Jumaat, 1 Januari 2010

APA YANG BAHARU?

Jawapannya tentu sekali gula mendapat harga baharu mulai hari ini -sempena tahun baharu 2010. Dalam tradisi 1Malaysia sejak siasahnya diresapi akal korperat prinsip ekonominya ialah "setiap barangan yang dinaikkan harga tidak akan diturunkan kembali harganya!".

Kerajaan boleh bercadang untuk tingkatkan subsisdi namun rakyat yang nakal dan celik akalnya akan membalas "kalau tambah subsidi ertinya komisen tidak bertambah, tapi kalau naikkan harga dari 10% mungkin boleh dapat 5%". Siapa yang akan dapat komisen itu? Kerajaanlah biasanya tetapi itu dimasukkan dalam akaun khas untuk kegunaan masa sukar. Masa sukar itu biasanya ketika kempen-kempen tertentu umpamanya pesta anjuran SPR atau pertandingan dalaman parti kerajaan - khas untuk atasi kesukaran para pemimpinnya. Rakyat juga akan dapat untung dari komisen 5% ini dan ekonomi akan terus hidup.

Jika rakyat boleh dapat kain batik dan wang saku ketika SPR menganjurkan pestanya atau rakyat boleh tidur bertilamkan 8 inci di hotel berbintang ditambah 'breakfast' percuma, maka 5% itu akan dikenang sebagai budi baik yang akan dibawa mati. Sesungguhnya kenaikan harga gula akan memberikan manfaat untuk jangka panjang. Kesihatan rakyat akan lebih baik kerana 'tidak mampu' membeli gula yang harganya meningkat, roti dan roti canai pun akan meningkat harganya. Jadi rakyat akan terelak dari mendapat angin ahmar dan penyakit jantung kerana kurang makan roti canai. Kencing manis pun akan berkurangan.

Sempena tahun baharu ini, bagi meraikan tauke gula yang baharu maka satu imej baharu untuk gula perlu diberikan. Kaedah yang terbaik bagi menaikkan imej gula ialah naikkan harga untuk elakkan rakyat mendapat kencing manis. Kini gula tidak lagi akan jadi penyebab kencing manis -yang penyebabnya mungkin akan bertukar kepada air murah keluaran PBA Pulau Pinang. Ini hujah yang paling logik dan berkesan bagi memastikan rakyat tolol dan bebal untuk terus menyokong parti sedia ada agar terus berkuasa. Inilah intipati pemikiran yang perlu terus ada adalam pemikiran rakyat 1Malaysia. Mari kita lihat apa kebijaksanaan seterusnya sepanjang tahun ini!

1 ulasan:

  1. dah parah... depa tengah dok capai semua tempat asalkan dapat. selama ni dok boros berbelanja sampai terlupa bagaimana nak meningkatkan pendapatan negara tanpa menyentuh rakyat biasa. Setanding Glokal..

    BalasPadam