Ahad, 17 Januari 2010

ALLAH : MASALAH ISLAM ATAU MELAYU

Polemik tentang nama Allah di Malaysia berlanjutan dan kesudahannya masih tidak pasti. Unjuk rasa jalanan atau depan masjid oleh pihak yang tidak suka orang selain Melayu gunakan nama Allah dilakukan sesudah solat jumaat. Malah demo tentangan dilanjutkan lagi dengan tindakan nakal yang dituduh pula 'dirancang' oleh tangan-tangan ghaib.
Di Malaysia kalimah Allah hanya eksklusif untuk Islam-Melayu. Berbeza dengan tempat lain di dunia bahkan di pusat ilmu Islam iaitu Mesir, kalimah Allah boleh digunakan hatta oleh orang Yahudi yang menyembelih umat Islam Palestin. Al-Qaeda, Hamas, Hamid Karzai termasuk Tokoh Maal Hijrah Syeikh Qardhawi semuanya tidak menentang kalimah Allah digunakan oleh Kristian dan Yahudi. Hindu dan Buddha barangkali tidak berminat menggunakan nama Allah sebab mereka punyai nama khusus yang lain bagi Tuhan mereka.
Menariknya tentang polemik ini ialah pihak yang menentang dan menunjukkan perasaan terdiri dari Islam yang Melayu. Islam Cina, India, orang putih tidaklah ghairah dan vokal sangat menentang. Tidak pasti pula apa pandangan Ridhuan Tee dan KIMMA tentang hal ini. mereka? Wacana tentang nama Allah ini nampak gayanya sudah jadi isu politik perkauman. Orang bukan Islam tidak boleh gunakan Allah dalam tulisan versi bahasa Melayu. Perkembangan terkini orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh gunakan nama Allah bagi maksud tuhan mereka. Larangan hanya terhada di Semenanjung sahaja dan penduduk Semenanjung beragama yang berasal dari Sabah dan Sarawak pun tidak boleh gunakan nama Allah dalam urusan ibadat mereka.
Dalam bahasa Arab agaknya apa kalimah yang patut digunakan bagi gantikan Allah? Ilah adalah salah satu darinya namun bagi nama khusus ilah apa sebenarnya? Adakah mereka patut pilih satu dari 99 nama Allah selain kalimah Allah itu.
Menarik sungguh akal Melayu yang mengatakan penggunaan nama Allah dalam masyarakat Malaysia tidak sesuai kerana boleh kelirukan umat Islam Melayu negara ini. Menurut teorinya pada suatu masa nanti orang Kristian akan dengan mudah menguasai jiwa dan pemikiran anak-anak muda Islam dengan menggunakan nama Allah. Orang Kristian akan katakan 'Tuhan kita adalah sama iaitu Allah, lantas apa bezanya antara Kristian dan Islam, maka kita bebas mahu ikut cara Kristian atau Islam". Itulah 'niat buruk' dan terselindung orang Kristian Malaysia. Apabila tiba detik itu maka keluarga Melayu-Islam akan hilang jati diri Islam mereka. Akan jadi seperti di Indonesia yang namanya Abdul Rahman tetapi agamanya Kristian. Untuk selamat jangan biarkan mereka mulakan perkara tersebut mulai hari ini. Inilah satu bentuk paradigma yang cuba ditanam oleh pemikiran perkauman yang sesuai dimasukkan dalam terma 'false sense security' dan gabungannya ketakutan palsu. Sesuatu kelompok atau bangsa perlu ditakutkan tentang masa depan yang gelap sebagai jalan memotivasikan assabiyah dan semangat patriotisme mereka. Kelangsungan bangsa akan disekat oleh bangsa lain dan sekarang perlulah kita tentang mereka. Mereka perlu diselamatkan dari semua itu oleh wira bangsa yang sejati dan ikhlas berjuang.
Nama Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh merencatkan survival umat Islam Melayu di Malaysia. Maka ia perlu ditentang dengan apa pun daya yang ada. Namun pihak yang menentang itu tidak pula berpaksikan prinsip Islam sebagai addin dan agama dakwah dan berhikmah. Mereka tidak kenal hikmah dan tidak pernah tahu apa itu perjuangan dakwah. Mereka tidak sedar bahawa tanggungjawab muslim adalah berdakwah kepada bukan muslim bukannya menentang tindakan salah mereka. Adakah pernah mereka membaca tentang kisah Arab badwi yang didakwahkan oleh Rasululalh dengan penuh hikmah biar pun pada asalnya tindakan badwi bebal itu mencemarkan kesucian masjid?
'Pejuang' yang mempertahankan kesucian' Allah tidak pernah sedar yang mereka ditipu dan dihina dari sudut lain. Mereka dikotorkan batin dengan muamalat riba, makanan haram dan syubahat, hidup cintakan harta dan dunia. Musuh Islam 'yang sebenar' sentiasa mendidik umat Islam tidak kira apa bangsa di mana jua pun agar leka dan lupa akan Allah. Mereka sediakan pelbagai bentuk hiburan dari yang ringan seperti 'block game' dan playstation hinggalah World Cup dan akademi hiburan yang pelbagai. Mereka juga sediakan tempat hiburan dan melepaskan 'tension' jugaa untuk bermaksiat dengan jenama hebat. Mereka memudahkan umat Islam menanggung beban hutang demi untuk dapatkan kemewahan hidup. Mereka lencongkan sifat zuhud dan syukur serta reda yang patut ada dalam jiwa umat Islam atas nama kebudayaan dan kemodenan. Mereka tawarkan kemewahan dengan sistemn ekonomi kapitalis yang prinsipnya sedia memuaskan keinginan semua orang.
Adakah mereka yang menentang dan menunjuk perasaan itu sedar yang mereka itu sebenarnya bertaraf domba sesama manusia? Adakah mereka tahu yang mereka itu diperbodohkan sama seperti pedagang kolonial memperbodohkan sultan-sultan mereka zaman dahulu kala. Apabila ada anak-anak muda yang memberi pandangan dari perspektif baru maka mereka ini akan diingatkan agar patuh dan taat kepada undang-undang dan jaga ketenteraman awam. Adakah mereka sedar atau sebenarnya mereka sama-sama berdusta kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri?
Yang bermasalah itu apakah Melayu atau Islam sebenarnya?

Selasa, 5 Januari 2010

ALLAH MAHA MENGETAHUI

Isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam ternyata menjadi polemik yang semakin menarik. Katakanlah anda berada di tengah dan hanya meneliti setiap fakta dan pandangan pelbagai pihak, pada akhirnya apa kesimpulan yang dapat anda buat? Memang agak mengelirukan dan sukar dirumuskan. Pertamanya dari perspektif orang Islam sendiri yang sepatutnya sejalan wacananya dilihat bercanggah.

Penulis katakan situasi ini keliru berdasarkan sandaran berikut:

1. Sepatutnya semua pemimpin PAS (atas nama Islam) boleh buat rumusan yang sama iaitu kalimah Allah itu sama ada BOLEH atau TIDAK BOLEH digunakan oleh pengikut agama lain -dalam konteks yang khusus oleh agama samawi yang lain.
2. Penyatuan fikrah orang-orang UMNO memang jelas kelihatan tetapi penentangan mereka bertentangan pula dengan isu-isu lain yang berkait kepentingan Islam yang lebih aula seperti isu murtad, hudud, hak penjagaan dan sistem muamalat islam yang lain.
3. Apakah wajar hak yang eksklusif itu ditentukan oleh orang tengah hanya berdasarkan bukti dan pernyataan bersifat akademik semata-mata tanpa mengambilkira aspek kepentingan umum seperti isu yang sensitif, hak keistimewaan yang tertentu dan menjaga hubungan baik dalam masyarakat majmuk.

Pemimpin, pemikir dan pengikut PAS jadi berbelah bagi dalam isu ini -sama ada melayan dari perspektif politik atau berdasarkan kpentingan ilmu. Kepentingan politiknya ialah MELAYU akan melihat PAS gagal menjaga kepentingan Islam disebabkan mahu jaga hubungan baik dalam Pakatan Rakyat. Melayu yang dimaksudkan itu ialah Melayu yang atas pagar dan kurang ilmu usul akidahnya. Melayu yang tidak jelas identiti Islamnya dan Melayu yang mudah terpengaruh dengan dongengan gerombolan neo-fuedal. Melayu tersebut akan rasa tergugat jika orang Kristian juga mengaku yang Allah juga tuhan mereka dan perlu kongsi tuhan dan akhirnya akan ramai anak Melayu yang masuk Kristian. Melayu tersebut jati diri mereka tidak jelas sama ada Melayu semata-mata atau Melayu yang Islam.

Pihak gerombolan Pertubuhan Melayu Bersatu(PKMB) memang di pandang dari sudut mana pun, sahlah mempergunakan isu ini untuk kelangsungan politik dan menutup isu lain yang lebih besar dan utama iaitu kenaikan harga gula, royalti, kehilangan enjin jet dan kelemahan dalaman 'front nasional' mereka. Mereka memang jelas menjuarai isu ini dan pada akhirnya Mahkamah Rayuan dijangka akan putuskan bahawa Menteri Dalam Negeri adalah betul dalam keputusannya. Inilah kemahiran politikus pragmatis yang mempergunakan kelemahan dan kebebalan akal rakyat untuk memperbesarkan isu-isu remeh. Kita tidak golongkan isu ini sebagai remeh namun ia tidaklah lebih utama dan penting dari isu murtad umat Islam, hukum hudud, sitem keadilan Islam, jihad, dakwah amar makruf nahi mungkar.

Apakah dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain itu bermaksud Islam menjadi hina dan sama tarafnya dengan agama lain? Dari perspektif bukan Islam usaha-usaha untuk meningkatkan syiar agama mereka adalah kerja dakwah. Namun jika ada usaha yang dibuat itu boleh mengganggu kemaslahatan umum maka ia wajar dihalang. Mana kita tahu usaha memohon menggunakan nama Allah itu boleh gugat ketenteraman awam? Berdasarkan pandangan umum atau andaian memang akan jadi begitu. Namun Islam yang syumul dan benar sebagai agama penuh toleransi pasti boleh terima situasi tersebut. Prinsipnya tauhidnya kalimah Allah itu ialah "Allah bagi Islam adalah Yang Maha Esa dan tidak sma dengan makna Allah berdasarkan konsep 'trinity' bagi Kristian.

Apa yang terjadi sekarang ialah umat Islam-Melayu menimbulkan kekecohan dan tunjuk lagak pertahankan kalimah Allah namun hakikat sebenar Allah itu yang terkandung dalam Islam tidak pun dihiraukan. Maka tidak menghairankan orang yang sama jika pada hari ini mempertahankan nama Allah esoknya menjadi pecacai Yahudi dan Kristian. Mereka menyokong sistem kewangan riba, menyokong syarikat multi nasional yang bukan milik Islam, mendedahkan aurat hatta menafikan hukum Islam dan menganggapnya sebagai ketinggalan zaman.

Memang akan ada umat Islam-Melayu 1Malaysia yang begitu keliru dalam tindakan mereka. Semuanya kerana mereka jahil dan menjadi Muslim kerana keturunan semata-mata. Mereka ini ditakut-takutkan tentang survival umat Islam dengan perkara remeh. Hakikatnya tanpa sedar mereka menuju kehancuran kerana hati mereka dari sehari ke sehari dipenuhi titik-titik hitam akibat perkara syubahat dan ruh zulmat yang menerobos ke dalam diri. Tanpa gunakan nama Allah pun rupanya selama ini musuh Islam telah memasuki ruang jasad Muslim tanpa sedar. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui ke atas segala makhluk-Nya.

Jumaat, 1 Januari 2010

SESIAPA SAHAJA BERHAK GUNA NAMA ALLAH

Sebagai makhluk Allah sesiapa sahaja di atas muka bumi ini layak gunakan nama Allah sebagai rujukan kepada tuhan masing-masing. Mengikut perlembagaan Malaysia kalimah 'Allah' sebagai tuhan bukan eskslusif kepada orang Islam semata-mata. Seluruh rakyat berhak merujuk atau gunakan nama Allah bagi maksud Tuhan sembahan masing-masing.
Ini diputuskan oleh seorang hakim yang bukan Islam. Jika hakim itu seorang Islam bagaimana pula keputusannya dan seandainya hakim itu 'keldai siasah' apa pula hujahnya bagi keputusan yang dibuatnya. Barang diingat keldai akan hanya buat keputusan setelah 'High Council' telah buat keputusan terhadap sesuatu isu atau kes mahkamah. Apa yang perlu dibuat oleh keldai hanyalah mengesahkan secara rasmi di mahkamah. Kita tidak tahu dan tidak pasti hatta tidak pula tuduh mana-mana hakim sebagai keldai tetapi memang ada keldai di kalangan yang arif. Bukan di sini tetapi mungkin di negeri asal keldai iaitu gurun pasir hawa sederhana. Bukan Malaysia dan bukan juga Zimbabwe - di tanahair 1keldai yang lain.

Baca berita seterusnya di Bernama.

Mahkamah putuskan Herald boleh guna perkataan ”Allah”
KUALA LUMPUR 31 Dis. — Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.
Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan “Allah”.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan mingguan itu. - Bernama

APA YANG BAHARU?

Jawapannya tentu sekali gula mendapat harga baharu mulai hari ini -sempena tahun baharu 2010. Dalam tradisi 1Malaysia sejak siasahnya diresapi akal korperat prinsip ekonominya ialah "setiap barangan yang dinaikkan harga tidak akan diturunkan kembali harganya!".

Kerajaan boleh bercadang untuk tingkatkan subsisdi namun rakyat yang nakal dan celik akalnya akan membalas "kalau tambah subsidi ertinya komisen tidak bertambah, tapi kalau naikkan harga dari 10% mungkin boleh dapat 5%". Siapa yang akan dapat komisen itu? Kerajaanlah biasanya tetapi itu dimasukkan dalam akaun khas untuk kegunaan masa sukar. Masa sukar itu biasanya ketika kempen-kempen tertentu umpamanya pesta anjuran SPR atau pertandingan dalaman parti kerajaan - khas untuk atasi kesukaran para pemimpinnya. Rakyat juga akan dapat untung dari komisen 5% ini dan ekonomi akan terus hidup.

Jika rakyat boleh dapat kain batik dan wang saku ketika SPR menganjurkan pestanya atau rakyat boleh tidur bertilamkan 8 inci di hotel berbintang ditambah 'breakfast' percuma, maka 5% itu akan dikenang sebagai budi baik yang akan dibawa mati. Sesungguhnya kenaikan harga gula akan memberikan manfaat untuk jangka panjang. Kesihatan rakyat akan lebih baik kerana 'tidak mampu' membeli gula yang harganya meningkat, roti dan roti canai pun akan meningkat harganya. Jadi rakyat akan terelak dari mendapat angin ahmar dan penyakit jantung kerana kurang makan roti canai. Kencing manis pun akan berkurangan.

Sempena tahun baharu ini, bagi meraikan tauke gula yang baharu maka satu imej baharu untuk gula perlu diberikan. Kaedah yang terbaik bagi menaikkan imej gula ialah naikkan harga untuk elakkan rakyat mendapat kencing manis. Kini gula tidak lagi akan jadi penyebab kencing manis -yang penyebabnya mungkin akan bertukar kepada air murah keluaran PBA Pulau Pinang. Ini hujah yang paling logik dan berkesan bagi memastikan rakyat tolol dan bebal untuk terus menyokong parti sedia ada agar terus berkuasa. Inilah intipati pemikiran yang perlu terus ada adalam pemikiran rakyat 1Malaysia. Mari kita lihat apa kebijaksanaan seterusnya sepanjang tahun ini!