Selasa, 16 Mac 2010

PERIHAL FITNAH, BEBAL DAN NAIF

Ada beberapa hal menarik sekitar kenyataan demi kenyaatan yang dikeluarkan oleh YB Lawyer Zulkifli Noordin, MP Kulim-Bandar Baharu. Jangan dilihat dari perspektif politik semata-mata. Selidiki secara berhemah atas pertimbangan pendidikan politik, psikologi dan dakwah.
1. Adakah kenyataan demi kenyataan beliau itu dapat menggambarkan kearifan beliau dalam berpolitik atau sekadar membuka dan menelanjangi kehebatan akalnya selama ini. Adakah ini menggambarkan beliau terdesak atau terus 'maintaian'?
2. Adakah kenyataan demi kenyataan beliau itu dari sudut dakwah dan siasah bakal menimbulkan lebih banyak fitnah terhadap Islam dan dengan mudah diambil kesempatan oleh musuh politik Islam?
Tanpa melihat kepada kehebatan beliau sebagai 'lawyer', MP yang berani bersuara sebenarnya bijak bebal atau naif? Barangkalai MP Bagan Serai dilihat dan boleh dianggap tidak sepintar MP Kulim ini, kelurusan beliau dapat dibaca dengan mudah. Perihal kebebalan dapat dilihat dengan jelas apabila alasannya keluar parti disebabkan PKR tidak pedulikan Islam merujuk kepada isu kalimah Allah. YB Kulim ini juga punyai alasan yang lebih kurang sama dan dilihat boleh diterima umum disebabkan istiqamahnya beliau dalam isu ini sejak awal lagi.
Apa yang ingin kita lihat sekarang apakah perjuangan YB Kulim itu bertepatan dengan metod atau uslub dakwah yang sepatutnya. Apakah dengan melanggar disiplin parti atas alasan siasah itu dapat diterima biar pun dakwah akan terdedah kepada fitnah? Seharusnya khalayak diberi faham bahawa usaha dakwah dalam era global ini perlu bersifat jama'i -melainkan jika umat manusia ini perlukan Rasul dan Islam yang baharu. Ini ketentuan Allah Taala. Buat masa ini Muhammad Rasulullah adalah penutup para nabi dan rasul. Maka dakwah kini adalah mempertahankan katimul rasul itu secara kolektif dan jika seorang diri berdakwah maka kerja itu akan jadi sia-sia. Dakwah kini adalah penerusan mesej sedia ada bukannya membawa berita baharu. Kerja dakwah fardi cara Zul Noordin tidak perlu dibuat. Maka seandainya beliau mahu berjaung dan berdakwah maka perlulah berjamaah dan dalam konteks Malaysia pihak gerombolan sudah tidak dipercayai untuk perjuangkan Islam secara total. Islam gerombolan yang bersifat kosmetik (mungkin juga syiar) bina masjid atau majlis tilawah tahunan mungkin boleh. Islam atas dasar kefahaman dan hikmah yang boleh memberikan kerahmatan bukan tugas dan kemahuan gerombolan sekular tersebut.
Seandainya Zul Noordin pergi kepada barisan bebas bersama Ibrahim Ali atau Perkasa atau Perkida, kebebasan berdakwah itu ada tetapi kekuatan jamaah itu amat rapuh. Hari ini mungkin Ibrahim Ali cakap Islam itu 'the way of life' dan esoknya Ibrahim Ali akan jadi ketua fasis assabiyah pula! Tidaklah beerti kita mengatakan PR itu pejuangannya Islam tulen tetapi berdasarkan apa yang ditawarkan nampaknya biah(suasananya) untuk berdakwah adalah lebih baik di dalam PR. Tidak mustahil suatu hari nanti LimGguan Eng akan masuk Melayu (Islam) kerana terpesona dengan keperibadian politikus Islam yang bersamanya. Kita katakan tidak mustahil di sini ditambah dengan usaha dakwah yang berterusan dijalankan. Maka tindakan Zul Noordin untuk membiarkan dirinya ditolak PKR bukanlah bijak sangat biar pun hakikatnya beliau memang seorang yang bijak.
Dalam berpolitik kebijaksanaan akliah perlulah disepadukan dengan kreativiti dan pengalaman siasah agar tidak terlalu naif atau kelihatan bebal. Umum melihat bahawa Zul Noordin punyai fikrah yang baik tentang Islam tetapi tidak licik bersiasah hinggakan boleh menjatuhkan Islam ke kancah fitnah. Namun siapa tahu kenaifan yang dilihat dan kebebalan yang ditanggap itu adalah langkah-langkah bijak Zul Noordin ke arah kecemerlangan bersiasah. Siapa tahu suatu hari nanti beliau akan melakukan 'come back' yang betul-betul mendatangkan kesan berganda (hi-impact) - dan kita mengharapkan begitu sebenarnya. Namun sebelum tiba detik itu umum tetap melihat dan menanggap Zul Noordin telah membuka ruang fitnah dalam konteks dakwah manakala dalam perjuangan demokrasi dan politik baharu beliau adalah pengkhianat rakyat.
Sama-samalah kita saksikan kesan tindakan Zul Noordin ini sama ada satu kelicikan dan kepintaran akliah yang tersirat atau memang jelas satu kebebalan!

Sabtu, 13 Mac 2010

BANGSA YANG PENGECUT

Pengecut ertinya takut, bacul, tidak berani atau koro. Dalam ungkapan bahasa pasar yang paling kasar ialah 'jantan tidak ada teloq'. Bangsa yang pengecut tidak berani menampilkan apa-apa yang menjadi teras dan warisannya sendiri kerana menganggap masyarakat antarabangsa akan keliru dan gagal memahaminya dan memandang serong pada akhirnya. Walaupun bangsa itu punya bahasa pertuturan sendiri, namun tatkala berinteraksi dengan 'masyarakat antarabangsa' mereka akan berasa kecil dan hina diri untuk bertutur dalam bahasa kepunyaan sendiri. Sesama mereka pun jika tidak berada di negeri sendiri (atau di ceruk pedalaman jika di tanahair sendiri) mereka akan bangga menggunakan bahasa satu bangsa yang pernah menjajah mereka beberapa kurun yang lalu.
Bangsa sebegini jika punyai saluran media sendiri mereka lebih gemar menayangkan bual bicara tentang idealisme negara bangsanya menggunakan bahasa orang asing. Menteri dan pemimpin mereka akan berbangga berucap dan bercakap dalam sidang akhbar menggunakan bahasa yang asing bagi rakyat sendiri. Natijahnya menteri itu akan kelihatan bijak dan terkehadapan (advanced istilah tepat dan bestarinya!). Rakyat terpaksa membaca sari kata untuk memahami apa yang diucapkan menteri yang sebangsa dengan mereka. Di antara lawak penyiaran yang amat lucu di mana-mana negera pun ialah apabila dua orang rakyatnya berbual-bual berkenaan topik pakaian mandi umpamanya dalam bahasa yang masyarakat umum tidak faham atau jarang gunakannya dan terpaksa membaca 'subtitle'. Bangsa tersebut bukan sekadar tidak punyai keyakinan terhadap bahasa sendiri bahkan pengecut dan bacul.
Dalam hal ehwal perundangan pula apabila mahu jalankan sesuatu hukuman yang telah pun termaktub dalam undang-undang negara sampai pada satu tahap mereka merasa tidak yakin dengan keputusannya. Mereka takut dipandang serong masyarakat antarabangsa. Dalam sebuah negara yang menonjol keberanian pemimpinnya di mata dunia ambil contoh satu kes. Seorang wanita telah dijatuhi hukuman sebat dan beliau rela dan tidak mahu membuat sebarang rayuan. Apabila tiba masa untuk pelaksanaan hukuman timbul pula masalah tidak ada tukang sebat. Hukuman ditangguhkan manakala dalam tempoh tersebut para pemimpinnya dan NGO masing-masing (yang memang hebat akalnya tetapi ada sisinya kelihatan mangkuk hayun) setiap hari membina pandangan umum untuk menolak bentuk hukuman sedemikian.
Sang wanita tadi yang pasrah dengan hukuman tersebut tetap tidak mahu berganjak dari keputusannya untuk tidak membuat rayuan manakala dari perspektif NGO dan Menteri Wanitanya keputusan tersebut adalah sangat bangang dan di luar pencapaian manusia bertamadun. Selanjutnya wanita tersebut dijemput menghadap Pihak Istana dan pada akhirnya nanti diharapkan proposal hasil 'pertemuan empat mata' tersebut akan berkeputusan begini : 'Wahai wanita! Kamu diampunkan oleh beta kerana kamu wanita tidak boleh disebat! Wahai sekalian rakyat, beta lepaskan wanita ini dari hukuman tersebut". Semua rakyat yang hina dina dari professor hingga yang buta huruf termasuk NGO serta Menteri Wanita yang bijak dan berani itu gembiralah dengan keputusan tersebut.
Persoalannya apakah bangsa tersebut boleh diterima sebagai satu bangsa yang hebat dan punya jati diri sendiri? Disebabkan orang Amerika, Eropah atau badan hak asasi dunia rasa 'tidak gembira' maka hukuman tersebut dicari jalan agar tidak terlaksana. Dibimbangi nanti akan dituduh ketinggalan zaman, macam taliban atau gagal sertai masyarakat dunia yang bertamadun maka hukuman sedemikian dibatalkan. Bangsa sedemikian merasa punyai 'kecapaian' selaras masyarakat dunia namun jiwa besar dan jati dirinya gagal menampilkan kepada dunia apa-apa pun kenaikan yang bersumberkan warisan bangsa. Mereka hanya mahu bertaklid kepada masyarakat dunia. akal bawah sedar mereka hanya mahu ditipu dan diperlekehkan. Bangsa sebeginilah yang akan ditertwakan sepanjang hayatnya. Bangsa inilah barangkalinya yang sering melahirkan pejuang palsu !
Amaran -bangsa ini bukannya bangsa 1Malaysia atau mana-mana bangsa yang ada kaitan dengan Melayu dan Perkasa atau Perkida. Jika ada persamaan dalam apa-apa cerita atau bentuk olahan ayatnya hanyalah kebetulan semata-mata.