Ahad, 30 Ogos 2009

MERDEKA JIWA MERDEKA AKAL

31 Ogos 2009 seluruh rakyat akan meraikan Hari Kebangsaan yang ke 52 dengan slogam 1Malaysia. Hari Kebangsaan adalah merujuk kepada peristiwa Tanah Melayu dibebaskan dari belenggu penjajah. Penjajah terakhir Tanah Melayu ialah British manakala penjajah terawal ialah Feringgi di mana keseluruhan tempohnya menghampiri 450 tahun bermula dari tahun 1511. Pada tahun 1957 seluruh rakyat Tanah Melayu tidak kira peribumi atau tidak melompat gembira dan melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Perjuangan kemerdekaan seperti dicanangkan dalam program Hari Ini Dalam Sejarah adalah perjuangan orang-orang UMNO dan berlaku tanpa pertumpahan darah - ertinya penuh hikmah dan diplomasi. Untuk berdiplomasi maka tentu sekali para perundingnya fasih berbahasa Inggeris, jika tidak jangan haraplah Tanah Melayu akan dimerdekakan. Memang diakui diplomasi itulah yang menghasilkan kemerdekaan seperti hari ini. Setelah para pemimpin bagi anak-anak Melayu, Cina dan India itu dipastikan otak mereka selaras dengan kemahuan Inggeris maka diberilah kemerdekaan tanpa perlu bersusah payah. Jika akal mereka seperti mana Pak Sako, Ibrahim Yaakob atau Rashid Maidin jangan haraplah akan diberikan kemerdekaan. Lawan dahulu dan langkah mayat kami dahulu kalau mahu merdeka. Itulah ertinya merdeka tanpa pertumpahan darah yang sering dibanggakan itu.
Sampai hari ini pun kemerdekaan yang mudah itu diambil mudah oleh anak bansa 1Malaysia ini. Mereka tidak terfikir pun mahu pertahankan jati diri bangsa sendiri. Berabad yang lalu Syarikat Pemodal Barat yang kononnya mewakili King dan Queen masing-masing datang dan membuat perjanjian dengan pemerintah di Nusantara menggunakan tulisan jawi iaitu tulisan orang Melayu.. Namun sebelum mereka berundur tulisan jawi yang sangat dekat dengan Arab-Islam itu akan dipastikan pupus secara beransur-ansur. Kini dalam tempoh setengah abad sahaja tulisan jawi sudah jadi tulisan kuno di Alam Melayu. Setengah abad lagi tulisan dan bahasa Melayu-yang berabjadkan rumi itu pun akan pupus dan sisa-sisanya dijadikan sisipan dalam akhbar New Straits Time atau Daily News. Percayalah!
1Malaysia yang rakyatnya berjiwa kecil akan berterusan mempertahankan rasa kehambaan mereka kepada tuan-tuan yang pernah menjajah mereka. Jurucakap barat moden dijelmakan sebagai nasionalis pejuang bangsa. Mereka ini sanggup mengarak kepala lembu bagi menghina penganut Hindu dan pada ketika yang lain melemparkan kepala babi ke dalam masjid atau surau bagi menaikkan syyahwat kemarahan orang Islam. Nasionalis ini jugalah yang melaungkan kalimah 'take beer' untuk dipadankan dengan ungkapan 'takbir Allahu Akbar' yang sering diungkapkan oleh umat Islam. Helah dan perlecehan mereka itu memang sedap didengar tetapi hakikatnya itulah jati diri anak bangsa yang terjajah. Gagal menghormati sesama umat dan budaya di atas bumi yang sekecil 1Malaysia ini.
Setelah setengah abad diberikan kemerdekaan oleh tuan mereka ternyata akal budi anak bangsa ini masih terjajah. Kapitalis dan neo-fuedal sentiasa mengelilingi dan mengarahkan kehidupan rakyat. Sebab itulah anak-anak bumi 1Malaysia hanya tahu mengikut sahaja apa kata tuan dan ketua mereka. Setiap hari dipaparkan tentang 1Malaysia yang beerti pelbagai kaum bersatu dalam negara Malaysia tetapi bukan pula Malaysian Malaysia kerana istilah itu tidak tepat. Pengertian 1Malaysia adalah apa yang diungkap oleh ketua-ketua yang diatas dan rakyat jelata ikut sahajalah. Maka akan selamanyalah mentaliti rakyat yang terjajah ini berada pada kelas terkebawah - bukan setakat kelas tiga.
Sempena kemerdekaan tahun ini patutlah seluruh rakyat jadi lebih bijaksana dan dewasa. Perlulah berjiwa bebas dan merdeka. Perlu ada kemahuan mahu jadi bangsa yang berjiwa besar dan dihormati -bukan tunduk menghormati seperti selama ini. Oleh yang demikian citra 'Merdeka' sebenarnya sudah tidak enak dan sesuai bagi satu bangsa yang benar-benar berdaulat. Selagi kita menyebut merdeka maka selagi itulah rujukan kita kepada penjajah. Lantas apa salahnya kita cuba tinggalkan konsep merdeka itu dan bergerak kepada kebebasan sebenar umpamanya "Hari Malaysia' pada 16 September dijadikan Hari Kebangsaan. Itu bukannya merdeka dan dibebaskan oleh penjajah tetapi satu bentuk keberanian untuk mencetus dan membina Negara Bangsa yang sebenar iaitu Malaysia.
Walau tidak pasti sampai bila citra Merdeka akan terus dikemundangkan namun harap-harapnya dalam tempoh 50 tahun mendatang ini seluruh rakyat 1Malaysia akan sedar yang konsep merdeka ini hanya bidaah dan karut serta memperlekehkan diri sendiri semata-mata. Sedar dan insaf makna kebesaran diri dan negara sendiri itulah kemerdekaan sejati. Marilah kita tunggu detik kematangan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan