Sabtu, 13 Mac 2010

BANGSA YANG PENGECUT

Pengecut ertinya takut, bacul, tidak berani atau koro. Dalam ungkapan bahasa pasar yang paling kasar ialah 'jantan tidak ada teloq'. Bangsa yang pengecut tidak berani menampilkan apa-apa yang menjadi teras dan warisannya sendiri kerana menganggap masyarakat antarabangsa akan keliru dan gagal memahaminya dan memandang serong pada akhirnya. Walaupun bangsa itu punya bahasa pertuturan sendiri, namun tatkala berinteraksi dengan 'masyarakat antarabangsa' mereka akan berasa kecil dan hina diri untuk bertutur dalam bahasa kepunyaan sendiri. Sesama mereka pun jika tidak berada di negeri sendiri (atau di ceruk pedalaman jika di tanahair sendiri) mereka akan bangga menggunakan bahasa satu bangsa yang pernah menjajah mereka beberapa kurun yang lalu.
Bangsa sebegini jika punyai saluran media sendiri mereka lebih gemar menayangkan bual bicara tentang idealisme negara bangsanya menggunakan bahasa orang asing. Menteri dan pemimpin mereka akan berbangga berucap dan bercakap dalam sidang akhbar menggunakan bahasa yang asing bagi rakyat sendiri. Natijahnya menteri itu akan kelihatan bijak dan terkehadapan (advanced istilah tepat dan bestarinya!). Rakyat terpaksa membaca sari kata untuk memahami apa yang diucapkan menteri yang sebangsa dengan mereka. Di antara lawak penyiaran yang amat lucu di mana-mana negera pun ialah apabila dua orang rakyatnya berbual-bual berkenaan topik pakaian mandi umpamanya dalam bahasa yang masyarakat umum tidak faham atau jarang gunakannya dan terpaksa membaca 'subtitle'. Bangsa tersebut bukan sekadar tidak punyai keyakinan terhadap bahasa sendiri bahkan pengecut dan bacul.
Dalam hal ehwal perundangan pula apabila mahu jalankan sesuatu hukuman yang telah pun termaktub dalam undang-undang negara sampai pada satu tahap mereka merasa tidak yakin dengan keputusannya. Mereka takut dipandang serong masyarakat antarabangsa. Dalam sebuah negara yang menonjol keberanian pemimpinnya di mata dunia ambil contoh satu kes. Seorang wanita telah dijatuhi hukuman sebat dan beliau rela dan tidak mahu membuat sebarang rayuan. Apabila tiba masa untuk pelaksanaan hukuman timbul pula masalah tidak ada tukang sebat. Hukuman ditangguhkan manakala dalam tempoh tersebut para pemimpinnya dan NGO masing-masing (yang memang hebat akalnya tetapi ada sisinya kelihatan mangkuk hayun) setiap hari membina pandangan umum untuk menolak bentuk hukuman sedemikian.
Sang wanita tadi yang pasrah dengan hukuman tersebut tetap tidak mahu berganjak dari keputusannya untuk tidak membuat rayuan manakala dari perspektif NGO dan Menteri Wanitanya keputusan tersebut adalah sangat bangang dan di luar pencapaian manusia bertamadun. Selanjutnya wanita tersebut dijemput menghadap Pihak Istana dan pada akhirnya nanti diharapkan proposal hasil 'pertemuan empat mata' tersebut akan berkeputusan begini : 'Wahai wanita! Kamu diampunkan oleh beta kerana kamu wanita tidak boleh disebat! Wahai sekalian rakyat, beta lepaskan wanita ini dari hukuman tersebut". Semua rakyat yang hina dina dari professor hingga yang buta huruf termasuk NGO serta Menteri Wanita yang bijak dan berani itu gembiralah dengan keputusan tersebut.
Persoalannya apakah bangsa tersebut boleh diterima sebagai satu bangsa yang hebat dan punya jati diri sendiri? Disebabkan orang Amerika, Eropah atau badan hak asasi dunia rasa 'tidak gembira' maka hukuman tersebut dicari jalan agar tidak terlaksana. Dibimbangi nanti akan dituduh ketinggalan zaman, macam taliban atau gagal sertai masyarakat dunia yang bertamadun maka hukuman sedemikian dibatalkan. Bangsa sedemikian merasa punyai 'kecapaian' selaras masyarakat dunia namun jiwa besar dan jati dirinya gagal menampilkan kepada dunia apa-apa pun kenaikan yang bersumberkan warisan bangsa. Mereka hanya mahu bertaklid kepada masyarakat dunia. akal bawah sedar mereka hanya mahu ditipu dan diperlekehkan. Bangsa sebeginilah yang akan ditertwakan sepanjang hayatnya. Bangsa inilah barangkalinya yang sering melahirkan pejuang palsu !
Amaran -bangsa ini bukannya bangsa 1Malaysia atau mana-mana bangsa yang ada kaitan dengan Melayu dan Perkasa atau Perkida. Jika ada persamaan dalam apa-apa cerita atau bentuk olahan ayatnya hanyalah kebetulan semata-mata.

1 ulasan:

  1. Terima kasih kerana masih sudi menjamah di premis hamba....maklumlah tak sesedap hidangan 5 bintang.

    he he he......selamat berkarya!

    BalasPadam