Anak muda adalah aset negara yang amat berharga. Namun ada sebahagiannya yang berkemungkinan menjadi liabiliti kepada negara. Peluang kepada anak-anak muda untuk menuju kepada kerugian besar negara pada masa hadapan dapat dikesan melalui gejala yang wujud hari ini. Gejala salahguna dadah, merempit, buang masa (bermalas-malasan atau melepak dan bnerfoya-foya), tidak pentingkan ilmu dan menjadi pengikut sahaja merupakan tanda-tanda yang boleh dijadikan amaran. Gejala itu dari sudut psikologi adalah sebagai satu jalan anak-anak muda meraikan keremajaan mereka. Itu hak mereka tetapi sikap melampau dan lupa diri akan menjadikan mereka sesat dan gagal temui jalan pulang. Umpamanya merokok asalnya diterima umum sebagai satu cara meraikan kemudaan-namun jika menyebabkan ketagihan dan kesakitan hatta penagihan dadah segalanya sudah tidak beerti lagi.
Anak-anak muda sama ada dipanggil belia, remaja, pelajar, budak, pria dan sebagainya perlu diberitahu bahawa mereka adalah pewaris dan aset negara sekali gus. Mereka perlu disedarkan bukannya ditekan atau dipaksa untuk sertai dunia ideal dan tertib orang tua semata-mata. Masalahnya sekarang orang tua tidak tahu tertib atau kaedahnya bagiamana sepatutnya mendekati anak muda. Kemahiran komunikasi amat teruk di kalangan orang tua kerana yang mereka tahu hanyalah membuat penilaian dan mengarahkan sahaja. Orang tua lebih gemar bertindak sebagai pengeluar segala nilai untuk anak muda. Bagi anak muda proses yang dogmatik sudah tidak boleh diterima lagi selaras dengan perkembangan global. Rujukan mereka adalah anak-anak muda glamour dari negara-negara G8.
Ambil contoh paling mudah. Anak muda 1Malaysia -tidak kira Melayu, Cina, Siam, Dayak, Islam atau Atheis dahulunya memang tidak gemar berjanggut. Mereka anggap itu hanyalah kosmetik tok lebai dan style kampung sahaja. Namun bila mana Linkin Park 'memasang' misai maka berduyun-duyun anak muda 1Malaysia menjadikan mereka sebagai teladan. Budak rempit dan lepak, penyanyi, lawyer dan lainnya tidak lagi kekok berjanggut. Hakikatnya berjanggut itu dari perspektif budaya dan agama memang sesuatu yang sangat baik dan bertaraf sunnah nabi. Namun jika niat mereaka untuk kelihatan hebat seperti artis barat maka tidak berpahalah sunnah tersebut.
Apa yang ingin dirumuskan di sini ialah orang tua tidak perlulah memaksa nilai tetapi seharusnya anak muda diajar penuh sabar untuk mengerti nilai budaya bangsa dan agama secara sedar. Inilah prosaes pendidikan sepanjang hayat. Anak muda perlu dibangunkan akal dan budi mereka bukannya digeletek emosi dengan semangat yang bukan-bukan. Laungan Allahu Akbar atau Hidup Melayu akan menjadi laungan lagha dan tidak bermakna andai tingkat makrifatnya terlalu jauh dan tipis dari apa yang sebenarnya. Lantas ajarlah anak-anak muda kenal diri, bangsa dan tuhan sendiri agar mereka akan benar-benar berguna dan tidak dipergunakan. Biar mereka faham bahawa berjanggut itu selain syok-syok adalah sunah Rasulullah yang akan berpahala bagi pengamalnya dengan syarat semuanya itu kerana Allah Taala. Biar mereka tahu yang Linkin Park tidak berpahala bila berjanggut sedangkan mereka anak muda yang sepatutnya rasa bangga disebabkan mengamalkan sunnah yang turut disertai oleh 'orang lain'. Agar sukar bukan? Yang pasti itulah yang seharusnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan