Selasa, 23 Februari 2010

BERJIWA BESARLAH WAHAI BANGSAKU!

Bangsa yang berjiwa kecil akan sentiasa berada dalam ketakutan. Bangsa yang berjiwa kecil biar pun menjadi 'tuan' di tanahair sendiri, punyai hak keistimewaan yang tersendiri, punyai raja berdaulat yang menaungi survival bangsa, punyai kekayaan sumber alam dan punyai agama samawi yang diiktiraf manusia sejagat akan sentiasa takut dengan pendapat dan 'pandangan serong' bangsa lain yang dirasakan lebih besar.
Bangsa yang berjiwa kecil akan diwakili oleh pemimpin yang juga kecil jiwanya. Tanda-tanda betapa pengecut, bacul dan bebalnya pemimpin berjiwa kecil ialah tidak yakin tentang keupayaan agama dan budaya sendiri dalam menguruskan kehidupan. Dalam konteks bangsa 'Mangkok' umpamanya pemimpin yang berjiwa kecil tidak yakin yang bahasa 'Mangkok' akan berupaya menjadi bahasa ilmu dan mampu tersebar ke seluruh pelosok dunia. (Barangkali itulah sebabnya mereka terus menjadi mangkok hayun).
Dalam konteks agama pula pemimpin yang berjiwa kecil tidak yakin undang-undang yang terbit dari panduan tuhan dan agamanya sendiri adalah hukum adalah sahih dan berupaya mendidik umat manusia sejagat. Undang-undang atau hukum bertujuan mengatur hidup manusia agar lebih berdisiplin dan tidak menggugat kesejahteraan orang lain atau mengganggu ketenteraman awam. Matlamat pencapaian disiplin ini melalui peruntukan hukum agama kurang diyakini oleh pemimpin yang akalnya kelas bawahan dan pernah terjajah.
Umat yang pernah terjajah akan yakin, patuh dan bangga dengan kaedah disiplin dan undang-undang yang disarankan oleh bekas tuan mereka. Jika bekas tuan mereka sarankan agar disebat para pesalah maka itu yang diyakini sebagai betul biar pun dalam hukum agama dan budaya sendiri kaedah hukuman sedemikian telah pun disarankan.
Maka tidak hairanlah bila pemimpin yang bertaraf Menteri di tanahair 1Malaysia ini mahu supaya hukuman terhadap tiga pesalah wanita diberikan penerangan yang jelas untuk elakkan 'tanggapan serong' masyarakat antarabangsa. Pemimpin tersebut merasakan pihak yang menghukum menggunakan kaedah syariah itu telah melakukan kesalahan yang boleh mendatangkan aib kepada baagsa dan menyebabkan tanggapan serong umat manusia sejagat. Hukuman tersebut adalah hukuman syariah yang dilakukan ke atas wanita yang dirasakan tidak patut berdasarkan fahaman yang diambil dari paradigma penentang hukuman syariah.
Perasaan malu, bersalah dan rendah diri dalam membuat keputusan dan melaksanakan keputusan mengikut undang-undang acuan budaya dan agama sendiri adalah corak pemikiran bangsa terjajah yang berjiwa kecil. Bangsa sebegini nantinya akan merasa yakin diri bila bekas tuan besar mereka akan gunakan kaedah sama pada masa akan datang. Ambillah contoh yang mudah-mudah umpamanya dahulu masyarakat barat begitu skeptikal dengan janggut dan dianggap tidak kemas. Namun kini bila seleberiti mereka mula berjanggut ia menjadi ikutan anak bangsa dunia ketiga yang pernah terjajah -tanpa mengira agama dan bangsa.
Percayalah jika satu hari nanti isteri Perdana Menteri Britain memakai tudung kepala yang menutup aurat (dari perspektif Islam) maka akan berduyun-duyunlah anak-anak gadis hatta makcik dan nenek kaum ibu satu bangsa akan mengenakan tudung. Selama ini mereka lebih gemar berselendang yang disangkutkan di bahu dan sangat rendah diri dan rasa 'kekampungan yang mendalam' untuk menutup aurat biar pun mereka solat 5 waktu setiap hari. Bangsa yang berjiwa kecil sebegini tidak akan mampu pergi lebih jauh bahkan untuk bersaing di peringkat saringan pun mereka tidak akan mampu.
Marilah kita terus melihat dan mengkaji bangsa yang berjiwa kecil itu -adakah semakin besar jiwanya atau semakin kerdil. Marilah kita perhatikan manakala yang jantan-jantannya akan jadi pemberani atau akan luruh telur masing-masing bila berdepan pencabar! Wahai konsultan dari bangsa besar Amerika dan Britain ajarlah umat Melayu ini agar lebih yakin diri. Tidak mengapa kenakan caj RM10K satu jam benkel atau ceramah agar mereka sedar dan tahu bahawa hukuman syariah sebat terhadap wanita Islam umpamanya adalah betul dan sah dari perspektif budaya dan agama umat Melayu 1Malaysia ini! Ajarkan mereka agar lebih tahu melayani tanggapan serong masyarakat antarabangsa. yang penting ajarkan mereka akan tidak terus kecut (telur) bila berhadapan dengan orang atas angin seperti tuan-tuan. Jangan bimbang mereka tidak akan menjajah tuan-tuan nantinya sebab mereka patuh dan hornat pada tuan-tuan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan