Selasa, 8 September 2009

KELUAR DARI KEMISKINAN

Kemiskinan sama ada tegar atau tahap awal apakah akan berterusan atau boleh disekat? Jawabannya pasti boleh dihentikan. Dalam negara yang kaya dengan makanan ini masalah kelaparan pasti dapat diatasi dengan mudah asalkan orang yang punyai lebihan makanan memberikan bahagian yang lebih tersebut kepada yang memerlukannya. Ini telah dilakukan sama ada secara sensasi dan meriah seperti program Bersamamu, Singgah Sahur dan majlis pemberian cek besar mahu pun secara diam-diam. Ertinya kebuluran dapat diatasi dengan mudah. Apabila kelaparan hilang maka bolehlah digerakkan akal untuk memikirkan bagaimana cara untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
Si miskin perlu diberi joran, tajak, cangkul, mesin dan sebagainya dan diajarkan cara menggunakannya dan dibuat penilaian berterusan. Si miskin lazimnya tahap akal mereka rendah dan gagal berkreatif dan hanya terima sahaja. Mereka tercicir dari sistem sekolah yang formal. Mereka tidak ada disiplin pembelajaran sepanjang hayat. Mereka tiada cita-cita dan matlamat yang jelas. Mereka ibarat ayam yang mencari makan untuk hidup pada masa itu semata-mata dan tidak mampu menyimpan lebihan pendapatan. Itulah masalah kemiskinan sebenarnya iaitu miskin akal dan budi. Perkara ini perlu diasuh berterusan.
Jiran perlu berperanan untuk ajar si miskin cara bekerja. Baitulmal atau zakat berikan bantuan wang atau peralatan. Jabatan Kebajikan, pertanian, komuniti penjaja dan pemimpin perlu berikan ilmu dan motivasi. Pakar motivasi perlulah turun padang bertemu si miskin dan berikan mereka semangat untuk bekerja. Wakil rakyat memanglah sibuk tetapi orang-orangnya mesti ikhlas kerja buat pemantauan. Dalam satu DUN umpamanya ada 20 si miskin maka lantiklah 5 orang pemantau yang terdiri dari pegawai atau aktivis. Bukan setiap hari perlu pantau tetapi berkala hinggalah si miskin tersebut mampu berdikari.
Masalahnya sekarang ialah kita hanya bantu berikan makanan dan wang kepada si miskin tetapi kita tidak berikan ilmu untuk hidup. Marilah ubah paradigma iaitu si miskin sebenarnya perlu diasuh dan dididik secara berterusan. Jika tidak mereka akan meminta-minta kerana mereka tidak tahu buat yang lain selain meminta dan mereka pun tahu pasti ada yang akan menghulurkan apa yang diperlukan. Lantas memberikan ilmu di samping material perlu disekalikan agar kemiskinan dapat diatasi dan dihapuskan. Perlulah para cerdik pandai bersidang untuk realisasikan idea mendidik si miskin ini.

1 ulasan:

  1. Salam dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat Gedung Akal sekeluarga dan kepada pembaca blog ini. Maaf Zahir Batin.

    Semoga semuanya diberkati Allah Taala.

    Yang Ikhlas
    Mat Amin
    KINI DAN SILAM http://matamin02.blogspot.com

    BalasPadam