Ahad, 4 Mac 2012

POLITIK SUKU AGAMA SUKU

Politik dan agama adalah bersekali, bukan suku-suku atau terpecah-pecah.
Maksud ungkapan di atas ialah 'barang sesiapa yang beriktikad bahawa 'politik suku, agama suku' ertinya dia adalah seorang yang sekular". Ungkapan seperti di atas diungkap bagi menguatkan fahaman atau aqidah bahawa Islam adalah 'addin' yang lengkap atau syumul.
Sebagai seorang muslim, jika berpolitik secara Islam ertinya tidak menjadikan urusan politik sebagai urusan dunia semata-mata melainkan politik itu adalah ibadat terhadap Allah jua. Faham ini sering diperteguhkan oleh tok-tok guru yang memahami pencerahan, agar virus sekular itu tidak berterusan memenuhi kotak akal seseorang muslim. Lanjutan itu berpolitik secara Islam ertinya segala gerak laku siasah adalah gabungan antara akhlak, aqidah dan syariat Islam. Politik secara Islam bukan namanya siasah semata-mata tetapi berpolitik secara Islam adalah untuk mendapat keredaan dan keberkatan dari Allah Taala.
Kelompok yang mendakwa bersiasah secara Islam perlulah buktikan akhlak dan akalnya selaras dengan Islam. Jika siasahnya Islamik tetapi akalnya serupa atau mirip kaedah kafir laknat yang berprinsipkan 'matlamat menghalalkan apa jua cara' maka politik tersebut akan jadi sia-sia.
Kalau kita perjuangkan akidah umat seperti mana kerja-kerja Hassan Aqidah itu, maka aspek yang boleh merosakkan jamaah Islam perlulah dijaga. Kita perlu taat kepada ketua dengan bai'ah kerana Allah Taala. 'New Deal' atau baiah kita dalam jamaah Islamiyyah bukan untuk tujuan ganjaran(RM7000) di dunia semata-mata. Semuanya untuk dapatkan hasanah dunia dan akhirat yang akhirnya adalah keredaan Allah Taala. Perjuangan akidah kita tidak perlulah disekalikan dengan perjuangan untuk pertahankan daulat raja atau hak istimewa keturunan sendiri umpamanya. Perjuangan aqidah bukan semata-mata berkaitan murtad tetapi akidah adalah proses penjernihan akal, jihad, menjunjung kemuliaan al-Quran dan berakhlak agar boleh dijadikan kudwah hasanah.
Begitu juga jika berpolitik hingga berjaya memerintah negeri. Perlu ada akhlak, akidah dan syariat yang benar. Andai PAS mempertikaikan akhlak dan akidah UMNO maka PAS seluruhnya perlulah tampilkan cadangan balas (alternatif) yang terbaik yang selaras sahsiah Islam. Andai para pemimpin PAS bertelagah dan pertelingkahan tersebut ada pula kaitannya dengan urusan harta dunia maka tidak ada bezanya perjuagan Islam oleh PAS itu.
Perlulah kita jaga akhlak atau sahsiah Islam agar tidak dilihat dan ditafsir oleh orang awam secara tidak tepat. Orang akan kata parti yang perjuangkan politik sebagai ibadah itu sama saja dengan yang jelas sekular dan assabiyyah. Pemimpin mereka cakap sahaja yang lebih tetapi amalnnya tetap politik suku agama suku. Apa ertinya politik Islam kalau MB dan para exconya bertelagah dan tidak puas hati jika mauduknya berkait dengan harta yang dianggap 'ghazwah'. Malang sekalilah kalau begitu hakikatnya.
Jelaslah kalau begitu sememangnya ustaz-ustaz jamaah hanya dilihat pandai cakap sahaja dan tidak boleh bikin apa-apa. Mahu tahu politik suku agama suku itu benar-benar difahami atau tidak pergilah ke tandas mana-mana markas atau masjid surau PAS Kedah. Kalau tandas mereka bersih ertinnya mereka benar-benar alim tentang prinsip ini. Kalau tidak sama sahajalah dengan suku yang tak bersunat itu!