Sabtu, 12 November 2011

HAPUSKAN BAHASA MELAYU DI ALAM MELAYU!

Ke hadapan seluruh rakyat Malaysia!
Pengumuman kerajaan menghapuskan PPSMI biar secara 'soft-landing' sehingga tahun 2016 ternyata mengguris perasaan jutaan rakyat Malaysia. Kerajaan sepatutnya meneruskan PPSMI kerana terbukti bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan dunia. Terbukti Sains dan Matematik berkembang melalui bahasa Inggeris. Terbukti anak Cina, India dan Serani dalam tanah air  1Malaysia yang tidak pernah memotong 'anu' masing-masing telah menjadi bangsa yang lebih maju dari anak-anak Melayu. Terbukti orang Melayu masih bersifat kampungan, rendah diri dan tidak kaya raya kerana mereka hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Wahai pejuang-pejuang bahasa Melayu,
Hentikanlah 'pekikan bodoh' Martabatkan bahasa Melayu kamu itu kerana perjuangan seumpama itu tidak akan membawa kemajuan. Lihatlah orang-orang india, mamak dan hindustan di benua kecil India yang lebih maju berbanding bangsa Melayu kerana menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Tamil dan Hindustan bukan lagi alat kemajuan orang-orang di India. Mereka akan maju setanding Amerika dan Eropah Barat suatu hari nanti kerana menguasai bahasa Inggeris. Lihatlah pula orang Jepun yang tidak mahu gunakan bahasa Inggeris, gagal menyekat tsunami yang melanda negara mereka. Lihatlah orang Jerman dan Perancis yang tidak berminat menggunakan bahasa Inggeris, akhlak mereka adalah teramat rendah di mata dunia.

Wahai rakyat Malaysia,
Jangan berterusan menjadi bodoh dengan hanya mahu bercakap bahasa Melayu. Akuilah bahasa Melayu adalah lekeh dan ketinggalan zaman. Terimalah hakikat yang bahasa Melayu akan gagal menjadi bahasa ilmu. Wahai anak bangsa Melayu jangan bercita-cita mahu jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa rujukan dunia. Bahasa Melayu tidak akan maju sehingga dunia ini kiamat sekali pun. Bahasa Melayu adalah bahasa ketinggalan, bahasa untuk bangsa miskin dan rendah diri. Tidak perlu lagi dimartabatkan bahasa Melayu yang rendah tarafnya itu. Bahasa yang bercampuk aduk dengan pelbagai istilah dari bahasa lain dunia. Bahasa yang tidak asli dan tidak mantap -ertinya bahasa kesukuan yang kecil penuturnya dan bersifat kampungan semata-mata.

Wahai rakyat Malaysia khususnya orang Melayu,
Sedarlah yang bahasa Melayu akan pupus dalam tempoh 50 tahun sahaja lagi. Jadi apa perlu dimartabatkan lagi. Pada tahun 2070 nanti tidak ada lagi orang yang tahu berbahasa Melayu. Lihatlah tulisan jawi yang sudah hampir pupus tidak sampai 50 tahunpun  Tanah Melayu merdeka. Dasar menggunakan tulisan rumi adalah amat baik dan selaras dengan kemajuan dunia. Untuk 50 tahun yang akan datang dasar menggunakan sepenuhnya bahasa dari keturunan rumi iaitu bahasa Inggeris adalah yang terbaik kerana bahasa Melayu akan hapus dalam tempoh 50 tahun lagi. Ayuh sokonglah PPSMI bahkan elok sekali kita sokong PPSMPI(Pengajaran Semua Mata Pelajaran Dalam Baghasa Inggeris) dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Teruslah berkembang bahasa Inggeris dan pergi jahanam bahasa Melayu. Tahniah PAGE dan sekalian anak bangsa yang menyokong PPSMI dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama negara yang bukan lagi Tanah Melayu ini. Ini 1Malaysia lah brader!