Ahad, 17 Januari 2010

ALLAH : MASALAH ISLAM ATAU MELAYU

Polemik tentang nama Allah di Malaysia berlanjutan dan kesudahannya masih tidak pasti. Unjuk rasa jalanan atau depan masjid oleh pihak yang tidak suka orang selain Melayu gunakan nama Allah dilakukan sesudah solat jumaat. Malah demo tentangan dilanjutkan lagi dengan tindakan nakal yang dituduh pula 'dirancang' oleh tangan-tangan ghaib.
Di Malaysia kalimah Allah hanya eksklusif untuk Islam-Melayu. Berbeza dengan tempat lain di dunia bahkan di pusat ilmu Islam iaitu Mesir, kalimah Allah boleh digunakan hatta oleh orang Yahudi yang menyembelih umat Islam Palestin. Al-Qaeda, Hamas, Hamid Karzai termasuk Tokoh Maal Hijrah Syeikh Qardhawi semuanya tidak menentang kalimah Allah digunakan oleh Kristian dan Yahudi. Hindu dan Buddha barangkali tidak berminat menggunakan nama Allah sebab mereka punyai nama khusus yang lain bagi Tuhan mereka.
Menariknya tentang polemik ini ialah pihak yang menentang dan menunjukkan perasaan terdiri dari Islam yang Melayu. Islam Cina, India, orang putih tidaklah ghairah dan vokal sangat menentang. Tidak pasti pula apa pandangan Ridhuan Tee dan KIMMA tentang hal ini. mereka? Wacana tentang nama Allah ini nampak gayanya sudah jadi isu politik perkauman. Orang bukan Islam tidak boleh gunakan Allah dalam tulisan versi bahasa Melayu. Perkembangan terkini orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh gunakan nama Allah bagi maksud tuhan mereka. Larangan hanya terhada di Semenanjung sahaja dan penduduk Semenanjung beragama yang berasal dari Sabah dan Sarawak pun tidak boleh gunakan nama Allah dalam urusan ibadat mereka.
Dalam bahasa Arab agaknya apa kalimah yang patut digunakan bagi gantikan Allah? Ilah adalah salah satu darinya namun bagi nama khusus ilah apa sebenarnya? Adakah mereka patut pilih satu dari 99 nama Allah selain kalimah Allah itu.
Menarik sungguh akal Melayu yang mengatakan penggunaan nama Allah dalam masyarakat Malaysia tidak sesuai kerana boleh kelirukan umat Islam Melayu negara ini. Menurut teorinya pada suatu masa nanti orang Kristian akan dengan mudah menguasai jiwa dan pemikiran anak-anak muda Islam dengan menggunakan nama Allah. Orang Kristian akan katakan 'Tuhan kita adalah sama iaitu Allah, lantas apa bezanya antara Kristian dan Islam, maka kita bebas mahu ikut cara Kristian atau Islam". Itulah 'niat buruk' dan terselindung orang Kristian Malaysia. Apabila tiba detik itu maka keluarga Melayu-Islam akan hilang jati diri Islam mereka. Akan jadi seperti di Indonesia yang namanya Abdul Rahman tetapi agamanya Kristian. Untuk selamat jangan biarkan mereka mulakan perkara tersebut mulai hari ini. Inilah satu bentuk paradigma yang cuba ditanam oleh pemikiran perkauman yang sesuai dimasukkan dalam terma 'false sense security' dan gabungannya ketakutan palsu. Sesuatu kelompok atau bangsa perlu ditakutkan tentang masa depan yang gelap sebagai jalan memotivasikan assabiyah dan semangat patriotisme mereka. Kelangsungan bangsa akan disekat oleh bangsa lain dan sekarang perlulah kita tentang mereka. Mereka perlu diselamatkan dari semua itu oleh wira bangsa yang sejati dan ikhlas berjuang.
Nama Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh merencatkan survival umat Islam Melayu di Malaysia. Maka ia perlu ditentang dengan apa pun daya yang ada. Namun pihak yang menentang itu tidak pula berpaksikan prinsip Islam sebagai addin dan agama dakwah dan berhikmah. Mereka tidak kenal hikmah dan tidak pernah tahu apa itu perjuangan dakwah. Mereka tidak sedar bahawa tanggungjawab muslim adalah berdakwah kepada bukan muslim bukannya menentang tindakan salah mereka. Adakah pernah mereka membaca tentang kisah Arab badwi yang didakwahkan oleh Rasululalh dengan penuh hikmah biar pun pada asalnya tindakan badwi bebal itu mencemarkan kesucian masjid?
'Pejuang' yang mempertahankan kesucian' Allah tidak pernah sedar yang mereka ditipu dan dihina dari sudut lain. Mereka dikotorkan batin dengan muamalat riba, makanan haram dan syubahat, hidup cintakan harta dan dunia. Musuh Islam 'yang sebenar' sentiasa mendidik umat Islam tidak kira apa bangsa di mana jua pun agar leka dan lupa akan Allah. Mereka sediakan pelbagai bentuk hiburan dari yang ringan seperti 'block game' dan playstation hinggalah World Cup dan akademi hiburan yang pelbagai. Mereka juga sediakan tempat hiburan dan melepaskan 'tension' jugaa untuk bermaksiat dengan jenama hebat. Mereka memudahkan umat Islam menanggung beban hutang demi untuk dapatkan kemewahan hidup. Mereka lencongkan sifat zuhud dan syukur serta reda yang patut ada dalam jiwa umat Islam atas nama kebudayaan dan kemodenan. Mereka tawarkan kemewahan dengan sistemn ekonomi kapitalis yang prinsipnya sedia memuaskan keinginan semua orang.
Adakah mereka yang menentang dan menunjuk perasaan itu sedar yang mereka itu sebenarnya bertaraf domba sesama manusia? Adakah mereka tahu yang mereka itu diperbodohkan sama seperti pedagang kolonial memperbodohkan sultan-sultan mereka zaman dahulu kala. Apabila ada anak-anak muda yang memberi pandangan dari perspektif baru maka mereka ini akan diingatkan agar patuh dan taat kepada undang-undang dan jaga ketenteraman awam. Adakah mereka sedar atau sebenarnya mereka sama-sama berdusta kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri?
Yang bermasalah itu apakah Melayu atau Islam sebenarnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan