Khamis, 6 Mei 2010

PERIHAL MELAYU vs ISLAM

Melayu dan Islam berbeza dan berseterukah? Bukankah para sarjana bersepakat yang Melayu adalah sinonim dengan Islam. Bukankah alam Melayu itu terlalu akrab dengan Islam. Dalam Perlembagaan 1Malaysia (perkara 160(2) pun ditegaskan yang orang Melayu ialah seorang yang berketurunan Melayu dan beragama Islam serta mengamalkan adat istiadat Melayu. Ertinya jika tidak Islam maka tidak boleh jadi Melayu. Seseorang yang masuk Islam dalam pengertian masyarakat Melayu mereka adalah 'masuk Melayu'. Seseorang lelaki yang berkhitan bagi menyempurnakan keIslamannya disebut 'masuk jawi' yang juga beerti masuk Melayu.

Maka di mana pertentangan antara Melayu dan Islam itu? Melayu dan Islam barangkali tidak sedar yang mereka berseteru -dengan dahsyatnya! Perancang dan perunding APCO serta pembesar Zionis di Tel Aviv barangkalilah pihak yang paling tahu hal ini. Mereka tentu tidak akan beritahu Melayu atau Islam yang kedua-duanya sedang berkonflik itu. Kalau diberitahu habislah modal mereka, susahlah mahu dapat projek. Melayu dan Islam memang tidak sedar yang kebebalan mereka adalah sumber duit kepada orang lain yang nampak dan yang lebih cerdik. Ertinya perpecahan dan perseteruan adalah ibarat lubuk emas kepada 'musuh' tetapi musuh itu tidak disedari oleh pihak yang berseteru.

Mari kita buka wacana ringkas berkaitan perseteruan tersebut secara perbandingan. Mari kita wakilkan Melayu itu kepada songkok hitam dan Islam pula kita wakilkan kepada kopiah putih. Mana-mana Melayu yang gemarkan songkok maka mereka Melayu tulen, manakala yang gemarkan kopiah maka mereka Islam. Songkok dan kopiah akan sentiasa berseteru sebab warnanya yang sangat kontras. Namun songkok memang sedar yang mereka itu hitam dan lambang kejahatan bahkan mereka akui mereka jahat. Apabila kopiah yang putih itu membuat kerja yang sama seperti mereka maka songkok hitam akan kata kepada kopiah
" hah..kamu sudah jadi seperti kami! Kamu sudah jahat tetapi masih pakai kopiah!"
"Kamu tidak boleh buat ini terutama dalam masjid kalau demi kepentingan kopiah kamu. Tengoklah kami tidak pernah pun perjuangankan songkokisme kami dalam masjid walau pun kami Islam sama seperti kamu . Kamu mempergunakan masjid untuk idealisme kopiah kamu! Kamu salah dan kami betul sekarang!"

Analogi atau cerita tersebut mungkin sukar difahami mat salleh zaman Birch atau Henry Gurney. Itu analogi yang menggunakan unsur, lambang serta pemikiran Melayu dan Islam. Namun demikian semuanya itu difahami dengan jelas oleh APCO dan Zionis zaman kini manakala Melayu dan Islam di sini yang tidak faham-faham. Begitulah hakikatnya Melayu dan Islam di tanahair 1Malaysia ini. Mereka tidak faham hak dan jati diri sendiri. Memamglah mereka itu Melayu dan Islam serentak tetapi mereka keliru yang amat sangat kenapa terjadi begitu. Sebab itulah Melayu dan Islam berseteru. Sebab itulah mereka dilihat sebagi bebal dan hampir dungu. Sebab itulah Melayu misalannya terpaksa upah orang luar sejumlah RM77 juta untuk naikkan imej Melayu dan mungkin akan rendahkan imej Islam. Sebab itulah Islam sanggup bayar RM4 juta untuk rendahkan imej Melayu dan naikkkan imej Islam. Mereka tidak sedar yang mereka itu satu dan kekuatan mereka ada dalam kesatuan itu. Mereka juga tidak begitu sedar yang kesatuan itu tidak perlu pun didaftarkan sebagai perkasa, pertiwi, perwira dan sebagainya. Mereka hanya perlu tahu yang Melayu dan Islam itu punyai bahasa, cara hidup dan jati diri yang mampu menggugat dunia. Melayu patut tahu yang taraf mereka bukan kuli kepada mana-mana cukong atau tauke yang bukan selain mereka sebagai mana hakikat yang ada kini.

Ayuh Melayu dan Islam jadilah diri sendiri. Tidak perlu pun kesatuan atau majlis tetapi jangan jadi bebal dan dungu. Jangan biarkan diri jadi bidak tetapi jadilah pencatur - sekurang-kurangnya untuk agama dan bangsa sendiri. Itu sahaja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan