Jumaat, 20 November 2009

ORANG BODOH MAKANAN ORANG CERDIK

Masih merujuk kepada permainan catur. Pemain yang strateginya mudah dibaca atau main hentam sahaja akhirnya akan mendapat 'check-mate' ertinya kalah secara KO. Tidak mati secara berhemah tetapi tragik dan memalukan. Orang bodoh akan mati secara tidak bermaruah malah diperbodohkan. Ibu penulis sering ingatkan yang 'orang bodoh pasti akan dimakan oleh orang cerdik" -ertinya jika kurang ilmu pasti sekali akan tertinggal, tercicir, lambat sampai atau 'kena main' dan kena jual'.
Dalam situasi kita sebagai satu ummah dan satu bangsa pula jika kita bodoh atau kurang ilmu dan maklumat maka kita akan terjajah dan diperhambakan -berterusan dan mungkin selama-lamanya. Anak bangsa yang pernah terjajah yang tidak belajar dari sejarah akan kembali terjajah dan diperbodohkan. Memang hakikatnya bekas tuan kita atau bangsa barat itu lebih cerdik dan maju (secara relatifnya). Namun demikian sebagai manusia apakah taraf kita akan sentiasa lebih rendah dari mereka yang pernah kita panggil 'sir' itu - sampai bila-bila?
Bangsa yang terjajah dan dibelenggu kebebalan akan sentiasa percaya yang bahasa sendiri akan sentiasa di bawah dan ini menunjukkan bangsa itu tidak akan meningkat ke hierarki yang di atas daripada yang sedia ada. Bahasa adalah jiwa bangsa. Selagi orang Melayu yang punyai bahasa Melayunya sendiri percaya bahawa hanya bahasa Inggeris sahaja yang akan memajukan dunia dan bahasa Melayu tidak ada peluang untuk itu, maka ertinya jiwa Melayu itu amat kemetot, kerdil, dayus dan bebal. Natijahnya orang bebal akan dimakan oleh yang licik akalnya.
Orang Inggeris akan menghasut secara 'halus dan licik' umpamanya "jika kamu tidak percaya kepada kemampuan bahasa kamu apalagi belajarlah sains dan matematik dalam bahasa aku".
Ada pemimpin bertaraf negarawan ulung berhujah yang orang Melayu tidak dapat kerja di kilang atau firma besar kerana tidak fasih berbahasa Inggeris dan anak cina jadi pilihan kerana mereka tahu berbahasa Inggeris. Maka anak-anak Melayu perlulah belajar bahasa Inggeris melalui mata pelajaran sains dan matematik. Apa yang tidak diberitahu oleh orang cerdik ialah "Jika kamu tidak sertakan bahasa kamu dalam proses perkembangan ilmu sejagat maka tunggulah saatnya nanti generasi kamu akan lupa bahasa yang menjadi akar budaya bangsamu sendiri".
Ertinya Melayu hanya akan tinggal pada nama dalam pahatan sejarah. Melayu bukan tuan dan tidak pernah jadi gemilang- tafsiran sejarah akan jadi begitu! Bahasa Melayu akan hilang sedikit demi sedikit dan 'anak Melayu' (termasuk juga anak-anak ahli parti UMNO) akan merasa rendah diri berbahasa Melayu. Anak Melayu (UMNO atau tidak) nantinya akan bangga berbahasa Inggeris dengan orang Cina dan India di tanah Melayu 1Malaysia ini.
Saat generasi ini kehilangan jati diri bangsa dan tidak bangga berbahasa sendiri akan tiba jua tetapi bukan dalam masa terdekat. Pendaratan lembut (soft-landing) pendidikan bahasa hari ini akan berjalan hingga tahun 2017 tetapi pendaratan ke arah jahanam dan pupusnya bangsa ini lebih lembut dari itu. Barangkali pada tahun 2070 selesailah di mana pada waktu itu sudah tidak ada Melayu -yang ada barangkali 1Malaysia yang cacamarba dan berterusan bebal dan akan terus dimakan oleh sekalian benggali putih yang licik dan bijaksana itu! Sekiranya tidak percaya kepada hipotesis ini mohonlah kepada Allah Taala untuk hidup setengah abad lagi untuk lihat 'pendaratan lembut' generasi bebal ini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan