Ahad, 23 Mei 2010

AL-ARQAM -MANIFESTASI UMAT YANG KELIRU

Pemimpin utama al-Arqam (Encik Asaari Muhammad -panggilan yang disengajakan oleh bekas Jeneral yang pegang Pusat Islam suatu ketika dahulu) telah meninggal dunia. Namun bagi sesetengah pengikutnya ada yang mengatakan beliau hanya ghaib untuk sementara dan akan muncul kembali. Islam Melayu secara umum menafikannya -jika menurut lidah pemimpin mereka. Namun demikian Islam Melayu - sama seperti faham Syiah Parsi- tetap menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa. Islam Melayu dan Syiah Parsi percaya yang ada pemimpin umat ini pernah hidup suatu ketika dahulu dan ghaib. Imam atau nabi tersebut akan kembali muncul memimpin manusia melawan dajjal. Syiah menunggu Imam kedua belas mereka yang ghaib semasa kecil. Islam Melayu dan Islam bukan Syiah lainnya menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa. Semua ynag ditunggu itu akan muncul semula pada saat-saat akhir dunia sebelum berlakunya kiamat.
Dalam fahaman al-Arqam pula Pemuda Bani Tamim yang hilang akan muncul semula untuk menyelamatkan umat Islam dari kesesatan. Menurut analisis yang telah dibuat Pemuda Bani Tamim itu akan lahir di Timur dan paling tepatnya Tanah Melayu dan yang paling hampir kepada maksudnya pastilah pemimpin tertinggi Melayu pertubuhan al-Arqam. Maka diwujudkan citra bahawa arwah 'En. Asaari' itu hilang ghaib sahaja dan akan muncul kembali. Kemunculan Imam Mahdi dalam kelompok Wahabi juga berlaku iaitu pada musim haji tahun 1400 Hijrah dan hampir berjaya menawan Masjidil Haram. Namun Imam Mahdi tersebut telah ditembak mati oleh polis Arab Saudi. Imam Syiah yang bakal muncul telah dibuat modifikasi kefahaman dengan memunculkan Ayatollah ruhullah sebelum tibanya Imam Yang Ditunggu' yang sebenar.
Pemuda Bani Tamin dan Imam Ke-12 Syiah dihukumkan sebagai fahaman sesat oleh pemimpin dan ulama Melayu. Namun pemimpin dan ulama Melayu percaya akan turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa yang ghaib dan diangkat ke langit oleh Allah. Pemimpin, ulama dan umat Melayu langsung tidak melihat konflik dalam konteks ini kerana mereka hanya meyakini kebenaran yang mereka pegang semata-mata. Melayu Islam percaya kepada faham Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari galur al-Asya'irah dan mazhab fiqh as-Shafie. Melayu Islam menolak segala jalur fahaman yang lain sama ada Wahabi, Syiah dan lebih-lebih lagilah faham yang menerbitkan citra Pemuda Bani Tamim itu.
Tidak percaya kelahiran semula pemimpin Islam yang lain tetapi tetap percaya adanya kemunculan tersebut dari pihak sendiri. Inilah bentuk konflik pemikiran yang tidak dapat diputuskan dengan wajar oleh Melayu Islam. Memang Melayu Islam tidak percaya sama sekali 'inkarnisasi' seperti mana faham Hindu atau Buddha tetapi Melayu menunggu kelahiran semula seorang insan istimewa pada penghujung hayat dunia ini. Bukan mempertikaikannya tetapi apabila pemimpin Melayu Islam memandang rendah idea kelahiran Pemuda Bani Tamim tanpa justifikasi bersifat ilmu maka hal tersebut perlu disoal lanjut. Apakah penafian tersebut disebabkan mahu menghapuskan sama sekali citra Pemuda Bani Tamim itu yang bersifat pentadbiran dan siasah? Kenapa tiada alasan ilmiah yang boleh menambahkan kefahaman umat Melayu yang lain. Kenapa yang itu salah dan yang ini benar sedangkan ideanya sama?
Sesunguhnyalah tubuh al-Arqam itu seperti kelab poligaminya yang diremehkan, dihentam dan ditertawakan namun pada hakikatnya amat digemari pemimpin, ulama dan umat Melayu (termasuk pembuat undang-undang Melayu) manakala dalam bab yang lain juga berupaya mewujudkan konflik dan kekeliruan yang berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan