Ahad, 19 Februari 2012

JALUR TIGA @ KUASA KETIGA @ NON-PARTISAN?

Perlu ditimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya Kuasa Ketiga? Perlu diteliti dan difikir secara kritikal adakah Kuasa Ketiga ini satu lagi komponen kuasa politik atau golongan 'atas pagar' yang non-partisan. Pada dasarnya dalam mana-mana masyarakat sivil akan ada dua kuasa iaitu 'pencadang' atau kuasa kerajaan dan kuasa pembangkang. Dalam apa jua sistem politik kerajaan dan pembangkang mesti wujud. Sama ada sistem satu, dua atau pelbagai parti, hakikatnya hanya ada dua kuasa politik yang jelas. Bagi yang tidak memihak ertinya mereka tidak berkuasa dan pendirian mereka tidak terpakai. Mereka hanya ikut saja dan boleh diabaikan sahaja. Mereka tidak penting kerana mereka tidak menyokong mana-mana pihak. Dalam keadaan mereka tidak ambil bahagian apakah suara atau kuasa mereka mempunyai makna?
Akhir-akhir ini ditimbulkan tentang Kuasa Ketiga yang non-partisan. Diandaikan bahawa Kuasa Ketiga ini berupaya menjadi penentu dalam perebutan kuasa yang sedang berlaku. Sama ada andaian ini benar, sipi atau palsu perlulah diteliti dan dibuktikan dengan data. Pada peringkat teori bolehlah diandaikan benar. Ini boleh terjadi sekiranya Kuasa Ketiga itu betul-betul berupaya mempengaruhi masyarakat membuat pilihan yang dikehendakinya. Namun demikian dalam masyarakat dunia ketiga ini adalah diyakini Kuasa Ketiga hanyalah bumbu atau buih-buih yang tidak bermakna.
Masyarakat dunia ketiga secara hakikatnya gagal berfikir dan menilai dengan wajar. Masyarakat dunia ketiga hanyalah pengguna total. Mereka lebih gemar untuk menjadi pengikut. Mereka tidak berminat mengeluarkan walau sekelumit idea. Bukan mereka kemut ilmu tetapi akal mereka tidak sampai ke tahap itu. Jiwa mereka parah disiat pedang penjajah. Mana-mana puak atau gerombolan yang kuat berkempen dan memaksimumkan segala wahana massa yang ada, maka mereka akan menjadi raja. Mana-mana puak tidak kira mata sepet, hitam legam atau hidung kembang jika retorik mereka berupaya membuai rasa maka merekalah pilihan dan mereka akan dapat habuan yang besar.
Mana-mana Kuasa Ketiga atau pun yang berlabel secara khusus seumpama Jalur Tiga hasil cetusan Hassan Aqidah yang mahu berikan alternatif perlulah kuasai kaedahnya sahaja. Kuasa Ketiga dalam negara 1Malaysia tidak perlu idealistik atau berfalsafah. Cukup sahaja beritahu masyarakat bahawa kami mahukan kuasa dan ini tawarannya kepada kamu. Tidak ada maknanya alternatif dalam masyarakat yang pemikirannya terjajah dan kotak akalnya lompong.
Kuasa ketiga dalam masyarakat dunia ketiga dijangka hanya akan beroleh glamour dan syok sendiri sahaja. Jika pun ada pengaruh terpaksalah mereka berkongsi dengan pembangkang atau pencadang. Bersih 2.0 mungkin boleh dilabelkan sebagai Kuasa Ketiga yang berjaya, namun demikian mereka tidak akan begitu gah kalau tidak disokong oleh ahli politik yang real. Kalau Pak Syeikh dan Abang Mat tidak turun padang maka sosok waja dan idealistik Ambiga itu diyakini tidak akan mampu menarik sebegitu ramai manusia yang sanggup menempah kesukaran dan ancaman.
Agak sukar untuk menyesuaikan definisi Kuasa Ketiga dengan situasi masyarakat yang kelas pemikiran juga Kelas Ketiga. Kuasa Ketiga bersumberkan idealisme yang jitu, matlamatnya sampaikan bertahap utopia. Kuasa Ketiga mahu tampil mengimbangi antara dua pihak yang gagah berpencak. Makanya pendokong Kuasa Ketiga mestilah sama kuatnya dengan kuasa pertama dan kedua. Jika tidak jadilah seperti perpatah 'gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Imej pelanduk memang bertepatan dengan konsep Kuasa Ketiga tetapi penampilan wujudnya pelanduk itu di samping bestari perlulah juga besar. Besar jiwa dan akal serta besar jasmaninya. Pendokong dan penyokong Kuasa Ketiga mestilah besar jumlah, jiwa dan akalnya baharulah berupaya menjadi kuasa pendesak mahu pun pendamai yang berjaya.
Jati, Perkasa, Perkida, Tiga Line, Teras, Bersih, KekTaik(di Penang depa kata ada!) dan semuanya yang ghairah atau penuh iltizam janganlah bermimpi menjadi Kuasa Ketiga dalam real politik tanahair 1Malaysia jika hanya beberapa kerat sahaja pendokongnya. Kita perlu lebih ramai dan kaedahnya perlulah lebih rencam dan menyeluruh. Rumusannya wajar dan perlu ada Kuasa Ketiga tetapi bersabarlah dahulu sehingga rakyat negara ini mampu berfikir setaraf masyarakat dunia pertama. Ada minda kelas pertama!