Sabtu, 20 April 2013

PENJAGA GARISAN YANG CAH KETING !

Dalam undang-undang permainan bola sepak salah satu kesalahan atau kelakuan buruk pemain ialah "menyadung pemain pihak lawan". Menyadung juga sama dengan membentes. Dalam Kamus Dewan menyadung  bermaksud "melanggar (merempuh dll) dengan kaki; manakala membentes pula bermaksud "menyepak tulang betis orang dengan tulang betis sendiri" . Istilah lain yang popular dan sesuai dalam konteks ini adalah "cah keting" iaitu menyepak atau mencederakan keting lawan agar. Kesalahan tersebut boleh dihukum oleh pengadil dengan memberikan sepakan percuma kepada pasukan lawan. Dalam keadaan yang melampau kad merah akan dilayangkan oleh pengadil yang arif.

Dalam politik 'cah keting' adalah metafora kelakuan buruk ahli politik terhadap musuhya. Dalam perlawanan politik perbuatan cah keting, ada situasinya boleh dilihat dan disedari dan lebih banyak keadaannya yang sukar dikesan atau difahami. Perihal membentes atau menyadung pihak lawan boleh berlaku sesama ahli atau dari parti lain dan yang amat menarik dalam konteks siasah 1Malaysia adalah pengadil dan penjaga garisan turut sama 'bercah keting' dalam sayembara siasah. Memang peliklah jika pengadil turut membentes dan menyadung pemain yang sedang berlawan sesama mereka, tetapi yang teramat pelik, jelek, jijik dan 'shit' adalah sekiranya pengadil hanya menyadung satu pihak sahaja. Ini berlaku dalam proses demokrasi di kebanyakan negara dunia ketiga walau pun impian dan slogan mereka semuanya mahu jadi manusia dunia pertama seperti Obama, Sarkozy dan arwah Maggie Tatcher.

Cah keting pihak ketiga yang terlibat dalam proses pemilihan khususnya oleh pengadilnya adalah tanda betapa haprak dan usangnya sistem demokrasi sesebuah negara. Sepatutnya proses pemilihan ini dipermudahkan agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya -secara demokratik dan gembira meraikannya. Tindakan birokrasi yang dijangkakan boleh menyukarkan dan mengelirukan pemilih sepatutnya dielakkan.

Terus terang disoalkan di sini patutkah pihak ROS membuat keputusan di saat genting yang menyukarkan parti DAP untuk bertanding dalam PRU 13? Patutkah ROS dan SPR kelihatan bersepakat menjadikan DAP berada dalam keadaan serba salah dan keliru. ROS tidak iktiraf JK Pusat DAP yang akan memberikan tauliah kepada calon, manakala SPR pula kata DAP boleh guna lambang roket. Ini tidak selesai masalah.  

Sekiranya SPR dan ROS adalah parti politik tidak mengapalah jikaa mereka mahu bercah keting, tetapi agensi tersebut adalah orang tengah, pengadil atau 'orang tua' yang sepatutnya menjadi pendamai. Umpama pengadil dan penjaga garisan jika dalam perlawanan bola sepak. Patutkah penjaga garisan menyadung satu pihak hingga rebah dan pengadil pula meniup wisel memberikan kad kunig atau sepakan percuma kepada pihak yang satu lagi? Ini anologi yang perlu difahami oleh ROS dan SPR kerana kekeliruan ini timbul akibat tindakan kurang berhemah dari kedua-dua pihak tersebut! Orang akan menuding jari menyalahkan 1Malaysia dalam situasi sebegini. Rakyat akan menyangka tentu ini kerja Najib dan Rosmah atas nasihat Tun Mahathir!  
Apakah SPR dan ROS juga berniat untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap pemimpin kerajaan 1Malaysia disebabkan terlalu marah, benci dan muak dengan cah keting pemimpin-pemimpin tersebut. Kalau begitu pun SPR dan ROS tak patut lakukan kerana agensi kerajaan sifatnya dalah nuetral, adil dan betul dengan apa yang sebenarnya.  

Janganlah dorong rakyat betul-betul laksanakan kata-kata.....Ini kalilah!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan