Isnin, 12 Ogos 2013

HARIMAU MALAYA : BIDAK atau BADUT

10 Ogos 2013. Hari Raya Aidilfitri, 03 Syawal 1434H. Sejarah bola sepak.

Perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa "bertaraf dunia" antara Malaysia @ Harimau Malaya berdepan kelab paling berjaya di dunia FC Barcelona dari Sepanyol. Menurut pihak pengurus acaranya, perlawanan persahabatan antara kelab bola sepak terbaik dunia dan pasukan bertaraf kebangsaan tersebut dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM115 juta kepada ekonomi Malaysia dengan jangkaan kehadiran lebih 80000 penyokong dan penggemar bola sepak - tempatan dan luar negeri.

Malaysia Major Event melalui Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif menambah, "rakyat Malaysia dan bola sepak tidak dapat dipisahkan. Kami gembira untuk melihat kehebatan semangat bola sepak melanda negara ini dan kami akan terus membawa acara sukan mega ke sini".

Justeru disebabkan acara ini bertaraf internasional maka harga tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut ditetapkan pada RM668 untuk tempat duduk VIP dan RM98 hingga RM388 untuk tempat duduk biasa.

Persoalannya sekarang, apa faedah yang bola sepak Malaysia khususnya pasukan Harimau Malaya perolehi hasil dari perlawanan tersebut? Adakah Malaysia akan bertambah gah dalam kancah bola sepak dunia? Adakah maruah pasukan kebangsaan Malaysia akan terangkat dan terjulang tingggi? Adakah 'bintang-bintang' bola sepak Malaysia akan meningkat 'value'nya dan sosok mereka akan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia?

Semua persoalan tersebut perlu bagi membina satu persepsi umum untuk menjawab apa sebenarnya 'bola sepak Malaysia' setakat ini. Seorang rakan, nasionalis Melayu tulen (barangkalilah sebab mendaftar sebagai ahli seumur hidup sebuah partai siasah Melayu!) menegaskan bahawa perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan kelab-kelab gergasi dunia seperti Chelsea, MU, Liverpool dan terkini FC Barcelona sebenarnya sangat signifikan. Hal ini membawa erti bahawa Malaysia berhadapan dengan pasukan dunia disebabkan kelab-kelab tersebut pemainnya berasal dari seluruh pelosok dunia! Bayangkanlah sebuah negara yang kerdil berhadapan dengan 'team' dunia.

Ada sahabat menegaskan bahawa dengan singgahnya 'tour' tersebut di Malaysia beerti bola sepak dunia menghargai dan memandang tinggi bola sepak Malaysia. Ada yang berpendapat pelancong akan tertarik melawat Malaysia selepas ini kerana telah dikunjungi bintang-bintang dunia. Pengulas sukan tv terkenal pula berkata dengan kejayaan Mohd Amri Yahya menjaringkan 'gol tercantik' dalam pertemuan dengan FC Barcelona itu memberikan amaran kepada musuh-musuh bola sepak Malaysia tentang kehebatan bola sepak Malaysia.

Hakikatnya. Semua jawapan tersebut tidak langusng meningkatkan mutu dan maruah bola sepak Malaysia. Semua jawapan tersebut adalah lahir dari pemikiran dan perasaan 'manusia berjiwa kecil yang pernah terjajah' dan mahu terus dijajah -dahulu, kini dan selamanya. Media massa arus perdana gagal membuka ruang untuk menunjukkan bahawa perlawanan seumpama itu adalah hiburan dan pembugaran budaya konsumer dan pengukuhan ideologi kapitalis semata-mata. 

Semua peminat tegar bola sepak kita jelas sekali tidak memahami erti maruah sebuah bangsa. Semua media yang galak mempromosi 'event' seumpama itu hanyalah agen kapitalis dan kolonial moden. Tentu ramai akan marah jika dikatakan perlawanan tersebut sama sahaja nilai hiburannnya dengan program 'wrestling' di tv seperti apa yang dibuat oleh WWE. Hiburan, sensasi dan keseronokan. Hedonistik!

Percayalah! Perlawanan bola sepak seumpama itu hanyalah hiburan semata-mata. Pemain-pemain yang terlibat adalah bidak-bidak yang barangkali disuntik atau dihias dengan rasa dan warna patriotik. Semua yang terlibat dalam arena diberikan peran sebagai kesatria, pahlawan, pengawal hatta sebagai perdana menteri dan raja. Rakyat yang akalnya terjajah tentu tidak sedar bahawa mereka dijadikan bidak semata-mata. Rakyat yang rela dijajah akal dan maruahnya tentu bangga dengan penampilan mereka biar pun ditertawakan kerana kebadutan mereka itu. Orang yang cerdik hiburan mereka adalah kebadutan dan kebebalan orang lain -yang jahil. 

Hasil dari acara hiburan seperti 10 Ogos lalu tentu sekalilah yang bersifat badut dan menjadi bidaknya adalah orang kita. Sekiranya ada yang marah-marah dengan rumusan ini tentu sekali mereka itu gagal berfikir dengan mendalam dan wajar. Akal, hati dan tingkahlaku mereka masih terlalu jauh untuk capai tahap modal insan kelas pertama -biar pun di dunia ketiga!

Marilah kita tertawakan diri sendiri untuk mencari makna maruah sendiri biar pun sudah sekian lama kita ditertawakan orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan