Tahniah 1 kepada Ibrahim Ali
YB Ibrahim Ali adalah penganjur Himpunan Menyokong ISA pada 1 Ogos 2009. Beliau menggerakkan massa untuk berkumpul di Padang Merbok untuk membuktikan bahawa ada pihak yang masih sayangkan ISA. Namun Ibrahim Ali membatalkan perhimpunan tersebut kerana JAKIM menasihatkan agar rakyat jangan terlibat dengan perhimpunan haram. Ibrahim Ali akur dengan nasihat rasmi kerajaan dan membatalkan perhimpunan tajaannya. Tahniah Ibrahim Ali kerana merancang perhimpunan awam pada saat-saat akhir dan membatalkannya pada saat-saat akhir. Nampak gayanya Ibrahim Ali akan terlepas dari ISA yang disayanginya itu. Ibrahim Ali membuktikan demokrasi memang teramat 'simple' untuk difahami.
Tahniah 2 kepada Media Prima & Saluran Salam 1Malaysia
Kedua-dua pihak ini ternyata iltizam memahamkan rakyat erti keamanan dan kedaulatan undang-undang. Mempertahankan tindakan polis dan membuktikan kepada rakyat bahawa para demonstran adalah tidak diingini khususnya oleh peniaga pasar malam dan penjual kain di Jalan TAR. Barisan Media Bersatu ini dengan cekap dan berkesan telah berupaya membentuk pandangan umum bahawa pembangkang adalah jahat tidak berhak menyatakan pendapat. Pembangkang sering sahaja menggangu proses demokrasi yang sepatutnya berjalan secara aman. Protes jalanan bukan sebahagian dari proses demokrasi. Hanya protes dan demonstrasi oleh budak-budak UiTM atau beberapa orang penduduk di kawasan estet usang Sungai Tok Pawang Kedah dibenarkan kerana tidak didalangi oleh pembangkang. Media Prima dan para sekutunya menegaskan bahawa demokrasi seharusnya terpimpin agar rakyat jadi lebih terhormat. Jangan sesiapa cuba tunjuk pandai untuk mentakrifkan demokrasi.
Tahniah 3 kepada PDRM khususnya 'si kepala merah'
Mereka ini bukan polis yang menangkap pengedar dadah dan peragut jauh sekalilah yang menyaman pemandu-pemandu mabuk. Mereka ini kerjanya amat spesifik iaitu menyusun barisan dan menghentak-hentak perisai plastik masing-masing untuk menakutkan ribuan demonstran. Ini bukan kerja keji dan kotor. Ini bukan makan rasuah. Ini kerja atas arahan dari pihak yang lebih atas. Tidak wajar mereka dipersalahkan kerana menjalankan tugas. Tahniah pada polis bertopi merah kerana bertungkus lumus sepanjang hari 1 Ogos 2009. Hasilnya lebih 580 orang ditangkap termasuk remaja di bawah umur 18 tahun. Dalam musim tenang begini hanya 1 Ogos 2009 sahaja tugas mereka menjadi berat dan sukar manakala selepas ini mereka akan kembali 'stand-by' -mungkin untuk tempoh 6 bulan. Meraka ini adalah pemegang panji-panji demokrasi agar tidak terlepas ke tangan pemimpin bermoral rendah. Mereka inilah juga benteng Melayu agar cina komunis bermata sepet tidak akan dengan senang beroleh geran tanah di kampung-kampung baru cina. Tahniah.
Tahniah 4 kepada para demonstran berbaju hitam dan merah yang didalangi pemimpin pembangkang -yang bermoral rendah, yang cuba makan rasuah dan yang gilakan kuasa. Percayalah para peniaga di Jalan TAR memang tahu bahawa kehadiran anda hanya pada hari Sabtu dan satu hari sahaja dalam tempoh beberapa bulan. Kamu tidak ganggu mereka tetapi kehadiran kamu yang diganggu oleh pihak lain. Kamu dan para peniaga di sana harus lebih mengerti bahawa unjuk rasa hari ini bahawa hasilnya akan dinikmati oleh tujuh keturunan 1Malaysia yang akan datang. Percayalah sebahagian besar peniaga di Jalan TAR, Sogo, Masjid Jamek, Dataran Merdeka atau Kampung Baru yang mensyukuri nikmat ilahi sedar bahawa rezeki bukan ditentukan manusia dan para demonstran perlu diberikan hak mereka untuk menyatakan pendapat - hanya sehari dalam tempoh beberapa bulan. Peniaga, penjaja dan ribuan para demonstranlah yang sebenar-benarnya lebih mengerti tentang demokrasi di tengah-tengah kotaraya yang hampir lumpuh pada Sabtu 1 Ogos 2009.
Tahniah kepada semua pihak yang mengajar kami lebih memahami erti demokrasi. Bilik kuliah dan buku sahaja belum memadai untuk menghayati demokrasi. Polis, peniaga pasar malam, gedung besar Sogo, Masjid Jamek, LRT, FRU, pembangkang, black maria, gas pemedih mata, media prima, Hishamudin Rais, Istana Negara dan semua yang terlibat di sana adalah lambang-lambang bagi sekalian rakyat untuk lebih memahami demokrasi dan erti hidup yang lebih bermakna.
Tahniah kepada yang menghidupkan demokrasi! Tahniah jua kepada yang mencelarukan erti demokrasi kerana menjadikan kami lebih kreatif dan kritis menyusun semula 'puzzle demokrasi' yang sengaja dibiarkan bertaburan itu!
salam..
BalasPadamya.. bertepuk sorak..
kepada kuda-kuda yang buta mata hatinya..
ANTI ISA>>