Isnin, 2009 Disember 21

MONOPOLI KERAJAAN

Dalam sistem ekonomi pasaran bebas monopoli oleh pemodal sepatutnya tidak wujud. Namun dalam konsep ekonomi campuran monopoli kerajaan melalui syarikat berkaitan kerjaan lazimnya dipraktikkan. Hal ini adalah wajar dan patut berlaku demi kepentingan awam. Walau bagaimana pun idea tersebut tidak berjalan lancar apabila kontraktor atau syarikat berkaitan kerajaan itu sebenarnya hanya dimiliki oleh individu kroni kepada pemimpin kerajaan.
Masalah yang timbul nantinya ialah keuntungan akan lebih mengalir sesama sendiri dalam bentuk 'komisyen individu' berbanding kepada kerajaan. Telah kerap terjadi kerajaan terpaksa memejamkan mata di atas kerugian syarikat monopoli miliknya kerana kegagalan pengurusan oleh operatornya. Apabila syarikat gagal berkembang biar pun memonopoli perkhidmatan maka siapa patut disalahkan? Kerajaan adalah pelabur(bagai pihak rakyat umum) dan yang menguruskan adalah sahabat kepada ahli kerajaan sendiri. Adalah tidak manis menghukum sahabat sendiri.
Apabila harga bekalan air dan elektrik dinaikkan kerana tidak cekap mengurus atau pembaziran makan rakyat terpaksa tanggung kerugian tersebut dalam pelbagai bentuk yang terselindung. Amat beruntung korperat yang mempunyai 'back-up' oleh kerajaan. Berniaga yang tidak akan rugi ke atas diri sendiri namun rakyat umum pasti akan rugi.
Monopoli barangan atau perkhidmatan oleh pihak kerajaan adalah sangat baik jika diuruskan secara berhemah untuk kepentingan awam. Amat jelik dan dosa besar andainya digunakan untuk memperkayakan diri dan sahabat-sahabat sendiri. Tanda-tanda ketirisan monopoli kerajaan dapat dikesan melalui istilah sepeeti komisyen, hadiah, subsidi, pengurangan cukai dan sebagainya.
Monopoli oleh kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan bagi memenuhi keperluan paling asas rakyat. Seandainya keperluan asas itu dibiarkan untuk dirajai oleh korperat sahabat kerajaan maka yang untung hanyalah individu manakala hikmah di sebalik penguasaan kerajaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada rakyat. Oleh itu para para pegawai dan pemimpin kerajaan berhati-hatilah ketika memilih kontraktar atau operator untuk menjalankan perkhidmatan yang bersifat monopoli. Secara mudahnya berikan kepada yang mampu berniaga agar nanti tidaklah mereka akan menuntut kenaikan harga dan kerajaan bolehlah berlebih kurang (qardul hassan) dalam aspek cukai dan subsidi. Jika korperat hanya mahu cari untung lebih semata-mata maka rakyat wang dalam poket rakyat sahaja yang mereka nampak dan itu yang akan terjadi kerana rakyat memang tiada pilihan lain.

Ahad, 2009 Disember 20

ADIL & ZALIM (1)

Adil mengikut Kamus Dewan(Edisi Ketiga, hal. 8) ialah "yg atau dengan berdasarkan pertimbangan(peraturan, ketentuan) yang wajar atau berpatutan, tidak memihak, tidak sewenang-wenang, tidak melebihi atau kurang daripada yang sewajarnya. Lawan bagi adil ialah zalim yang bermaksud "tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam" (hal. 1557).
Persepsi dan sasaran akal bagi frasa adil dan zalim ini lazimnya tearah ke bidang siasah. Sifat ini sering dikaitkan dengan raja atau pihak berkuasa. Rumusan pemikiran Melayu berkaitan wacana ini terangkum dalam peribahasa "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Raja ertinya ketua umat yang memerintah atau menaungi bermula dari Raja hinggalah kepada sida-sida istana dan pemukul canangnya. Menyanggah raja adalah derhaka bagi Melayu yang berimankan fuedalisme. Melawan bangsawan juga sama ertinya seperti melawan raja. Maka Melayu dahulu kala hanya berlawan sesama sendiri dan konsep inilah yang diperteguhkan lagi oleh teman-teman rapat fuedal iaitu kolonialisme. Kedua-dua faham ini bergabung untuk menindas dan meletakkan martabat rakyat pada taraf serendah mungkin.
Mengkelaskan manusia agar berkasta adalah pekerjaan yang zalim. Bangsawan yang memandang rendah manusia lain adalah zalim dan tidak adil. Dalam Islam keadilan bermaksud
"meletakkan sesuatu pada tempatnya" manakala zalim adalah perlakuan yang menyalahinya. Seandainya ada pemimpin yang tidak memberikan hak sepatutnya kepada rakyat maka mereka dikira sebagai zalim. Ertinya perbuatan yang dikatakan zalim itu tidak semestinya apabila sudah sampai kepada tahap mendera dan membunuh.
Pemimpin yang menafikan suara rakyat menuntut hak mereka umpamanya hak memperolehi royalti minyak seperti yang terkandung dalam perjanjian adalah zalim. Menukarkan yang sebenarnya umpamanya royalti kepada wang ihsan juga adalah tidak adil kerana tidak bertetapan dengan apa yang sebenar. Dari perspektif akademik memang begitulah yang patut difahami. Nak nafikan apa lagi? Namun dalam konteks siasah yang diwarisi dari kolonial dan diterajui neo-fuedal tidak patutlah diulas dan diterima sebegitu. Rakyat yang bacul dan 'mandom' tidak akan terima atau dibenarkan terima hakikat ilmu sebegitu mudah. Maka jumudlah akal rakyat pada takah itu. Pemimpin sahaja yang perlu dimanis dan progresif kerana mereka akan pertahankan rakyat hingga "ke titisan darah yang terakhir".
Menyekat perkembangan ilmu dan proses cendikia rakyat adalah ketidakadilan raja terhadap rakyat. Dosa kezaliman sebegitu sama keadaan seperti mana seorang guru yang menyekat anak muridnya daripada memahami ilmu hingga ke tahap hakikatnya. Guru yang mengindoktrinasi muridnya agar bersifat dogmatik dan militan adalah guru yang tidak adil. Memang ilmu yang berkait akidah itu dogmatik sifatnya, namun ruang dibuka dalam konteks perbincangan falsafah agar kebenaran terus dicari dan dihargai.
Zalim raja terhadap rakyat bukan setakat yang berkaitan dengan pemerintahan negeri sahaja tetapi juga melibatkan apa yang dimakan, dipakai, dipelajari hatta kepada apa yang dibuat di dalam kelambu bersama permaisuri dan gundik-gundiknya. Tidak adil jika seorang raja yang sememangnya layak memiliki empat isteri (dalam konteks Islam) menambahkan lagi 40 orang puluh orang gundik di istana-istana hinggapnya untuk kepuasan syahwatnya. Raja yang lebih gemar melayan kemaluan dan perut sendiri adalah tidak adil dan tidak patut dirajakan. Namun dalam faham fuedal dan kapatalis-kolonial itulah yang perlu diterima dan diteruskan.

Rakya boleh berkata mahu menyanggah raja zalim tetapi akal dan tekad politik yang lemah menjadikan slogan itu ibarat anjing menyalak bukit. Dalam konteks demokrasi rakyat diberikan peluang untuk mengkembirikan raja yang zalim dan tidak adil. Namun rakyat yang bonsai akalnya pula akan bersifat zalim. Mereka salah pilih dan meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Maka berterusanlah raja yang zalim dipilih. Ertinya biar pun demokrasi dan kebebasan memilih itu wujud namun jika akal dan jiwa tidak bebas maka keadilan tidak akan berlaku. Rakyat dan raja yang sama-sama membuat zalim pada diri dan generasi mereka sendiri. Lantas jika semua pihak berperibadi zalim siapa yang mahu menyanggah ketidakadilan masing-masing?

Sabtu, 2009 Disember 19

DOA ATAU UNGKAPAN PERASAAN

TAZKIRAH ini ditujukan kepada yang berminat sahaja.
(ISLAM MAHU PUN BUKAN ISLAM)

GELISAH, SEDIH, LEMAH, MALAS, BACUL & BAKHIL

Perasaan untuk kongsi

Rentetan frasa berkaitan 'perasaan' di atas sebenarnya sangat signifikan dalam kehidupan harian individu. Perasaan memang sukar diungkapkan namun peristiwa yang datang bersamanya dapat menjelaskan penting sesuatu perasaan itu dilayan dan dibelai. 'Feel' memang sukar didapat jika dibuat-buat umpamanya untuk lakonan. Pelakon yang hebat sekali pun akan gambarkan perlakuan tentang 'feel' yang dimainkannya, jika tidak lakonannya bertahap kaku -hanya mengungkapkan skrip!

Namun demikian perasaan yang real adalah dalam diri sendiri setiap detik. Dalam pemikiran Islam 'feeling' juga dikaitkan dengan dosa dan pahala. Disediakan doa khusus untuk melawan atau hindari perasaan gelisah(hammi), sedih(hazan), lemah('ajzi), malas(kasal), bacul(jubni) dan kedekut(bukhul). Memahami konsep perasaan ini akan menzahirkan kekuatan dalaman diri. Memerangi perasaan di atas dalam bentuk doa sangat menarik dan ironinya ada yang memeranginya secara rasionalisasi. Dua kaedah ini ada kelebihan masing-masing dan asas bagi semuanya adalah ikhlas. Berdoa dengan ikhlas atau berfikir rasional juga dengan ikhlas.
Doa kepada Yang Maha Berkuasa atau 'seru semangat' amat penting dalam pelbagai konteks- mikro atau makro. Rakyat Malaysia diajarkan ungkapan "Malaysia Boleh" yang juga doa untuk melonjakkan semangat agar berkobar-kobar - biar pun implementasinya lebih banyak dalam bidang sukan. Dalam konteks Islam doa yang tidak dikaitkan dengan iradat Allah tetapi hanya menyeru semangat dalaman tidak berpahala doa yang sedemikian. Namun ia berkesan kerana seru semangat itu difahami dan dirasai sendiri oleh yang mengungkapkannya. Maka doa sedemikian biar pun bukan ibadah juga penting dan berfaedah.
Persoalannya adakah doa itu satu yang lagha dan boleh menyesatkan? Hal ini berbalik kepada konsep ikhlas tadi. Doa 'Malaysia Boleh' jika hanya ungkapan perasaan tanpa dikaitkan dengan kuasa lain selain Yang Maha Berkuasa maka tiada yang celanya. Ungkapan semangat yang ikhlas untuk kekuatan menggerakkan diri tiada salahnya jika ikhlas tidak berniat syirik. Namun ungkapan perasaan tidak dapat dikesan secara objektif kandungan nilai di sebaliknya. Ada yang hanya bersorak seronok suka dan ada yang berharap sungguh-sungguh. Ada yang tanamkan dalam jiwanya hanya kudrat dan iradat sendiri yang membolehkannya capai atau jadi sebegitu, ertinya Malaysia Boleh lakukan itu. Sukar disukat ikhlasnya atau syiriknya. Maka unsur-unsur lagha dan makar tidak dapat tidak akan ada di sana. Jika yang itu sebenar-benarnya terkandung dalam seru semangat Malaysia Boleh. maka keberkatan akan hilang dan keredaan menjauh. Perlulah dielakkan oleh umat Islam dari kejahilan ini.
Sebenarnya yang membezakan doa dan ungkapan perasaan hanyalah kepada siapa disandarkan permohonan tersebut. Dari situ akan timbul ikhlas dan menyimpang dari kesyirikan. Itu yang jelasnya.


Nota
Doa berkaitan artikel perasaan dia atas

"Wahai tuhan kami, aku berlindung dari rasa gelisah dan sedih,dan aku berlindung dari kelemahan dan kemalasan,dan aku berlindung darimu dari sifat bacul dan Bakhil,dan aku berlindung darimu dari cengkaman hutang dan penindasan orang."
hamm adalah kebimbangan atau kegelisahan manusia tentang perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan, sementara hazan adalah kesedihan tentang perkara-perkara yang sudah pun berlaku di masa terdahulu. (ref:
Sheikh Hamza Yusuf, The Purification of the Heart

Khamis, 2009 Disember 17

SELAMAT TAHUN BAHARU

Pertengahan dan penghunjung Disember 2009, dua kali Tahun Baharu akan disambut iaitu pada 18 Disember 2009 umat Islam sedunia menyambut Maal Hijrah atau Awal Muharram, manakala bermula lewat tengah malam 31 Januari 2009 seluruh umat manusia akan menyambut Tahun Baharu Masehi 2010.
Mengenai Maal Hijrah Wikipedia menjelaskan :
Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.
Di Malaysia, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.
Ketika blog ini dicatat ada inisiatif pelbagai pihak yang membuat countdown 2010 antaranya ialah Countdown to New Year
Time until Friday, 1 January 2010 (UTC time)
14 days
358 hours
21513minutes
1290760 seconds

Banyak sumber berkaitan Maal Hijrah dan Happy New Year di ruang maya yang boleh dimanfaatkan. Namun realitinya umat manusia lebih teruja menyambut Happy New Year berbanding Maal Hijrah -termasuklah umat Islam sendiri. Kedapatan umat Islam yang tidak berbangga atau ada apa-apa perasaan pun mengenai sambutan Maal Hijrah.
Tidak mustahil ada umat Islam yang 'tertanggu' dan rasa rendah diri bila dirinya dikaitkan dengan Maal Hijrah. Kenapa jadi begitu agaknya? Ini persoalan besar umat Islam yang kian hilang jati dirinya. Kau fikirlah sendiri!
Doa berkaitan Maal Hijrah boleh rujuk di sini antaranya Ummiku Sayang, Azian Collections,
Namun ada juga khilafnya di sini. Sila buat rujukan selanjutnya dengan bertanya kepada guru yang mursyid dan dipercayai.

Rabu, 2009 Disember 09

BEST BOLA-BOLA(2)

Pengurusan, industri dan sains sukan merupakan tiga kata kunci utama berkaitan bola sepak masa kini. Biar pun perlu dilihat perspektif lain, namun aspek di atas adalah keutamaan dan tumpuan. Pengurusan adalah kerja sistematik dan berseni. Perlukan kefahaman, disiplin dan pendekatan yang relevan. Anak raja dan ketua parti politik tidak semestinya mahir pengurusan dengan begitu sahaja. Penjaja ulam dan ikan perkasam di Pasar Malam Sungai Petani yang berasal dari Belantik mungkin lebih cekap menguruskan jajaannya berbanding eksekutif jualan kereta. Yang membezakan mereka adalah dari segi skala dan margin untungnya.

Pengurusan

Dalam pengurusan bola jika dipilih yang glamour semata-mata tidak cukup. Perlu ada bersamanya pengurus yang cekap dan beramanah. FAM dapat bertahan biar pun tidak cemerlang kerana ada di dalamnya pengurus yang cekap dan amanah. Namun yang nampak di mata adalah yang glamour dan tidak cekap. Tidak semestinya kita pilih Serbegeth Sigh atau Soh Chin Aun atau Azman Adnan tetapi boleh pilih orang yang kredibel, berani dan berjiwa besar seperti arwah Dato Ahmad Basri. Kita tidak pilih Shebby Sigh sebab ilmunya hanya layak jadi pengkritik, Soh Chin Aun dalam politik dan Azman Adnan auranya lebih dalam bidang dansa, barangkali!

Pengurusan perlu ada visi seperti Vision 2020, perlu ada objektif kerjanya, perlukan akauntabiliti dan amanah. Jika kerja dilihat tidak bersandarkan etika dan akauntabiliti dan lebih kepada kuasa tertentu -kes Pahang umpamanya- maka siapa yang mahu hormat kepada corak pengurusan sebegitu. Umum tidak bantah kerana mereka jelak dan tidak mahu berbalah dengan pengurusan yang kelihatan bebal dan tidak amanah. Pergi jahanamlah kamu -kalau ikut bahasa yang agak kasarnya atau 'bullshit' bagi penggemar(pengamal) budaya cercaan dan makian .

Selanjutnya dapat ditanggapi betapa lemahnya segmen peminat dan pemain. Mereka tidak punyai upaya untuk halang ketidakcekapan dan sifat tidak amanah pemimpin bola sepak nasional. Jika di negara maju yang bola sepak dan akal rakyatnya pasti mereka ini dengan penuh hormat meletakkan jawatan atau ditendang keluar oleh pemain dan peminat bola sepak. Kenapa penyokong dan pemain kita begitu 'mangkuk hayun' sekali dan biarkan sahaja isu tersebut berlalu? Ini ada kaitan dengan kemajuan industri bola sepak negara.

Industri Sukan

Di negara 1Malaysia ini rakyat tidak membudayakan sukan biar pun bola sepak dikatakan sukan nombor satu. Badminton dan skuash yang berkali-kali pemain Malaysia jadi juara dunia pun rakyat tidak begitu kisah sangat. Ertinya tiada peluang 'cari makan' yang menyeluruh dalam kegiatan sukan di Malaysia. Di Malaysia pihak insuran, bank dan 'lawyer' tidak boleh buat duit. Proposal mereka tidak dipandang pun. Penjaja tidak boleh berharap sepenuhnya, pembekal baju dan stokin lebih banyak 'melahu'. Pemain yang profesional pun ada masanya terpaksa jual ABC atau buat sesi fotografi dengan artis popular untuk tampung belanja hidup. Sukan di Malaysia bersifat kampungan. Kecil dan simplisitik -tidak bersifat industri. Lanjutan itu segalanya dipermudahkan dan banyak yang ambil mudah. Pemian tiada insuran, fisioterapis memadai seorang dua, aspek psikologinya memadai jemput Dr. Fazilah Kamsah untuk beri motivasi. Pelajar Sekolah Sukan dan Akademi bola awal-awal lagi sudah mahu bergelar 'star', latihan ikut keadaan dan mood. Semua yang terlibat sukan baca buku pun malas. Ini semua ada kaitan dengan Sains Sukan.

Sains Sukan

Aspek sains sukan seperti pemakanan, kesihatan, psikologi dan pengurusan pemain kurang diambil perhatian. Di Institut Sains Sukan atau MSN barangkali dipraktikkan beberapa elemen namun secara menyeluruhnya sains sukan di Malaysia hanya benda lawak dan asing. Jurulatih bola sama ada sekolah, kelab, belia dan seterusnya hanya sambilan, perutnya boroi, tidur jam 2 pagi, minum kopi 'o' kaw. Pengetahuan dan amalan kesihatan mereka hampir zero, aspek psikologi lagilah kelam. Ada jurulatih yang boleh kongsi rokok dengan pemain yang usianya bawah 18, masih budak sekolah -untuk keserasian katanya. Jurulatih yang lembap dalam pengurusan dan sukan gagal jadi teladan yang baik. Hanya tahu melalak dan ada yang memaki 'player' untuk tunjukkan ketegasan mereka.

Sepatutnya para jurulatih, pengurus dan pemain tahu serba sedikit sains sukan - yang asas. Apa yang perlu dimakan, berapakah jumlah jam rehat dan tidur dan berapa jam perlu berlatih sebagai seorang pemain profesional. Perlu ada etika kerja yang jelas. Perlu ada semangat untuk bekerja dan bermain. Perlu ada stamina dan kemahiran yang mencukupi.

Seandainya jurulatih kosong aspek pengurusan dan sains sukan, pemain sudah jadi 'star' sebelum tiba masanya, pengurusan hanya jadikan persatuan sebagai platform politik untuk cari nama manakala penaja hanya fikir untung maka bola sepak negara tidak akan maju. Hanya berlegar pada tahap itu sahaja. Tidak semestinya tukar pengurusan atau sediakan prasarana berkelas dunia maka bola sepak kita akan jadi hebat. Semua 'stake holder' perlu tahu dan ambil peranan sendiri-ertinya jangan terus jadi bebal dan bersikap simplistik seadanya seperti selama ini. Majulah bola sepak untuk negara bukan untuk kroni! (maksunya bukan hanya untuk yang terlibat semata-mata)

Nota
*Best Bola-Bola adalah nama sebuah gelanggang futsal di Butterworth.