Selasa, 16 November 2010

AIDILADHA -SELAMAT BERKORBAN

Korban atau dalam istilah PPSMI sacrifice adalah satu bentuk perlakuan yang amat besar kesan maknanya. Korban boleh membawa kepada kematian. Korban sering dikaitkan dengan perasaan dan sering bersifat ritual. Sepanjang perjalanan hidup kita akan temui orang berkorban, dikorbankan atau terkorban. Ibubapa memang sah berkorban untuk kebahagiaan anak-anak. Kekasih berkorban untuk pasangannya apa sahaja yang boleh dikorbankan.
Yang terkorban dan dikorbankan kelihatan malang dalam situasi korban ini. Anak-anak muda yang merempit tidak ketahuan kalu  biasanya akan terkorban di atas jalanraya. Politikus yang jurus dan bendul akan dkorbankan rakan separti demi kepentingan rakyat dan negara. Ada puak yang terpalsa dikorbankan demi kepentingan puak lain. Manusia mengorbankan manusia nampak jelek sekali tetapi itu hakikat apa yang terjadi.
Umat Islam mengorbankan binatang ternak sebagai manifestasi kesyukuran terhadap Allah Taala. Penganut agama dan isme selain Islam pun ada konsep korban masing-masing. Pengorbanan yang luhur dan ikhlas sukar didapat kerana biasanya hari ini oarang kaya yang berduit berlumba-lumba untuk berkorban binatang ternak. Yang malang sekali ibadat korban ini pun dijadikan umpan oleh orang politik untuk mempamerkan altruisme dan amal ibadat mereka. Bukan orang kaya dan orang politik tidak boleh berkorban tetapi situasi yang wujud sekian lama membentuk pandangan umum betapa pengorbanan orang politik adalah tidak ikhlas. Pengorbanan saudagar hanyalah sebagai iklan. Kerja korban seniman adalah untuk raih populariti. Masyarakat sudah hilang kepercayaan terhadap ibadat korban. Maka dengan demikian status keluhuran dan hikmah korban akan hilang. Ini masalahnya bila akal tidak digunakan untuk memahami hikmah perintah Allah Taala. Bila perasaan lebih mendahului akhirnya ibadat akan jadi lagha. Ini masalah masyarakat jahiliyah gaya moden!