Ahad, 25 April 2010

BERFIKIR TENTANG RASUAH

Sempena meraikan PRK Hulu Selangor hari ini mari kita fikirkan tentang rasuah. Hal ini kerana kata pemerhati "rasuah politik" memang berlaku di Hulu Selangor -malah berleluasa. Rasuah satu perkara yang tidak nampak tetapi diyakini memang ada -umpama angin yang dapat dikesan melalui pokok yang bergoyang atau angin kentut yang dikesan melalui baunya. Rasuah melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima sama ada secara langusng atau 'indirectly'. Belanja makan untuk "mempermudahkan urusan" yang telah menjadi sukar adalah rasuah tidak langsung bahkan kadangkala tidak disedari pun oleh penerimanya. Bagi penerima yang lurus bendul akan terima sahaja belanja makan 'kawannya' itu dan ucapkan terima kasih. Bagi yang sama-sama bijak akan katakan itu adalah 'smart partnership' manakala pemberi yang 'mangkuk hayun' akan ikut sahaja apa yang si penerima minta.
Dalam aspek pendidikan rasuah 1Malaysia punyai Institut Integriti Malaysia(IIM). Wawasan yang ditetapkan ialah "Membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti. Objektifnya ialah "sebagai jentera pelaksana Pelan Integriti Nasional(PIN) ke arah membangunkan bangsa malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat".
Malaysia juga punyai surahanjaya penguatkuasaan rasuah (yang hebat dan sensadsi) yang dahulunya Badan Pencegah Rasuah(BPR) kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Tugas utamanya menangkap dan mendakwa perasuah.
Dalam konteks negara 1Malaysia (menurut SPRM tentunya) terdapat empat(4) kesalahan rasuah yang utama iaitu (1) meminta/menerima rasuah (2)menawar/memberi (3)membuat tuntutan palsu (4)menyalahguna jawatan/kedudukan. Rasuah jika meluas dan menjadi budaya akan menyebabkan masalah sosial seperti jenayah dan ketidakadilan terhadap masyarakat. Perkataan lain bagi rasuah ialah korupsi (corruption) atau tumbuk rusuk atau makan suap.
Namun demikian rasuah di Malaysia adalah "satu budaya yang diterima dan tidak dianggap salah selagi belum dibuktikan salah" dan wujud banyak persoalan dan kontroversi dalam proses penguatkuasaanya. Dari mana bermulanya kefahaman dan budaya rasuah dan mengapa manusia gemar merasuah? Apakah kefahaman tentang rasuah itu berdasarkan ilmu yang betul atau hanya satu perwarisan kefahaman dari generasi terdahulu?
Sebagai perbandingan penulis turunkan kata-kata seorang pensyarah yang cuba membuat konfrontasi terhadap pelajarnya iaitu " jika anda tidak meniru dalam peperiksaan anda rugi dan jika anda ditangkap kerana meniru maka anda dua kali rugi". Perbuatan meniru itu adalah satu kenakalan tetapi dalam proses ilmu penipuan sebegitu adalah cerminan buruknya integriti seorang siswa. Apa maknanya analogi itu dari perspektif rasuah? Pertamanya perasuah perlu bersedia ambil risiko dan hanya fikirkan untung. Perasuah perlu ada tekad dan berani untuk menjadi 'jahat' dan jika misi kejahatannya berjaya maka dia akan untung dan seandainya gagal maka dia dua kali rugi. Dalam pemikiran perasuah (dan penerimanya juga) selagi belum dilihat bersalah atau selagi belum difahami bahawa itu satu kesalahan maka itu adalah satu peluang.
Maka dengan itu masyarakat kita akan selamanya menganggap rasuah bukan satu dosa dan tidak sedar pun kesannya kepada masyarakat. Adakah rakyat khususnya Melayu dapat mengesan dan memahaminya jika pada hari-hari kempen PRK Hulu Selangor pengertian dan apa hikmahnya kata-kata pemimpin "lihat sumbangan kita sejak dulu...sejak beberapa hari lalu kita telah berjaya menyelesaikan masalah peneroka felda dan penduduk kampung".
Jika benar-benar Melayu faham maksud dan implikasi rasuah dan kenal perasuahnya serta benar-benar bermaruah dan beragama maka mereka akan tolak perasuah sedemikian. Jika tidak menolaknya maka Melayu tetap lurus seperti pada zaman Istana Melaka dahululah! Pantang Melayu derhaka dan Melayu tetap terus hidup pun sampai kini. Tapi siapa yang hormat Melayu itu sebegitu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan