Sabtu, 21 Ogos 2010

IMAM MESTI LEBIH CERDIK

Sempena bulan Ramadhan yang penuh berkat ini marilah kita bicarakan sedikit tentang imam. Dalam konteks umum imam adalah pemimpin atau ketua yang mendahului yang lain iaitu pengikutnya. Imam mesti diperakaui tahap dan wibawanya. Dari sudut ibadat imam adalah ketua ibadat khususnya solat. Imam solat sama seperti ketua-ketua dalam bidang lain yang semestinya lebih cerdik dari makmum atau pengikut. Pemimpin tentera memang dipilih dari kalangan orang yang akalnya strategik dan fizikalnya kuat. Imam bank, imam pusat muamalat dan industri besar mahu pun IKS pasti sekali dipilih dari kalangan orang mahir tentang selok belok wang. Imam solat tentu sekali dipilih dari kalangan orang yang mahir al-Quran dan yang berkaitan dengannya. 
Bagaimana pun perihal kecerdikan imam ibadat ini sering dan boleh jadi pertikaian. Ini kerana banyak imam solat yang ada hari ini hanya mahir dalam bacaan al-Quran dan tidak ramai yang mahir kandungan al-Quran. Dalam pandangan ilmu pendidikan mereka hanya mahir pedagogi asas tetapi pedagogical content knowledge(pck) mereka sangat lemah.  Mereka tahu dan fasih al-Quran tetapi mereka 'buta al-Quran' pada hakikatnya!

Apa tanda-tandanya atau buktikan kenyataan tersebut? 
Cubalah tuan-tuan pergi ke masjid-masjid orang Melayu dan temui watak-watak imam mereka. Telitilah adakah imam di sana menghisap rokok -tidak kira cigaret mahu pun rokok daun?  Adakah imam mereka gemar minum dan berbual di kopitiam?  Lebih jauh sedikt lihatlah(jangan intai atau skodeng) perilaku anak-anak dara imam tersebut?
Itu pemerhatian dari segi penampilan diri atau sahsiah. Namun akhlak sudah boleh mencerminkan tahap kecerdikan seseorang biar pun tidak sepenuhnya tepat. Dari segi 'outcome' dan kualiti pula sila kaji yang ini. Adakah anak-anak muda kariah sang imam itu memenuhkan masjid setiap waktu? Adakah imam mengajar takwa seperti yang diseru dalam khutbah jumaatnya? Adakah masjid mereka dipenuhi anak kariah berjamaah solat subuh -sekurang-kurang setengah dari yang datang solat jumaat setiap minggu? 

Menjawab persoalan di atas kita akan dapat mengetahui di mana letaknya tahap kecerdikan imam ibadah di masjid dan surau orang Melayu. Ada imam yang apabila fasahah dan hafalan ayat-ayat lazimnya baik maka terlantiklah beliau sebagai imam kariah. Ini kesilapan yang sering berlaku dan implikasinya ialah masjid menjadi tempat yang jumud. Masjid menjadi tempat upacara ritual semat-mata dan penuh skima! Orang akan pergi ke masjid hanya untuk solat atau menikahkan anak sahaja dan ada pada ketika yang lain masjid jadi tempat terlarang dan kosong!

Masjid yang tidak bersemarak dengan syiar Islam membawa maksud imam dan pembantu-pembantunya tidak cerdik dan kreatif sebenarnya sebab tidak ada apa yang mereka lakukan untuk menghidupkan masjid. Masjid adalah tempat Islam mencernakan misi sebenar 'addin' jika ditadbir oleh imam yang kurang cerdik akan jadi medan politik sama ada kepada pembangkang mahu penyokong. Di Pulau Pinang pembangkang kata masjid dipergunakan untuk politik dan di Perlis pembangkang juga kata masjid dipolitikkan -bukan sebab dicat dengan warna biru penyokong- tetapi sebab imam gagal berfungsi. Maka dengan yang demikian imam perlu difikrahkan semula!