Ahad, 19 Ogos 2012

SELAMAT HARI RAYA FITRAH

Ramadhan ertinya kembali meraikan fitrah
Selamat Hari Raya Eid-ul Fitr al-Mubarak. Selamat kembali kepada fitrah atau asal kejadian atau 0 - 0, kembali putih bersih bagaikan tanpa dosa. Sepanjang Ramadhan kita berpuasa membersihkan diri, hari ini kita meraikan kejayaan perjuangan melawan hawa nafsu selama sebulan.
Itulah kehebatan Ramadhan dan sesudah itu Syawal menjelma sebagai kesinambungan bagi memberikan makna yang lebih jelas kepada Ramadhan. Kedua-duanya dipenuhi barakah jika ada niat dan usaha untuk mencari dan memilikinya.
Persoalannya, adakah semua umat muslimin 1Dunia amnya dan 1Malaysia khususnya bersepakat memahaminya dengan perspektif yang sama seperti di atas. Atau adakah Eid-ul fitr ini bulan untuk diisi dengan pesta kegembiraan dan peluang untuk makan sepuas-puasnya?

Ucapan Eid-ul Fitr
Seharian meneliti kiriman ucapan Selamat Eid-ul Fitr dari teman dan saudara pelbagai bentuk, susunan dan pendekatan ucapan diterima. Dari ucapan yang langsung dan bersahaja hinggalah kepada ungkapan bermadah, pantun, syair, animasi,  grafik, hatta doa dan yang lawak pun ada. Tahniah dan terima kasih atas kreativiti ditampilkan dan yang penting semuanya itu adalah tanda ingatan sesama saudara. Antara kiriman yang menarik :-

"Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi
 Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa,
 Dalam kelembutan lidah ada keterlanjuran kata, 
 Dalam gurau senda ada khilaf dan dosa,
 Harap dimaafkan segalanya..." 

Ada antaranya yang tidak akan difahami selamanya andai tidak belajar bahasa Arab, umpamanya:-

"Barakallahulana walakum fi yaumil 'id fabirahmatillah insha Allah"

Ini anatara ucapan penuh siratan dan yang tulus ikhlas dari sahabat lama :

"Tiada tali yang paling erat selain tali silturrahim,
  Tiada pintu yang paling kukuh selain pintu hati,
  Tiada hutang yang paling berat selain hutang budi,
   Tiada pemberian yang paling berharga selain pemberian kemaafan"

Biar apa dan bagaimana pun jua dipersembahkan yang paling penting adalah ingatan tulus ikhlas itu amat bermakna kepada yang menerima. Biar pun yang akan bertambah kaya raya adalah tauke syarikat telekomunikasi namun hubungan silturrahim itu jika ikhlas akan membawa barakah kepada semua. Tidak mustahil tauke-tauke maxis, celcom, telekom dan sebagainya jika cuba curi-curi baca ayat dan ungkapan yang ikhlas dari hati nurani itu akan beroleh hidayah dan taufik dari Allah. Itu barangkali hanyalah angan-angan atau harapan namun jika kita berdoa dengan sungguh-sungguh dan lurus nescaya Allah akan kabulkan. 

Sempena Syawal tahun ini marilah sama-sama kita menyambutnya dengan penuh kebijaksanaan dan tulus ikhlas. Marilah kita teruskan kerajinan bersolat sunat dan berselawat ke atas nabi hingga ke Syawal tahun hadapan. Bolehkah Melayu berbuat begitu? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan