Rabu, 30 Disember 2009

BLOG CELAKA

KOTA BHARU 29 Dis. - "Celaka semua sekali ini, blog celaka, blog celaka...saya kata sekali lagi celaka blog macam ini."

Itu reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya desas desus peletakan jawatan 'orang kanannya' Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan dalam laman blog 'Penarik Beca' hari ini.
(UTUSAN ONLINE, 30 disember 2009)


Blog-blog politik memang terdedah kepada sifat celaka dan akan lebih menyerlah jika pemblognya itu seorang yang cela lagi celaka akhlaknya. Rata-rata blogger bukannya guru yang matlamat asasnya mendidik. Ada blogger suka-suka cari glamour, ada yang cari makan, ada yang cuba laporkan apa yang sebenar dan ada yang suka putar belit apa sahaja. Ada blog popular tetapi isinya emosi bukan akal. Apa ertinya 'top rank' yang dimiliki jika tetap celaka sifatnya?

Kita barangkali boleh hormat beberapa blog yang kritik dan hentam orang tetapi berpada-pada dan pakai akai. Jangan respek blog yang nampak pandai tetapi tetapi condong akalnya kepada kebatilan. Memang ada blog yang lurus tetapi tidak digemari kerana sifat manusia yang inginkan kepuasan apabila merasai sesuatu. Apabila rasa puas membaca kutukan dan hentaman maka pertimbangan akal sudah tidak perlu. Manusia sebagai makhluk ekonomi sentiasa bermatlamatkan kepuasan ketika membuat pilihan. Manusia sebagai makhluk sosial sentiasa mahu memenuhkan kehendak nurani. Apabila keperluan asas dan keselamatan terjamin maka manusia akan memenuhkan keperluan batin dengan pelbagai cara.

Menghentam orang atau mendengar keburukan orang salah satu kepuasan. Pihak yang menghentam dan mendengar untuk kepuasan itu sebenarnya sama-sama celaka. Membaca dan mendengar yang cela adalah kepuasan manakala mesej celaka itu akan menambahkan titik hitam di hatinya. Mesej tersebut adalah seruan mungkar. Malangnya mereka kurang percaya perkara itu walau pun mereka sokong tok guru! Bukankah dosa akan berampun kerana Allah Maha Pengampun. Dosa tidak boleh lihat dan bukan bersifat saintifik. Maka teruslah mereka jadi celaka -biar pun mereka pengangum, pengikut dan anak tok guru sekali pun!

Rumusannya sebagai peminat dan pengikut siasah, mereka sama sahaja sama ada yang pangkah kati mahu pun pangkah bulan, mata, roket atau pun yang pilih Ibrahim Ali. Semua yang celaka itu tempatnya di neraka atau di dunia ini mereka tidak akan merasa bahagia. Tak percaya tanyalah penarik beca atau Mat Saman

Isnin, 21 Disember 2009

MONOPOLI KERAJAAN

Dalam sistem ekonomi pasaran bebas monopoli oleh pemodal sepatutnya tidak wujud. Namun dalam konsep ekonomi campuran monopoli kerajaan melalui syarikat berkaitan kerjaan lazimnya dipraktikkan. Hal ini adalah wajar dan patut berlaku demi kepentingan awam. Walau bagaimana pun idea tersebut tidak berjalan lancar apabila kontraktor atau syarikat berkaitan kerajaan itu sebenarnya hanya dimiliki oleh individu kroni kepada pemimpin kerajaan.
Masalah yang timbul nantinya ialah keuntungan akan lebih mengalir sesama sendiri dalam bentuk 'komisyen individu' berbanding kepada kerajaan. Telah kerap terjadi kerajaan terpaksa memejamkan mata di atas kerugian syarikat monopoli miliknya kerana kegagalan pengurusan oleh operatornya. Apabila syarikat gagal berkembang biar pun memonopoli perkhidmatan maka siapa patut disalahkan? Kerajaan adalah pelabur(bagai pihak rakyat umum) dan yang menguruskan adalah sahabat kepada ahli kerajaan sendiri. Adalah tidak manis menghukum sahabat sendiri.
Apabila harga bekalan air dan elektrik dinaikkan kerana tidak cekap mengurus atau pembaziran makan rakyat terpaksa tanggung kerugian tersebut dalam pelbagai bentuk yang terselindung. Amat beruntung korperat yang mempunyai 'back-up' oleh kerajaan. Berniaga yang tidak akan rugi ke atas diri sendiri namun rakyat umum pasti akan rugi.
Monopoli barangan atau perkhidmatan oleh pihak kerajaan adalah sangat baik jika diuruskan secara berhemah untuk kepentingan awam. Amat jelik dan dosa besar andainya digunakan untuk memperkayakan diri dan sahabat-sahabat sendiri. Tanda-tanda ketirisan monopoli kerajaan dapat dikesan melalui istilah sepeeti komisyen, hadiah, subsidi, pengurangan cukai dan sebagainya.
Monopoli oleh kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan bagi memenuhi keperluan paling asas rakyat. Seandainya keperluan asas itu dibiarkan untuk dirajai oleh korperat sahabat kerajaan maka yang untung hanyalah individu manakala hikmah di sebalik penguasaan kerajaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada rakyat. Oleh itu para para pegawai dan pemimpin kerajaan berhati-hatilah ketika memilih kontraktar atau operator untuk menjalankan perkhidmatan yang bersifat monopoli. Secara mudahnya berikan kepada yang mampu berniaga agar nanti tidaklah mereka akan menuntut kenaikan harga dan kerajaan bolehlah berlebih kurang (qardul hassan) dalam aspek cukai dan subsidi. Jika korperat hanya mahu cari untung lebih semata-mata maka rakyat wang dalam poket rakyat sahaja yang mereka nampak dan itu yang akan terjadi kerana rakyat memang tiada pilihan lain.

Ahad, 20 Disember 2009

ADIL & ZALIM (1)

Adil mengikut Kamus Dewan(Edisi Ketiga, hal. 8) ialah "yg atau dengan berdasarkan pertimbangan(peraturan, ketentuan) yang wajar atau berpatutan, tidak memihak, tidak sewenang-wenang, tidak melebihi atau kurang daripada yang sewajarnya. Lawan bagi adil ialah zalim yang bermaksud "tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam" (hal. 1557).
Persepsi dan sasaran akal bagi frasa adil dan zalim ini lazimnya tearah ke bidang siasah. Sifat ini sering dikaitkan dengan raja atau pihak berkuasa. Rumusan pemikiran Melayu berkaitan wacana ini terangkum dalam peribahasa "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Raja ertinya ketua umat yang memerintah atau menaungi bermula dari Raja hinggalah kepada sida-sida istana dan pemukul canangnya. Menyanggah raja adalah derhaka bagi Melayu yang berimankan fuedalisme. Melawan bangsawan juga sama ertinya seperti melawan raja. Maka Melayu dahulu kala hanya berlawan sesama sendiri dan konsep inilah yang diperteguhkan lagi oleh teman-teman rapat fuedal iaitu kolonialisme. Kedua-dua faham ini bergabung untuk menindas dan meletakkan martabat rakyat pada taraf serendah mungkin.
Mengkelaskan manusia agar berkasta adalah pekerjaan yang zalim. Bangsawan yang memandang rendah manusia lain adalah zalim dan tidak adil. Dalam Islam keadilan bermaksud
"meletakkan sesuatu pada tempatnya" manakala zalim adalah perlakuan yang menyalahinya. Seandainya ada pemimpin yang tidak memberikan hak sepatutnya kepada rakyat maka mereka dikira sebagai zalim. Ertinya perbuatan yang dikatakan zalim itu tidak semestinya apabila sudah sampai kepada tahap mendera dan membunuh.
Pemimpin yang menafikan suara rakyat menuntut hak mereka umpamanya hak memperolehi royalti minyak seperti yang terkandung dalam perjanjian adalah zalim. Menukarkan yang sebenarnya umpamanya royalti kepada wang ihsan juga adalah tidak adil kerana tidak bertetapan dengan apa yang sebenar. Dari perspektif akademik memang begitulah yang patut difahami. Nak nafikan apa lagi? Namun dalam konteks siasah yang diwarisi dari kolonial dan diterajui neo-fuedal tidak patutlah diulas dan diterima sebegitu. Rakyat yang bacul dan 'mandom' tidak akan terima atau dibenarkan terima hakikat ilmu sebegitu mudah. Maka jumudlah akal rakyat pada takah itu. Pemimpin sahaja yang perlu dimanis dan progresif kerana mereka akan pertahankan rakyat hingga "ke titisan darah yang terakhir".
Menyekat perkembangan ilmu dan proses cendikia rakyat adalah ketidakadilan raja terhadap rakyat. Dosa kezaliman sebegitu sama keadaan seperti mana seorang guru yang menyekat anak muridnya daripada memahami ilmu hingga ke tahap hakikatnya. Guru yang mengindoktrinasi muridnya agar bersifat dogmatik dan militan adalah guru yang tidak adil. Memang ilmu yang berkait akidah itu dogmatik sifatnya, namun ruang dibuka dalam konteks perbincangan falsafah agar kebenaran terus dicari dan dihargai.
Zalim raja terhadap rakyat bukan setakat yang berkaitan dengan pemerintahan negeri sahaja tetapi juga melibatkan apa yang dimakan, dipakai, dipelajari hatta kepada apa yang dibuat di dalam kelambu bersama permaisuri dan gundik-gundiknya. Tidak adil jika seorang raja yang sememangnya layak memiliki empat isteri (dalam konteks Islam) menambahkan lagi 40 orang puluh orang gundik di istana-istana hinggapnya untuk kepuasan syahwatnya. Raja yang lebih gemar melayan kemaluan dan perut sendiri adalah tidak adil dan tidak patut dirajakan. Namun dalam faham fuedal dan kapatalis-kolonial itulah yang perlu diterima dan diteruskan.

Rakya boleh berkata mahu menyanggah raja zalim tetapi akal dan tekad politik yang lemah menjadikan slogan itu ibarat anjing menyalak bukit. Dalam konteks demokrasi rakyat diberikan peluang untuk mengkembirikan raja yang zalim dan tidak adil. Namun rakyat yang bonsai akalnya pula akan bersifat zalim. Mereka salah pilih dan meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Maka berterusanlah raja yang zalim dipilih. Ertinya biar pun demokrasi dan kebebasan memilih itu wujud namun jika akal dan jiwa tidak bebas maka keadilan tidak akan berlaku. Rakyat dan raja yang sama-sama membuat zalim pada diri dan generasi mereka sendiri. Lantas jika semua pihak berperibadi zalim siapa yang mahu menyanggah ketidakadilan masing-masing?

Sabtu, 19 Disember 2009

DOA ATAU UNGKAPAN PERASAAN

TAZKIRAH ini ditujukan kepada yang berminat sahaja.
(ISLAM MAHU PUN BUKAN ISLAM)

GELISAH, SEDIH, LEMAH, MALAS, BACUL & BAKHIL

Perasaan untuk kongsi

Rentetan frasa berkaitan 'perasaan' di atas sebenarnya sangat signifikan dalam kehidupan harian individu. Perasaan memang sukar diungkapkan namun peristiwa yang datang bersamanya dapat menjelaskan penting sesuatu perasaan itu dilayan dan dibelai. 'Feel' memang sukar didapat jika dibuat-buat umpamanya untuk lakonan. Pelakon yang hebat sekali pun akan gambarkan perlakuan tentang 'feel' yang dimainkannya, jika tidak lakonannya bertahap kaku -hanya mengungkapkan skrip!

Namun demikian perasaan yang real adalah dalam diri sendiri setiap detik. Dalam pemikiran Islam 'feeling' juga dikaitkan dengan dosa dan pahala. Disediakan doa khusus untuk melawan atau hindari perasaan gelisah(hammi), sedih(hazan), lemah('ajzi), malas(kasal), bacul(jubni) dan kedekut(bukhul). Memahami konsep perasaan ini akan menzahirkan kekuatan dalaman diri. Memerangi perasaan di atas dalam bentuk doa sangat menarik dan ironinya ada yang memeranginya secara rasionalisasi. Dua kaedah ini ada kelebihan masing-masing dan asas bagi semuanya adalah ikhlas. Berdoa dengan ikhlas atau berfikir rasional juga dengan ikhlas.
Doa kepada Yang Maha Berkuasa atau 'seru semangat' amat penting dalam pelbagai konteks- mikro atau makro. Rakyat Malaysia diajarkan ungkapan "Malaysia Boleh" yang juga doa untuk melonjakkan semangat agar berkobar-kobar - biar pun implementasinya lebih banyak dalam bidang sukan. Dalam konteks Islam doa yang tidak dikaitkan dengan iradat Allah tetapi hanya menyeru semangat dalaman tidak berpahala doa yang sedemikian. Namun ia berkesan kerana seru semangat itu difahami dan dirasai sendiri oleh yang mengungkapkannya. Maka doa sedemikian biar pun bukan ibadah juga penting dan berfaedah.
Persoalannya adakah doa itu satu yang lagha dan boleh menyesatkan? Hal ini berbalik kepada konsep ikhlas tadi. Doa 'Malaysia Boleh' jika hanya ungkapan perasaan tanpa dikaitkan dengan kuasa lain selain Yang Maha Berkuasa maka tiada yang celanya. Ungkapan semangat yang ikhlas untuk kekuatan menggerakkan diri tiada salahnya jika ikhlas tidak berniat syirik. Namun ungkapan perasaan tidak dapat dikesan secara objektif kandungan nilai di sebaliknya. Ada yang hanya bersorak seronok suka dan ada yang berharap sungguh-sungguh. Ada yang tanamkan dalam jiwanya hanya kudrat dan iradat sendiri yang membolehkannya capai atau jadi sebegitu, ertinya Malaysia Boleh lakukan itu. Sukar disukat ikhlasnya atau syiriknya. Maka unsur-unsur lagha dan makar tidak dapat tidak akan ada di sana. Jika yang itu sebenar-benarnya terkandung dalam seru semangat Malaysia Boleh. maka keberkatan akan hilang dan keredaan menjauh. Perlulah dielakkan oleh umat Islam dari kejahilan ini.
Sebenarnya yang membezakan doa dan ungkapan perasaan hanyalah kepada siapa disandarkan permohonan tersebut. Dari situ akan timbul ikhlas dan menyimpang dari kesyirikan. Itu yang jelasnya.


Nota
Doa berkaitan artikel perasaan dia atas

"Wahai tuhan kami, aku berlindung dari rasa gelisah dan sedih,dan aku berlindung dari kelemahan dan kemalasan,dan aku berlindung darimu dari sifat bacul dan Bakhil,dan aku berlindung darimu dari cengkaman hutang dan penindasan orang."
hamm adalah kebimbangan atau kegelisahan manusia tentang perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan, sementara hazan adalah kesedihan tentang perkara-perkara yang sudah pun berlaku di masa terdahulu. (ref:
Sheikh Hamza Yusuf, The Purification of the Heart

Khamis, 17 Disember 2009

SELAMAT TAHUN BAHARU

Pertengahan dan penghunjung Disember 2009, dua kali Tahun Baharu akan disambut iaitu pada 18 Disember 2009 umat Islam sedunia menyambut Maal Hijrah atau Awal Muharram, manakala bermula lewat tengah malam 31 Januari 2009 seluruh umat manusia akan menyambut Tahun Baharu Masehi 2010.
Mengenai Maal Hijrah Wikipedia menjelaskan :
Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.
Di Malaysia, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.
Ketika blog ini dicatat ada inisiatif pelbagai pihak yang membuat countdown 2010 antaranya ialah Countdown to New Year
Time until Friday, 1 January 2010 (UTC time)
14 days
358 hours
21513minutes
1290760 seconds

Banyak sumber berkaitan Maal Hijrah dan Happy New Year di ruang maya yang boleh dimanfaatkan. Namun realitinya umat manusia lebih teruja menyambut Happy New Year berbanding Maal Hijrah -termasuklah umat Islam sendiri. Kedapatan umat Islam yang tidak berbangga atau ada apa-apa perasaan pun mengenai sambutan Maal Hijrah.
Tidak mustahil ada umat Islam yang 'tertanggu' dan rasa rendah diri bila dirinya dikaitkan dengan Maal Hijrah. Kenapa jadi begitu agaknya? Ini persoalan besar umat Islam yang kian hilang jati dirinya. Kau fikirlah sendiri!
Doa berkaitan Maal Hijrah boleh rujuk di sini antaranya Ummiku Sayang, Azian Collections,
Namun ada juga khilafnya di sini. Sila buat rujukan selanjutnya dengan bertanya kepada guru yang mursyid dan dipercayai.

Rabu, 9 Disember 2009

BEST BOLA-BOLA(2)

Pengurusan, industri dan sains sukan merupakan tiga kata kunci utama berkaitan bola sepak masa kini. Biar pun perlu dilihat perspektif lain, namun aspek di atas adalah keutamaan dan tumpuan. Pengurusan adalah kerja sistematik dan berseni. Perlukan kefahaman, disiplin dan pendekatan yang relevan. Anak raja dan ketua parti politik tidak semestinya mahir pengurusan dengan begitu sahaja. Penjaja ulam dan ikan perkasam di Pasar Malam Sungai Petani yang berasal dari Belantik mungkin lebih cekap menguruskan jajaannya berbanding eksekutif jualan kereta. Yang membezakan mereka adalah dari segi skala dan margin untungnya.

Pengurusan

Dalam pengurusan bola jika dipilih yang glamour semata-mata tidak cukup. Perlu ada bersamanya pengurus yang cekap dan beramanah. FAM dapat bertahan biar pun tidak cemerlang kerana ada di dalamnya pengurus yang cekap dan amanah. Namun yang nampak di mata adalah yang glamour dan tidak cekap. Tidak semestinya kita pilih Serbegeth Sigh atau Soh Chin Aun atau Azman Adnan tetapi boleh pilih orang yang kredibel, berani dan berjiwa besar seperti arwah Dato Ahmad Basri. Kita tidak pilih Shebby Sigh sebab ilmunya hanya layak jadi pengkritik, Soh Chin Aun dalam politik dan Azman Adnan auranya lebih dalam bidang dansa, barangkali!

Pengurusan perlu ada visi seperti Vision 2020, perlu ada objektif kerjanya, perlukan akauntabiliti dan amanah. Jika kerja dilihat tidak bersandarkan etika dan akauntabiliti dan lebih kepada kuasa tertentu -kes Pahang umpamanya- maka siapa yang mahu hormat kepada corak pengurusan sebegitu. Umum tidak bantah kerana mereka jelak dan tidak mahu berbalah dengan pengurusan yang kelihatan bebal dan tidak amanah. Pergi jahanamlah kamu -kalau ikut bahasa yang agak kasarnya atau 'bullshit' bagi penggemar(pengamal) budaya cercaan dan makian .

Selanjutnya dapat ditanggapi betapa lemahnya segmen peminat dan pemain. Mereka tidak punyai upaya untuk halang ketidakcekapan dan sifat tidak amanah pemimpin bola sepak nasional. Jika di negara maju yang bola sepak dan akal rakyatnya pasti mereka ini dengan penuh hormat meletakkan jawatan atau ditendang keluar oleh pemain dan peminat bola sepak. Kenapa penyokong dan pemain kita begitu 'mangkuk hayun' sekali dan biarkan sahaja isu tersebut berlalu? Ini ada kaitan dengan kemajuan industri bola sepak negara.

Industri Sukan

Di negara 1Malaysia ini rakyat tidak membudayakan sukan biar pun bola sepak dikatakan sukan nombor satu. Badminton dan skuash yang berkali-kali pemain Malaysia jadi juara dunia pun rakyat tidak begitu kisah sangat. Ertinya tiada peluang 'cari makan' yang menyeluruh dalam kegiatan sukan di Malaysia. Di Malaysia pihak insuran, bank dan 'lawyer' tidak boleh buat duit. Proposal mereka tidak dipandang pun. Penjaja tidak boleh berharap sepenuhnya, pembekal baju dan stokin lebih banyak 'melahu'. Pemain yang profesional pun ada masanya terpaksa jual ABC atau buat sesi fotografi dengan artis popular untuk tampung belanja hidup. Sukan di Malaysia bersifat kampungan. Kecil dan simplisitik -tidak bersifat industri. Lanjutan itu segalanya dipermudahkan dan banyak yang ambil mudah. Pemian tiada insuran, fisioterapis memadai seorang dua, aspek psikologinya memadai jemput Dr. Fazilah Kamsah untuk beri motivasi. Pelajar Sekolah Sukan dan Akademi bola awal-awal lagi sudah mahu bergelar 'star', latihan ikut keadaan dan mood. Semua yang terlibat sukan baca buku pun malas. Ini semua ada kaitan dengan Sains Sukan.

Sains Sukan

Aspek sains sukan seperti pemakanan, kesihatan, psikologi dan pengurusan pemain kurang diambil perhatian. Di Institut Sains Sukan atau MSN barangkali dipraktikkan beberapa elemen namun secara menyeluruhnya sains sukan di Malaysia hanya benda lawak dan asing. Jurulatih bola sama ada sekolah, kelab, belia dan seterusnya hanya sambilan, perutnya boroi, tidur jam 2 pagi, minum kopi 'o' kaw. Pengetahuan dan amalan kesihatan mereka hampir zero, aspek psikologi lagilah kelam. Ada jurulatih yang boleh kongsi rokok dengan pemain yang usianya bawah 18, masih budak sekolah -untuk keserasian katanya. Jurulatih yang lembap dalam pengurusan dan sukan gagal jadi teladan yang baik. Hanya tahu melalak dan ada yang memaki 'player' untuk tunjukkan ketegasan mereka.

Sepatutnya para jurulatih, pengurus dan pemain tahu serba sedikit sains sukan - yang asas. Apa yang perlu dimakan, berapakah jumlah jam rehat dan tidur dan berapa jam perlu berlatih sebagai seorang pemain profesional. Perlu ada etika kerja yang jelas. Perlu ada semangat untuk bekerja dan bermain. Perlu ada stamina dan kemahiran yang mencukupi.

Seandainya jurulatih kosong aspek pengurusan dan sains sukan, pemain sudah jadi 'star' sebelum tiba masanya, pengurusan hanya jadikan persatuan sebagai platform politik untuk cari nama manakala penaja hanya fikir untung maka bola sepak negara tidak akan maju. Hanya berlegar pada tahap itu sahaja. Tidak semestinya tukar pengurusan atau sediakan prasarana berkelas dunia maka bola sepak kita akan jadi hebat. Semua 'stake holder' perlu tahu dan ambil peranan sendiri-ertinya jangan terus jadi bebal dan bersikap simplistik seadanya seperti selama ini. Majulah bola sepak untuk negara bukan untuk kroni! (maksunya bukan hanya untuk yang terlibat semata-mata)

Nota
*Best Bola-Bola adalah nama sebuah gelanggang futsal di Butterworth.

Selasa, 8 Disember 2009

BEST BOLA BOLA (1)


Situasi 1
Di Vientiane Laos, pasukan bolasepak Malaysia ditewaskan oleh Vietnam dengan jaringan 3-1. Sebelum itu Malaysia penuh bergaya menewaskan Timor Leste 11-0. Malaysia dijangka akan tewas mudah kepada Thailand dan ada harapan 'dikorbakan' oleh Kemboja hari ini.
Situasi 2
Di Wisma FAM, pasukan Pahang 'diselamatkan' dan tidak jadi ke Liga Perdana, terus bersaing dalam Liga Super. Sebaliknya pasukan Harimau Muda B-21 bimbingan Mohamad Azrai Khor 'dikorbankan'. Keputusan tersebut beerti mengubah keputusan Majlis yang dimuktamadkan pada 15 Ogos 2009 lalu. Menurut kenyataan FAM "Tiada soal 'pilih kasih' kerana keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti mesyuarat Majlis FAM yang dipengerusikan oleh Sultan Pahang, Presiden FAM".
Realitinya
Malaysia menduduki tangga ke-152/200 dalam Ranking Fifa dan 28 AFC. Thailand merupakan negara Asia Tenggara paling cemerlang pada kedudukan 107 FIFA diikuti Singapura 111, Indonesia 127, Vietnam 130 dan negara junta Myanmar ke-135. Negara Asia Tenggara yang kedudukannya di bawah Malaysia ialah Filipina (165), Kemboja(172), Laos(174), Brunei(192) dan Timor Lestee(200).
Australia yang merupakan ahli baru AFC menungguli carta Asia dan kedudukan 21 FIFA, dikikuti Jepun(43), Korea Selatan (52). Sekiranya New Zeland menyertai AFC kedudukan mereka adalah tangga ke-8 iaitu tempat ke 77 FIFA. New Caledonia yang kebanyakan rakyat dan peminat bola 1Malaysia tidak tahu mana lokasinya menduduki carta ke-139 dan jika menyertai AFC bersama Australia akan menduduki carta ke-24 AFC iaitu empat takah di atas Malaysia. Sila minta maklumat New Caledonia dari Sdr. Wiki
Realiti yang lain
Di Perak krisis kewangan persatuan bolanya meruncing dan pada awalnya tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia 2010. Selangor 'The Red Giant' dijangka tidak akan memperolehi apa-apa kejayaan dalam saingan Piala AFC 2010. Sebagai alternatifnya peminat bola sepak 1Malaysia akan menyokong pasukan 'glamour' England sebagai wakil Malaysia dalam kempen Piala Dunia 2010. Peminat juga menubuhkan Kelab Peminat MUFC, Chelsea atau Liverpool untuk meraikan 'kepuasan sebenar' bolasepak.
Dilema kita
(Berdasarkan ulasan umum rakyat marhen (tidak hanya di Kedai Kopi) -di mana-mana jua)
1. Bola sepak Malaysia 'pasti' akan berlegar pada tahap pencapaian sedia ada selagi 'Tuanku yang itu' masih menjadi peneraju persatuan bola kebangsaan. Dalam konteks Melayu tentu sekali kritikan sebegini 'amat keras' dan boleh membawa implikasi derhaka umat Melayu kepada rajanya. Jadi tidak akan ada kritikan atau cadangan rasmi. Namun itulah yang sering disebut-sebut oleh majoriti rakyat. Mungkin tiada faktanya tetapi itulah hakikatnya. Surat khabar pun ada membuat sindiran tetapi tidak pula berniat untuk meminta pihak terbabit melepaskan jawatan. Hanya disebut-sebut sahaja -tidak lebih dari itu.
2. Persatuan bola negeri pula lazimnya akan diketuai oleh pemimpin utama negeri kerana mereka sahajalah yang berupaya menarik duit penaja. 'Smart partnership' jika mengikut istilah pengurusan bisnes. Saling memberi dan menerima. Mana ada persatuan bola negeri yang diketuai oleh 'budak bola' atau yang berijazah bola kerana mereka ini hanya boleh meminta dan tidak boleh memberikan kembali.
3. Pasukan bola kita senantiasa layu kerana pemain-pemainnya juga layu dari segi stamina dan akal. Kata yang lebih ekstreem selagi mereka hisap rokok, minum air batu dan suka beronani maka selagi itulah mereka tidak akan pulun melawan. Mereka sudah jadi 'star' sebelum masanya.
Semua ulasan 'bodoh' diatas sebenarnya dapat dirumuskan secara saintifik atau lebih berakal seperti berikut iaitu:-
1. Kegagalan pihak pengurusan menilai prestasi sendiri atau mengkaji pandangan pihak lain.
2. Bola sepak kita belum sampai ke tahap industri kerana penyertaan belum menyeluruh.
3. Kelemahan bola sepak Malaysia memahami dan mengaplikasikan Sains Sukan.
Pihak yang berkepentingan(stake holder) dalam bola sepak yang patut berwacana dengan penuh berakal dan saling menghormati ialah 1. pengurusan 2. wakil pemain 3. wakil peminat 4. Ahli akademik/saintis. Perlukah penaja/korperat duduk semeja untuk berbincang? Boleh jika mereka mahu majukan bola sepak dan abaikan dahulu motto 'win-win situation' jika korperat benar-benar cintakan bola sepak. Namun buat masa ini biarlah pihak penaja tidak campur pada peringkat awal.
bersambung

Jumaat, 4 Disember 2009

BAHASA IBUNDA

Bahasa ibunda adalah bahasa yang ditutur secara khusus oleh sesuatu bangsa dan diwarisi bergenerasi. Bahasa ibunda mampu mengungkap pemikiran, hati nurani, perasaan mahu pun impian sesuatu bangsa itu. Sebab itulah sering ditegaskan bahawa 'bahasa jiwa bangsa'. Bahasa ibunda menjadikan sesuatu bangsa itu berjati diri dan berbangga dengan susur galur marganya sendiri. Bangsa yang rendah darjat tidak punyai apa-apa untuk dibanggakan dan hanya berasa bangga dengan apa yang disuap atau dipaksakan ke atas mereka. Biasanya bangsa kecil adalah bangsa yang pernah terjajah.
Dalam konteks 1Malaysia bangsa Melayu adalah bangsa yang pernah dijajah, begitu juga keturunan India di benua kecil India. Anak-anak terjajah ini menjadikan bangsa Inggeris sebagai rujukan atau 'bench-making' bagi menentukan tahap pencapaian bangsa mereka. Sebab itulah mereka rasa bangga kerana mampu bercakap bahasa Inggeris. Sebab itulah bahasa Tamil dijangkakan akan pupus pada pertengahan kurun ini. Bahasa Melayu pun begitu juga di mana tanda pertama kepupusan jati diri bahasa Melayu ialah hilangnya tulisan jawi Melayu dalam arus perdana generasi baru kini. Keturunan Cina bagaimana pula?
Bangsa Cina biar pun mereka bersifat diaspora namun ketekadan politik mereka amat kuat kerana mereka tidak pernah dijajah bangsa lain selain sesama mereka atau dilanda Jepun yang satu rumpun marganya. Mereka menjaga bahasa sendiri (biar pun wujud beribu dialek) di serata tempat. Orang Cina di San Fransisco tetap boleh berbahasa cina sama seperti di orang Cina UNESSCO, Congo, Burkina Faso, Timur Lestee dan Selayang Baru. Mereka tidak bangga dengan bahasa Inggeris dan tidak jadikannya sebagai sumber rujukan. Mereka merujuk kepada Tanah Besar Cina dalam soal kemajuan bangsa. Itu perbezaan Melayu, Cina dan India khususnya di negara 1Malaysia ini.
Apabila Timbalan Menteri Pelajaran akui pelajaran dalam bahasa ibunda lebih baik di mana pencapaian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) adalah lebih baik kerana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda, ini menunjukkan apa sebenar? Ertinya dalam tanahair 1Malaysia ini hanya 1keturunan yang menggunakan bahasa ibunda sendiri mampu 'pergi lebih jauh' berbanding 2keturunan lain yang tidak jelas penggunaan bahasa ibundanya.
Walaupun soalan pepriksaan disediakan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, calon-calon tentu sekali akan menjawab mengikut bahasa apa yang digunakan dalam kelas. Malang sekali bagi anak-anak Melayu dan India 1Malaysia yang terpaksa abaikan bahasa ibunda untuk menjawab soalan yang sepatutnya dipermudahkan sedari awal lagi. 2keturunan ini sudah rugi 2perkara iaitu 1) pengabaian bahasa ibunda dan, 2)kemerosoton akademik.
Pendapat 'genius' Dr. Mahathir ini rupa-rupanya boleh merugikan bangsa sendiri namun masih lagikah kita mahu bertolak ansur dan perlu lagikah 'soft landing' itu? Apa lagi yang perlu diberitahu, dianalogikan atau dibuktikan agar pihak yang bijaksana dan bertanggungjawab segerakan usaha penghapusan PPSMI? Apa lagi yang mahu ditunggu dan dilewatkan? Jangan nanti rakyat melihat tindakan lengah ini dari perspektif lain -krosnisme, rasuah. kepentingan politik atau peribadi dan bermacam-macam yang negatif lainnya- biar rakyat kembali disedarkan bahasa penghapusan PPSMI adalah untuk martabatkan bahasa ibunda dan bahasa Kebangsaan.
Percaya dan akuilah kepakaran ahli pendidikan dan bahasa dalam hal berkaitan bahasa. Samalah keadaannya seperti kita percaya kepada pakar jantung dalam masalah jantung biar pun pakar gigi ada memberikan pandangan sama tentang masalah jantung kepada kita. Dalam hal berkaitan pendidikan dan survival 'bahasa sebagai jiwa bangsa' mana kita patut percaya antara Dr.Mahathir bin Mohamed atau Dr. Hassan Ahmad.

Nota
Dr. Mahathir bin Mohamed adalah ahli politik, negarawan dan doktor perubatan.
Dr. Hassan ahmad adalah bekas Ketua Pengarah DBP dan doktor bahasa dan budaya.

Rabu, 2 Disember 2009

BERJUANG ITU APA DAN UNTUK APA?

'Kalau takut akan risiko jangan bicara tentang perjuangan', "Hidup adalah perjuangan". "Perjuangan komunis yang sia-sia". Itu antara kata-kata (sama ada hikmat atau tidak) tentang perjuangan. Persoalannya perjuangan itu apa bendanya dan siapa itu pejuang dan untuk siapa mereka berjuang.
Mari kita imbas kisah Pejuang dan Perjuangannya
1. Dr. Mahathir berkata beliau berjuang untuk bangsa Melayu. Mahathir berjuang agar orang Melayu boleh bercakap Inggeris dengan baik seperti mana orang Cina dan India. Baginya seperti mana orang orang India yang sudah tidak peduli bahasa Tamil mereka maka begitulah patutnya orang Melayu teladani. Lantas demi memartabatkan Melayu maka 'proses ilmu' melalui Sains dan Tekonologi perlu disampaikan dalam bahasa Inggeris. Dr. Mahathir percaya bahawa bahasa Melayu bukan jiwa bagi Melayu sebagai mana jelas baginya yang bahasa Tamil bukan jiwa bagi nenek moyangnya. Maka perjuangan Dr. Mahathir ialah untuk menjadikan anak-naka Melayu fasih berbahasa Inggeris dan seratus tahun lagi tentu sukar mahu dicari anak-anak Melayu yang berbangga berbahasa Melayu. Salut untuk inovasi dan pandangan jauh perjuangan Dr. Mahathir.
2. Tun Abdullah -mungkin dikatakan orang perjuangan dalam hal ehwal Hadhari. Selain itu tidak pastilah.
3. Tun Hussien Onn - Beliau mewarisi nama pejuang besar Melayu iaitu Dato Onn bin Jaafar. Tidak sama keadaannya dengan perjuangan Linda Onn biar pun nama bapa mereka adalah sama.
4. Tun Razak Hussien -perjuangan yang sukar dipertikaikan untuk orang Melayu yang kini diwarisi nilai kebangsawanannya oleh anak cucu beliau.
5. Tunku Abdul Rahman -Pejuang dan Bapa Kemerdekaan Negara. Berjuang menentang Indonesia ketika zaman konfrontasi. Kalah dengan Lee Kuan Yew dan melepaskan pegangan ke atas Singapore. Namun Almarhum tetap dikira pejuang Melayu.
Pejuang-pejuang yang lain mungkin tidak begitu popular dan nilai nostalgiknya agak kurang bagi golongan rakyat. Bagi golongan Marhaen pula siapa pejuang bagi pihak mereka? TV3 dengan Bersamamu tentu sekali boleh dikatakan pejuang rakyat miskin dan papa kedana. Saiful Bukhairi juga pejuang bangsa kerana merasakan dirinya diliwat dan perlu dapatlkan keadilan demi agama, bangsa dan negara. Azwan Ali adalah pejuang Islam kini kerana menyokong Dr. Asri. Arwah Ustaz Asri Ibrahim yang pergi tak kembali dikatakan pejuang irama nasyid.
Apa yang ingin disimpulkan di sini ialah ada perjuangan yang bohong semata-mata -hanya untuk kepeluan perut dan kemaluan konon atas nama rakyat dan ada perjuangan yang dibohongi dan ditnah. Bagi memberikan makna kepada semua itu terserah kepada kebijaksanaan rakyat. Jika rakyat percaya dan yakin yang Dr. Mahathir adalah pejuang Melayu tulen yang istiqamah ingin martabatkan bangsa Melayu maka rakyat akan sokong sehingga ke liang lahat. Jika rakyat rasa Dr. Mahathir salah tetapi terpaksa akur terhadap 'kehebatannya' maka perjuangan tersebut adalah palsu semata-mata. Auta saja yang lebih.
Dalam hal menentukan betul salahnya perjuangan seseorang hanyalah akal dan ilmu yang benar sahaja yang patut jadi neracanya. Masalahnya sekarang majoriti rakyat lebih gemar tepuk dada tanya selera dan tidak merujuk kepada akal. Namun bagi pejuang palsu adalah lebih baik rakyat bebal selama-lamanya untuk kekal berjuang. Maka jalan keluar yang adil bebalisme rakyat itulah yang perlu dibanteras terlebih dahulu agar tidak mudah didendang oleh wira palsu.
Kita bermaksud mengatakan Dr. Mahathir pejuang palsu kerana masih ramai dari kalangan kita yang bebal dan lebih mudah terima Dr. Mahathir sebagai negarwan ulung dan genius. Kerana rakyat tetap berjiwa hamba dan bebal maka mengatakan Dr.Mahathir buruk adalah dosa kepada agama, bangsa dan negara. Jika kita berakal maka kita patut bimbang dan takut rakyat terbanyak-yang muslim khususnya terjebak dalam ketakutan selain Allah dan menjadi syirik seperti mana rakyat di zaman Firaun dan Namrud.

Selasa, 1 Disember 2009

RASUAH TETAP RASUAH

Walau siapa pun jadi pemerintah. Walau apa pun bangsa dan agamanya jika berlaku amalan rasuah dan seumpamanya maka mereka tetap bersalah. Komponen rasuah termasuklah kronisme, nepotisme, tidak amanah dan salah guna kuasa. Lazimnya rasuah melibatkan wang atau benda bernilai sama biar pun sedikit jumlahnya. Rasuah juga termasuk penggunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau kelompok. Dalam masyarakat yang sebati budaya rasuahnya perbuatan korupsi tanpa melibatkan duit atau benda kurang difahami dan seperti bukan rasuah tanggapannya. Sebagai contohnya seorang penemuduga jawatan kosong yang mendorong panel lain memilih seseorang yang dikenali atau punyai hubungan baik dengannya sudah boleh dianggap rasuah. Namun hal tersebut kurang dipandang sebagai rasuah kerana itu sudah jadi budaya dan perkara biasa.
Budi bicara juga ada masanya dianggap rasuah. 'Perjanjian tersirat' atau commom law atas dasar 'hari ini aku tolong kau, esok kau tolong aku' yang menjadi amalan antara pihak penguatkuasa dan orang awam @ peniaga menjadikan rasuah tidak dapat dijustifikasikan dengan sempurna. Sikap ambil mudah terhadap peraturan atau pelanggaran 'standard of procedure' dengan cogan kata 'kira cincai lah bos' menjadikan amalan rasuah semakin merebak.
Apabila pihak audit membuat semakan dan berlaku ketidakakuran dan jalan keluarnya ialah membetulkannya di atas kertas sahaja menjadikan rasuah itu benda yang boleh ditoleransi. Sebagai contoh pembelian barang guna buang tetapi yang tidak wujud boleh dilakukan atas kertas sahaja. Jika ada pembelian barangan pada harga tidak logik tetapi 'calculation' betul maka ia tidak menjadi kesalahan. Ini masalah pentadbiran yang boleh membawa kepada mekarnya budaya rasuah.
Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya bersalah. Namun ada ketikanya tidak jelas peranan masing-masing kerana kedua-duanya sentiasa memberi dan menerima secara berterusan. Ikatan ini menjadikan rasuah sudah tidak kelihatan dan apa yang berlaku ialah urusan yang berbentuk pakatan strategik atau perkongsian bijak.
Apa yang lebih malang lagi rakyat marhaen tidak percaya yang pihak pembanteras rasuah benar-benar berlaku adil dan bekerja dengan ikhlas berdasarkan tindakan mereka selama ini. Pihak media yang menayangkan berita rasuah pun tidak banyak membantu meningkatkan kepercayaan marhaen terhadap perang rasuah kerana nampak sangat media itu berpolitik dan berlegar dalam konteks sensasi semata-mata. Ada berita panas boleh buat untung dan mereka akan abaikan penghormatan masyarakat terhadap usaha yang benar dan ikhlas untuk perangi rasuah.
Oleh kerana rasuah satu budaya, yang kabur justifikasinya, agensi pencegah rasuah tidak ikhlas, media hanya main wayang dan pemimpin serta pegawai kerajaan tidak takut kepada tuhan untuk terus merasuah maka indeks rasuah negara terus meningkat dan menyamai negara miskin (yang rakyatnya mungkin 'terpaksa' merasuah untuk terus hidup), biar pun cita-cita kita ingin menjadi negara maju. Akal rendah rakyat dan pemimpin tidak mungkin menzahirkan masyarakat maju.