Isnin, 2 Januari 2012

APA JENIS POLIS YANG LEMBUT?



Meneliti catatan para blogger yang kontra dengan tindakan ganas polis saya jadi pelik dan keliru. Mereka tidak suka kerja buat polis anti rusuhan bertindak ganas. Mereka mahukan polis anti rusuhan berlemah lembut, skima dan sopan santun. seperti yang sering disarankan oleh Yusof Haslam dalam Gerak Khas atau Roda-Roda KL. Mereka mahu lihat polis anti rusuhan yang skima macam mat belia. Polis yang sentiasa senyum dan sedia bagi salam kepada perusuh adalah polis yang 'cool' bagi mereka. Ini satu saranan yang amat lawak.

Hakikatnya polis anti rusuhan mestilah kelihatan ganas dan mampu bertindak ganas. Kalau lembik dan lembut pasti akan dilabel dan dicemuh sebagai pondan atau 'jantan yang tidak ada telotr' pula. Polis anti rusuhan mesti bersedia menentang provokasi dari semua pihak yang meraikan demokrasi. Barangkali yang dikaitkan dengan keganasan polis ialah tindakan atau sekatan yang tidak menyeluruh. Kepada pihak atau demonstran yang tertentu polis jadi lembik dan sopan-santun manakala kepada pihak yang lain pula polis jadi tersangat disiplin, betul dan ganas. Maka jika itu maksudnya polis perlulah muhasabah semula hal ini.

Dalam negara demokrasi 1Malaysia ini, tidak kira sama ada Ibrahim Ali, Perkida, Pro Aspirasi, Hindraf atau Hassan Ali mahu pun Azwan Ali yang membuat demonstrasi -mereka itu semuanya meraikan demokrasi. Jika mereka bertindak ganas maka polis perlulah bertindak lebih ganas lagi. Jika mereka hanya bertempik dan melaung-laungkan sesuatu polis perlu kawal keadaan dengan tegas. Berwatak ganas tidak mengapa tetapi jangan amalkan keganasan. Kepada pihak yang ganas atau pun skima maka layanan tegas yang sama perlu diberikan. Kalau polis lembik dan sopan kepada satu pihak sahaja tidak ada siapa yang mahu hormat polis. Tidak mustahil pihak yang dilayan sopan itu pun akan anggap polis boleh disuap dan dibuat main.



Perlu diulang-ulangkan tazkirah bahawa polis anti rusuhan hendaklah bersedia menyekat rusuhan. Andai tiada rusuhan cukup sahaja dengan lagak ganas dan tidak perlulah mengganas.



Kepada blogger yang pro pembangkang janganlah dituduh polis anti rusuhan sebagai ganas sebabnya mereka memang perlu bertindak ganas. Para blogger sekalian janganlah disalahkan polis semata-mata jika polis kelihatan ganas kerana tidak betullah jika polis dan askar itu sifatnya lembut. Apa barang polis yang jenis lembut dan penakut?

Ahad, 1 Januari 2012

Tahun Baharu -Iltizam baharu!

Ada hadis yang menjelaskan bahawa "....setiap amalan itu bermula dengan niat". Tanpa niat yang betul akan jadi sia-sia. Dalam disiplin ilmu sosial masa kini niat itu telah diubahsuai. Istilah niat asalnya kalimah arab dan islamik kelihatannya. Jika diturutkan pandangan atau pemikiran arus perdana sekular masa kini arab dan Islam adalah sinonim dengan dengan melampau, radikal, ganas dan berbahaya. Maka istilah niat yang  kearaban dan bersifat ritual perlu digantikan dengan konsep yang lain. Gunakan istilah matlamat atau 'goal' atau konsepnya yang berkaitan umpamanya 'iltizam' itu gantikan dengan istilah 'comitment' agar lebi h sederhana, segar dan pragmatik.
Tidak kira dari mana mulanya kefahaman kita, apa-apa jua yang dilakukan sebetulnya bermula dari niat. Jika niat itu kurang progresif dan nampak condong kepada 'ritual' atau berbaur fatalistik maka tidak megapa kita gunakan istilah 'goal'(matlamat), impian, komitmen, target dan sebagainya. Setiap dari kita perlu tetapkan matlamat yang jelas untuk dicapai.
Menurut pakar motivasi pembelajaran kita perlukan matlamat yang S.M.A.R.T atau 'scripted', 'mesuareable, 'attainable', 'reasonable' dan 'time-framed'. Itu pendekatan matlamat yang dapat dilihat, dicatat atau diukur. Kalau matlamat 'hasanah di dunia dan di akhiarat' pula bagaimana? Jika matalamat 'jadi lebih berjaya dan kaya' barangkali akan dapat dicapai dalam tempoh masa tertentu. Andai matlamat ingin masuk syurga bagaimana pula? Adakah itu bukan matlamat yang jelas? Persoalan sebegini tiada jawapan yang paling tetap dan sering bergantung kepada persepsi atau tahap kefahaman individu.
Mulai tahun ini marilah kita tetapkan matlamat untuk capai bahagia dari pespektif masing-masing dan pertimbangkanlah mana yang wajar. Bagaimana pula matlamat perjuangan bahasa dan bola sepak kita? Itu pun perlukah matlamat yang jelas. Bahagia, bola dan bahasa akan jadi matlamat perbicangan blog ini untuk tahun 2012. Jika dizinkan Allah Taala.   
 

Sabtu, 31 Disember 2011

SELAMAT TAHUN BAHARU 2012

Selamat menyambut tahun baharu 2012. Tahun dijangkakan bakal berlaku 'independent day' atau kiamat dunia. Sama-sama kita nantikan ramalan ini. Semuanya adalah rahsia Yang Maha Berkuasa. Bagi yang tidak percayakan tuhan dan hanya percayakan taakulan ahli fizik pula kiamat ertinya dunia yang semulajadi ini akan meletup atau memasuki ruang tanpa masa  kerana tempoh masa dunia sudah berakhir. Dari perspektif mana pun ada kepercayaan yang menyatakan dunia atau bumi ini akan hancur menjadi puing pada suatu ketika nantinya. Isi atau penghuninya iatiu manusia, haiwan atau tumbuhan turut sama merasai kesannya. Mana-mana yang tidak sempat selamatkan diri akan hancur bersama kiamat 2012. Menurut ramalan sekelompok manusia dari Amerika Syarikat sahaja yang akan selamat dan akan menjadi pewaris kepada makhluk manusia. Mereka sama seperti kaum Nuh yang terselamat dari banjir besar dunia berkurun lalu. Semua manusia dari bangsa lain akan musnah hancur lebur bersama kiamat dunia.
Sama ada faham tersebut berdasarkan faham atau dikaitkan dengan wahyu, mitos, pencapaian pemikiran sains atau khayalan semata-mata, ia ingin buktikan  bahawa akan ada manusia yang akan selamat dari tiupan sangka kala tau kemusnahan yang amat dahsyat. Buat masa ini orang Amerikalah yang layak menjuarai cerita sedemikian. Sama-samakita fikirkan!l

Isnin, 19 Disember 2011

DISIPLIN

Disiplin adalah kalimah yang sering disebut dan sering pula didengari umum. Di sekolah atau dalam askar selalunya kata dan perlakuan disiplin sering diulang-ulang dan dibudayakan. Di tempat  lain pun begitu jua tetapi kurang diungkapkan secara nyata contohnya di stesen bas, tandas awam, masjid atau pasar malam.

Disiplin patut ada di mana-mana. Kamus Dewan menjelaskan kepada rakyat 1Malaysia atau yang berbahasa Melayu mahu pun para pejuang PPSMI bahawa "disiplin adalah merujuk kepada latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tata tertib". Jelasnya disiplin sepatutnya ada dalam dhamir atau diri seseorang. Disiplin bukan ada diluar diri atau perlu di ludah dari mulut seorang mahaguru. 

Di sekolah ada guru disiplin yang tugasnya mendisiplinkan murid. Adakah guru disiplin atau semua guru sekolah benar-benar faham definisi dan konsep disiplin dengan tepat atau secara kolektif? Inilah persoalan yang perlu sering ditanya jika mahu melihat sistem dan proses disiplin yang terbaik. Di masjid adakah pengerusi kariah dan imam masjid serta seluruh anak kariah benar-benar memahami secara kolektif konsep disiplin masjid? Di stesen bas pula apakah pemandu bas dan sekalian penumpangnya benar-benar faham konsep disiplin menaiki bas.
Disiplin merupakan satu set pemikiran dan tingkah laku. Disiplin juga adalah latihan atau tingkah laku yang berasaskan peraturan. Disiplin bukannya dendaan atau deraan semata-mata.  Guru disiplin yang garang dan membawa rotan difahami umum sebagai guru disiplin yang benar-benar berdisiplin. Namun adakah guru disiplin tersebut benar-benar mendidik dengan prinsip disiplin yang betul? Jika proses mendidik itu tidak tercemar dengan imej garang atau menakutkan dan berlaku perubahan tingkah laku maka itulah pendidikan. Namun jika di dalam kawasan sekolah ada perubahan tingkah laku murid yang positif tetapi di luar pagar sekolah murid-murid sudah kembali jadi  hantu dan mafia maka disiplin tersebut gagal membantu proses pendidikan.

Di masjid jika anak jamaah hanya tahu diam ketika khatib membaca khutbah  tetapi  di luar konteks masjid sudah hilang malu dan akhlaknya jadi buruk maka gagallah proses disiplin masjid. Mahu lihat disiplin masjid itu berjalan atau tidak tinjaulah tandas masjid. Jika ceria dan sesuai untuk dibuat tempat 'melepas' maka ahli kariah itu berdisiplinlah dalam konteks kebersihan. Jika tidak begitu maka ertinya ahli kariah dan pengerusi serta AJKnya adalah manusia ketinggalan dari segi ilmu dan kemajuan duniawi -semuanya 'mangkuk hayun'.

Memahami disiplin dengan tepat sahaja akan menjadikan individu, keluarga dan masyarakat berdisiplin. Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang berdisiplin. Masyarakat 'simplistik' tidak akan berubah ke takuk yang lebih atas. Masyarakat Malaysia yang malas membaca umpamanya hanya akan menjadi pengguna yang bebal untuk beberapa kurun lagi. Mereka tidak akan kreatif dan inovatif. Masyarakat Malaysia yang tidak berdisiplin hanya akan fikirkan kepentingan untuk hidup beberapa tahun akan datang dan melupakan nasib generasi mendatang. Sebab itulah ada orang Melayu yang berterusan sokong PPSMI boleh dikelompokkan sebagai Melayu yang tidak berdisiplin. Mereka tidak ada disiplin dan upaya untuk jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Mereka hanya mahukan untung hari ini dan tidak menyediakan bekalan untuk generasi kurun akan datang. Sesuailah seperti ungkapan sinis cina mata sepek " haiyya olang gulayu, ming ngong! Kelija satu tawun mahu maka lua tawun!". 

Murid-murid sekolah tidak berdisiplin bukan salah guru andainya keluarga dan ahli masyarakatnya juga tidak berdisiplin. Jika bapa tidur lewat dan bangun lewat bagaimana mahu disiplinkan anak agar bagun awal untuk ke sekolah. Jika bapa atau ibunya lebih gemar menonton tv berbanding membaca buku, mana mungkin anak akan menjadi ulat buku. Mengambil masa menonton tv melebihi waktu membaca menggambarkan keluarga atau masyarakat tersebut tidak kreatif dan kurang disiplin dalam meneroka ilmu. Menonton tv adalah menerima apa sahaja tanpa perlukan proses taakulan atau berfikir tinggi.  Dari pemikiran rendah tidak mungkin akan lahir inovasi. Maka jadilah masyarakat tersebut pengguna semata-mata. Jika mahu jadikan rakyat berdisplin untuk maju maka semua pihak perlu berdisiplin. Disiplin adalah dari dalam diri dan perlu dicari dan dikeluarkan. Rakyat 1Malaysia hanya akan maju jika benar-benar memahami definisi disiplin Kamus Dewan seperti di atas dengan disiplin ilmu yang betul.


 

Sabtu, 12 November 2011

HAPUSKAN BAHASA MELAYU DI ALAM MELAYU!

Ke hadapan seluruh rakyat Malaysia!
Pengumuman kerajaan menghapuskan PPSMI biar secara 'soft-landing' sehingga tahun 2016 ternyata mengguris perasaan jutaan rakyat Malaysia. Kerajaan sepatutnya meneruskan PPSMI kerana terbukti bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan dunia. Terbukti Sains dan Matematik berkembang melalui bahasa Inggeris. Terbukti anak Cina, India dan Serani dalam tanah air  1Malaysia yang tidak pernah memotong 'anu' masing-masing telah menjadi bangsa yang lebih maju dari anak-anak Melayu. Terbukti orang Melayu masih bersifat kampungan, rendah diri dan tidak kaya raya kerana mereka hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Wahai pejuang-pejuang bahasa Melayu,
Hentikanlah 'pekikan bodoh' Martabatkan bahasa Melayu kamu itu kerana perjuangan seumpama itu tidak akan membawa kemajuan. Lihatlah orang-orang india, mamak dan hindustan di benua kecil India yang lebih maju berbanding bangsa Melayu kerana menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Tamil dan Hindustan bukan lagi alat kemajuan orang-orang di India. Mereka akan maju setanding Amerika dan Eropah Barat suatu hari nanti kerana menguasai bahasa Inggeris. Lihatlah pula orang Jepun yang tidak mahu gunakan bahasa Inggeris, gagal menyekat tsunami yang melanda negara mereka. Lihatlah orang Jerman dan Perancis yang tidak berminat menggunakan bahasa Inggeris, akhlak mereka adalah teramat rendah di mata dunia.

Wahai rakyat Malaysia,
Jangan berterusan menjadi bodoh dengan hanya mahu bercakap bahasa Melayu. Akuilah bahasa Melayu adalah lekeh dan ketinggalan zaman. Terimalah hakikat yang bahasa Melayu akan gagal menjadi bahasa ilmu. Wahai anak bangsa Melayu jangan bercita-cita mahu jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa rujukan dunia. Bahasa Melayu tidak akan maju sehingga dunia ini kiamat sekali pun. Bahasa Melayu adalah bahasa ketinggalan, bahasa untuk bangsa miskin dan rendah diri. Tidak perlu lagi dimartabatkan bahasa Melayu yang rendah tarafnya itu. Bahasa yang bercampuk aduk dengan pelbagai istilah dari bahasa lain dunia. Bahasa yang tidak asli dan tidak mantap -ertinya bahasa kesukuan yang kecil penuturnya dan bersifat kampungan semata-mata.

Wahai rakyat Malaysia khususnya orang Melayu,
Sedarlah yang bahasa Melayu akan pupus dalam tempoh 50 tahun sahaja lagi. Jadi apa perlu dimartabatkan lagi. Pada tahun 2070 nanti tidak ada lagi orang yang tahu berbahasa Melayu. Lihatlah tulisan jawi yang sudah hampir pupus tidak sampai 50 tahunpun  Tanah Melayu merdeka. Dasar menggunakan tulisan rumi adalah amat baik dan selaras dengan kemajuan dunia. Untuk 50 tahun yang akan datang dasar menggunakan sepenuhnya bahasa dari keturunan rumi iaitu bahasa Inggeris adalah yang terbaik kerana bahasa Melayu akan hapus dalam tempoh 50 tahun lagi. Ayuh sokonglah PPSMI bahkan elok sekali kita sokong PPSMPI(Pengajaran Semua Mata Pelajaran Dalam Baghasa Inggeris) dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Teruslah berkembang bahasa Inggeris dan pergi jahanam bahasa Melayu. Tahniah PAGE dan sekalian anak bangsa yang menyokong PPSMI dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama negara yang bukan lagi Tanah Melayu ini. Ini 1Malaysia lah brader!