Ahad, 29 Januari 2012

ZAMAN PENCERAHAN & KEBANGKITAN


Gambar sekadar Hiasan
(David, by Michelangelo (The Accademia Gallery, Florence) Contoh Renaissance art)

Dua istilah di atas adalah terjemahan langsung dari perkataan 'enlightment' dan 'Renaissance' yang menerangkan tentang dua era atau zaman di Eropah yang ditandai dengan perubahan sosial dan kebudayaan dalam masyarakat Eropah. Zaman Pembaharuan atau Kebangkitan bermula di Itali pada abad ke-14 Masehi hingga abad ke-17M, manakala 'enlightment' atau pencerahan(kebangkitan) pula pada abad ke-18 Masehi yang bermula di Jerman dan Britain. Lama sebelum itu Eropah dikatakan berada dalam Zaman Pertengahan dan Zaman Gelap manakala Tamadun Islam sudah menapak ke era ilmu dan masyarakat sivil. bertaraf tinggi -ditandai dengan keupayaan pengusaan pelbagai bidang ilmu dan falsafah.

Ketika Era Keemasan Islam yang bermula tahun 700 hingga 1300 Masehi yang diterajui oleh Kesultanan Umaiyyah, Abassiyah dan Turki, di Eropah Zaman tersebut masih dikatakan Dark Age dan Viking Age. Era Feudal Eropah bermula dan semakin kuat pada saat-saat akhir Kesultanan Turki. Pada ketika itu Islam telah tersebar ke Eropah yang berpusat di Sepanyol. Islam menjadi lemah dan tertinggal setelah munculnya era Discovery sehinggalah Zaman Moden dan era globalisasi masa kini.

Ikhtisar ringkas ini adalah untuk menggambarkan betapa sebenarnya proses ilmu, falsafah dan masyarakat sivil sebenarnya bermula ketika era 'Zaman Gelap' Eropah lagi. Namun demikian masyarakat madani Islam kurang dijadikan rujukan kemajuan disebabkan masyarakat tersebut masih bersifat simplistik dalam erti kata tidak ramai manusia, berteraskan feudal dan kurang menggunakan serta membuat inovasi teknologi. Kebangkitan atau pencerahan sebenarnya lebih dibantu oleh teknologi di mana proses ilmu dam sosial manusia dapat disampaikan atau didokumenkan dengan baik.

Sememang sejarah amat terhutang dengan era keemasan Islam namun era tersebut hanyalah mukadimah kepada perkembangan dan pencerahan yang lebih hebat lagi. yang berlaku di Eropah. Keluarnya manusia dari sistem feudal dan gereja kepada sekularisme total merupakan sebenar-benarnya 'renaissance atau kemerdekaan hakiki manusia. Maka konsep kebangkitan dan pencerahan itu dari segi hakikatnya adalah bermaksud kemerdekaan insan dari cengkeman feudal atau kuasa istana dan gereja yang berlagak dan berlebih-lebihan bertindak sebagai wakil tuhan.

Kebangkitan dan pencerahan ertinya manusia berfikir merdeka dan boleh menggunakan akal dengan sebaik-baiknya tanpa perlu ditunjuki atau dipimpin bagai dicucuk hidung. Dalam erti kata demokrasi maka sepatutnya tidak wujud demokrasi terpimpin atau demokrasi yang berasaskan feudal. Untuk sampai ke tahap pencerahan sebegitu manusia sesungguhnya perlu berani dan yakin untuk mengatakan bahawa kuasa yang hakiki adalah kuasa Tuhan semata-mata, manakala manusia yang mendakwa wakil Tuhan yang ada di mana-mana sisi dunia pun kini sebenar-benarnya adalah manusia yang hanya mahu mengambil kesempatan. Penguasa yang memakai topeng agama atau pemegang mohor neo-feudal yang ada hari ini walau pun mereka wujud mereka sepatutnya bukan kelompok yang perlu ditakuti sebagai mana manusia perlu takutkan tuhan seleras dengan uluhiyyah lillah setiap manusia.

Pencerahan adalah keupayaan akal untuk memikir dan membuat kesimpulan bahawa pemimpin atau raja adalah manusia biasa yang ada dosa dan khilaf. Mereka boleh ditendang jika kita mahu dan mereka tidak sepatutnya ditakuti. Membuang mitos tentang daulat raja atau jiwa hamba itulah sebenarnya kebangkitan dan pencerahan umat manusia. Namun berapa ramai rakyat negara moden hari ini yang boleh dijangkiti sindrom pencerahan tersebut. Pada akhirnya jika ada pun akal kebangkitan yang jernih adakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja oleh 'wakil tuhan' itu. Apakah cengkaman kuasa yang bagaikan sihir pada era 'Dark age' sudah tidak mujarab lagi?

Marilah sama-sama kita berfikir dan bermuzakarah!

Isnin, 2 Januari 2012

APA JENIS POLIS YANG LEMBUT?



Meneliti catatan para blogger yang kontra dengan tindakan ganas polis saya jadi pelik dan keliru. Mereka tidak suka kerja buat polis anti rusuhan bertindak ganas. Mereka mahukan polis anti rusuhan berlemah lembut, skima dan sopan santun. seperti yang sering disarankan oleh Yusof Haslam dalam Gerak Khas atau Roda-Roda KL. Mereka mahu lihat polis anti rusuhan yang skima macam mat belia. Polis yang sentiasa senyum dan sedia bagi salam kepada perusuh adalah polis yang 'cool' bagi mereka. Ini satu saranan yang amat lawak.

Hakikatnya polis anti rusuhan mestilah kelihatan ganas dan mampu bertindak ganas. Kalau lembik dan lembut pasti akan dilabel dan dicemuh sebagai pondan atau 'jantan yang tidak ada telotr' pula. Polis anti rusuhan mesti bersedia menentang provokasi dari semua pihak yang meraikan demokrasi. Barangkali yang dikaitkan dengan keganasan polis ialah tindakan atau sekatan yang tidak menyeluruh. Kepada pihak atau demonstran yang tertentu polis jadi lembik dan sopan-santun manakala kepada pihak yang lain pula polis jadi tersangat disiplin, betul dan ganas. Maka jika itu maksudnya polis perlulah muhasabah semula hal ini.

Dalam negara demokrasi 1Malaysia ini, tidak kira sama ada Ibrahim Ali, Perkida, Pro Aspirasi, Hindraf atau Hassan Ali mahu pun Azwan Ali yang membuat demonstrasi -mereka itu semuanya meraikan demokrasi. Jika mereka bertindak ganas maka polis perlulah bertindak lebih ganas lagi. Jika mereka hanya bertempik dan melaung-laungkan sesuatu polis perlu kawal keadaan dengan tegas. Berwatak ganas tidak mengapa tetapi jangan amalkan keganasan. Kepada pihak yang ganas atau pun skima maka layanan tegas yang sama perlu diberikan. Kalau polis lembik dan sopan kepada satu pihak sahaja tidak ada siapa yang mahu hormat polis. Tidak mustahil pihak yang dilayan sopan itu pun akan anggap polis boleh disuap dan dibuat main.



Perlu diulang-ulangkan tazkirah bahawa polis anti rusuhan hendaklah bersedia menyekat rusuhan. Andai tiada rusuhan cukup sahaja dengan lagak ganas dan tidak perlulah mengganas.



Kepada blogger yang pro pembangkang janganlah dituduh polis anti rusuhan sebagai ganas sebabnya mereka memang perlu bertindak ganas. Para blogger sekalian janganlah disalahkan polis semata-mata jika polis kelihatan ganas kerana tidak betullah jika polis dan askar itu sifatnya lembut. Apa barang polis yang jenis lembut dan penakut?

Ahad, 1 Januari 2012

Tahun Baharu -Iltizam baharu!

Ada hadis yang menjelaskan bahawa "....setiap amalan itu bermula dengan niat". Tanpa niat yang betul akan jadi sia-sia. Dalam disiplin ilmu sosial masa kini niat itu telah diubahsuai. Istilah niat asalnya kalimah arab dan islamik kelihatannya. Jika diturutkan pandangan atau pemikiran arus perdana sekular masa kini arab dan Islam adalah sinonim dengan dengan melampau, radikal, ganas dan berbahaya. Maka istilah niat yang  kearaban dan bersifat ritual perlu digantikan dengan konsep yang lain. Gunakan istilah matlamat atau 'goal' atau konsepnya yang berkaitan umpamanya 'iltizam' itu gantikan dengan istilah 'comitment' agar lebi h sederhana, segar dan pragmatik.
Tidak kira dari mana mulanya kefahaman kita, apa-apa jua yang dilakukan sebetulnya bermula dari niat. Jika niat itu kurang progresif dan nampak condong kepada 'ritual' atau berbaur fatalistik maka tidak megapa kita gunakan istilah 'goal'(matlamat), impian, komitmen, target dan sebagainya. Setiap dari kita perlu tetapkan matlamat yang jelas untuk dicapai.
Menurut pakar motivasi pembelajaran kita perlukan matlamat yang S.M.A.R.T atau 'scripted', 'mesuareable, 'attainable', 'reasonable' dan 'time-framed'. Itu pendekatan matlamat yang dapat dilihat, dicatat atau diukur. Kalau matlamat 'hasanah di dunia dan di akhiarat' pula bagaimana? Jika matalamat 'jadi lebih berjaya dan kaya' barangkali akan dapat dicapai dalam tempoh masa tertentu. Andai matlamat ingin masuk syurga bagaimana pula? Adakah itu bukan matlamat yang jelas? Persoalan sebegini tiada jawapan yang paling tetap dan sering bergantung kepada persepsi atau tahap kefahaman individu.
Mulai tahun ini marilah kita tetapkan matlamat untuk capai bahagia dari pespektif masing-masing dan pertimbangkanlah mana yang wajar. Bagaimana pula matlamat perjuangan bahasa dan bola sepak kita? Itu pun perlukah matlamat yang jelas. Bahagia, bola dan bahasa akan jadi matlamat perbicangan blog ini untuk tahun 2012. Jika dizinkan Allah Taala.