Sabtu, 14 Mei 2011

KRISTIAN SUDAH PUN MASUK DALAM RUMAH 1MELAYU!

Isu panas "Kristian Agama Rasmi'  1Malaysia yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia dihangatkan lagi oleh ahli-ahli politik sama ada yang sempit atau jelas wawasannya. Rakyat yang berfikir dapat menilai siapa politikus yang sempit akal dan mana yang penuh hemah dan bertanggungjawab. Tidak kira dari sudut pendirian mana ahli politik atau 'intelektual-politik'  mengeluarkan hujah, jika kata-kata mereka hanya menambahkan kusut emosi dan akal maknanya mereka itu sama ada hanya mengambil kesempatan atau memang dangkal isi fikirnya.
Jika mereka berkata " cita-cita "Kristian Agama Rasmi' itu sangat berbahaya kepada keselamatan negara dan rakyat perlu menentangnya!" ertinya mereka mengapi-apikan perasaan sesetengah kelompok. Jika mereka berkata 'hasrat tersebut tidak patut dan tidak sesuai dalam konteks negara ini" kelihatannya daya fikir mereka sangat dangkal. Jika mereka berkata "ini cita-cita politik perkauman...." lagilah menampakkan hampir sifarnya daya taakulan akal mereka.
Tidak kira Ibrahim Ali dengan PERKASAnya atau PERKIDA atau Dr. M dengan "apa namanya" atau siapa dan apa sahaja yang masuk campur dalam isu dengan niat untuk menyedarkan atau pun mengapi-apikan perasaan orang Melayu/Islam tentang bahayanya Kristian di atas tanahair 1Malaysia ini, hakikatnya mereka hanya membentangkan ketololan diri sendiri.
Wajar dimaklumkan bahawa Kristian, Yahudi, Hindu dan apa jua agama tidak perlu pun menjadi agama rasmi di atas tanahair 1Melayu ini kerana sejak kejayaan Laksamana Afonso d'Albuquerque menawan Melaka tanggal 24 Ogos 1511 agama Kristian telah pun mula masuk ke dalam kelambu orang Melayu. Rakyat 1Bumi 1Melayu mungkin tidak sedar atau memang khayal kerana dalam tempoh 500 tahun  sudah banyak nilai, kepercayaan dan jati diri Melayu telah ditransformasikan menjadi Kristian. Misalanya dahulu anak Melaka dan seluruh Nusantara menulis menggunakan tulisan jawi dan dalam abad moden Utusan Melayu menjadi pewarisnya. Kini anak Melayu dan akhbar Melayu itu terasa janggal untuk menulis menggunakan tulisan jawi. Mereka lebih cekap dan teruja menulis menggunakan tulisan Roman atau ABC. Roman itu ada kaitan dengan Empayar Rom dahulu kala yang bahasanya Latin dan agamanya Nasrani. 
Apa kaitannya tulisan Roman dengan Kristian? Dalam disiplin ilmu bahasa khusunya kajian psiko-bahasa dan tulisan tentu akan ditemui bahawa bahasa merupakan salah satu kaedah atau wahana paling berkesan untuk penyebaran ilmu. Agama juga satu disiplin ilmu. Agama Islam tersebar dengan mudah di Nusantara dengan wahana bahasa Melayu tulisan jawi. Jawi begitu hampir fonem dan sifatnya dengan bahasa Arab yang menjadi teras agama Islam. Maka Jawi layak jadi pewaris bahasa al-Quran iaitu bahasa Arab.  Tulisan Jawi telah lenyap kini (hatta sudah tidak digunakan untuk perjuangan 1Bumi 1Melayu pun!). Tulisan Roman menguasai dunia hari ini. Ilmu dan faham Kristian tentu lebih mudah disampaikan oleh tulisan milik mereka sendiri. 
Mungkin hujah ini kelihatan dangkal tetapi apa yang ingin diberitahu di sini ialah bangsa yang hilang jati dirinya -ertinya hilang bahasa dan bentuk tulisannya- akan mudah diperdaya untuk terima jati diri pihak lain. Bangsa yang hilang jati diri biar pun disokong perlembagaan atau wahyu mereka tidak akan mampu bertahan. Mereka tidak ada kekuatan ilmu untuk membentengi diri. Tanpa akal yang cerdas dan licik emosi boleh dipermainkan dengan mudah. Tanpa perlu menjadi agama rasmi pun anak-anak 1Melayu telah pun teruja memakai nilai Kristian.  Anak Melayu teruja sekali meraikan Happy Birthday, Valentine Day, Happy New Year, sumpah dalam masjid memegang al-Kitab yang semuanya itu berteraskan nilai Kristian. Bukan tidak boleh jadi manusia moden tetapi hakikatnya itu bukannya nilai 1Bumi 1Melayu. Itu nilai moden yang dirintis oleh Laksamana Alfonso yang berteraskan agama orang Roman. Menjadi manusia moden ertinya menerima nilai westen yang teras adalah Kristian! Nilai Melayu/Islam sudah ketinggalan dan memalukan - itu yang ditanam oleh nilai Barat-Kristian tanpa perlukan sokongan perlembagaan negara pun.
Jadi apa lagi yang patut dihujahkan kepada Perkasa, Utusan 1Melayu dan rakan-rakannya? Melayu sudaha pun menghampiri Kristian tanpa sedar biar pun dalam Kad Pengenalan mereka tetap Islam. Kalau nak tahu itulah yang dikatakan Islam pada nama atau Islam baka! Setakat itu sahajakah kekuatan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan! Kah...kah...kah...kah.. Melayu masih tidak faham!