek pendidikan rasuah 1Malaysia punyai Institut Integriti Malaysia(IIM). Wawasan yang ditetapkan ialah "Membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti. Objektifnya ialah "sebagai jentera pelaksana Pelan Integriti Nasional(PIN) ke arah membangunkan bangsa malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat".
Malaysia juga punyai surahanjaya penguatkuasaan rasuah (yang hebat dan sensadsi) yang dahulunya Badan Pencegah Rasuah(BPR) kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Tugas utamanya menangkap dan mendakwa perasuah.
Dalam konteks negara 1Malaysia (menurut SPRM tentunya) terdapat empat(4) kesalahan rasuah yang utama iaitu (1) meminta/menerima rasuah (2)menawar/memberi (3)membuat tuntutan palsu (4)menyalahguna jawatan/kedudukan. Rasuah jika meluas dan menjadi budaya akan menyebabkan masalah sosial seperti jenayah dan ketidakadilan terhadap masyarakat. Perkataan lain bagi rasuah ialah korupsi (corruption) atau tumbuk rusuk atau makan suap.
Namun demikian rasuah di Malaysia adalah "satu budaya yang diterima dan tidak dianggap salah selagi belum dibuktikan salah" dan wujud banyak persoalan dan kontroversi dalam proses penguatkuasaanya. Dari mana bermulanya kefahaman dan budaya rasuah dan mengapa manusia gemar merasuah? Apakah kefahaman tentang rasuah itu berdasarkan ilmu yang betul atau hanya satu perwarisan kefahaman dari generasi terdahulu?
Sebagai perbandingan penulis turunkan kata-kata seorang pensyarah yang cuba membuat konfrontasi terhadap pelajarnya iaitu " jika anda tidak meniru dalam peperiksaan anda rugi dan jika anda ditangkap kerana meniru maka anda dua kali rugi". Perbuatan meniru itu adalah satu kenakalan tetapi dalam proses ilmu penipuan sebegitu adalah cerminan buruknya integriti seorang siswa. Apa maknanya analogi itu dari perspektif rasuah? Pertamanya perasuah perlu bersedia ambil risiko dan hanya fikirkan untung. Perasuah perlu ada tekad dan berani untuk menjadi 'jahat' dan jika misi kejahatannya berjaya maka dia akan untung dan seandainya gagal maka dia dua kali rugi. Dalam pemikiran perasuah (dan penerimanya juga) selagi belum dilihat bersalah atau selagi belum difahami bahawa itu satu kesalahan maka itu adalah satu peluang.
Maka dengan itu masyarakat kita akan selamanya menganggap rasuah bukan satu dosa dan tidak sedar pun kesannya kepada masyarakat. Adakah rakyat khususnya Melayu dapat mengesan dan memahaminya jika pada hari-hari kempen PRK Hulu Selangor pengertian dan apa hikmahnya kata-kata pemimpin "lihat sumbangan kita sejak dulu...sejak beberapa hari lalu kita telah berjaya menyelesaikan masalah peneroka felda dan penduduk kampung".
Jika benar-benar Melayu faham maksud dan implikasi rasuah dan kenal perasuahnya serta benar-benar bermaruah dan beragama maka mereka akan tolak perasuah sedemikian. Jika tidak menolaknya maka Melayu tetap lurus seperti pada zaman Istana Melaka dahululah! Pantang Melayu derhaka dan Melayu tetap terus hidup pun sampai kini. Tapi siapa yang hormat Melayu itu sebegitu?

Selasa, 20 April 2010

EKOPOSIAL : APA YANG DIBACA OLEH MELAYU?

Melayu adalah satu marga atau keturunan dikira berdasarkan pertalian darah. Melayu di Tanah Melayu lazimnya beragama Islam kerana dilahirkan oleh ibu bapa yang Islam. Bangsa Malaysia pula adalah kelompok keturunan yang dikepung oleh sempadan geografi iaitu Tanah air 1Malaysia. Melayu dalam Bangsa 1Malaysia bukan bersaudara dengan Melayu saudara mara M. Nasir yang tinggal di Bedok , Singapore atau Pangeran Deraman di Seria, Brunei mahu pun Abudul Koder Melayu Pattani di Sungai Padi, Selatan Thai. Melayu di luar 1Malaysia adalah Melayu yang lain biar pun ada pertalian darah atau bau-bau bacang hatta boleh mewarisi antara satu sama lain.

Maka kefahaman Melayu tentang alamnya hanya berlegar dalam lingkungan tanah air 1Malaysia sahaja. Sebab itulah Melayu 1Malaysia tidak yakin yang bahasa Melayu itu kedudukannya yang ke-5 paling ramai penuturnya iaitu melebihi 200 juta manusia. Manusia Melayu 1Malaysia barangkali tidak sedar bahawa wujud Melayu di luar lingkungan mereka. Maka dengan sebab itulah mereka tidak bangga dengan bahasa Melayu malah setuju dengan cadangan bebal pemimpinnya yang melabelkan bahasa sendiri dengan nama bahasa Malaysia. Mengecilkan nama bahasanya sendiri kepada lingkungan yang terhad sepatutnya jelas membuktikan kecilnya jiwa bangsa tersebut.

Selanjutnya dalam konteks ekoposial apabila pemikiran tentang bangsa sendiri menyempit adalah sukar untuk merumuskan pemikiran tentang ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa menjadi sebaliknya iaitu membesar. Pemikiran ekonomi Melayu tentu sekali dalam lingkungan Melayu yang terhad kerana sudah tentu Melayu 1Malaysia tidak mampu berfikir secara global. Tidak ada diaspora Melayu yang memangkin ke arah itu atau jika ada pun mereka tidak diterima sebagai Melayu. Orang Acheh, Cham dan Pattani yang datang berniaga di Kuala Lumpur barangkali adalah diaspora Melayu tetapi apabila menguasai beberapa cabang perniagaan maka mereka dianggap musuh yang merencat kerancakan berniaga orang "Melayu' sejati khususnya di Kuala Lumpur.
Dalam bidang politik pula Melayu hanya membaca dari perspektif Melayu semata-mata, sama ada atas kapasiti nasionalis atau Melayu-Islamik. Ibrahim Ali adalah pejuang Melayu perkasa yang hanya bercakap dalam konteks Melayu iaitu bersangkut hak istimewa Melayu, peluang berniaga dan sebagainya. Ibrahim Ali tidak nampak bagaimana Melayu beserta Cina, Siam, India, Sikh dan Kadazan dapat bersama-sama memajukan Melayu. Apa yang Ibrahim Ali tahu ialah Melayu hanya boleh dimajukan oleh Melayu. Begitu juga kebanyakan para ultralis Melayu lainnya yang menuduh Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang sebagai chauvinist Cina tanpa melihat dirinya pun sama seperti yang dikatakannya itu. Para pejuang Islam pun begitu juga yang sering melihat dan meletakkan 'gap' antara hubungan Melayu yang Islam dan bukan Melayu yang tidak Islam. Ada garis pemisah yang jelas dan ini dijadikan nilai atau dogma untuk membentuk pandangan umum umat Melayu-Islam.
Rakyat Melayu yang sepatutnya menjadi peneliti massa hanya ikut sahaja. Apa kata pemimpin itulah yang tepat dan benar tanpa banyak usul. Rakyat yang jadi pengikut bukan semata-mata yang bodoh tetapi yang cerdik pun sama kerana mereka bacul dan tidak bertelur. Kita amat hairan bagaimana pakar sosiologi, sains politik dan pakar sejarah yang bergelar professor yang jelas memahami prinsip kesaksamaan, pencerahan dan kebebasan sosial sering tunduk kepada apa sahaja yang pemimpin tetapkan dalam hal politik sosial tanpa tapisan ilmu. Mengikut arahan pemimpin berilmu adalah wajib tetapi menyertakan diri dengan kebebalan pemimn adalah dua kali bebal khusus bagi para pemikir dan intelektual Melayu itu.
Maknanya di sini Melayu gagal membaca konsep ekoposial yang melingkari budaya dan kehidupan mereka dengan baik. Melayu hanya ikut sahaja dan ini memang ada kaitan dengan tabiat Melayu yang tidak gemar membaca. Melayu sejak tradisi bukan berpaksi 'knowledge worker' atau pendekatan modal insan tetapi lebih menjurus kepada 'hands on' dalam proses ilmu mereka. Melayu asalnya sangat ringkas jaringan sosialnya, ekonominya bersifat sara diri dan kepolitikannya berjalan dalam suku-suku yang kecil. Jika ada Raja yang menyatukan mereka itu adalah hanyalah fuedal yang menjarah dan bukannya mengajar Melayu berpolitik secara beradab dan berdaya maju. Sebab itulah Melayu hanya tahu taat dan patuh sejak dahulu, kini dan selamanya. Pantang Melayu derhaka adalah cerminan taat Melayu dan jika ada Melayu yang bersifat kritikal maka mereka itu adalah penderhaka dan pembelot. Pemikiran itu jelas sejak zaman Hang Jebat hingga zaman 1Malaysia pasca moden ini. Jadi apa lagi yang boleh dibuat untuk memahamkan Mel;ayu ini jika memberikan idea baharu pun dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat? Kalau begitu jika 'Dr. Mayat' Pornthip itu adalah Melayu maka beliau adalah sebesar-besar pengkhianat dan dajal Melayu kerana ada kenyataan yang tidak selaras dengan kehendak pemimpin Melayu. Nasib baiklah beliau itu keturunan Siam dan mungkin akan diterima kenyataan samalah sepeerti perunding antara bangsa yang lain yang sering diterima pendapat mereka dalam apa-apa hal atau masalah yang dirasakan sukar oleh Melayu termasuklah hal ehwal bahasa dan budaya Melayu sendiri. Tidak percaya? Baca dan fikirlah wahai Melayu!

Khamis, 15 April 2010

BICARA TENTANG KETUANAN MELAYU

Marilah kita bicarakan tentang ketuanan Melayu khususnya di dalam negara 1Malaysia tercinta ini. Tuan ertinya tauke dan ada kuli. Maka Melayu di Malaysia ini adalah tuan dan kulinya tentu bukan Melayu atau sesama Melayu.
Apabila Melayu jadi tuan maka tidak adalah drebar lori dan bas Melayu yang bertuankan Cina dan apa yang ada ialah Tauke Melayu berdrebarkan Cina mata sepet itu. Tiadalah ada minah-minah dan Cik Siti Melayu yang dari pagi hingga ke petang mengambil upah menjalankan mesin-mesin membuat baju, kasut, seluar dalam, dvd halal, radio, laptop dan sebagainya di kilang-kilang Jepun dan Cina. Segala macam amoi dan anak gadis India yang Hindu atau tidak, anak Dayak, Siam, Bangla dan sebagainya akan berduyun-duyun masuk kerja di kilang-kilang laksa, kain pelekat, sos cili, kereta atau minyak wangi yang dipunyai oleh Melayu di mana-mana jua dalam tanahair Melayu ini.
Apabila Melayu jadi tuan maka tiada akan kedengaran suara sergahan rakyat dari macam-macam puak di tanahair 1Malaysia ini yang meminta bukan-bukan yang boleh menjejaskan ketuanan Melayu. Melayu akan pertahankan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu. Tiada akan menukar syarat dan menjual mereka tanah-tanah rizab orang Melayu. Akan diambil baliklah tanah-tanah wakaf umat Islam Melayu yang diduduki kuli-kuli Cina di seluruh tanahiar Melayu tercinta ini. Akan memandanlah segala kuli-kuli Melayu itu penuh hormat dan segan pada tuan Melayu.
Apabila Melayu jadi tuan maka akan berbanggalah dengan bahasa Melayu dan tiada akan adalah lagi PPSMI atau memperkasakan bahasa lain selain Melayu. Akan bersyarahlah pemimpin ketuanan Melayu di PBB atau forum nuklear sejagat tajaan Obama menggunakan bahasa Melayu. Semua itu telah dilakukan oleh pemimpin ketuanan Melayu. Mereka rasa bangga menggunakan bahasa Melayu dan meluat akan bahasa asing. Mereka tidak sekali-sekali terima persen dari tauke-tauke tetapi mereka memberikan pengajaran secukupnya kepada pemberi rasuah. Pegawai dan tuan Melayu akan ajarkan budaya Melayu dan Islam yang sebenarnya kepada bukan Melayu. Melayu jadi tuan kepada bangsa-bangsa dan keturunan lain. Semua yang selain Melayu akan jadi kuli semuanya - Dulu, kini dan selamnya!
Itulah hakikat yang dapat dilihat di depan mata sekarang. Melayu memang jadi tuan di dalam ini tanahair 1Malaysia ini. Porrrrah..! siul...kah..kah.kah. Tabik tuan Melayu!

Khamis, 1 April 2010

SULTAN AMPUNKAN PESALAH SYARIAH

Menurut laporan Malaysiakini Sultan Pahang menitahkan agar hukuman sebat terhadap pesalah syariah Kartika Seri Dewi Sukarnor digantikan dengan kerja-kerja khidmat masyarakat. Ampun Tuuanku! Masyarakat antarabangsa tentu tidak akan memandang serong dan pasti mengangkat Malaysia sebagai model negara Islam moderat yang patut dicontohi.
Kita akan jadi 'bangsa besar' kerana Tuanku Sultan mampu membuat keputusan besar di mana peminum arak yang wajib dihukum sebat mengikut undang-undang syariah berupaya diubahsuai oleh Tuanku. Jelaslah mitos Melayu lama yang mengatakan sultan adalah jelmaan tuhan memang sebenarnya sesuatu yang wujud -bukan sekadar mitos rupanya! Tuanku bukan sekadar khalifah Allah tetapi sebenar-benarnya jelmaan Tuhan di atas muka bumi khususnya kepada umat Melayu. Jika tidak masakan Tuanku berupaya untuk berjiwa besar dan berkompromi dengan hukum Allah Taala. Tuanku dan Penasihat Agama Tuanku pun tahu yang hukum Allah Taala tidak boleh dicabar dan dibuat main-main atau diperlekehkan. Namun keyakinan, keupayaan dan barangkali keputusan hasil solat istikharah yang dibuat Tuanku dapat memberitahu kepada umat Melayu dan seluruh umat Islam bahawasanya hukum syariah itu sebenarnya boleh dikompromi. Hukum syariah itu bukannya mutlak dan Sultan boleh ubahsuai ikut keperluan zaman. Sesungguhnya sebagai rakyat pacal yang hina dina ini terima sahajalah apa keputusan Tuanku Sultan. Hukum Syariah itu hukum Allah yang tidak nampak dan tidak realistik manakala hukum Lord Reid model Westminster itu lebih praktikal. Hukum syariah itu barangkali mengganggu keselesaan hidup kita. Wanita pun mahu disebat oleh hukum syariah yang pastinya menimbulkan persoalan tentang hak kesaksamaan dan keadilan terhadap wanita. Kenapalah ada undang-undang sebat terhadap kaum wanita. Wanita tidak perlu disebat tetapi untuk dinikmati keindahan tubuh badannya. Jika wanita disebat maka wanita akan jadi buruk dan satu kezaliman ke atas mereka. Biarkan wanita dedahkan buah dada, pusat, punggung, paha dan apa yang dicelah-celahnya agar seluruh umat manusia -tidak kira Melayu atau Islam- dapat menikmatinya dengan selesa dan puas. Keputusan ini barangkali boleh menjadi titik tolak kepada penghapusan semua hukum syariah di Malaysia. Namun sekiranya Jepun, Korea, Britain atau Amerika Syarikat mahu laksanakan hukum seumpama hukum syariah itu maka kita fikirkanlah semula. Bukankah manusia dan masa akan sentiasa berubah!
Kesimpulannya titah Tuanku itu sesuatu yang amat hebat dan penting demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara 1Malaysia. Orang Eropah, Jepun, Amerika, Sudan, Russia, Arab dan segala-galanya tentu tidak akan mengkritik dan memansdang serong kepada kita lagi. Kita sudah setanding dengan mereka kerana penaung agama kita sudah mampu berkompromi dengan Allah Taala. Obama tentu tidak berupaya sampai ke tahap itu. Salute Tuanku!

Selasa, 16 Mac 2010

PERIHAL FITNAH, BEBAL DAN NAIF

Ada beberapa hal menarik sekitar kenyataan demi kenyaatan yang dikeluarkan oleh YB Lawyer Zulkifli Noordin, MP Kulim-Bandar Baharu. Jangan dilihat dari perspektif politik semata-mata. Selidiki secara berhemah atas pertimbangan pendidikan politik, psikologi dan dakwah.
1. Adakah kenyataan demi kenyataan beliau itu dapat menggambarkan kearifan beliau dalam berpolitik atau sekadar membuka dan menelanjangi kehebatan akalnya selama ini. Adakah ini menggambarkan beliau terdesak atau terus 'maintaian'?
2. Adakah kenyataan demi kenyataan beliau itu dari sudut dakwah dan siasah bakal menimbulkan lebih banyak fitnah terhadap Islam dan dengan mudah diambil kesempatan oleh musuh politik Islam?
Tanpa melihat kepada kehebatan beliau sebagai 'lawyer', MP yang berani bersuara sebenarnya bijak bebal atau naif? Barangkalai MP Bagan Serai dilihat dan boleh dianggap tidak sepintar MP Kulim ini, kelurusan beliau dapat dibaca dengan mudah. Perihal kebebalan dapat dilihat dengan jelas apabila alasannya keluar parti disebabkan PKR tidak pedulikan Islam merujuk kepada isu kalimah Allah. YB Kulim ini juga punyai alasan yang lebih kurang sama dan dilihat boleh diterima umum disebabkan istiqamahnya beliau dalam isu ini sejak awal lagi.
Apa yang ingin kita lihat sekarang apakah perjuangan YB Kulim itu bertepatan dengan metod atau uslub dakwah yang sepatutnya. Apakah dengan melanggar disiplin parti atas alasan siasah itu dapat diterima biar pun dakwah akan terdedah kepada fitnah? Seharusnya khalayak diberi faham bahawa usaha dakwah dalam era global ini perlu bersifat jama'i -melainkan jika umat manusia ini perlukan Rasul dan Islam yang baharu. Ini ketentuan Allah Taala. Buat masa ini Muhammad Rasulullah adalah penutup para nabi dan rasul. Maka dakwah kini adalah mempertahankan katimul rasul itu secara kolektif dan jika seorang diri berdakwah maka kerja itu akan jadi sia-sia. Dakwah kini adalah penerusan mesej sedia ada bukannya membawa berita baharu. Kerja dakwah fardi cara Zul Noordin tidak perlu dibuat. Maka seandainya beliau mahu berjaung dan berdakwah maka perlulah berjamaah dan dalam konteks Malaysia pihak gerombolan sudah tidak dipercayai untuk perjuangkan Islam secara total. Islam gerombolan yang bersifat kosmetik (mungkin juga syiar) bina masjid atau majlis tilawah tahunan mungkin boleh. Islam atas dasar kefahaman dan hikmah yang boleh memberikan kerahmatan bukan tugas dan kemahuan gerombolan sekular tersebut.
Seandainya Zul Noordin pergi kepada barisan bebas bersama Ibrahim Ali atau Perkasa atau Perkida, kebebasan berdakwah itu ada tetapi kekuatan jamaah itu amat rapuh. Hari ini mungkin Ibrahim Ali cakap Islam itu 'the way of life' dan esoknya Ibrahim Ali akan jadi ketua fasis assabiyah pula! Tidaklah beerti kita mengatakan PR itu pejuangannya Islam tulen tetapi berdasarkan apa yang ditawarkan nampaknya biah(suasananya) untuk berdakwah adalah lebih baik di dalam PR. Tidak mustahil suatu hari nanti LimGguan Eng akan masuk Melayu (Islam) kerana terpesona dengan keperibadian politikus Islam yang bersamanya. Kita katakan tidak mustahil di sini ditambah dengan usaha dakwah yang berterusan dijalankan. Maka tindakan Zul Noordin untuk membiarkan dirinya ditolak PKR bukanlah bijak sangat biar pun hakikatnya beliau memang seorang yang bijak.
Dalam berpolitik kebijaksanaan akliah perlulah disepadukan dengan kreativiti dan pengalaman siasah agar tidak terlalu naif atau kelihatan bebal. Umum melihat bahawa Zul Noordin punyai fikrah yang baik tentang Islam tetapi tidak licik bersiasah hinggakan boleh menjatuhkan Islam ke kancah fitnah. Namun siapa tahu kenaifan yang dilihat dan kebebalan yang ditanggap itu adalah langkah-langkah bijak Zul Noordin ke arah kecemerlangan bersiasah. Siapa tahu suatu hari nanti beliau akan melakukan 'come back' yang betul-betul mendatangkan kesan berganda (hi-impact) - dan kita mengharapkan begitu sebenarnya. Namun sebelum tiba detik itu umum tetap melihat dan menanggap Zul Noordin telah membuka ruang fitnah dalam konteks dakwah manakala dalam perjuangan demokrasi dan politik baharu beliau adalah pengkhianat rakyat.
Sama-samalah kita saksikan kesan tindakan Zul Noordin ini sama ada satu kelicikan dan kepintaran akliah yang tersirat atau memang jelas satu kebebalan!

Sabtu, 13 Mac 2010

BANGSA YANG PENGECUT

Pengecut ertinya takut, bacul, tidak berani atau koro. Dalam ungkapan bahasa pasar yang paling kasar ialah 'jantan tidak ada teloq'. Bangsa yang pengecut tidak berani menampilkan apa-apa yang menjadi teras dan warisannya sendiri kerana menganggap masyarakat antarabangsa akan keliru dan gagal memahaminya dan memandang serong pada akhirnya. Walaupun bangsa itu punya bahasa pertuturan sendiri, namun tatkala berinteraksi dengan 'masyarakat antarabangsa' mereka akan berasa kecil dan hina diri untuk bertutur dalam bahasa kepunyaan sendiri. Sesama mereka pun jika tidak berada di negeri sendiri (atau di ceruk pedalaman jika di tanahair sendiri) mereka akan bangga menggunakan bahasa satu bangsa yang pernah menjajah mereka beberapa kurun yang lalu.
Bangsa sebegini jika punyai saluran media sendiri mereka lebih gemar menayangkan bual bicara tentang idealisme negara bangsanya menggunakan bahasa orang asing. Menteri dan pemimpin mereka akan berbangga berucap dan bercakap dalam sidang akhbar menggunakan bahasa yang asing bagi rakyat sendiri. Natijahnya menteri itu akan kelihatan bijak dan terkehadapan (advanced istilah tepat dan bestarinya!). Rakyat terpaksa membaca sari kata untuk memahami apa yang diucapkan menteri yang sebangsa dengan mereka. Di antara lawak penyiaran yang amat lucu di mana-mana negera pun ialah apabila dua orang rakyatnya berbual-bual berkenaan topik pakaian mandi umpamanya dalam bahasa yang masyarakat umum tidak faham atau jarang gunakannya dan terpaksa membaca 'subtitle'. Bangsa tersebut bukan sekadar tidak punyai keyakinan terhadap bahasa sendiri bahkan pengecut dan bacul.
Dalam hal ehwal perundangan pula apabila mahu jalankan sesuatu hukuman yang telah pun termaktub dalam undang-undang negara sampai pada satu tahap mereka merasa tidak yakin dengan keputusannya. Mereka takut dipandang serong masyarakat antarabangsa. Dalam sebuah negara yang menonjol keberanian pemimpinnya di mata dunia ambil contoh satu kes. Seorang wanita telah dijatuhi hukuman sebat dan beliau rela dan tidak mahu membuat sebarang rayuan. Apabila tiba masa untuk pelaksanaan hukuman timbul pula masalah tidak ada tukang sebat. Hukuman ditangguhkan manakala dalam tempoh tersebut para pemimpinnya dan NGO masing-masing (yang memang hebat akalnya tetapi ada sisinya kelihatan mangkuk hayun) setiap hari membina pandangan umum untuk menolak bentuk hukuman sedemikian.
Sang wanita tadi yang pasrah dengan hukuman tersebut tetap tidak mahu berganjak dari keputusannya untuk tidak membuat rayuan manakala dari perspektif NGO dan Menteri Wanitanya keputusan tersebut adalah sangat bangang dan di luar pencapaian manusia bertamadun. Selanjutnya wanita tersebut dijemput menghadap Pihak Istana dan pada akhirnya nanti diharapkan proposal hasil 'pertemuan empat mata' tersebut akan berkeputusan begini : 'Wahai wanita! Kamu diampunkan oleh beta kerana kamu wanita tidak boleh disebat! Wahai sekalian rakyat, beta lepaskan wanita ini dari hukuman tersebut". Semua rakyat yang hina dina dari professor hingga yang buta huruf termasuk NGO serta Menteri Wanita yang bijak dan berani itu gembiralah dengan keputusan tersebut.
Persoalannya apakah bangsa tersebut boleh diterima sebagai satu bangsa yang hebat dan punya jati diri sendiri? Disebabkan orang Amerika, Eropah atau badan hak asasi dunia rasa 'tidak gembira' maka hukuman tersebut dicari jalan agar tidak terlaksana. Dibimbangi nanti akan dituduh ketinggalan zaman, macam taliban atau gagal sertai masyarakat dunia yang bertamadun maka hukuman sedemikian dibatalkan. Bangsa sedemikian merasa punyai 'kecapaian' selaras masyarakat dunia namun jiwa besar dan jati dirinya gagal menampilkan kepada dunia apa-apa pun kenaikan yang bersumberkan warisan bangsa. Mereka hanya mahu bertaklid kepada masyarakat dunia. akal bawah sedar mereka hanya mahu ditipu dan diperlekehkan. Bangsa sebeginilah yang akan ditertwakan sepanjang hayatnya. Bangsa inilah barangkalinya yang sering melahirkan pejuang palsu !
Amaran -bangsa ini bukannya bangsa 1Malaysia atau mana-mana bangsa yang ada kaitan dengan Melayu dan Perkasa atau Perkida. Jika ada persamaan dalam apa-apa cerita atau bentuk olahan ayatnya hanyalah kebetulan semata-mata.

Jumaat, 26 Februari 2010

BANGSA YANG BANGSAT DAN SESAT

Bangsat ertinya tidak berguna atau celaka manakala sesat beerti kehilangan arah atau tersasar dari matlamatnya. Bangsa yang bangsat dan sesat ertinya satu bangsa yang tidak berguna dan kehilangan arah. Bangsa ertinya sekumpulan marga atau kelompok ras yang bersatu lalu memberikan nama kepada kesatuan tersebut sama ada berdasarkan ras, bahasa, budaya atau geografi. Wujudlah bangsa Indonesia, Inggeris, Jepun, Malaysia dan sebagainya.
Hakikatnya memang ada bangsa yang keliru, sesat dan bangsat namun pasti akan dinafikan jika frasa-frasa negatif sedemikian ditujukan kepada sesuatu kelompok bangsa itu. Akan muncul wira berdendang yang sanggup bergolok dan berkapak mempertahankan kelebihan dan kesucian bangsa mereka. Mengapakah sesuatu bangsa itu dipertahankan biar pun mereka itu benar-benar bangsat dan sesat? Tidak lain adalah kerana bangsa sendiri itulah yang akan menjadi sumber untuk terus hidup sama ada sebagai bangsa besar atau 'lauk' kepada bangsa yang lain. Israel hidup di tengah-tengah bangsa Arab tetapi menjadi besar dan lebih bangsat berbanding Arab. Semua Arab di Timur Tengah menjadi 'lauk' kepada bangsa Israel. Mana ada di kalangan bangsa Arab yang benar-benar berani mencabar Israel secara terang-terangan. Dunia mengatakan Israel itu sesat lagi bangsat dan memang itulah hakikatnya. Dunia pun sedar bahawa sekalian pak Arab itu juga bangsat dan tidak berguna. Mereka sama-sama sesat dan tidak berguna seperti Israel jua adanya. Apa yang membezakan mereka ialah Israel lebih bijak berjuang untuk hidup dalam suasana yang ibaratnya bagai anak kambing di celah-celah gajah dan singa. Israel yang kecil berjaya menyesatkan akal dan semangat bangsa Arab sama seperti Sang Kancil memperdaya Sang Bedal, Pak Belang dan Pak Belalai yang berganda lebih besar darinya. Rahsianya sama seperti Sang Kancil iaitu kelicikan akal yang dimiliki Israel berupaya memperdaya bangsa arab yang lebih banyak tetapi ibarat buih di lautan yang hampas dan bengong.
Bangsa Melayu boleh mengambil akal Israel dalam konteks hikmah iaitu kebijaksanaan untuk kemaslahatan umum. Masalahnya Melayu pun sama bangsat dengan Israel. Melayu diajar tentang hikmah dari perspektif Islam dan win-win situation dari perspektif tuan bekas penjajahnya. Melayu sepatutnya menjadi licik dan memberikan manfaat kepada seluruh bangsa dunia yang lainnya. Namun Melayu sesat dan tidak jelas mahu jadi apa? Mahu jadi Malaysia atau Melayu? Mahu jadi Islam atau separuh Islam dan separuh Melayu. Melayu sesat dan sangat keliru tentang diri sendiri. Melayu ibarat gadis sunti yang kali pertama didatangi haid -keliru kenapa jadi begitu tetapi dibisikkan bahawa 'kamu sudah dewasa'. Namun dewasa itu tidak difahami dan akal budak masih memenuhi ruang diri. Melayu sebenarnya menjadi bangsat kerana keliru seperti remaja yang dalam proses transisi.
Persoalannya sampai bilakah Melayu akan terus berada dalam transisi sebegitu? Tempoh 50 tahun merdeka bukan ukuran yang muktamad dan hakiki kerana Melayu sudah sekian lama wujud -mungkin sezaman dengan Nabi Ibrahim atau Nabi Isa. Melayu transisi ini keliru tidak lain kerana proses kemelayuan sering digugat pertamanya oleh pelbagai bentuk teologi yang sering pula bercampur aduk, keduanya oleh beberapa siri penjajahan bangsa barat dan yang terakhirnya oleh perkembangan dunia sejagat.
Ketika dunia mencapai takah moden umat Melayu baharu pada peringkat separuh urban. Hanya beberapa buah universiri sahaja yang berupaya dibina dan pada ketika itu Pengajian Melayu memang salah satu pengisiannya. Setelah dunia mendepani pasca moden dan kini semakin sejagat dalam kontek era maklumat Melayu masih mengejar dan yang jelasnya tetap ketinggalan. Malang bagi Melayu adalah kerana Pengajian Melayu yang bermatlamatkan untuk mengenali dan membina Melayu sudah 'dipandang lekeh dan bangsat' di semua menara gading Melayu. Penagjian falsafahnya sudah dibuang dari kurikulum universiti. Mahasiswa hanya belajar data dan fakta -ibarat mengisi data dalam badan robot atau komputer. Jelas Melayu hilang falsafah dan pengajian tentang Melayu dan kelalaian yang membawa kesesatan kerana tidak sedar kesannya pada masa hadapan menjadikan Melayu kini teramat bangsat.
Maka wujudlah anak Melayu yang menentang disiplin Melayu-Islam atas nama hak asasi dan pemikiran maju, politik baharu dan sebagainya. Wujudlah budaya hedonistik, pemikiran simplistik dan amat sukar mencari Melayu yang mahu berbakti kepada nbangsa sendiri dalam apa jua bidang. Melayu tidak mampu tolong melayu dalam ekonomi, pendidikan, politik dan agama sendiri. Apa yang Melayu buat ialah mengula-gulakan dan mempermainkan sesama Melayu. Bangsa Melayu sudah memasuki fasa individualistik sebelum tiba masanya atau ibarat budak bola yang masih mentah berlagak jadi 'star'. Kah...kah..kah...patutkah terus ditertawakan bangsa yang bangsat lagi sesat ini? Mana wira bangsa yang sebenar yang mampu memandu bangsa ini keluar dari kesesatan ini?