Selasa, 1 Jun 2010

BELIA DAN ROKOK

Saya terbaca data-data menarik ini mengenai hubungan antara remaja dan rokok antaranya :-
1. Setiap hari 40-50 orang remaja Malaysia di bawah umur 18 mula merokok.
2. 30% remaja lelaki di Malaysia berumur 12-18 tahun menghisap rokok.
3. Kajian pada tahun 2004 menunjukkan hampir seorang dari lima remaja adalah perokok dan
statistik sentiasa bertambah setiap tahun.
4. Secara kasar setiap hari antara 60 -100 ribu remaja dunia mula merokok dan separuh
daripadanya adalah dari Asia.

31 Mei merupakan Hari Bebas Tembakau dan 2 minggu sebelum itu iaitu pada 15 Mei adalah Hari Belia Negara, manakala pada 16 Mei merupakan Hari Guru. Rokok, belia dan guru sememangnya ada pertautan dan ada hubungan yang jelas. Memang patut pun sambutan hari-hari tersebut berlaku dalam bulan Mei. Kita tidak perlu melihat jalinan hubungan yang luas -cukup sekadar dalam konteks sekolah pun makna hubungan tersebut dapat dihuraikan.
Komunikasi antara belia dan guru pasti berlaku dalam persekitaran sekolah dan rokok juga sering mencelah bagi merancakkan makna hubungan tersebut. Rokok dilarang sepenuhnya dihisap atau dijual dalam kawasan sekolah, tetapi remaja yang bebal dan angkuh akan membawa dan menghisap rokok ke dalam kawasan sekolah. Guru yang bebal dan alpa akan merokok di dalam kawasan sekolah. Namun makna bagi tindakan tersebut bagi guru dan pelajar terbabit barangkali antaranya adalah kepuasan - hati dan akal sendiri.
Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya ada pelajar yang merokok bersama gurunya di luar persekitaran sekolah -bahkan saling melayani sesama mereka. Merokok di kalangan belia bukan satu gejala tetapi penyakit sebenarnya. Pesakit perlu dirawat sama ada psikologi mahu pun fisiologinya. Memerangi tembakau adalah satu usaha dari sudut psikologi. Membanteras sumber rokok iaitu tembakau pula merupakan satu usaha lain. Masalahnya tembakau sampai hari ini masih ditanam dan bahkan lembaga khas diwujudkan untuk memayungi usaha penanaman tembakau di negara ini.
Belia dan tembakau sejak dahulu tidak dapat dipisahkan. Belia dikatakan akan lebih mengenali alam dewasa dan dunianya melalui asap yang dikeluarkan oleh sebatang rokok. Apa pun kempen dan teknik yang cuba menakut-nakutkan belia agar menjauhi rokok tidak pernah berkesan. Katakan 'Tak Nak', lakarkan keburukan dan segala jenis penyakit pada kotak rokok atau naikkan cukai rokok agar harga rokok melambung tinggi -semuanya kempen-kempen yang tidak berkesan kepada remaja. Lelaki yang dewasa dan ada rasa bertanggungjawab mungkin cuba berhenti atau cari alternatif lain rentetan kenaikan harga rokok yang melambung. Namun remaja akan bersikap tidak apa dan akan begitu sahaja tindakannya kerana mereka tidak merasai tanggungjawab dan terbeban sebagai perokok. Mereka pilih seronok berbanding berfikir untuk hidup lebih sejahtera dan bermakna.
Persoalannya mana lebih utama dan perlu dibaiki sebenarnya. Penguatkuasaan larangan rokok serta kempen bahaya rokok atau membuat modifikasi tingkah laku dan pemikiran remaja itu sendiri? Tentu kedua-duanya sama-sama penting dan guru adalah antara penggerak ke arah kejayaan hasrat tersebut. Belia, Rokok dan Guru yang diraikan pada bulan Mei sepatutnya menjadi sebesar-besar ibrah dan hikmah untuk seluruh rakyat 1Malaysia bukan sekadar diraikan semata-mata - seperti mana yang telah berlaku dan berlalu selama ini. Kekusutan ini sukar dicari penyelesaiannya jika hanya berfikir dari sudut fikir belia atau atas kehendak orang tua pada perspektif yang lain. Ertinya perlu ada sinergi untuk capai kejayaan yang sebenarnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan