Perkataan di atas adalah sebahagian gugusan perkataan yang menerangkan tentang pemikiran, fahaman atau persepsi salah dan karut manusia manusia terhadap sesuatu. Kekarutan itu biasanya melibatkan konsep, idea atau aqidah agama. Berikut dijelaskan maksud setiap perkataan secara ringkas berdasarkan istilah kamus dan konsepnya.
Bidaah
Pembaharuan, terutama dalam hal ibadat agama Islam. Ada pembaruan yang benar dan ada yang bercanggah dengan Islam. Ada yang membahagikannya kepada 2 bentuk iaitu bidaah baik(hasanah) dan bidaah sesat (dolalah). Ada kelompok yang tegas bahawa semua bidaah itu sesat. Contoh bidaah baik ialah membaca tahlil dan ada ulama menegaskan membaca tahlil berdasarkan hari-hari kematian adalah makruh dan dilarang. Maksudnya bidaah yang baik ialah membaca tahlil arwah manakala bidaah yang sesat ialah membaca tahlil pada tempoh-tempoh hari tertentu selepas kematian. Manakala itu ada kelompok yang tegas mengatakan apa bentuk pun tahlil kematian adalah bidaah yang sesat -biasanya kelompok inilah yang dikatakan kaum muda atau Wahabi.
Dalam loghat pantai timut pula bidaah disebut 'bedaah' yang bermaksud bohong atau tipu.
Khurafat
Ajaran yang bukan-bukan atau karut, dongeng, tahyul.
Dalam Islam khurafat bermaksud kefahaman menyeleweng (khususnya aqidah) dari apa yang sebenarnya. Ada orang yang percaya kepada karamah orang-orang tertentu dan memohon melalui orang tersebut di kubur-kubur untuk mendapatkan sesuatu. Orang yang bertaraf karamah memang wujud namun Islam melarang umatnya memohon hajat atau berdoa secara tawasul melaluinya untuk mendapatkan sesuatu. Orang Islam dikehendaki memohon terus kepada Allah Taala tanpa 'orang tengah'.
Khurafat atau kepercayaan karut memang wujud dalam semua masyarakat. Dalam pemikiran orang Melayu yang percaya bahawa raja-raja Melayu adalah penyelamat survival mereka adalah antara khurafat dunia Melayu. Khurafat ini biasanya takut disanggah kerana dibimbangi akan mendatangkan mala petaka atau keburukan. Membanteras amalan khurafat dalam agama adalah menjadi dasar utama Sheikh Muhammad Abdul Wahab di Makkah hinggakan melahirkan fahaman Wahabi. Pihak yang menentangnya mencipta khurafat baharu terhadap Wahabi dengan melabelkan Wahabi pembunuh umat Islam dan agen kolonial British. Akhirnya jadilah semuanya khurafat dan lagha.
Khilafiyah
Menimbulkan keraguan atau pertikaian khususnya bagi perkara yang tidak mempunyai nas yang tepat. Khilaf antara ulama hanya dibenarkan dalam ruang ibadah dan dilarang berkhilaf dalam hal-hal dasar atau aqidah. Khilaf furu' itulah yang melahirkan pelbagai mazhab fiqh dan yang paling terkenal dan diterima umum ialah Shafii, Maliki, Hambali dan Hanafi.
Namun demikian wujud juga khilaf dalam bentuk aqidah dan melahirkan beberapa firqah manakala firqah yang masih diterima hingga hari ini sebagai ahli Islam ialah Sunnah dan Syiah dan ada pendapat yang memasukkan Wahabi sebagai firqah yang ketiga.
Melayu tetap keliru
Dalam masyarakat Melayu dari dahulu hingga sekarang apa yang terjadi mereka tetap gemar berkhilaf hal-hal furu' yang telah jelas tentang hukumnya. Mereka gagal meningkatkan kefahaman mereka untuk mengkaji konsep-konsep lebih besar dan utama seperti jinayat, jihad, qisas, iktisad dan sebagainya. Oleh yang demikian mereka hanya berbahas tentang berapa rakaatkah solat tarawikh tanpa mahu bincangkan tentang konsep ekonomi Islam. Mereka berbahas tentang kesesatan Wahabi dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan gagal fahami konsep Negara Islam, jihad menentang kekufuran dan yang malang sekali mereka tidak pernah tahu untuk berdakwah secara berhikmah.
Urusan dakwah kata mereka hanya serah kepada ABIM, JIM, Tabligh dan Pejabat Agama. Dengan yang demikian mereka hidup dalam suasana simplistik dan alpa dari matlamat besar dakwah iaitu amar makruf nahi munkar. Kelompok inilah yang mudah ditipu dengan konsep-konsep seperti pembangunan, ketuanan Melayu, daulat raja, UMNO penyelamat 'ummah' Melayu, Ketua PKR derhaka, PAS rasuah agama dan pergunakan agama. Mereka tidak jelas mana satu keutamaan dan mana satu mitos, khurafat, tahayul, bidaah dan pembohongan.
Masyarakat inilah yang akan disepak teranjang ke sana dan ke sini kerana kebebalan mereka sendiri. Mereka telah meletakkan diri mereka setaraf pawn atau bidak catur sedangkan mereka perlu bersaing atas medan percaturan yang hakiki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan