Ahad, 29 Januari 2012

ZAMAN PENCERAHAN & KEBANGKITAN


Gambar sekadar Hiasan
(David, by Michelangelo (The Accademia Gallery, Florence) Contoh Renaissance art)

Dua istilah di atas adalah terjemahan langsung dari perkataan 'enlightment' dan 'Renaissance' yang menerangkan tentang dua era atau zaman di Eropah yang ditandai dengan perubahan sosial dan kebudayaan dalam masyarakat Eropah. Zaman Pembaharuan atau Kebangkitan bermula di Itali pada abad ke-14 Masehi hingga abad ke-17M, manakala 'enlightment' atau pencerahan(kebangkitan) pula pada abad ke-18 Masehi yang bermula di Jerman dan Britain. Lama sebelum itu Eropah dikatakan berada dalam Zaman Pertengahan dan Zaman Gelap manakala Tamadun Islam sudah menapak ke era ilmu dan masyarakat sivil. bertaraf tinggi -ditandai dengan keupayaan pengusaan pelbagai bidang ilmu dan falsafah.

Ketika Era Keemasan Islam yang bermula tahun 700 hingga 1300 Masehi yang diterajui oleh Kesultanan Umaiyyah, Abassiyah dan Turki, di Eropah Zaman tersebut masih dikatakan Dark Age dan Viking Age. Era Feudal Eropah bermula dan semakin kuat pada saat-saat akhir Kesultanan Turki. Pada ketika itu Islam telah tersebar ke Eropah yang berpusat di Sepanyol. Islam menjadi lemah dan tertinggal setelah munculnya era Discovery sehinggalah Zaman Moden dan era globalisasi masa kini.

Ikhtisar ringkas ini adalah untuk menggambarkan betapa sebenarnya proses ilmu, falsafah dan masyarakat sivil sebenarnya bermula ketika era 'Zaman Gelap' Eropah lagi. Namun demikian masyarakat madani Islam kurang dijadikan rujukan kemajuan disebabkan masyarakat tersebut masih bersifat simplistik dalam erti kata tidak ramai manusia, berteraskan feudal dan kurang menggunakan serta membuat inovasi teknologi. Kebangkitan atau pencerahan sebenarnya lebih dibantu oleh teknologi di mana proses ilmu dam sosial manusia dapat disampaikan atau didokumenkan dengan baik.

Sememang sejarah amat terhutang dengan era keemasan Islam namun era tersebut hanyalah mukadimah kepada perkembangan dan pencerahan yang lebih hebat lagi. yang berlaku di Eropah. Keluarnya manusia dari sistem feudal dan gereja kepada sekularisme total merupakan sebenar-benarnya 'renaissance atau kemerdekaan hakiki manusia. Maka konsep kebangkitan dan pencerahan itu dari segi hakikatnya adalah bermaksud kemerdekaan insan dari cengkeman feudal atau kuasa istana dan gereja yang berlagak dan berlebih-lebihan bertindak sebagai wakil tuhan.

Kebangkitan dan pencerahan ertinya manusia berfikir merdeka dan boleh menggunakan akal dengan sebaik-baiknya tanpa perlu ditunjuki atau dipimpin bagai dicucuk hidung. Dalam erti kata demokrasi maka sepatutnya tidak wujud demokrasi terpimpin atau demokrasi yang berasaskan feudal. Untuk sampai ke tahap pencerahan sebegitu manusia sesungguhnya perlu berani dan yakin untuk mengatakan bahawa kuasa yang hakiki adalah kuasa Tuhan semata-mata, manakala manusia yang mendakwa wakil Tuhan yang ada di mana-mana sisi dunia pun kini sebenar-benarnya adalah manusia yang hanya mahu mengambil kesempatan. Penguasa yang memakai topeng agama atau pemegang mohor neo-feudal yang ada hari ini walau pun mereka wujud mereka sepatutnya bukan kelompok yang perlu ditakuti sebagai mana manusia perlu takutkan tuhan seleras dengan uluhiyyah lillah setiap manusia.

Pencerahan adalah keupayaan akal untuk memikir dan membuat kesimpulan bahawa pemimpin atau raja adalah manusia biasa yang ada dosa dan khilaf. Mereka boleh ditendang jika kita mahu dan mereka tidak sepatutnya ditakuti. Membuang mitos tentang daulat raja atau jiwa hamba itulah sebenarnya kebangkitan dan pencerahan umat manusia. Namun berapa ramai rakyat negara moden hari ini yang boleh dijangkiti sindrom pencerahan tersebut. Pada akhirnya jika ada pun akal kebangkitan yang jernih adakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja oleh 'wakil tuhan' itu. Apakah cengkaman kuasa yang bagaikan sihir pada era 'Dark age' sudah tidak mujarab lagi?

Marilah sama-sama kita berfikir dan bermuzakarah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan