Sambutan Hari Guru tahun 2012 di Malaysia melanjutkan tema tahun sebelumnya iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Penggunaan tema untuk sambutan Hari Guru menurut rekod, telah dimulakan sejak tahun 1972 lagi iaitu dengan tema "Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara". Apa yang menarik tema-tema Hari Guru (juga tema Hari Kebangsaan) dicetuskan sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa.
Pada tahun 1973 temanya cukup 'simple' iaitu "Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan". Skopnya kelihatan kecil tetapi semangat dari seruan tersebut amat besar ertinya iaitu kemajuan pendidikan perlukan penglibatan ibu bapa- tentu sekali secara bersama dengan guru . Atas semangat itulah barangkali ada sebuah sekolah di Utara Semenanjung memanfaatkan kerjasama murid, guru dan ibubapa dengan menggunakan slogan "MUGIBA" sebagai tema mapan bagi sekolah tersebut.
Apa yang menarik hampir sebahagian besar dari tema-tema tersebut ada menyebutkan perkataan 'guru' dalam susunan perkataanya. Hanya satu sahaja (yang dapat dikesan) yang menggunakan perkataan 'murid' iaitu tema pada tahun 1979 yang berbunyi "Murid Sejahtera Negara Jaya".Walau apa pun bunyi tema hari guru, seruannya adalah untuk meningkatkan taraf dan kemajuan pendidikan khususnya pendidikan formal di Malaysia. Tanda-tandanya dapat dilihat melalui istilah seperti 'peranan guru', 'pembangunan negara', 'perpaduan', 'kesejahteraan insan', 'modal insan', 'budaya ilmu' dan sebagainya.
Namun demikian pencetusan tema-tema tersebut tetap tidak dapat lari dari kehendak politik -sama ada pencipta tema tersebut dan pengesahnya sedar atau tidak. Perkataan-perkataan bagi tahun-tahun tertentu terbukti mewakili slogan dan hasrat politik pemimpin pada zaman atau ketika itu. Antara istilah-istilah tersebut ialah 'perpaduan', 'wawasan', 'budaya ilmu', 'gemilang', 'terbilang', 'modal insan', dan 'transformasi'. Bukannya penggunaan istilah sedemikian sesuatu yang tidak baik atau jelik tetapi kadang-kadang terlihat suatu bentuk 'keghairahan yang tidak menentu' dan rasa 'syok yang kurang bermakna' hasil terbitan istilah-istilah tersebut. Menghubung kaitkan tema tersebut dan aspirasi negara memanglah sesuatu yang sangat baik dan wajar, namun kalau kelihatan seperti satu proses mengampu tentulah suatu yang amat jelik -biar pun tidak pelik. Pasti ada yang akan merasa hairan kenapa pada ketika itu sahaja istilah tersebut akan diguna pakai dan selain zaman itu semuanya bagai tiada harganya. Umpamanya sudah jarang-jarang sekali dalam era kontemporari dan glokal terkini didengari istilah 'Islam Hadhari', 'Masyarakat Madani', 'Modal Insan', 'Budaya Ilmu', 'Nasionalisme' dan 'Perpaduan'. Adakah istilah tersebut sudah tidak relevan lagi dalam masyarakat Malaysia masa kin.
Ini adalah persoalan sosiologi dan budaya bukannya persoalan politik semata-mata. Maka yang selayaknya mencari dan memberikan jawapan meyakinkan kepada kecenderungan sedemikian adalah para saintis sosial dan budayawan. Jawapan mudahnya ialah 'itu adalah kehendak ahli politik semasa' tetapi adakah itu memadai bagi menjelas atau membuktikan bahawa tahap pendidikan generasi terkini sudah meningkat. Adakah benar slogan lebih 30 tahun lalu 'Guru Pembentuk Generasi Akan Datang' membawa makna generasi tersebut benar-benar berilmu atau pun masih menjadi pengikut atau tetap setia menadah darjat berbanding kehendak masyarakat progresif dan sejagat yang perlukan 'insan yang inovatif' yang berupaya memberikan alternatif dan nilai tambah dalam semua bidang. Marilah ketika gunakan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis(KBKK) untuk memahami dan merungkai persoalan ini.
Kepada semua diucapkan Selamat Hari Guru Tahun 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan