Selasa, 20 April 2010

EKOPOSIAL : APA YANG DIBACA OLEH MELAYU?

Melayu adalah satu marga atau keturunan dikira berdasarkan pertalian darah. Melayu di Tanah Melayu lazimnya beragama Islam kerana dilahirkan oleh ibu bapa yang Islam. Bangsa Malaysia pula adalah kelompok keturunan yang dikepung oleh sempadan geografi iaitu Tanah air 1Malaysia. Melayu dalam Bangsa 1Malaysia bukan bersaudara dengan Melayu saudara mara M. Nasir yang tinggal di Bedok , Singapore atau Pangeran Deraman di Seria, Brunei mahu pun Abudul Koder Melayu Pattani di Sungai Padi, Selatan Thai. Melayu di luar 1Malaysia adalah Melayu yang lain biar pun ada pertalian darah atau bau-bau bacang hatta boleh mewarisi antara satu sama lain.

Maka kefahaman Melayu tentang alamnya hanya berlegar dalam lingkungan tanah air 1Malaysia sahaja. Sebab itulah Melayu 1Malaysia tidak yakin yang bahasa Melayu itu kedudukannya yang ke-5 paling ramai penuturnya iaitu melebihi 200 juta manusia. Manusia Melayu 1Malaysia barangkali tidak sedar bahawa wujud Melayu di luar lingkungan mereka. Maka dengan sebab itulah mereka tidak bangga dengan bahasa Melayu malah setuju dengan cadangan bebal pemimpinnya yang melabelkan bahasa sendiri dengan nama bahasa Malaysia. Mengecilkan nama bahasanya sendiri kepada lingkungan yang terhad sepatutnya jelas membuktikan kecilnya jiwa bangsa tersebut.

Selanjutnya dalam konteks ekoposial apabila pemikiran tentang bangsa sendiri menyempit adalah sukar untuk merumuskan pemikiran tentang ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa menjadi sebaliknya iaitu membesar. Pemikiran ekonomi Melayu tentu sekali dalam lingkungan Melayu yang terhad kerana sudah tentu Melayu 1Malaysia tidak mampu berfikir secara global. Tidak ada diaspora Melayu yang memangkin ke arah itu atau jika ada pun mereka tidak diterima sebagai Melayu. Orang Acheh, Cham dan Pattani yang datang berniaga di Kuala Lumpur barangkali adalah diaspora Melayu tetapi apabila menguasai beberapa cabang perniagaan maka mereka dianggap musuh yang merencat kerancakan berniaga orang "Melayu' sejati khususnya di Kuala Lumpur.
Dalam bidang politik pula Melayu hanya membaca dari perspektif Melayu semata-mata, sama ada atas kapasiti nasionalis atau Melayu-Islamik. Ibrahim Ali adalah pejuang Melayu perkasa yang hanya bercakap dalam konteks Melayu iaitu bersangkut hak istimewa Melayu, peluang berniaga dan sebagainya. Ibrahim Ali tidak nampak bagaimana Melayu beserta Cina, Siam, India, Sikh dan Kadazan dapat bersama-sama memajukan Melayu. Apa yang Ibrahim Ali tahu ialah Melayu hanya boleh dimajukan oleh Melayu. Begitu juga kebanyakan para ultralis Melayu lainnya yang menuduh Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang sebagai chauvinist Cina tanpa melihat dirinya pun sama seperti yang dikatakannya itu. Para pejuang Islam pun begitu juga yang sering melihat dan meletakkan 'gap' antara hubungan Melayu yang Islam dan bukan Melayu yang tidak Islam. Ada garis pemisah yang jelas dan ini dijadikan nilai atau dogma untuk membentuk pandangan umum umat Melayu-Islam.
Rakyat Melayu yang sepatutnya menjadi peneliti massa hanya ikut sahaja. Apa kata pemimpin itulah yang tepat dan benar tanpa banyak usul. Rakyat yang jadi pengikut bukan semata-mata yang bodoh tetapi yang cerdik pun sama kerana mereka bacul dan tidak bertelur. Kita amat hairan bagaimana pakar sosiologi, sains politik dan pakar sejarah yang bergelar professor yang jelas memahami prinsip kesaksamaan, pencerahan dan kebebasan sosial sering tunduk kepada apa sahaja yang pemimpin tetapkan dalam hal politik sosial tanpa tapisan ilmu. Mengikut arahan pemimpin berilmu adalah wajib tetapi menyertakan diri dengan kebebalan pemimn adalah dua kali bebal khusus bagi para pemikir dan intelektual Melayu itu.
Maknanya di sini Melayu gagal membaca konsep ekoposial yang melingkari budaya dan kehidupan mereka dengan baik. Melayu hanya ikut sahaja dan ini memang ada kaitan dengan tabiat Melayu yang tidak gemar membaca. Melayu sejak tradisi bukan berpaksi 'knowledge worker' atau pendekatan modal insan tetapi lebih menjurus kepada 'hands on' dalam proses ilmu mereka. Melayu asalnya sangat ringkas jaringan sosialnya, ekonominya bersifat sara diri dan kepolitikannya berjalan dalam suku-suku yang kecil. Jika ada Raja yang menyatukan mereka itu adalah hanyalah fuedal yang menjarah dan bukannya mengajar Melayu berpolitik secara beradab dan berdaya maju. Sebab itulah Melayu hanya tahu taat dan patuh sejak dahulu, kini dan selamanya. Pantang Melayu derhaka adalah cerminan taat Melayu dan jika ada Melayu yang bersifat kritikal maka mereka itu adalah penderhaka dan pembelot. Pemikiran itu jelas sejak zaman Hang Jebat hingga zaman 1Malaysia pasca moden ini. Jadi apa lagi yang boleh dibuat untuk memahamkan Mel;ayu ini jika memberikan idea baharu pun dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat? Kalau begitu jika 'Dr. Mayat' Pornthip itu adalah Melayu maka beliau adalah sebesar-besar pengkhianat dan dajal Melayu kerana ada kenyataan yang tidak selaras dengan kehendak pemimpin Melayu. Nasib baiklah beliau itu keturunan Siam dan mungkin akan diterima kenyataan samalah sepeerti perunding antara bangsa yang lain yang sering diterima pendapat mereka dalam apa-apa hal atau masalah yang dirasakan sukar oleh Melayu termasuklah hal ehwal bahasa dan budaya Melayu sendiri. Tidak percaya? Baca dan fikirlah wahai Melayu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan