Rabu, 5 Ogos 2009

OII JEFF OOI

Kehebatan manusia terletak pada akal. Kejelikan manusia juga terletak pada akal. Seorang YB yang bernama Jeff Ooi barangkali mahu tunjukkan kehebatan akalnya -yang kritis-analitik, pragmatis dan reaktif. Barangkali juga beliau mahu buktikan bahawa demokrasi memang begitu. Bersuara dan tegur pada yang tidak disetujui. Mungkin juga sikap dan tindakan YB Jeff Oii itu membuktikan beliau seorang demokrat yang menjunjung prinsip kesaksamaan. YB Jelutong itu juga barangkali mewarisi sifat 'terlalu berani' penyandang sebelumnya. Itu yang dibaca dan dinilai oleh khalayak.
Ada pandangan sebaliknya mengatakan YB Jeff Ooi akalnya masih di peringkat eksperimen. Masih akal budak yang belum masak. Perlulah beliau muhasabah (membuat refleksi) dan lalui proses artikulasi lebih mendalam. Perlu lebih lama masa untuk memahami dan ssesuaikan dengan konsep moral, budaya dan agama. Maka bagi yang melihat dari neraca akademik sebegitu pandangan Jeff Oii hanya pandangan budak-budak yang sering marah-marah atau mahu tunjuk akal mudanya.
Apa pun Jeff Ooi realitinya adalah seorang Yang Berhormat yang mewakili rakyat dan yang patut dihormati. Namun seandainya akal gagal mencerminkan hasrat rakyat maka setakat ini sahajalah khidmat tuan YB. Hanya rakyat yang tidak gemar guna akal sahaja akan memilihnya semula. Bagi yang teguh prinsip, yang faham budaya dan tuntutan agama, yang taqqarub dan bersifat ihsan dengan penciptanya tidak mustahil akan memilih lawan tuan YB yang jika ditimbang-timbang kurang mudaratnya berbanding yang sedia ada. Agama adalah pegangan dalam jiwa kukuh dan melabelkan pendakwah yang amanah ertinya mempertikai anutan yang sedia kukuh itu. Harap dapat seseorang yang terjemah dan tafsirkan konsep ini kepada YB dalam bahasa yang difahaminya kerana diyakini beliau kurang memahami konteks ini dalam bahasa ini.
Pemerhati politik tidak fikir yang Jeff Ooi terlalu naif berpolitik peringkat tinggi dan tidak terfikir pula itu mainan politik yang selaras dengan prinsip Ketuanan Rakyat dan Politik Baru yang sering didendangkan.
Menuduh atau melabelkan orang lain pelampau memang sikap yang melampau. Orang Islam dan bukan Islam yang jendela akalnya teliti pasti tidak setuju jika dikatakan JIM itu sebuah organisasi ekstrimis setara al-Qaeda atau Jamaah Islamiyah. Orang melihat JIM itu satu kelompok orang yang baik, yang suka menolong semua orang dan bencikan keganasan dan tidak pernah melihat JIM melakukan keganasan.
Tidak sama pula keadaannya pandangan rakyat marhaen terhadap Pak Lah yang peribadinya sangat baik itu tetapi gerombolan yang megelilinginya sangat tidak baik. JIM dan Pak Lah adalah sama-sama baik namun perlakuan dan kawan-kawan mereka masing-masing tidak sama sifat baiknya. Mengatakan JIM jahat dan berkawan dengan orang jahat adalah pandangan serong atau satu permainan politik yang licik tetapi teramat kotor.
Wahai (oii) YB Jeff Ooi fahamlah budaya, moral dan sentimen umat atau masyrakat yang melatari tuan. Fahamlah kandang apa yang tuan masuki dan pa perlu tuan lakukan. Melabel dan menuduh memang sedap dan dibolehkan tetapi tengoklah dahulu siapa dan apa yang mahu dilabelkan. Memberikan label Mahafiraun kepada seseorang memang sedap dan sering pula dikatakan tepat, maka bolehlah diterima. Melabelkan JIM sebuah jamaah dakwah Islam sebagai 'extrimist' sangat tidak sedap bunyinya dan sangat tidak tepat pada hakikatnya. Jadi tunggu apa lagi YB Jeff Ooi oii? Minta maaf sahajalah. Jika tidak peribahasa Melayu akan labelkan tuan sebagai 'bodoh sombong'. Itu sahaja.

Ahad, 2 Ogos 2009

TAHNIAH

Tahniah 1 kepada Ibrahim Ali
YB Ibrahim Ali adalah penganjur Himpunan Menyokong ISA pada 1 Ogos 2009. Beliau menggerakkan massa untuk berkumpul di Padang Merbok untuk membuktikan bahawa ada pihak yang masih sayangkan ISA. Namun Ibrahim Ali membatalkan perhimpunan tersebut kerana JAKIM menasihatkan agar rakyat jangan terlibat dengan perhimpunan haram. Ibrahim Ali akur dengan nasihat rasmi kerajaan dan membatalkan perhimpunan tajaannya. Tahniah Ibrahim Ali kerana merancang perhimpunan awam pada saat-saat akhir dan membatalkannya pada saat-saat akhir. Nampak gayanya Ibrahim Ali akan terlepas dari ISA yang disayanginya itu. Ibrahim Ali membuktikan demokrasi memang teramat 'simple' untuk difahami.
Tahniah 2 kepada Media Prima & Saluran Salam 1Malaysia
Kedua-dua pihak ini ternyata iltizam memahamkan rakyat erti keamanan dan kedaulatan undang-undang. Mempertahankan tindakan polis dan membuktikan kepada rakyat bahawa para demonstran adalah tidak diingini khususnya oleh peniaga pasar malam dan penjual kain di Jalan TAR. Barisan Media Bersatu ini dengan cekap dan berkesan telah berupaya membentuk pandangan umum bahawa pembangkang adalah jahat tidak berhak menyatakan pendapat. Pembangkang sering sahaja menggangu proses demokrasi yang sepatutnya berjalan secara aman. Protes jalanan bukan sebahagian dari proses demokrasi. Hanya protes dan demonstrasi oleh budak-budak UiTM atau beberapa orang penduduk di kawasan estet usang Sungai Tok Pawang Kedah dibenarkan kerana tidak didalangi oleh pembangkang. Media Prima dan para sekutunya menegaskan bahawa demokrasi seharusnya terpimpin agar rakyat jadi lebih terhormat. Jangan sesiapa cuba tunjuk pandai untuk mentakrifkan demokrasi.
Tahniah 3 kepada PDRM khususnya 'si kepala merah'
Mereka ini bukan polis yang menangkap pengedar dadah dan peragut jauh sekalilah yang menyaman pemandu-pemandu mabuk. Mereka ini kerjanya amat spesifik iaitu menyusun barisan dan menghentak-hentak perisai plastik masing-masing untuk menakutkan ribuan demonstran. Ini bukan kerja keji dan kotor. Ini bukan makan rasuah. Ini kerja atas arahan dari pihak yang lebih atas. Tidak wajar mereka dipersalahkan kerana menjalankan tugas. Tahniah pada polis bertopi merah kerana bertungkus lumus sepanjang hari 1 Ogos 2009. Hasilnya lebih 580 orang ditangkap termasuk remaja di bawah umur 18 tahun. Dalam musim tenang begini hanya 1 Ogos 2009 sahaja tugas mereka menjadi berat dan sukar manakala selepas ini mereka akan kembali 'stand-by' -mungkin untuk tempoh 6 bulan. Meraka ini adalah pemegang panji-panji demokrasi agar tidak terlepas ke tangan pemimpin bermoral rendah. Mereka inilah juga benteng Melayu agar cina komunis bermata sepet tidak akan dengan senang beroleh geran tanah di kampung-kampung baru cina. Tahniah.
Tahniah 4 kepada para demonstran berbaju hitam dan merah yang didalangi pemimpin pembangkang -yang bermoral rendah, yang cuba makan rasuah dan yang gilakan kuasa. Percayalah para peniaga di Jalan TAR memang tahu bahawa kehadiran anda hanya pada hari Sabtu dan satu hari sahaja dalam tempoh beberapa bulan. Kamu tidak ganggu mereka tetapi kehadiran kamu yang diganggu oleh pihak lain. Kamu dan para peniaga di sana harus lebih mengerti bahawa unjuk rasa hari ini bahawa hasilnya akan dinikmati oleh tujuh keturunan 1Malaysia yang akan datang. Percayalah sebahagian besar peniaga di Jalan TAR, Sogo, Masjid Jamek, Dataran Merdeka atau Kampung Baru yang mensyukuri nikmat ilahi sedar bahawa rezeki bukan ditentukan manusia dan para demonstran perlu diberikan hak mereka untuk menyatakan pendapat - hanya sehari dalam tempoh beberapa bulan. Peniaga, penjaja dan ribuan para demonstranlah yang sebenar-benarnya lebih mengerti tentang demokrasi di tengah-tengah kotaraya yang hampir lumpuh pada Sabtu 1 Ogos 2009.
Tahniah kepada semua pihak yang mengajar kami lebih memahami erti demokrasi. Bilik kuliah dan buku sahaja belum memadai untuk menghayati demokrasi. Polis, peniaga pasar malam, gedung besar Sogo, Masjid Jamek, LRT, FRU, pembangkang, black maria, gas pemedih mata, media prima, Hishamudin Rais, Istana Negara dan semua yang terlibat di sana adalah lambang-lambang bagi sekalian rakyat untuk lebih memahami demokrasi dan erti hidup yang lebih bermakna.
Tahniah kepada yang menghidupkan demokrasi! Tahniah jua kepada yang mencelarukan erti demokrasi kerana menjadikan kami lebih kreatif dan kritis menyusun semula 'puzzle demokrasi' yang sengaja dibiarkan bertaburan itu!

Jumaat, 31 Julai 2009

SATU CADANGAN

1 Ogos 2009 khabarnya akan diadakan perhimpunan besar-besaran mansuhkan ISA manakala di satu pihak lagi yang diketuai oleh MP Ibrahim Ali akan adakan perhimpunan menyokong ISA.
Saya sokong usaha Ibrhaim Ali itu kerana adalah terlalu sukar untuk menghimpunkan orang secara sukarela dan penuh bersemangat untuk menyokong pengekalan akta lama warisan penjajah tersebut. Saya kira kalau ajak Dr. Mashitah pun beliau tidak mahu kerana perhimpunan sebegitu tidak perlu katanya. Begitu juga MP BN yang lainnya pasti akan mendahulukan rakyat dengan aktiviti yang lain daripada berdemonstrasi bersama Ibrahim Ali. Tak percaya lihatlah nanti, hanya beberapa orang dari NGO dan budak-budak upahan serta 'pelagak demo' sahaja yang turut serta. Atau mungkin akan dibatalkan pada saat akhir atas nasihat Ketua Polis demi menjaga ketenteraman awam.ada.
Bagi peneliti politik pula, Ibrahim Ali sebenarnya tidak sepenuh ghairah pun menyokong pengekalan ISA tetapi mahu hanya bertembung dengan penentang ISA bagi meraikan demokrasi dan selepas itu barangkali beliau akan mendapat sedikit kredit -kalau dalam bahasa budak-budak muda "mahu enter-frame cari glamour le tu". Beliau mungkin akan dijadikan ikon pejuang Melayu yang mempertahankan kedaulatan undang-undang. Pelbagai kemungkinan ada di sana. Tiada siapa pun yang waras mengatakan tindakan menyokong ISA itu sebagai satu kebijaksanaan melainkan jika disuruh berkata demikian kerana takut dan mahu pertahankan kedudukan.
Namun apa yang boleh dijangkakan ialah jika benar-benar Ibrahim Ali turun padang maka beliau akan beroleh demokrasi dengan 'kerjasama banyak pihak' manakala puak yang satu lagi akan lebih mengerti maksud sebenar demokrasi juga dengan 'kerjasama banyak pihak' khususnya dari pihak kerajaan.
Selepas ini Ibrahim Ali akan berkata demokrasi di Malaysia adalah yang terbaik kerana kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat adalah terjamin. Bagi pihak yang satu lagi pasti akan merasai sebaliknya kerana itulah yang sering terjadi selama ini.
Sekiranya betul-betul Ibrahim Ali dan gerombolannya membuat unjuk rasa, hanya satu sahaja cadangan iaitu esok 1 Ogos 2009 PDRM silalah tangkap Ibrahim Ali atas alasan 'menambahkan kegawatan awam' dan letakkan di bawah ISA beberapa tahun. Bukankah Ibrahim Ali mahu buat perhimpunan setelah ada pihak lain yang telah merancang dan memutuskan tarikh tersebut sebelum ini -malah sejak akhir 2008 lagi. Maksudnya Ibrahim Ali hanya menambahkan kegawatan dan kegelisahan awam kerana akan berlaku pertembungan. Maka Ibrahim Ali patut ditahan atas sebab itu jika mahu mengikut pertimbangan yang betul dan rasional. Ini hanya cadangan sahaja dan bukan mahu mendesak pun!
Selepas diletakkan Ibrahim Ali di bawah ISA selama beberapa tahun tanpa bicara maka kita lihatlah apa pula pendirian beliau. Itu sahaja caranya jika mahu menguji sesuatu kebenaran jika gagal dibaca secara berhemah dan penuh hikmah. Kalau ada orang tidak percaya api itu boleh membakar maka humbankan sahaja beliau ke dalam api itu untuk merasai sendiri bagaimana diri dimamah api!

Rabu, 15 Julai 2009

TELUS CAMPUR HAGAS

Manek Urai, 14 Julai 2009.
Majoriti 65 undi dari sejumlah hampir 11000 undi yang dibuang amat memalukan bagi satu pakatan yang tengah naik namanya. PR mendapat 5,348 undi manakala BN pula mendapat 5,283 undi. Persoalannya sekarang ialah:
1. Apakah nilai Pakatan Rakyat sama sahaja dengan BN bagi pengundi di Manek Urai?
2. Apakah Rakyat Kelantan tetap tebal dengan sikap perkaumannya dan tiada maklumat yang tepat dan jelas tentang politik baru masuk ke telinga mereka?
3. Apakah ini sebagai satu 'isyarat rakyat ' khususnya kepada PAS agar lebih 'tawaduk' dalam politik selepas ini sesuai dengan sifatnya sebagai parti Islam?
Soal permainan di atas padang tidak rata bukan isunya di sini kerana kata pemerhati "oghe kelate meme bijak dan tahu main politik". Jika benar mereka bijak maka hasilnya tentulah jauh dari kecenderungan hampir seri. Maka dalam keadaan begini kebijaksanan politik orang Kelantan hari ini wajib dipertikaikan. Apa ertinya kebijaksanaan jika jalur siasah 'oghe kelate' sama sahaja dengan 'oghang perlih' yang masih terpikat kepada budaya kepolitikan keluarga Ibnu Kassim. Mereka tetap bersifat perkauman dan di Manek Urai sudah nampak usaha untuk kembali kepada UMNO. Maknanya mereka sudah sedia hilangkan 'thiqah' kepada Tok Guru. 'Oghe Manek Urai' semacam mahu tunjuk hagas sekarang. Mereka seperti mahu keluar dari paradigma asabiyah yang selama ini merujuk kepada Tok Guru. Tidak mustahil Tok Guru mungkin akan hilang kawalan ke atas 'oghe kelate' satu hari nanti seperti mana yang pernah dirasai Ku Li dahulu.
Dalam bahasa politik sikap sebegitu menunjukkan satu isyarat baru biar pun bukan ke arah politik baru. Isyarat baru ini berkecenderungan untuk menyokong UMNO semula. Apakah ini sekadar manipulasi massa bagi membuktikan 'oghe kelate' benar-benar bijak berpolitik? Namun jika tendensi memilih UMNO itu satu kebijakan politik ertinya orang Kelantan kini bersifat hagas campur bebal. Mereka merasakan itu betul sebagai pengajaran politik kepada Tok guru namun hakikatnya samapi bila-bila pun politik perkauman adalah satu bentuk politik lama. Apa lagi yang boleh dibanggakan kalau itu pilihan mereka.
Benar ketidak akuran proses politik dan tipu helah 'bertahap nafsu amarah' pun boleh dijadikan penyebab namun itu di luar kawalan PR. Maka sekarang tinggalkan dahulu hujah itu dan kembali melihat realiti. PAS perlu bermuhasabah dengan sungguh-sungguh agar peluang sebegini tidak akan terlepas begitu sahaja. Orang PAS jangan hagas, sombong, bongkak dan bebal. Mereka perlu terima hakikat bahawa Anwar Ibrahim memang teras pakatan rakyat dan bukan sekadar pelengkap politik oposisi. Justeru jangan perlekehkan PKR. Itu sangat penting. Jangan samakan DAP seperti MCA dan merasakan DAP adalah duri dalam daging. Para pemimpin adalah bertanggungjawab menunjukkan teladan bagaimana cara 'berakan' yang betul -ertinya jangan berakkan kawan! Memang kita telus cuba bersikap telus dalam pentadbiran negeri dan parti namun kalau telus berbaur hagas maka tunggulah saat kejatuhannya. Tunggulah kita semua akan tersungkur kerana sikap sendiri. Kadang-kadang kerja politik pun perlukan ilmu pedagogi sebagai panduan kerana politik itu juga merupakan wahana bagi usaha mendidik umat.

Isnin, 13 Julai 2009

“Alaman Terlabik” : SEKADAR RENUNGAN


Perhatikan beberapa amalan di bawah ini yang boleh dikategorikan sebagai amalan terbalik.

1. Amalan kenduri arwah – ahli keluarga mengeluarkan belanja dan bertungkus lumus menyediakan makanan untuk orang lain yang membaca tahlil dan doa. Sepatutnya mengikut apa yang dianjurkan Rasulullah ‘jiran tetangga dan orang lain’ yang perlu ambil tanggungjawab tersebut untuk meringankan kesedihan dan kesusahan mereka.
2. Kalau hadir kenduri kahwin (walimatul urus) kita merasa segan jika tidak dapat hulurkan sumbangan kepada tuan rumah. Di rumah kenduri makanan disediakan tanpa pertimbangan untuk mendapatkan semula kosnya dan tetamu dijemput makan sehingga kenyang. Sepatutnya kita perlu berikan sedekah ketika hadir menziarahi kematian tetapi itu jarang pula dilakukan.
3. Ketika hadir majlis pemimpin negara kita berpakaian –ada ‘dress code’ dan sering pula dipesan oleh pengelola majlis mengenainya. Sebaliknya ketika hadir di hadapan Allah kita berlebih kurang sahaja bahkan ada yang tidak berbaju. Menutup aurat sudahlah.
4. Ketika bertamu ke rumah orang dan dihidangkan makanan kita merasa segan untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan. Beradab dan hormat tuan rumah kononnya. Sebaliknya apa yang dituntut ialah menghabiskan apa yang dihidangkan bagi menggembirakan tuan rumah dan elakkan pembaziran.
5. Kalau solat sunat di masjid kita begitu rajin dan bersemangat tetapi di rumah kita merasa malas. Sepatutnya apa yang dituntut ialah memperbanyakkan solat sunat di rumah seperti yang diajarkan Rasulullah.
6. Bulan puasa ialah bulan mendidik hawa nafsu tetapi sebaliknya apa yang terjadi ialah perbelanjaan bulanan meningkat, makanan berlebihan dan membuat persediaan untuk hari raya yang melampau.
7. Kenduri doa selamat dibuat ketika balik dari musafir bukan ketika memulakan perjalanan. Sebaliknya apa yang berlaku ialah kenduri dibuat ketika mahu mengerjakan haji dan apabila pulang tidak ada apa-apa jamuan kesyukuran pula.
8. Ramai ibubapa amat bimbang jika anak-anak gagal peperiksaan dan sanggup menghantar anak ke kelas tambahan. Sebaliknya amat sedikit ibubapa yang bimbang anak-anak mereka gagal al-Quran dan amalan fardu ain. Tidak ada kelas tambahan jika anak gagal menguasai al-Quran dan pengajaran yang percuma pun tidak dipedulikan.
9. Jika bekerja mencari rezeki untuk kesenangan dunia penuh dengan iltizam tidak kira hujan, ribut, siang atau malam. Sebaliknya bekerja mencari habuan akhirat tidaklah sebegitu tahap istiqamahnya. Lebih banyak alasan diberikan untuk mengelak dari pergi ke masjid bersolat jamaah.

Cuba fikirkan dan muhasabah semula. Adakah hidup kita ini mengikut ‘apa yang betul dan benar’ atau mengikut ‘apa yang dikatakan betul’ oleh orang lain. Fahamilah bahawa sekularisme itu ada di mana-mana hatta di depan mimbar masjid. Urusan dunia dan akhirat yang sering dipisah-pisahkan menjadikan umat Islam ‘sesat antara dunia dan akhirat’ dan terjadilah amalan yang terbalik dari apa yang sepatutnya.