Jumaat, 30 April 2010

SUDUT PANDANG AKAL MELAYU

Senarai tajuk berita
KTMB cadang gerabak lelaki dan wanita -BH 1 April 2010
KTM Komuter introduces pink coach for ladies -NST April 27, 2010
Gerabak komuter wanita dapat reaksi positif -Utusan 29 April 2010
Gerabak Khas untuk wanita -Metro 30 April 2010
Gerabak wanita: PAS ucap tahniah kepada KTMB -Harakahdaily 29 April 2010
Gerabak khas wanita sebagai pilihan -Umno Online, 01 April 2010
Senarai catatan blogger mengenai Gerabak khas wanita

Silalah telusuri berita dan catatan berkaitan gerabak khas untuk wanita yang dilaksanakan oleh KTMB bermula 28 April 2010. Apakah kandungan akal Melayu di dalamnya?

1. Adakah tindakan positif tersebut disambut atas keperluan tuntutan syariat?
2. Adakah itu sesuai dengan budaya Melayu yang menjadi teras kepada Kebudayaan Nasional?
3. Adakah itu beerti membawa kepada pengasingan atau perbezaan gender? Apa pandangan
feminis Melayu?

Kebanyakan respon yang diberikan hanyalah dari sudut dapat elakkan gangguan seksual dan untuk keselesaan wanita. Kenapa tidak ada yang berani secara jelas tekankan bahawa itu satu tuntutan syarak? Kenapakah KTMB tidak berani beri alasan sedemikian. tiada dalam kepala bisnes mereka atau ini tindakan berhikmah? Jangan mimpilah ada Melayu (selain pelampau PAS barangkali) yang melihat tindakan tersebut dari sudut kepentingan syiar dan syariat Islam.
KTMB sendiri jelas mengatakan tindakan tersebut adalah meniru Jepun dan negara Eropah. Nasib baik Jepun dan Eropah sudah laksanakannya terlebih dahulu. Jika tidak akan jadi isu berpanjanngan. Sama seperti isu sebat Kartika Sukharno hinggakan Sultan terpaksa campur tangan -bukan untuk sebat tetapi menanganinya dengan penuh 'hikmah' dan berani. Lantas untuk tidak tambahkan kekusutan jangan jadikan perkara ini satu yang isu yang memaksa Sultan masuk campur. Jika dikaitkan dengan Islam maka akan bertambahlah 'duty' sultan-sultan Melayu.
Pemikiran Melayu terbukti 'simplistik'. Gerabak khas itu pun ada pilihan sama ada golongan wanita mahu gunakan atau tidak. Tidak mahu masuklah gerabak bercampur. Mahu jadikannya ibadah jangan sekali-kali. Itu sudah melampau. Maka terpulanglah untuk pilih dan gunakannya. Macam sistem perbankan juga. Satu bank boleh buat dua sistem iaitu Islam dan yang tidak Islam. Melayu tidak pernah pun berfikir secara mendalam hal-hal sebegini kerana Melayu lebih gemar terima dan ikut sahaja. Melayu tidak berjiwa islah dan takutkan reformasi.
Itulah sikap dan pemikiran Melayu yang akhir-akhir ini sering dipertontonkan oleh Perkasa dan saudaranya Perkida. Amat menarik untuk dikaji ialah tentang selipar Melayu. Jika Arab tradisi menghina orang lain dengan cara membaling kasut ke muka yang terhina, maka tradisi Melayu Perkasa ialah membaling selipar ke muka orang sedemikian. Apa yang pasti Arab punyai 'khuf' atau kasut sejak zaman mereka menunggang unta lagi. Melayu hanya kenal selipar selepas Jepun datang ke Tanah Melayu membawa 'kasut jepun' bagi melawan bisnes kasut getah pemodal Eropah! Ertinya upacara (tradisi??) membaling kasut itu hanya dimulakan oleh Perkasa sebagai meniru Pak Arab. tidak bolehkah tiru Islam? Itu sahaja akal yang dipunyai Melayu. Ukurlah sendiri panjang atau pendeknya!

Ahad, 25 April 2010

BERFIKIR TENTANG RASUAH

Sempena meraikan PRK Hulu Selangor hari ini mari kita fikirkan tentang rasuah. Hal ini kerana kata pemerhati "rasuah politik" memang berlaku di Hulu Selangor -malah berleluasa. Rasuah satu perkara yang tidak nampak tetapi diyakini memang ada -umpama angin yang dapat dikesan melalui pokok yang bergoyang atau angin kentut yang dikesan melalui baunya. Rasuah melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima sama ada secara langusng atau 'indirectly'. Belanja makan untuk "mempermudahkan urusan" yang telah menjadi sukar adalah rasuah tidak langsung bahkan kadangkala tidak disedari pun oleh penerimanya. Bagi penerima yang lurus bendul akan terima sahaja belanja makan 'kawannya' itu dan ucapkan terima kasih. Bagi yang sama-sama bijak akan katakan itu adalah 'smart partnership' manakala pemberi yang 'mangkuk hayun' akan ikut sahaja apa yang si penerima minta.
Dalam aspek pendidikan rasuah 1Malaysia punyai Institut Integriti Malaysia(IIM). Wawasan yang ditetapkan ialah "Membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti. Objektifnya ialah "sebagai jentera pelaksana Pelan Integriti Nasional(PIN) ke arah membangunkan bangsa malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat".
Malaysia juga punyai surahanjaya penguatkuasaan rasuah (yang hebat dan sensadsi) yang dahulunya Badan Pencegah Rasuah(BPR) kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Tugas utamanya menangkap dan mendakwa perasuah.
Dalam konteks negara 1Malaysia (menurut SPRM tentunya) terdapat empat(4) kesalahan rasuah yang utama iaitu (1) meminta/menerima rasuah (2)menawar/memberi (3)membuat tuntutan palsu (4)menyalahguna jawatan/kedudukan. Rasuah jika meluas dan menjadi budaya akan menyebabkan masalah sosial seperti jenayah dan ketidakadilan terhadap masyarakat. Perkataan lain bagi rasuah ialah korupsi (corruption) atau tumbuk rusuk atau makan suap.
Namun demikian rasuah di Malaysia adalah "satu budaya yang diterima dan tidak dianggap salah selagi belum dibuktikan salah" dan wujud banyak persoalan dan kontroversi dalam proses penguatkuasaanya. Dari mana bermulanya kefahaman dan budaya rasuah dan mengapa manusia gemar merasuah? Apakah kefahaman tentang rasuah itu berdasarkan ilmu yang betul atau hanya satu perwarisan kefahaman dari generasi terdahulu?
Sebagai perbandingan penulis turunkan kata-kata seorang pensyarah yang cuba membuat konfrontasi terhadap pelajarnya iaitu " jika anda tidak meniru dalam peperiksaan anda rugi dan jika anda ditangkap kerana meniru maka anda dua kali rugi". Perbuatan meniru itu adalah satu kenakalan tetapi dalam proses ilmu penipuan sebegitu adalah cerminan buruknya integriti seorang siswa. Apa maknanya analogi itu dari perspektif rasuah? Pertamanya perasuah perlu bersedia ambil risiko dan hanya fikirkan untung. Perasuah perlu ada tekad dan berani untuk menjadi 'jahat' dan jika misi kejahatannya berjaya maka dia akan untung dan seandainya gagal maka dia dua kali rugi. Dalam pemikiran perasuah (dan penerimanya juga) selagi belum dilihat bersalah atau selagi belum difahami bahawa itu satu kesalahan maka itu adalah satu peluang.
Maka dengan itu masyarakat kita akan selamanya menganggap rasuah bukan satu dosa dan tidak sedar pun kesannya kepada masyarakat. Adakah rakyat khususnya Melayu dapat mengesan dan memahaminya jika pada hari-hari kempen PRK Hulu Selangor pengertian dan apa hikmahnya kata-kata pemimpin "lihat sumbangan kita sejak dulu...sejak beberapa hari lalu kita telah berjaya menyelesaikan masalah peneroka felda dan penduduk kampung".
Jika benar-benar Melayu faham maksud dan implikasi rasuah dan kenal perasuahnya serta benar-benar bermaruah dan beragama maka mereka akan tolak perasuah sedemikian. Jika tidak menolaknya maka Melayu tetap lurus seperti pada zaman Istana Melaka dahululah! Pantang Melayu derhaka dan Melayu tetap terus hidup pun sampai kini. Tapi siapa yang hormat Melayu itu sebegitu?

Selasa, 20 April 2010

EKOPOSIAL : APA YANG DIBACA OLEH MELAYU?

Melayu adalah satu marga atau keturunan dikira berdasarkan pertalian darah. Melayu di Tanah Melayu lazimnya beragama Islam kerana dilahirkan oleh ibu bapa yang Islam. Bangsa Malaysia pula adalah kelompok keturunan yang dikepung oleh sempadan geografi iaitu Tanah air 1Malaysia. Melayu dalam Bangsa 1Malaysia bukan bersaudara dengan Melayu saudara mara M. Nasir yang tinggal di Bedok , Singapore atau Pangeran Deraman di Seria, Brunei mahu pun Abudul Koder Melayu Pattani di Sungai Padi, Selatan Thai. Melayu di luar 1Malaysia adalah Melayu yang lain biar pun ada pertalian darah atau bau-bau bacang hatta boleh mewarisi antara satu sama lain.

Maka kefahaman Melayu tentang alamnya hanya berlegar dalam lingkungan tanah air 1Malaysia sahaja. Sebab itulah Melayu 1Malaysia tidak yakin yang bahasa Melayu itu kedudukannya yang ke-5 paling ramai penuturnya iaitu melebihi 200 juta manusia. Manusia Melayu 1Malaysia barangkali tidak sedar bahawa wujud Melayu di luar lingkungan mereka. Maka dengan sebab itulah mereka tidak bangga dengan bahasa Melayu malah setuju dengan cadangan bebal pemimpinnya yang melabelkan bahasa sendiri dengan nama bahasa Malaysia. Mengecilkan nama bahasanya sendiri kepada lingkungan yang terhad sepatutnya jelas membuktikan kecilnya jiwa bangsa tersebut.

Selanjutnya dalam konteks ekoposial apabila pemikiran tentang bangsa sendiri menyempit adalah sukar untuk merumuskan pemikiran tentang ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa menjadi sebaliknya iaitu membesar. Pemikiran ekonomi Melayu tentu sekali dalam lingkungan Melayu yang terhad kerana sudah tentu Melayu 1Malaysia tidak mampu berfikir secara global. Tidak ada diaspora Melayu yang memangkin ke arah itu atau jika ada pun mereka tidak diterima sebagai Melayu. Orang Acheh, Cham dan Pattani yang datang berniaga di Kuala Lumpur barangkali adalah diaspora Melayu tetapi apabila menguasai beberapa cabang perniagaan maka mereka dianggap musuh yang merencat kerancakan berniaga orang "Melayu' sejati khususnya di Kuala Lumpur.
Dalam bidang politik pula Melayu hanya membaca dari perspektif Melayu semata-mata, sama ada atas kapasiti nasionalis atau Melayu-Islamik. Ibrahim Ali adalah pejuang Melayu perkasa yang hanya bercakap dalam konteks Melayu iaitu bersangkut hak istimewa Melayu, peluang berniaga dan sebagainya. Ibrahim Ali tidak nampak bagaimana Melayu beserta Cina, Siam, India, Sikh dan Kadazan dapat bersama-sama memajukan Melayu. Apa yang Ibrahim Ali tahu ialah Melayu hanya boleh dimajukan oleh Melayu. Begitu juga kebanyakan para ultralis Melayu lainnya yang menuduh Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang sebagai chauvinist Cina tanpa melihat dirinya pun sama seperti yang dikatakannya itu. Para pejuang Islam pun begitu juga yang sering melihat dan meletakkan 'gap' antara hubungan Melayu yang Islam dan bukan Melayu yang tidak Islam. Ada garis pemisah yang jelas dan ini dijadikan nilai atau dogma untuk membentuk pandangan umum umat Melayu-Islam.
Rakyat Melayu yang sepatutnya menjadi peneliti massa hanya ikut sahaja. Apa kata pemimpin itulah yang tepat dan benar tanpa banyak usul. Rakyat yang jadi pengikut bukan semata-mata yang bodoh tetapi yang cerdik pun sama kerana mereka bacul dan tidak bertelur. Kita amat hairan bagaimana pakar sosiologi, sains politik dan pakar sejarah yang bergelar professor yang jelas memahami prinsip kesaksamaan, pencerahan dan kebebasan sosial sering tunduk kepada apa sahaja yang pemimpin tetapkan dalam hal politik sosial tanpa tapisan ilmu. Mengikut arahan pemimpin berilmu adalah wajib tetapi menyertakan diri dengan kebebalan pemimn adalah dua kali bebal khusus bagi para pemikir dan intelektual Melayu itu.
Maknanya di sini Melayu gagal membaca konsep ekoposial yang melingkari budaya dan kehidupan mereka dengan baik. Melayu hanya ikut sahaja dan ini memang ada kaitan dengan tabiat Melayu yang tidak gemar membaca. Melayu sejak tradisi bukan berpaksi 'knowledge worker' atau pendekatan modal insan tetapi lebih menjurus kepada 'hands on' dalam proses ilmu mereka. Melayu asalnya sangat ringkas jaringan sosialnya, ekonominya bersifat sara diri dan kepolitikannya berjalan dalam suku-suku yang kecil. Jika ada Raja yang menyatukan mereka itu adalah hanyalah fuedal yang menjarah dan bukannya mengajar Melayu berpolitik secara beradab dan berdaya maju. Sebab itulah Melayu hanya tahu taat dan patuh sejak dahulu, kini dan selamanya. Pantang Melayu derhaka adalah cerminan taat Melayu dan jika ada Melayu yang bersifat kritikal maka mereka itu adalah penderhaka dan pembelot. Pemikiran itu jelas sejak zaman Hang Jebat hingga zaman 1Malaysia pasca moden ini. Jadi apa lagi yang boleh dibuat untuk memahamkan Mel;ayu ini jika memberikan idea baharu pun dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat? Kalau begitu jika 'Dr. Mayat' Pornthip itu adalah Melayu maka beliau adalah sebesar-besar pengkhianat dan dajal Melayu kerana ada kenyataan yang tidak selaras dengan kehendak pemimpin Melayu. Nasib baiklah beliau itu keturunan Siam dan mungkin akan diterima kenyataan samalah sepeerti perunding antara bangsa yang lain yang sering diterima pendapat mereka dalam apa-apa hal atau masalah yang dirasakan sukar oleh Melayu termasuklah hal ehwal bahasa dan budaya Melayu sendiri. Tidak percaya? Baca dan fikirlah wahai Melayu!

Khamis, 15 April 2010

BICARA TENTANG KETUANAN MELAYU

Marilah kita bicarakan tentang ketuanan Melayu khususnya di dalam negara 1Malaysia tercinta ini. Tuan ertinya tauke dan ada kuli. Maka Melayu di Malaysia ini adalah tuan dan kulinya tentu bukan Melayu atau sesama Melayu.
Apabila Melayu jadi tuan maka tidak adalah drebar lori dan bas Melayu yang bertuankan Cina dan apa yang ada ialah Tauke Melayu berdrebarkan Cina mata sepet itu. Tiadalah ada minah-minah dan Cik Siti Melayu yang dari pagi hingga ke petang mengambil upah menjalankan mesin-mesin membuat baju, kasut, seluar dalam, dvd halal, radio, laptop dan sebagainya di kilang-kilang Jepun dan Cina. Segala macam amoi dan anak gadis India yang Hindu atau tidak, anak Dayak, Siam, Bangla dan sebagainya akan berduyun-duyun masuk kerja di kilang-kilang laksa, kain pelekat, sos cili, kereta atau minyak wangi yang dipunyai oleh Melayu di mana-mana jua dalam tanahair Melayu ini.
Apabila Melayu jadi tuan maka tiada akan kedengaran suara sergahan rakyat dari macam-macam puak di tanahair 1Malaysia ini yang meminta bukan-bukan yang boleh menjejaskan ketuanan Melayu. Melayu akan pertahankan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu. Tiada akan menukar syarat dan menjual mereka tanah-tanah rizab orang Melayu. Akan diambil baliklah tanah-tanah wakaf umat Islam Melayu yang diduduki kuli-kuli Cina di seluruh tanahiar Melayu tercinta ini. Akan memandanlah segala kuli-kuli Melayu itu penuh hormat dan segan pada tuan Melayu.
Apabila Melayu jadi tuan maka akan berbanggalah dengan bahasa Melayu dan tiada akan adalah lagi PPSMI atau memperkasakan bahasa lain selain Melayu. Akan bersyarahlah pemimpin ketuanan Melayu di PBB atau forum nuklear sejagat tajaan Obama menggunakan bahasa Melayu. Semua itu telah dilakukan oleh pemimpin ketuanan Melayu. Mereka rasa bangga menggunakan bahasa Melayu dan meluat akan bahasa asing. Mereka tidak sekali-sekali terima persen dari tauke-tauke tetapi mereka memberikan pengajaran secukupnya kepada pemberi rasuah. Pegawai dan tuan Melayu akan ajarkan budaya Melayu dan Islam yang sebenarnya kepada bukan Melayu. Melayu jadi tuan kepada bangsa-bangsa dan keturunan lain. Semua yang selain Melayu akan jadi kuli semuanya - Dulu, kini dan selamnya!
Itulah hakikat yang dapat dilihat di depan mata sekarang. Melayu memang jadi tuan di dalam ini tanahair 1Malaysia ini. Porrrrah..! siul...kah..kah.kah. Tabik tuan Melayu!

Khamis, 1 April 2010

SULTAN AMPUNKAN PESALAH SYARIAH

Menurut laporan Malaysiakini Sultan Pahang menitahkan agar hukuman sebat terhadap pesalah syariah Kartika Seri Dewi Sukarnor digantikan dengan kerja-kerja khidmat masyarakat. Ampun Tuuanku! Masyarakat antarabangsa tentu tidak akan memandang serong dan pasti mengangkat Malaysia sebagai model negara Islam moderat yang patut dicontohi.
Kita akan jadi 'bangsa besar' kerana Tuanku Sultan mampu membuat keputusan besar di mana peminum arak yang wajib dihukum sebat mengikut undang-undang syariah berupaya diubahsuai oleh Tuanku. Jelaslah mitos Melayu lama yang mengatakan sultan adalah jelmaan tuhan memang sebenarnya sesuatu yang wujud -bukan sekadar mitos rupanya! Tuanku bukan sekadar khalifah Allah tetapi sebenar-benarnya jelmaan Tuhan di atas muka bumi khususnya kepada umat Melayu. Jika tidak masakan Tuanku berupaya untuk berjiwa besar dan berkompromi dengan hukum Allah Taala. Tuanku dan Penasihat Agama Tuanku pun tahu yang hukum Allah Taala tidak boleh dicabar dan dibuat main-main atau diperlekehkan. Namun keyakinan, keupayaan dan barangkali keputusan hasil solat istikharah yang dibuat Tuanku dapat memberitahu kepada umat Melayu dan seluruh umat Islam bahawasanya hukum syariah itu sebenarnya boleh dikompromi. Hukum syariah itu bukannya mutlak dan Sultan boleh ubahsuai ikut keperluan zaman. Sesungguhnya sebagai rakyat pacal yang hina dina ini terima sahajalah apa keputusan Tuanku Sultan. Hukum Syariah itu hukum Allah yang tidak nampak dan tidak realistik manakala hukum Lord Reid model Westminster itu lebih praktikal. Hukum syariah itu barangkali mengganggu keselesaan hidup kita. Wanita pun mahu disebat oleh hukum syariah yang pastinya menimbulkan persoalan tentang hak kesaksamaan dan keadilan terhadap wanita. Kenapalah ada undang-undang sebat terhadap kaum wanita. Wanita tidak perlu disebat tetapi untuk dinikmati keindahan tubuh badannya. Jika wanita disebat maka wanita akan jadi buruk dan satu kezaliman ke atas mereka. Biarkan wanita dedahkan buah dada, pusat, punggung, paha dan apa yang dicelah-celahnya agar seluruh umat manusia -tidak kira Melayu atau Islam- dapat menikmatinya dengan selesa dan puas. Keputusan ini barangkali boleh menjadi titik tolak kepada penghapusan semua hukum syariah di Malaysia. Namun sekiranya Jepun, Korea, Britain atau Amerika Syarikat mahu laksanakan hukum seumpama hukum syariah itu maka kita fikirkanlah semula. Bukankah manusia dan masa akan sentiasa berubah!
Kesimpulannya titah Tuanku itu sesuatu yang amat hebat dan penting demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara 1Malaysia. Orang Eropah, Jepun, Amerika, Sudan, Russia, Arab dan segala-galanya tentu tidak akan mengkritik dan memansdang serong kepada kita lagi. Kita sudah setanding dengan mereka kerana penaung agama kita sudah mampu berkompromi dengan Allah Taala. Obama tentu tidak berupaya sampai ke tahap itu. Salute Tuanku!