Sabtu, 6 Julai 2013

BUKAN PILIHAN RAYA DAN BUKAN PILIHAN JALANRAYA!

Menyaksi dan memikirkan apa yang terjadi di Mesir ketika ini, rumusannya ialah bagi rakyat di dunia ketiga ini, biar pun suara majoriti itu kuat dan benar ia bukan jaminan demokrasi akan bergerak dengan lancar. Seandainya 99 peratus rakyat memilih satu jalan dan hanya satu peratus memilih jalan bertentangan dengan majoriti,  bukan jaminan yang 99 peratus kesatuan fikrah rakyat itu akan menang berterusan. Demokrasi di Mesir diandaikan telah dikecapi sepenuhnya oleh rakyat pada tahun 2011 setelah tujuh ribu tahun rakyat ditindas pemerintah. Bayangkan tempoh tujuh ribu tahun itu, rakyat hanya menjadi hamba manakala  kebebasan dan kemanusiaan hanyalah fatamorgana seakan mimpi-mimpi panjang. Setelah Dr. Muhammad Morsi dipilih sebagai presiden oleh rakyat baharulah pencerahan berlaku di Mesir.
Tanggal 30 Jun 2013, setelah genap satu tahun rupa-rupanya demokrasi itu kembali menjadi mimpi ngeri dan igauan. Kuasa rakyat dengan mudah dipatahkan. Kuasa rakyat diperlekehkan oleh pihak lain yang lebih berkuasa. Sudah tentulah pihak yang lebih berkuasa itu datangnya dari manusia dunia pertama. Sudah tentulah kehadiran pemimpin yang benar-benar membalas jasa rakyat amat tidak disenangi oleh kuasa dunia pertama. 
Penggulingan Presiden Morsi bukanlah atas kehendak sebenar rakyat yang berhimpun di Dataran Tahrir. Jatuhnya Morsi sebenar-benarnya bukan atas kemahuan pilihan jalanraya pada sambutan ulang tahun pemerintahan Morsi. Tumbangnya rejim Mubarak pun bukan sebenar-benarnya atas piliihan jalanraya. Munculnya Morsi sebagai penanda aras demokrasi setelah tujuh kurun rakyat dizalimi pun bukan atas kehendak pilihanraya. Sama ada pilihanraya atau pun pilihan jalanraya semuanya bukan hak bagi rakyat dunia ketiga. Jika sesiapa pun berjaya memenangi rakyat sama ada melalui pilihanraya atau pilihan jalanraya sekiranya gagal memenuhi kehendak dan piawai manusia dunia pertama maka dengan mudah mereka akan dibuang. Morsi  benar-benar menjadi sampel bagi hipotesis tersebut. Morsi adalah hasilan sebenar makmal sosio politik manusia dunia pertama.
Selagi sesuatu bangsa itu belum benar-benar menjadi bangsa besar dan punyai jati diri sendiri maka selagi itulah mereka akan diperkuda dan diperlekehkan oleh apa jua sistem yang mereka sertai. Dalam konteks real politik dan sosial Melayu/DKK/Jawi Peranakan di Malaysia walau pun Dr. Mahathir itu dilabel sebagai 'wira dunia ketiga', seandainya kewiraan itu bersifat jantan dan mampu menggugat manusia dunia pertama maka Mahathir telah lama menjadi sejarah. Tidak mustahil Mahathir akan dituduh meliwat atau menggunakan 'angry birds'nya secara luar tabie. Sama ada Melayu, Cina, India, Siam, Bangla, Indon, Negro, Orang Asal dan sebagainya, selagi mereka di pihak dunia ketiga, biar sehebat mana pun mereka, nasib mereka akan ditentukan oleh manusia dunia pertama.
Janganlah ada sesiapa yang mengaku sebagai wira bangsa selagi di negara mereka ada lambang-lambang penguasaan dunia pertama umpamanya KFC, McD, Windows, Bloomberg, Times  dan sebagainya. Jangan mengaku hebat selagi sesama rumpun sebangsa masih berbual, berdebat, bercanda atau bercinta tidak menggunakan wadah bahasa serumpun tetapi bangga berbahasa Inggeris(English)
Percayalah selagi jiwa kita diisi dengan jiwa bangsa lain maka selama  itulah kita akan terus menjadi bebal, tolol dan poyo. Kah...kah...kah... Takkan Melayu hilang di dunia ... kah.... kah... "Janganlah label Melayu itu poyo! Tidak adillah bagi kepimpinan hebat Melayu kita!" 
Terima kasih atas teguran dan ingatan ikhlas itu.  Ingatlah Melayu hebat jika punyai jati diri seumpama Morsi dan kejatuhannya pun tetap dipandang hebat!