Jumaat, 2 September 2011

MAT SABU, MAT INDERA DAN KEMERDEKAAN UNTUK TAHUN KE 54

Penjajahan
Benggali Puteh atau Portugis yang diketuai Alfonso D’ Albuquerque, Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur berjaya menawan Melaka pada 11 Ogos 1511. Portugis menguasai Melaka hingga tahun 1640 dan penjajahan kuasa Barat diteruskan oleh  Belanda pula sehingga tahun 1824 yang ditandai dengan Perjanjian Inggeris-Belanda. Bermula 1824 Tanah Melayu dikuasai oleh British dan orang-orang Melayu tanpa sedar memasuki fasa 'divide and rule' yang menjadi amalan British dan sekalian penjajah yang bijaksana. Pihak British memecah-mecahkan kesepakatan antara kaum dan kelompok agar gerakan pembebasan tidak berlaku dengan pantas. Maka dengan itu penjarahan dapat diteruskan tanpa tentangan. Interaksi antara kaum perlu dielakkan dan prasangka dapat disuburkan. Itu matlamat British yang tidak difahami oleh sebahagian besar anak-anak tanah Melayu ketika itu.

Nasionalisme kelompok bukan Semangat Serumpun.
Apabila anak-anak jajahan terdedah kepada nasionalisme luar khususnya dari iIndonesia, India, Pakistan  dan melihat sendiri kebangkitan Jepun sebagai kuasa Asia maka Inggeris sedar akan bahayanya. Pada 'Zaman Gelap' pemerintahan Jepun pihak Inggeris telah menaja sekelompok gerila atas nama Malayan People Anti Japanese Army(MPAJA) untuk menentang Jepun. Para gerila tersebut memang pun diketahui oleh British punyai faham sosialisme-marxis yang sangat kontra dengan nilai kapitalisme kolonial.  Namun kerana bijak dan pragmatiknya penjajah British gerila jahat tersebut dijadikan sahabat. Para pejuang dan gerila tajaan tersebut majoritinya orang-orang cina yang memang saling bermusuhan dengan Jepun sejak sekian lama. British hanya jadi batu api sahaja dalam konteks ini. Lantaran itu Partai Komunis Malaya(PKM) yang sedia tertubuh sejak 1930  mengambil peranan gerila tajaan British untuk menentang Jepun atas nama Malayan People Anti Japanese Army(MPAJA). Hakiktanya PKM atau MPAJA semuanya menentang Jepun dan sekali gus British sebagai memenuhi niat mereka untuk bebas dari penjajahan. Mat Indera adalah dari kalangan mereka itu yang menentang apa saja bentuk penjajahan. Polis atau 'mata-mata' setelah Jepun tewas sama ada Melayu, Gurkha dan sebagainya adalah pasukan pelindung kepada kesinambungan penjajahan British. Mat Indera dan komunis telah menyerang dan membunuh polis pelindung British yang Melayu semuanya itu di Bukit Kepong. Kemudian Mat Indera digantung oleh British dengan bantuan orang-orang Melayu juga. Apabila Melayu digunakan untuk membunuh Melayu, apa ertinya itu?   

Apa pula yang British tanamkan dalam pemikiran orang Melayu dan keturunan mata-mata serta polis-polis zaman merdeka ini? Mudah sahaja iaitu bermula dengan konsep pecah dan perintah. Biarkan polis dan keturunan Melayu faham bahawa PKM yang majoriti Cina kapir itulah yang membunuh polis Melayu. Biarkan luka tersebut berparut untuk sekian lama. Biarkan manusia Melayu faham bahawa komunis itu sangat jahat kerana tidak mahukan hidup beragama. Jangan biarkan Melayu sedar bahawa kapitalis-kolonial itu juga menolak Tuhan. Biarkan Melayu dan Cina selamanya bercakaran -untuk sekurun lagi. Dengan yang demikian selagi dasar pecah dan perintah ini terus berjalan, dengan menggunakan tanda-tanda seperti komunisme, cina kapir laknat, Melayu Mat Indera atau Shamsiah Fakeh maka selagi itulah anak-anak tanah jajahan akan gagal bersatu.

Maka hari ini demi kepentingan politik maka sejarah dipergunakan semahu-mahunya. Mana yang berjuang menentang British setengah kurun yang lalu tetap jahat dan laknat -sama jahatnya dengan cina komunis kapir laknat itu. Emosi marah rakyat disemarakkan dengan gambar-gambar polis dan askar putus kaki. Isteri dan anak-anak askar dicitrakan sebagai  golongan yang teraniaya -terpisah dengan bapa tercinta angkara komunis. Jangan biarkan rakyat berfikir rasional. Jangan biarkan rakyat sedar bahawa mata-mata tersebut adalah pecacai British semata-mata. Fahamkan bahawa mata-mata tersebut adalah pejunag kemerdekaan yang menentang komunis. Perjuangan ertinya melawan cina komunis. Andainya Mat Sabu atau siapa sahaja yang iktiraf Mat Indera sebagai pejuang maka ertinya  mereka itu menyokong pengkhianat dan pengganas. Jangan biarkan rakyat tahu bahawa penjajah itu yang jahat sebaliknya fahamkan kepada mereka bahawa penjajah adalah baik-baik belaka dan yang menentang penjajah itu adalah sejahat-jahatnya manusia.

Sejarah memang berulang. Hari ini di Afghanistan - Mujahidin dan Taliban  adalah pengganas dan jahat manakala Hamid Karzai dan polis-polisnya adalah golongan teraniaya. Taliban yang berjambang adalah sehina-hina makhluk kerana menentang Amerika. Pejuang 'suicide bombing' itu adalah pengganas paling ganas kerana membunuh orang awam yang tidak berdosa. Orang awam yang tidak berdosa ertinya rakyat yang dipaksa untuk mempercayai  obor keamanan dan demokrasi yang dibawa oleh Amerika dan sekutunya. Begitu juga yang menentang Amerika di Iraq, Syiria dan Libya. Meraka itu kalau latarnya di Tanah Melayu samalah dengan Komunis dan Mat Indera. Semua mereka itu untuk sekurun lagi adalah penjahat dan pengganas melainkan sejarah dapat difahamkan semula dari perspektif anak bangsa yang benar-benar merdeka.

British dan semua penjajah tidak mengajarkan tentang makna dan pengisian kemerdekaan yang bermaruah manakala anak-anak bangsa yang baharu merdeka pun gagal mencari dan membina maruah hasil dari kemerdekaan. Maka untuk kesekian kalinya, dan pada tahun ini Tanah Melayu untuk kali ke-54 masih gagal memahami maksud sebuah bangsa yang bermaruah! Maka dengan itu dasar 'pecah dan perintah' itu masih bersemarak biar pun laungan 1Malaysia bergema di seluruh tanahair setiap hari. Penjajah amat faham apa yang anak bangsa terjajah kurang faham iaitu maruah tidak dapat diangkat dengan apa-apa slogan pun. Maruah adalah jiwa yang bebas dari belenggu pemikiran lama. So(jadi), biarkanlah Melayu tetap menjadi Luncai untuk sekurun lagi.    


 

1 ulasan:

  1. Pahlawan


    Jika hilangmu tanpa pusara

    Jika pusaramu tanpa nama

    Jika pusaramu tanpa bunga

    Mereka mengatakan kau penderhaka

    Engkau tetap pahlawan

    Sungai Pahang berubah merah

    Rumput tebingnya segala musnah

    Satu satu pahlawan rebah

    Arus merahnya menjulang mayat

    Pahlawan bangsa pahlawan rakyat

    Tujuh liang dadanya tersayat.

    * Usman Awang

    BalasPadam