Ahad, 18 Ogos 2013

DARI MANA TENTERA MESIR MENDAPAT MOTIVASI & LESEN UNTUK MEMBUNUH?

Pembunuhan bukan hak polis, tentera atau sesiapa sahaja. Pembunuhan adalah tindakan paling akhir yang boleh dibuat ke atas hak kemanusiaan hatta oleh pihak yang diberikan lesen membunuh iaitu pemerintah. Pembunuhan tanpa had dan hak adalah satu bentuk kejahatan, genocide dan keganasan terhadap nilai kemanusiaan.

Dua puluh tahun dahulu umat Islam Bosnia dibunuh beramai-ramai dalam tindakan yang dinamakan sebagai 'ethnic cleansing', khusus merujuk kepada Yugoslav War. Pembersihan etnik dilakukan oleh bangsa Serbia terhadap jirannya etnik Bosnia. Selain itu  pembersihan etnik juga berlaku di Myanmar yang melibatkan pembunuhan dan pengusiran etnik Rohingya. Fenomena serupa juga disebut ahli akademik sebagai 'genocide' juga berlaku di Kosovo, Sri Lanka, Congo, Iraq dan Libya.

Ciri-ciri utama pembersihan ethnik ini melibatkan tentera, polis atau pasukan bersenjata, dilakukan ke atas orang awam khususnya puak minoriti dari agama dan etnik berbeza. Berlaku dalam beberapa bentuk sama ada pembunuhan, pengusiran, rogol, pembakaran kediaman dan sebagainya.

Dalam situasi Mesir sekarang berlaku pembunuhan dan pengusiran. Oleh tentera yang rata-ratanya Arab-Islam ke atas  penduduk Mesir yang juga Islam dan Arab. Adakah patut fenomena tersebut dikatakan sebagai 'ethnic cleansing' dan kenapa perlu Arab Islam membersih atau mengusir Arab Islam yang satu negara dengannya.

Bertolak dari sini timbullah persoalan besar iaitu apakah yang menggerakkan tentera Arab-Islam Mesir membunuh Arab-Islam Mesir -yang satu negara, satu bangsa dan satu agama bahkan satu mazhab tauhid dan fikah. Jika Arab di Libya barangkali ada perbezaan dari segi faham Sunni dan Syiah. Kalau di Iraq ada perbezaan antara Islam dan Arab Kristian. 

Pemerintah tentera yang pastinya Islam, yang pada mulanya menyokong presiden yang dipilih secara demokratik, kenapa selepas berlakunya kudeta menjadi begitu ganas. Tindakan mereka sudah setara dengan sikap dan tindakan Yahudi terhadap penduduk Palestin. Siapa atau apa dorongan hebat yang menjadikan tentera Islam Mesir tanpa rasa bersalah membunuh saudara seagama. Adakah pemerintah tentera Mesir sudah masuk Yahudi dan Kristian secara diam-diam. Tentu sekali tidak patut menuduh mereka dipergunakan oleh Yahudi dan Amerika, biar pun sebahagian besar manusia yang Islam percaya andaian tersebut adalah benar.

Perbandingannya, jika dalam konteks Malaysia, andai suatu hari tentera Islam-Melayu membunuh penunjuk perasaan -katakanlah pengikut PAS dan PKR yang Melayu-Islam(andaikan baharu setahun memerintah dan digulingkan tentera) tentulah sikap dan tindakan tersebut begitu pelik dan jelik. Logiknya tidak mungkin terjadi sebegitu tetapi begitulah nyatanya berlaku di Mesir  sekarang.

Siapa yang mendorong dan membangkitkan kemahuan tentera Mesir untuk membunuh. Atau apakah tentera Mesir sudah menjadi mesin semuanya atau pun disantau agar menjadi makhluk jahat. Mengatakan askar Mesir dirasuk syaitan atau diseru oleh Yahudi tentulah tidak tepat dan tidak berlandaskan fakta. Memanglah semua askar dan polis akan menurut perintah ketua -maka mereka tidak bersalah sepenuhnya. Lantas apakah pemerintah tentera Arab Mesir memang jahat dan tidak berperikemanusiaan?. Keberanian mereka membunuh tentulah diberi lesen atau dilindungi oleh pelindung atau kuasa mistik yang maha hebat. Tentu sekali bukan dari Allah Taala. 

Rumusannya teramat sukar ditemui orang yang membunuh tanpa motif melainkan orang itu gila. Sekiranya pemerintah tentera Mesir sudah gila maka menjadi tanggungjawab penduduk dunia menjatuhkannya. Apakah umat Islam perlu tunggu Amerika memberi izin terlebih dahulu. Oh I see...itukah sikap jamaah dan harakah rasmi negara-negara umat Islam. Wait and see lahhh....

Jumaat, 16 Ogos 2013

AKHIRNYA IKHWANUL MUSLIMIN AKAN JADI PENGGANAS

Semakin jelas dan semakin hampir. Dalam beberapa minggu akan datang pembersihan di kota-kota seluruh Mesir akan berjalan lancar. Penunjuk perasaan akan ditakutkan dan jika masih ada yang berani akan dihapuskan. Bunuh!. Pemimpinnya akan ditangkap, dikurung dan disiksa. Parti atau pertubuhan yang menyokong tunjuk perasaan atau menentang tentera akan diharamkan. Akhirnya jika ada yang masih menentang maka, (mereka yang asalnya pendokong demokrasi) akan dilabelkan  sebagai pengganas.

Satu dunia akan dimaklumkan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah pengganas. Sama seperti dilabelkan kepada al-Qaeda, Taliban, Mujahidin, Hamas dan sebagainya. Satu dunia akan dimaklumkan agar tidak sesekali bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin kerana mereka adalah jahat. Kejahatan mereka lebih terserlah lagi sekiranya mereka berterusan mengutuk Amerika dan Israel. Kejahatan mereka akan diulang-ulang sekiranya  mereka menyebutkan perkataan jihad atau daulah Islam.
Itulah hakikatnya yang telah terjadi. Sesiapa yang melawan kolonial dan kembarnya kapitalis pasti akan dijadikan mangsa.  Sekiranya pihank yang berlawanan dengan kapitalis itu dijangkakan boleh membuktikan kebenaran mereka, maka awal-awal lagi mereka akan dicantas. Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir punyai kekuatan yang amat luar biasa. Kekuatan ilmu dan aqidah. Kekuatan amal dan siasah hinggakan berupaya menggembeling kudrat dan iltizam anak muda untuk keluar ke jalanraya. 

Hakikatnya Ikhwanul Muslimin tidak mana-mana pun gerakan dan pejuang Islam  di Malaysia yang rata-rata pendokongnya hanya dipenuhi semangat jihad tetapi amat jarang solat subuh berjamaah. Pejuang-pejuang Islam di Malaysia gagal memahamkan anak muda Islam dan orang bukan Islam tentang kebaikan Islam. Mereka selalu berkata "Karpal Singh belum faham Islam" hakikatnya mereka berasa janggal dan segan silu untuk berdakwah kepada beliau. Sebab itulah musuh Islam tidak gerun sedikit pun dengan gerakan Islam di Malaysia. Bukan Islam hanya memandang sinis, bahkan ada berani menentang hukum Islam dilaksanakan di negara sekular 1Malaysia ini. Musuh Islam sedar lama kelamaan akan muncul lebih ramai lagi pemimpin gerakan Islam atas muka bumi 1Malaysia ini yang akal dan kudrat perjuangan mereka secetek dan serapuh Hassan Aqidah dan sahabat-sahabatnya. Mereka sedar pejuang Islam di Malaysia hanya cakap saja. Tidak ada pelan jangka panjang untuk umat. 

Percayalah satu hari nanti Ikhwanul Muslimin Mesir akan jadi seperti Parti Komunis Malaya yang suatu ketika menentang penjajah Inggeris namun pada akhirnya mereka dijadikan musuh nombor satu negara. Sesiapa yang cuba-cuba mengatakan komunis juga pejuang negara maka tunggulah saatnya mereka juga akan dilabel sebagai pengkhianat negara -sama seperti komunis itu jugalah!

Nantinya para pemimpin negara Islam yang bertemu Obama akan sama-sama mengikrarkan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah ancaman kepada keselamatan dan mereka adalah terroris! Percayalah dan marilah sama-sama kita nantikan saat bersejarah itu! 

Isnin, 12 Ogos 2013

HARIMAU MALAYA : BIDAK atau BADUT

10 Ogos 2013. Hari Raya Aidilfitri, 03 Syawal 1434H. Sejarah bola sepak.

Perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa "bertaraf dunia" antara Malaysia @ Harimau Malaya berdepan kelab paling berjaya di dunia FC Barcelona dari Sepanyol. Menurut pihak pengurus acaranya, perlawanan persahabatan antara kelab bola sepak terbaik dunia dan pasukan bertaraf kebangsaan tersebut dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM115 juta kepada ekonomi Malaysia dengan jangkaan kehadiran lebih 80000 penyokong dan penggemar bola sepak - tempatan dan luar negeri.

Malaysia Major Event melalui Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif menambah, "rakyat Malaysia dan bola sepak tidak dapat dipisahkan. Kami gembira untuk melihat kehebatan semangat bola sepak melanda negara ini dan kami akan terus membawa acara sukan mega ke sini".

Justeru disebabkan acara ini bertaraf internasional maka harga tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut ditetapkan pada RM668 untuk tempat duduk VIP dan RM98 hingga RM388 untuk tempat duduk biasa.

Persoalannya sekarang, apa faedah yang bola sepak Malaysia khususnya pasukan Harimau Malaya perolehi hasil dari perlawanan tersebut? Adakah Malaysia akan bertambah gah dalam kancah bola sepak dunia? Adakah maruah pasukan kebangsaan Malaysia akan terangkat dan terjulang tingggi? Adakah 'bintang-bintang' bola sepak Malaysia akan meningkat 'value'nya dan sosok mereka akan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia?

Semua persoalan tersebut perlu bagi membina satu persepsi umum untuk menjawab apa sebenarnya 'bola sepak Malaysia' setakat ini. Seorang rakan, nasionalis Melayu tulen (barangkalilah sebab mendaftar sebagai ahli seumur hidup sebuah partai siasah Melayu!) menegaskan bahawa perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan kelab-kelab gergasi dunia seperti Chelsea, MU, Liverpool dan terkini FC Barcelona sebenarnya sangat signifikan. Hal ini membawa erti bahawa Malaysia berhadapan dengan pasukan dunia disebabkan kelab-kelab tersebut pemainnya berasal dari seluruh pelosok dunia! Bayangkanlah sebuah negara yang kerdil berhadapan dengan 'team' dunia.

Ada sahabat menegaskan bahawa dengan singgahnya 'tour' tersebut di Malaysia beerti bola sepak dunia menghargai dan memandang tinggi bola sepak Malaysia. Ada yang berpendapat pelancong akan tertarik melawat Malaysia selepas ini kerana telah dikunjungi bintang-bintang dunia. Pengulas sukan tv terkenal pula berkata dengan kejayaan Mohd Amri Yahya menjaringkan 'gol tercantik' dalam pertemuan dengan FC Barcelona itu memberikan amaran kepada musuh-musuh bola sepak Malaysia tentang kehebatan bola sepak Malaysia.

Hakikatnya. Semua jawapan tersebut tidak langusng meningkatkan mutu dan maruah bola sepak Malaysia. Semua jawapan tersebut adalah lahir dari pemikiran dan perasaan 'manusia berjiwa kecil yang pernah terjajah' dan mahu terus dijajah -dahulu, kini dan selamanya. Media massa arus perdana gagal membuka ruang untuk menunjukkan bahawa perlawanan seumpama itu adalah hiburan dan pembugaran budaya konsumer dan pengukuhan ideologi kapitalis semata-mata. 

Semua peminat tegar bola sepak kita jelas sekali tidak memahami erti maruah sebuah bangsa. Semua media yang galak mempromosi 'event' seumpama itu hanyalah agen kapitalis dan kolonial moden. Tentu ramai akan marah jika dikatakan perlawanan tersebut sama sahaja nilai hiburannnya dengan program 'wrestling' di tv seperti apa yang dibuat oleh WWE. Hiburan, sensasi dan keseronokan. Hedonistik!

Percayalah! Perlawanan bola sepak seumpama itu hanyalah hiburan semata-mata. Pemain-pemain yang terlibat adalah bidak-bidak yang barangkali disuntik atau dihias dengan rasa dan warna patriotik. Semua yang terlibat dalam arena diberikan peran sebagai kesatria, pahlawan, pengawal hatta sebagai perdana menteri dan raja. Rakyat yang akalnya terjajah tentu tidak sedar bahawa mereka dijadikan bidak semata-mata. Rakyat yang rela dijajah akal dan maruahnya tentu bangga dengan penampilan mereka biar pun ditertawakan kerana kebadutan mereka itu. Orang yang cerdik hiburan mereka adalah kebadutan dan kebebalan orang lain -yang jahil. 

Hasil dari acara hiburan seperti 10 Ogos lalu tentu sekalilah yang bersifat badut dan menjadi bidaknya adalah orang kita. Sekiranya ada yang marah-marah dengan rumusan ini tentu sekali mereka itu gagal berfikir dengan mendalam dan wajar. Akal, hati dan tingkahlaku mereka masih terlalu jauh untuk capai tahap modal insan kelas pertama -biar pun di dunia ketiga!

Marilah kita tertawakan diri sendiri untuk mencari makna maruah sendiri biar pun sudah sekian lama kita ditertawakan orang.

Rabu, 7 Ogos 2013

SALAM LEBARAN 1424H

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua penunjuk perasaan anti rampasan kuasa di Mesir. Sesungguhnya umat Islam Mesir yang demokratik iaitu yang memilih dan mempertahankan ketua mereka dengan proses demokratik adalah paling layak meraikan kemenangan Ramadhan pada Syawal tahun ini.
Kesanggupan mereka mempertahankan hak dalam kesukaran berpuasa sebulan Ramadhan dan tidak putus asa biar pun nyawa menjadi taruhan adalah teladan bagi seluruh umat Islam.
Jika mahu bicara tentang perjuangan, maka umat Islam Mesir yang menyokong Mursi dan menentang rampasan kuasa tentera adalah pejuang tulen.
Adalah amat sukar umat Islam yang berkurun lamanya hidup dalam kelekaan akibat pengaruh modenisme dan konsumerisme tajaan barat untuk bangkit mempertahankan kebenaran dengan penuh istiqamah. Umat Islam yang secara kolektif sedar tentang adanya musuh yang tidak pernah tidur sesungguhnya tidak ramai bahkan yang majoritinya memang sedia menyuakan tengkok untuk dipergunakan oleh musuh. Hakikatnya seorang muslim yang sedar bahawa selama ini mereka adalah bebal dan sering diperbodohkan amat sedikit jumlahnya. Sesungguhnya benarlah umat Islam yang tidak berkualiti umpama buih-buih di pantai -kelihatannya banyak tetapi semuanya fatamorgana - tidak berkualiti.
Sempena Syawal ini eloklah kita belajar sesuatu dari sahabat sebenar kita yang betul-betul memahami Islam sebagai ad-din, yang bersifat wasatiyah dan yang sabar serta sentiasa menyebarkan kebenaran.

Selamat Hari Raya sahabat-sahabatku ikhwanul muslimin di Mesir dan di mana jua saudara berada. Allahu akbar walillahilham.