Saya fikir ulasan panjang lebar pun tak guna. Kita isytiharkan dahulu yang kita ini sudah kehilangan satu jiwa untuk keseniman rakyat. Kita tidak pasti dalam jiwa sifu kita kesenimananya benar-benar jalanan dan merakyat tetapi yang kita tahu nilai seni itu sangat menyentuh sanubari rakyat. Kita juga tidak pasti bila masanya sifu isytiharkan kesenimanan adalah untuk rakyat tetapi yang pasti jiwa dari lagu-lagunya adalah jiwa dan nurani rakyat.
Hari ini apabila seorang seniman di hati rakyat yang secara sahnya menjadi idola golongan marhaen dan yang pasti sangat layak menjadi pejuang di hati rakyat sudah menjadi bangsawan maka apa lagi yang tinggal? Marhaen yang simplistik sikap hidupnya akan terus berbahagia dan berbangga jika pejuang yang menyuarakan rasa dan gertak emosi mereka terus bersama. Namun andai pejuang sudah mahu jadi bangsawan apakah patut ditangiskan? Rakyat biasa dan anak jalanan tetap seperti biasa. Pergilah tuan menjunjung titah Seri Paduka! Rakyat tetap ucapkan tahniah namun ruang kesenimanan rakyat akan hening seketika -bertafakur!
Dalam tafakur itu kami terfikir mungkinkah sang bangsawan berupaya mengungkapkan isi batin anak jalanan kerana kedua-duanya jelas jauh berbeza mimpinya! Wawasan masing-masing tidak akan bersatu -akan tetap infiniti!.
Tidak patutlah benarlah jika dihalang tetapi tidak salah kita berasa hati kerana kita rakyat biasa terasa ditinggalkan pergi. Kepada siapa mahu disampaikan mimpi selepas ini? Biar apa pun hidup tetap perlu diteruskan. Wahai Osman Tikus, Brader Joe, Hassan, Merah, Bujang dan sekalian anak jalanan milik rakyat teruskan hidup kerana kita sepatutnya bejuang untuk sesuap nasi hari ini. Apa difikirkan hal-hal yang sukar. Itu kerja orang bangsawan dan saudagar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan