Isnin, 12 Julai 2010

KENAPA MELAYU SERING TERTIPU

Melayu memang sifat akalnya amat ringkas. 'Simplistic' menurut Istilah PPSMI atau 'sempoi' menurut istilah Din Beramboi. Melayu panjang angan-angannya manakala akalnya agak  'simple'. Mat Jenin umpamanya berjela-jela impiannya hanya bermula dengan idea yang simple. Buah kelapa boleh menjadikan Mat Jenin kaya raya dan dapat berkahwin dengan tuan Puteri. Namun Mat Jenin tidak realistik dan gagal memanjangkan angan-angannya kepada matlamat yang jelas, berstruktur dan mendatangkan hasil.
Hakikatnya orang Melayu yang mengaji tinggi niat mereka ialah mahu bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Tidak ramai Melayu yang sanggup bekerja sendiri atau jadi usahawan setelah tamat belajar pengajian tinggi. Alasan klasiknya tiadak ada modal dan tidak ada pengalaman. Apabila Melayu sudah memasuki alam kerjaya maka mereka dikira selamat. Langkah seterusnya mengekalkan kesenangan yang sedia ada dan tidak merancang kekayaan. Ini bukan salah Melayu tetapi pemikiran bawah sedar Melayu dan asosiasinya dengan fahaman Islam menjadikan Melayu lebih selesa hidup sederhana. Melayu melihat Islam itu sederhana dan kekayaan adalah sifat melampau. Itu salah satu jenis pemikiran mudah Melayu. Jarang Melayu berfikir andainya mereka kaya raya maka mereka boleh membina sekolah-sekolah besar untuk Melayu demi survival dan kegemilngan bangsa mereka.  Melayu fikir seandainya mereka kaya maka mereka akan lupa diri. Mereka mungkin akan jadi jutawan yang bongkak dan lebih mudah melakukan maksiat dan sebagainya. Jadi kekalkan kesenangan sedia ada adalah lebih baik daripada berusaha menjadi kaya-raya.
Maka dengan yang demikian Melayu yang hidupnya senang lenang tidak fikirkan tentang apa-apa jenis perjuangan dan kerja dakwah. Tugas dakwah khusus untuk pendakwah dan apa perlu lagi perjuangan yang bukan-bukan kerana diri sendiri, jiran tetangga dan seluruh rakyat cukup makan dan pakai. Apa susah-susah berjuang yang belum tentu berjaya. Maka sekali lagi Melayu berfikir secara mudah. Jangan berjuang apa-apa kerana menjadi wira beerti membuang kesenangan. Dengan sebab itulah Melayu sering ditipu dengan pelbagai cara. ....bersambung

Rabu, 7 Julai 2010

MARI KELUAR DARI KOTAK

Kotak adalah ruang khusus. Ada sekatan jarak dan penghalang untuk melihat apa ada di sebaliknya. Walau pun ada kotak telus cahaya yang dibuat dari cermin umpamaya namun hakikatnya kotak tetap punyai ruang yang terhad dan menghalang pergerakan keluar. Melihat dari dalam kotak bukan ertinya keluar dari kotak tersebut.
Kotak ada variasi dan bentuknya sendiri. Sekiranya tuan berada dalam atau mendiami kotak berbentuk empat persegi maka alam kotak itu berkisar pada empat sisi sahaja. Tidak mungkin kotak empat persegi mempunyai lapan sisi. Mungkin boleh ditambah sisi langit dan bumi iaitu atas dan bawah -namun itu sisi yang bagi apa variasi pun tetap ada, umpama tayar pada semua jenis motokar - yang mesti ada!
Ulang kembali  "tidak mungkin kotak empat persegi mempunyai lapan sisi" - satu kenyataan logik namun imaginasi dan kreativiti memungkinkan logik itu salah dan berubah. Dari dalam kotak penghuninya hanya tahu dan alami empat sisi namun jika mereka melompat keluar melalui 'langit' kotak atau meneroka melalui 'bumi' kotak mungkin mereka akan temui empat sisi yang lain.

Maka dengan itu mari kita keluar dari kotak untuk melihat dari sisi yang lain. Itu analoginya dan citra yang perlu difahami agar kita tidak ditipu berterusan. Baca satu premis "Melayu akan lemah dan hilang kuasa jika tidak bersatu". Persoalan itu jika selamanya dijawab dari dalam kotak maka jawapannya " memang benar sekali -Melayu akan lemah dan hilang kuasa jika tidak bersatu!'
Jika melompat keluar dari kotak pasti akan didapati jawapannya ialah "selama ini Melayu memang lemah dan hilang kuasa pun -sama ada bersatu atau tidak!" Jawapan itu sukar difahami jika tanda-tanda di luar kotak gagal difahami dan diterjemah dengan akal dan ruh ilmu. Kapitalis dan neo-fuedal akan pastikan agar tanda-tanda itu sentiasa gagal difahami dan akan mendorong penghuni kotak masuk kembali ke dalam kotak sedia ada.
Melayu sememangnya tidak akan keluar dari kotak atau pun akan melompat kembali ke dalam kotak jika menemui premis-premis seumpama di atas. Ertinya Melayu masih tekal dengan kotak lama  biar pun kotak tersebut diwariskan sejak zaman teko hijau lagi! Melayu tidak diajarkan tentang 'paradigm shift' atau 'teknik penukaran kotak' secara yang betul. Misalnya Melayu diajarkan cara solat tetapi tidak dimaknakan solat dengan betul maka bagi Melayu solat itu hanyalah rukun 13 belas yang diulang-ulang sebanyak 5 kali sehari. Melayu gagal pergi lebih jauh -khususnya menjengah di luar kotak.  Dalam Islam ada konsep islah yang barangkali hampir selaras dengan konsep anjakan paradigma (istilah terjemahan PPSMI) itu namun Melayu sukar memahaminya.
Melayu akan marah jika dilabelkan jahil biar pun hakikatnya Melayu memang bebal! Jahil bagi Melayu hanya sesuai untuk Abu Lahab dan Kapir laknat yang lain. Itu alam kotak Melayu tentang jahil. Budak KL selalu menyakat rakan mereka yang naif dan bendul dengan istilah poyo bagi meraikan alam kemudaan mereka. Mereka jujur dalam hal ini berbanding seluruhnya Melayu lainnya.  Poyo, bebal, naif, jahil itu semuanya 'bull shit' namun Melayu gagal terimanya dan masih rasakan 'ketuanan' mereka!.
Marilah sama-sama kita fikir bagaimana mahu keluar dari kotak. Kah..kah..kah...wa salute 1Malaysia.. Wa bukan poyo...wa Melayu 1Malaysia! 

Sabtu, 3 Julai 2010

ILMU MEMBAWA BAHAGIA

Melihat dan memahami realiti sekeliling sebenarnya adalah himpunan hikmah untuk lebih mendewasakan. Subjek yang hidup atau yang kaku sama ada manusia, haiwan, tumbuhan atau kejadian alam adalah tanda yang boleh menghasilkan makna. Jalan raya yang sesak kenderaan dan kimia buangan yang menyesakkan dada seharusnya menjadi ilmu dan sejarah yang patut sering ditoleh kembali.
Kesukaran dihimpitt tekanan dan derasnya detik masa bergerak bagi penghuni kotaraya atau ketenangan yang menjadikan warga desa begitu ’simplistik’ dan lambat serba serbinya adalah teladan bagi memilih jalan kehidupan yang diinginkan dan pengakhiran yang sepatutnya – bahagia!.
Kehidupan anak kota raya umpamanya seorang polis trafik yang dicatatkan secara santai namun amat bermakna oleh penyair Zahari Hasib (1992)dalam pusinya “Ayahku Seorang Polis Trafik” adalah teladan baik tentang sukar dan jerihnya seorang pesuruh kecil di tengah lautan kenderaan dalam sebuah kota besar. Menurut Zahari;
                     “ Alangkah sukarnya menjadi ayahku / seorang polis trafik / yang serba salah”

Namun kesukaran itu biar pun tidak dibalas ucapan terima kasih biar pun sepatah tetap berbaloi kerana seorang polis trafik bagi anak-anaknya adalah seorang pahlawan.
                       “abah orang paling kuat dalam dunia / sebab boleh menahan seribu kereta /
                         dengan hanya sebelah tangan”

Kehidupan di mana-mana pun boleh ditemui bahagia jika jelas matlamatnya. Sebaliknya akan jadi rumit bahkan membawa derita andai tidak tahu arah tujunya. Sama ada sukar dan pantas atau lambat dan mudah gerak hidup seseorang insan, yang paling utama adalah memahami kehidupan itu sendiri. Tidak perlu sekolah tinggi untuk memahami kehidupan. Pengalaman dan alam adalah guru yang mendewasakan. Menurut SN Shanon Ahmad terdapat tiga unsur penting yang mematangkan daya cipta iaitu ilmu, pengalaman dan imaginasi. Begitu jugalah dalam proses pendewasaan setiap insan perlu punyai ilmu ditambah rentetan pengalaman dan diadun dengan daya rasa yang tinggi iaitu kreativiti –maka jalan kehidupan yang lebih baik dan ’menarik’ akan ditemui.
Belajarlah memahami kehidupan. Hadapi atau sedia ambil risiko jika mahu lebih dewasa dan matang. Sikap sambil lewa dan ikut sahaja tidak akan membantu insan menjadi matang dan berani. Jika mahu memimpin masa depan maka mulai hari ini harus berani dan mampu mencongak masa depan dan sedia ambil risiko. Keperihan dan halangan adalah tanda untuk lebih kreatif dalam proses penyelesaian masalah. Tanpa kesukaran hidup hambar namun sengaja mencari kesukaran adalah tanda dangkalnya akal.

Carilah ilmu dan rangkumkan dengan pengalaman serta berimaginasilah tidak kira di mana pun duduknya seseorang itu –jika mahu keluar dari kotak sekarang. Kata pakar dari negeri atas angin keluar dari kotak sedia ada ialah ’paradigm shift”! Jika bukan itu atau tidak mahu begitu ertinya ’bull-shit’!