Sabtu, 5 September 2009

RESEPI PERKAUMAN

Rakyat umum yang kurang daya fikirnya tentu tidak pernah sedar bahawa sesungguhnya kebebalan mereka itu adalah umpama lauk yang amat sedap bagi segolongan orang yang 'licik'. Kelompok licik itu pasti sekali ahli politik dan peniaga dari mana-mana pihak pun yang tidak ikhlas dalam kerja buat meeka. Ahli politik dan peniaga ibarat aur dengan tebing, saling bekerjasama biar pun kadang-kadang tidak mengenali sesama mereka. Ahli politik yang berkuasa membuka jalan duit kepada peniaga yang akhirnya nanti segala keuntungan akan disukat bahagi sesama mereka. Sepanjang tempoh projek usaha sama mereka itu pelbagai resepi dicipta agar nampak sedap di mata rakyat. Dalam kontek masyarakat majmuk resepi paling mudah dan senang dijaja pasti sekalilah resepi perkauman.
Bagaimana kedua-dua belah pihak ini dapat bekerjasama dalam projek perkauman? Rakyat terbanyak dan yang terkeliru tentu tidak nampak apa-apa pun dengan jelas. Peniaga akan lagangkan cerita kejahatan satu kelompok kaum yang diolah penuh sensasi. Esoknya ahli politik berikan ulasan untuk nilai tambah berita tersebut. Lusanya ahli politik dari kaum lain pula masuk arena dan berbicara. Peniaga lain pun tumpang sekaki jual cerita tambahan.
Resepi perkauman mudah menaikkan nafsu amarah. Ceritannya pun gemar diikuti. Apa yang perlu dibimbangkan sebab negara punyai pasukan keselamatan cepat bertindak dan sistem mengurung orang pula telah pun dicontohi kuasa paling besar di dunia hari ini.. Maka selagi belum masak resepi perkauman ini akan dilagang dan diulang. Tidak ada rakyat yang sedia bebal itu yang muak mendengar keunikan cerita perkauman.
Bila cerita terus berlegar duit pun masuk. Ahli politik pun terus jadi glamor. Masalah jangan difikir sebab boleh minta bantuan 'pihak keselamatan' untuk selesaikannya. Semua cerita ini skripnya sangat mudah difahami namun bagi rakyat terbanyak hanya keseronokan dan ghairah nafsu sahaja yang mereka dapat. Hakikatnya mereka terus jadi alpa, naif dan lurus. Cerita laku peniaga untung dan ahli politik dapat kelebihannya. Maka araklah apa sahaja jika peniaga mahu jual cerita dan ahli politik fikir boleh dapat nama segalanya akan jadi. Ambillah tahi kucing dan beraraklah di hadapan tokong Cina atau palitlah dakwat merah pada cermin kereta yang melintasi masjid dan panggillah peniaga buat cerita perseteruan antara dua kaum, maka tunggulah esoknya. Ada cerita, ada ahli politik dan ada rakyat yang naif maka resepi perkauman amat enak dijaja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan