Sabtu, 26 Mac 2011

RAJA ADIL DAN RAJA ZALIM

Ungkapan perbidalan Melayu "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah" memang teramat mendalam dan sungguh bermakna kepada bentuk dan kelangsungan  kepemimpinan Melayu. Keadilan boleh akur dan dituruti seumur hidup, kejahatan dan kezaliman pemimpin patut dibuang jauh dari menguasai masyarakat. 
Namun citra adil dan zalim itu menjadi semakin kabur dan sukar dimengerti. Konsep yang memang sudah abstrak itu dikaburkan lagi oleh gazwah fikriah oleh pemimpin batil lagi zalim. Pemimpin yang zalim akan memastikan seluruh pengikutnya berterusan kabur dan lekeh tahap pemikiran seluruhnya. Biar pemimpin seorang sahaja yang cerdik dan yang lain-lainnya biarlah jadi baghal dan terus bahlul. Maka  mana-mana pengikut yang banyak bertanya atau berfikiran kritis dan kreatif, maka mereka patut dicantas kerana mereak inilah yang akan mencabar kekuasaan sedia ada pemimpin tersebut.
Pihak kuat akan dipotretkan sebagai adil seadil-adilnya. Pihak yang lemah akan disurahkan sebagai zalim dan seteru masyarakat. Pihak yang kuat dan batil akan dipastikan menang dalam percaturan memimpin agar pemimpin akan lebih mudah mengambil apa sahaja.
Pada zaman raja-raja Melayu dahulu kala siapa yang taat kepada raja akan beroleh laba dalam bentuk persalinan atau kedudukan. Rakyat  yang taat akan ikut apa sahaja kehendak raja. Jika raja mahu anak bini rakyat dijadikan gundik maka tiada kuasa yang dapat menghalangnya. Jika dikumpul sekalian dukun dan pawang pun tidak akan berjaya kerana sihir dan daulat raja melebihi segala-galanya. Raja adalah jelmaan tuhan di atas muka bumi. Raja punya segalanya dan boleh memanipulasi segalanya. Kekuatan raja atau istana membawa erti raja tersebut tersangat adil. Tiada yang berani menentang kerana semua rakyat jelata adalah hina dina dan bodoh baghal belaka. Tiada seorang pun rakyat yang akan dibiarkan menjadi kaya dan bijaksana kecuali sebahgian kecil juak-juak atau kroni istana. Maka segala harta benda adalah milik raja dan kroni raja. Hanya pembesar berhak mengutip tol bagi pihak raja. Rakyat tidak diberikan geran tanah . Yang berhak hanyalah datuk-datuk orang kaya kerabat istana sahaja. Siapa yang cerdik sedikit akan dipastikan menjadi sehina-hinanya.
Citra raja-raja itu berlaku barangkali sejak manusia memulakan tamadun lagi iaitu sejurus selepas tamat era flinstone. Sejak zaman Mesopotamia dan Mesir purba sudah wujud raja-raja. Mereka  yang pada awalnya mungkin baik dan beriman namun pada akhirnya akhirnya menjadi tersangat zalim. Firaun, Namrud dan sultan-sultan di serata ceruk dunia semuanya menjadi zalim apabila terlalu lama bertakhta dan punyai kuasa dan harta yang melimpah ruah.
Rakyat tidak berani bersuara kerana mereka takut. Pada zaman Namrud sesiapa yang menentang raja akan dihumban ke dalam api. Pada setiap zaman raja-raja hidupdan berkuasa hingga mencapai tahap zalim. Dalam zaman yang moden dan global ini raja-raja mungkin tidak wujud seperti raja-raja zaman dahulu tetapi sifat dan kezaliman raja-raja dahulu tetap ada.
 Mana-mana pemimpin yang gemar mengumpul harta, yang menindas dan menakut-nakutkan rakyat, yang menjadi tunggangan orang lain, yang gemar membuat komplot dan fitnah maka mereka itulah warian raja-raja zalim zaman dahlu. Di serata tempat dan segenap masa raja zalim pasti wujud. Dalam sejarah Melayu tercatat dua sahaja panglima atau orang istana  yang berani menyanggah raja secara berdepan iaitu Hang Jebat dan Megat Seri Rama, Laksamana Bentan. Maka Hang Jebat dan Megat Seri Rama menjadi derhaka dan pengkhianat bangsa. Gelar demikian raja dan katib istana yang berikan bukannya hikmah dari sejarah. Marilah kita belajar sejarah dan berkata " lebih mulia menjadi jebat dariapada sedia menadah darjat!" 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan