Ahad, 27 Mei 2012

MELAYU BUKAN, ISLAM PUN BUKAN

Sebelum kita bicarakan selanjutnya tentang Melayu sebagai 'bangsa besar' atau 'menjadi tuan' iaitu selaras dengan konsep Kesultanan Melayu, eloklah kita fahami dan insafi apakah Melayu kini (di Malaysia khususnya) benar-benar punyai jati diri Melayu dan  mampu bertahan selaras dengan slogan Hang tuah  'ta' kan Melayu hilang di dunia".

Siapa Melayu yang sebenar-benarnya sama ada dari aspek antropologi atau sejarahnya nyata sukar ditentukan. Para sejarawan setakat ini bersetuju dengan dua teori kewujudan Melayu iaitu Teori Yunnan dan Teori Nusantara. Antara sarjana yang bersetuju dengan Teori Yunnan adalah R. H Geldem, J. H. C Kern, J. r. Foster, J. R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Manakala pendokong bagi teori Nusantara adalah J. crawfurd, K. Hilmy, sutan Takdir Alisjahbana dan Gorys Keraf. Kedua-dua teori tersebut punyai implikasi  tertentu kepada kelansungan bangsa Melayu

Melayu hari ini yang bagi sesetengah pengkaji atau penulis adalah sinonim dengan Islam sebenarnya hanya bermula pada abad ke 15 iaitu sekitar tahun 1409 apabila Sultan Melayu Melaka yang pertama iaitu Parameswara memeluk Islam dan memakai gelaran Raja Iskandar Shah. Sebelum itu Melayu beragama Hindu dan penuh cacamarba dengan faham pagan. Kalau  diikutkan catatan Kitab Sejarah Melayu, Kesultanan Melayu asalnya dari Iskandar Zulkarnain di mana keturunannya Sri Nila Pahlawan telah muncul di Bukit Siguntang Mahameru yang akhirya berkahwin dengan anak pemerintah di sana iaitu Demang Lebar Daun. Dari situlah bermulanya karut marut atau mitos tentang setia dan derhaka antara  raja dan rakyat yang barangkali kekal hingga hari ini.

Waadat atau baiah inilah yang mengikat Melayu hatta mewariskan Melayu alam pemikiran minda bawah sedarnya tentang konsep daulat yang membawa erti 'Raja adalah bayangan tuhan di muka bumi'. Siapa yang persoalkan konsep daulat raja akan berlakulah sial ke atas dirinya. Konsep setia Hang Tuah dan derhaka Hang Jebat tertanam dalam psikologi Melayu hingga ke zaman moden ini.

Sesudah Tanah Melayu ini merdeka lebih setengah abad dan sesudah fikrah Islam semakin kukuh pun rasa kehambaan dan kehinaan Melayu terhadap kehebatan keturunan Iskandar Zulkurnain itu tetap ada -dalam minda bawah sedar Melayu sekurang-kurangnya.
Hakikatnya sampai hari ini sama ada Melayu itu teras bangsanya Mongoliad(kuning) atau Melayu(perang), semua anak bangsa Melayu tetap tunduk, hormat dan tidak berani mencabar Caucasian(putih) iaitu teras bangsa Iskandar Zulkurnain. Apa yang menarik lagi raja yang mewarisi darah Iskandar pun jadi 'mandom' dan  rendah diri apabila berhadapan dengan Caucasian. Ini fakta yang perlu difahami oleh semua anak Melayu. Cuba kaji dan perhatikan adakah Raja-raja Melayu atau para memanda menterinya berbual atau bercakap menggunakan bahasa Melayu sama ada dalam majlis atau ketika bermain golf bersama Queen England atau Presiden Barrack Obama mahu pun Chancellor Angela Markel. Kalau mereka gunakan tiga patah perkataan Melayu pun memang cukup hebatlah raja dan pemimpin Melayu tersebut. 

Berkaitan Islam pula jelas sekali Melayu tidak mampu mempromosi Islam di peringkat antarabangsa khususnya kepada bangsa Caucasian. Sila kaji satu peristiwa di mana satu orang ulama besar Melayu yang memegang jawatan Ketua kepada majlis mufti-mufti 1Malaysia bertemu dengan paderi paling besar dunia beberapa tahun dahulu. Lihat sahaja pada pakaian paderi besar tersebut yang lengkap dengan imej agamanya berjubah, bersalib dan bertutup kepalanya dengan 'ketayap' atau 'lebai'. Pemimpin agama Islam dari Malaysia apa yang dipakainya? Jelas sekali serupa seperti pakaian  'Man in Black' atau Mr Presiden Barrack Obama - pakaian rasmi majlis yang lengkap -long suit yang dibudayakan oleh Caucasian....kah..kah....kah...kah. Mengapa tidak pakaian pakaian Melayu bersongkok -biar pun sogkok itu asalnya dari Himalaya, tetapi adalah juga unsur Melayanya....kalau tak pun pakai 'lebai' dililit serban macam Tok Arab atau Saladin, ada unsur Islamnya di situ.


Di mana jati diri Melayu dan Islam bagi pemimpin agama Islam Melayu tersebut. Ini mungkin perkara kecil yang besar maknanya. Apakah Melayu di Malaysia ini masih belum jelas Melayu dan Islamnya. Melayu bukan , Islam pun bukan. Habis apa ertinya Melayu 1Malaysia? 






Rabu, 16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU 2012

Sambutan Hari Guru tahun 2012 di Malaysia melanjutkan tema tahun sebelumnya iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Penggunaan tema untuk sambutan Hari Guru menurut rekod, telah dimulakan sejak tahun 1972 lagi iaitu dengan tema "Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara". Apa yang menarik tema-tema Hari Guru (juga tema Hari Kebangsaan) dicetuskan sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa.

Pada tahun 1973 temanya cukup 'simple' iaitu "Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan". Skopnya kelihatan kecil tetapi semangat dari seruan tersebut amat besar ertinya iaitu kemajuan pendidikan perlukan penglibatan ibu bapa- tentu sekali secara bersama dengan guru . Atas semangat itulah barangkali ada sebuah sekolah di  Utara Semenanjung memanfaatkan kerjasama murid, guru dan ibubapa dengan menggunakan slogan "MUGIBA" sebagai tema mapan bagi sekolah tersebut. 

Apa yang menarik hampir sebahagian besar dari tema-tema tersebut ada menyebutkan perkataan 'guru' dalam susunan perkataanya. Hanya satu sahaja (yang dapat dikesan) yang menggunakan perkataan 'murid' iaitu tema pada tahun 1979 yang berbunyi "Murid Sejahtera Negara Jaya".Walau apa pun bunyi tema hari guru, seruannya adalah untuk meningkatkan taraf dan kemajuan pendidikan khususnya pendidikan formal di Malaysia. Tanda-tandanya dapat dilihat melalui istilah seperti 'peranan guru', 'pembangunan negara', 'perpaduan', 'kesejahteraan insan', 'modal insan', 'budaya ilmu' dan sebagainya.

Namun demikian pencetusan tema-tema tersebut tetap tidak dapat lari dari kehendak politik -sama ada pencipta tema tersebut dan pengesahnya sedar atau tidak. Perkataan-perkataan bagi tahun-tahun tertentu terbukti mewakili slogan dan hasrat politik pemimpin pada zaman atau ketika itu. Antara istilah-istilah tersebut ialah 'perpaduan', 'wawasan', 'budaya ilmu', 'gemilang', 'terbilang', 'modal insan', dan 'transformasi'. Bukannya penggunaan istilah sedemikian sesuatu yang tidak baik atau jelik tetapi kadang-kadang terlihat suatu bentuk 'keghairahan yang tidak menentu' dan rasa 'syok yang kurang bermakna'  hasil terbitan istilah-istilah tersebut. Menghubung kaitkan tema tersebut dan aspirasi negara memanglah sesuatu yang sangat baik dan wajar, namun kalau kelihatan seperti satu proses mengampu tentulah suatu yang amat jelik -biar pun tidak pelik. Pasti ada yang akan merasa hairan kenapa pada ketika itu sahaja istilah tersebut akan diguna pakai dan selain zaman itu semuanya bagai tiada harganya. Umpamanya sudah jarang-jarang sekali dalam era kontemporari dan glokal terkini didengari istilah 'Islam Hadhari', 'Masyarakat Madani', 'Modal Insan', 'Budaya Ilmu', 'Nasionalisme' dan 'Perpaduan'. Adakah istilah tersebut sudah tidak relevan lagi dalam masyarakat Malaysia masa kin.

Ini adalah persoalan sosiologi dan budaya bukannya persoalan politik semata-mata. Maka yang selayaknya mencari dan memberikan jawapan meyakinkan kepada kecenderungan sedemikian adalah para saintis sosial dan budayawan. Jawapan mudahnya ialah 'itu adalah kehendak ahli politik semasa' tetapi adakah itu memadai bagi menjelas atau membuktikan bahawa tahap pendidikan generasi terkini sudah meningkat. Adakah benar slogan lebih 30 tahun lalu 'Guru Pembentuk Generasi Akan Datang' membawa makna generasi tersebut benar-benar berilmu atau pun masih menjadi pengikut atau tetap setia menadah darjat berbanding kehendak masyarakat progresif dan sejagat yang perlukan 'insan yang inovatif' yang berupaya memberikan alternatif dan nilai tambah dalam semua bidang. Marilah ketika gunakan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis(KBKK) untuk memahami dan merungkai persoalan ini.

Kepada semua diucapkan Selamat Hari Guru Tahun 2012.