Sabtu, 3 Julai 2010

ILMU MEMBAWA BAHAGIA

Melihat dan memahami realiti sekeliling sebenarnya adalah himpunan hikmah untuk lebih mendewasakan. Subjek yang hidup atau yang kaku sama ada manusia, haiwan, tumbuhan atau kejadian alam adalah tanda yang boleh menghasilkan makna. Jalan raya yang sesak kenderaan dan kimia buangan yang menyesakkan dada seharusnya menjadi ilmu dan sejarah yang patut sering ditoleh kembali.
Kesukaran dihimpitt tekanan dan derasnya detik masa bergerak bagi penghuni kotaraya atau ketenangan yang menjadikan warga desa begitu ’simplistik’ dan lambat serba serbinya adalah teladan bagi memilih jalan kehidupan yang diinginkan dan pengakhiran yang sepatutnya – bahagia!.
Kehidupan anak kota raya umpamanya seorang polis trafik yang dicatatkan secara santai namun amat bermakna oleh penyair Zahari Hasib (1992)dalam pusinya “Ayahku Seorang Polis Trafik” adalah teladan baik tentang sukar dan jerihnya seorang pesuruh kecil di tengah lautan kenderaan dalam sebuah kota besar. Menurut Zahari;
                     “ Alangkah sukarnya menjadi ayahku / seorang polis trafik / yang serba salah”

Namun kesukaran itu biar pun tidak dibalas ucapan terima kasih biar pun sepatah tetap berbaloi kerana seorang polis trafik bagi anak-anaknya adalah seorang pahlawan.
                       “abah orang paling kuat dalam dunia / sebab boleh menahan seribu kereta /
                         dengan hanya sebelah tangan”

Kehidupan di mana-mana pun boleh ditemui bahagia jika jelas matlamatnya. Sebaliknya akan jadi rumit bahkan membawa derita andai tidak tahu arah tujunya. Sama ada sukar dan pantas atau lambat dan mudah gerak hidup seseorang insan, yang paling utama adalah memahami kehidupan itu sendiri. Tidak perlu sekolah tinggi untuk memahami kehidupan. Pengalaman dan alam adalah guru yang mendewasakan. Menurut SN Shanon Ahmad terdapat tiga unsur penting yang mematangkan daya cipta iaitu ilmu, pengalaman dan imaginasi. Begitu jugalah dalam proses pendewasaan setiap insan perlu punyai ilmu ditambah rentetan pengalaman dan diadun dengan daya rasa yang tinggi iaitu kreativiti –maka jalan kehidupan yang lebih baik dan ’menarik’ akan ditemui.
Belajarlah memahami kehidupan. Hadapi atau sedia ambil risiko jika mahu lebih dewasa dan matang. Sikap sambil lewa dan ikut sahaja tidak akan membantu insan menjadi matang dan berani. Jika mahu memimpin masa depan maka mulai hari ini harus berani dan mampu mencongak masa depan dan sedia ambil risiko. Keperihan dan halangan adalah tanda untuk lebih kreatif dalam proses penyelesaian masalah. Tanpa kesukaran hidup hambar namun sengaja mencari kesukaran adalah tanda dangkalnya akal.

Carilah ilmu dan rangkumkan dengan pengalaman serta berimaginasilah tidak kira di mana pun duduknya seseorang itu –jika mahu keluar dari kotak sekarang. Kata pakar dari negeri atas angin keluar dari kotak sedia ada ialah ’paradigm shift”! Jika bukan itu atau tidak mahu begitu ertinya ’bull-shit’!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan